Thursday 29 November 2012

ISU MAKIN PANAS WALAU CUBA DISEJUKKAN

BEZANYA ia melibatkan orang besar. Andainya kes itu melibatkan orang yang tidur bawah jambatan dekat Central Market, sudah lama orang itu kena tahan. Hukuman pun sudah dijatuhkan. Umum sudah mengetahui bahawa kes yang melibatkan pembunuhan wanita warga Mongolia itu adalah cerita panas. Meskipun ia telah berlaku lama dulu dan cuba disejukkan, tiba-tiba hujung tahun ketika orang sibuk nak sambut Kristmas dan Tahun Baru Masihi, cerita lama itu panas semula.
Menariknya kisah itu turut menjadi perhatian kalangan penyokong pembangkang, sementara di pihak Umno mereka cuba menepis dengan berbagai silat, entah jurus mana dipakai, tetapi ia tidak menjadi juga. Agaknya, sudah tiba masanya perkara ini kena meledak bagai gunung berapi pendam. Kalau boleh memang nak dipendamkan. Inilah citra kehidupan yang telah membudaya di bumi Malaysia sekian lama.
Kalau kes melibatkan orang kecik, dengan senang-senang sahaja orang kecik dipermalukan setiap hari. Dicanangkan setiap kali berita perdana. Akan tetapi apabila menyangkut orang besar, mereka tak tahu nak buat bagaimana.
Penganalisis politik negara pun semacam malu alah, nak tulis benda yang benar seolah-olah ada yang menegahnya. Ini pun cara laporan dan berita gaya Malaysia yang sudah lama dipakai sejak dulu lagi, sejak tahun 70-an. Bahkan sejak sebelum daripada itu. Keadaan bertambah gesit sejak Dr M memegang tampuk pemerintahan. Dia yang memulakan cerita karut dalam politik negara.
Ketika Umno sedang bersidang, timbul pula isu Altantunya Mongolia sekali lagi. Kali ini makin panas. Apa tidaknya, berbagai perkara diungkit. Rakyat pun semakin tahu, sekarang apa benda pun tak boleh nak sorok. Lagi disorok lagi bahaya, maknanya makin berganda.
Jadi apabila Deepak sudah berani berkata benar, apabila bekas Ketua Polis pun berani berkata benar, maka inilah momen yang ditunggu dan diharapkan oleh rakyat. Memang selama ini selagi tidak dirungkai, orang akan syak wasangka.
Betapa tidak, sejak kes itu meletup, meski akhbar awal-awal mengatakan ia kes berprofile tinggi, tiba-tiba filenya dah jadi rendah. File letak atas lantai. Akhbar perdana sendiri silap lapor, kenapa awal-awal dah kata itu kes profile tinggi, maknanya bukan Razak Malim Baginda. Dia apalah sangat. Penganalisis apa? Skop analisisnya hanya sekitar ampuan terhadap UBN. Maka dia bukan tergolong orang elit, hebat, jauh sekali nak disebut profile tinggi.
Daripada kes itu, orang kampung pun sudah tahu, inilah satu-satunya kes yang tidak disemak MOTIFnya. Cuba semak apa sahaja kes yang melibatkan orang kecik, miskin, hina dina, semuanya disebut apa motif pembunuhan. Tetapi inilah satu-satunya kes yang dianggap berprofile tinggi, kemudian filenya direndahkan, hingga orang tak tanya, apa MOTIF?
Ntahlah.
Jadi satu negara tak tahu apa cerita sebenar. Tetapi benda macam ini mana nak sorok. Sejak sekian lama orang nak tahu. Selagi tak tahu rasa tak puas. Selalunya orang sembang di kedai kopi, siapa arah siapa. Banyaklah teori itu dan ini. Apa pun sembang kedai kopi itu ada logiknya. Lebih baik daripada sembang tanpa MOTIF.
Sekarang apabila Deepak macam berpaling tadah, kalau sesuai dikata begitu, dia telah memberikan satu tamparan yang hebat terhadap kes yang cuba disejukkan. Kenyataan Deepak memberi gambaran, bahawa di belakang tabir sana, ada segerombolan manusia elitis, berkedudukan yang main peranan.
Dan yang lebih menjadi tanda tanya, kenapa isu ini diledakkan ketika Umno adakan perhimpunan? Adakah semua ini telah diatur oleh pihak tertentu?
Sampai sekarang rakyat masih ingin tahu, apa MOTIF pembunuhan budak perempuan dari Mongolia itu. Kemudian, orang nak tahu juga, siapa yang arahkan siapa untuk padamkan nama budak perempuan itu dari senarai kemasukan rakyat asing di lapangan terbang. Ia seolah-olah filem X-file yang cuba melenyapkan pembuktian bahawa perempuan itu tidak wujud, dia tak datang ke KL.
Maka, bagaimana dia boleh masuk ke Kuala Lumpur dan menginap di hotel kecik macam itu. Persoalan makin berbelit-belit apabila ada kenyataan bersumpah oleh buat hari ini dan esok tarik balik pula. Orang lebih percaya kepada kenyataan bersumpah yang pertama sebelum ditarik balik. Tarik balik tergesa-gesa tentu ada MOTIFnya.
Selain itu, kenapa penyiasat persendirian itu bagai orang pelarian setelah dedah sesuatu dan kemudian tarik balik. Dia langsung lari ke luar negara. Semua orang sudah tahu, apa MOTIFnya. Nah, sekali lagi orang bercakap tentang MOTIF.
Banyak isu timbul sekarang apabila kisah itu jadi hangat semula setelah dimasukkan ke dalam mikrowave baru. Aromanya tambah hebat. Kita lihat ada watak-watak baru tampil. Entah watak dalam pembikinan atau memang itulah watak sebenar yang diminta berada di belakang tabir.
Sementara itu kes kapal selam Scorpene itu diharapkan akan membuka tembelang sebenar sebab rakyat pun nak tahu. Meskipun kalau mereka tahu atau tak tahu ia tak jadi penting, tak jadi masalah, namun itulah yang dikehendaki rakyat sekarang. Kalau tidak buat apa asyik cakap 1Malaysia dan transformasi semua? Jika semua tak boleh, lebih baik, jangan cakap telus, jangan cakap demi rakyat, jangan cakaplah rakyat didahulukan.
Diharap isu yang sudah panas ini makin panas, dan terbongkarlah apa sahaja perkara yang hendak disorokkan dari pengetahuan rakyat. Inilah untungnya kalau pembangkang makin kuat. Bayangkan kalau pembangkan hanya ada 10 kerusi sahaja, tentulah tak jadi apa. Rakyat di luar sana menunggu apa cerita seterusnya, tapi mereka perlu diingatkan jangan hanya bergantung kepada sumber laporan dari media perdana. Kalau media perdana sendiri tidak melaporkan sesuatu yang benar dan nyata, maka itu namanya ada MOTIF juga. []