Sunday 27 May 2012

BUKAN PUKAU SEBENARNYA

Selalunya, jika sesuatu telah terjadi, bagi menggambarkan diri tidak dianggap sebagai mangsa kebodohan, maka perkataan "pukau" sering kita sebut.
Bagaimana kejadian itu boleh berlaku? Orang akan gunakan alasan biasa, tidak sedar dengan apa yang terjadi atau paling mudah cakap, kena pukau.
Pukau ini adalah perbuatan mengenakan ilmu sihir kepada seseorang bagi tujuan tertentu pula. Biasanya ia ada kaitan dengan penipuan.
Seseorang yang memberitahu kepada seorang pintar bahawa rumahnya ada gangguan sesuatu, ia bukanlah pukau. Itu namanya mengundang seseorang untuk melakukan pemulihan. Hanya apabila tugasan itu tidak memuaskan hati, baharulah timbul tuduhan bahawa orang itu gunakan pukau.
Ilmu pukau biasanya dikaitkan dengan warga asing yang melakukan jenayah di negara kita. Maka tersebarlah bahawa rakyat asing ini sangat bijak dalam ilmu pukau.
Ketika ada seseorang menunjukkan sebiji batu delima merah misalnya, orang itu akan mendakwa kena pukau setelah melihat bagaimana batu delima itu diuji keasliannya. Batu delima yang kecil itu dapat menukarkan air dalam gelas menjadi merah. Orang kata ini adalah kerja pukau. Sebenarnya tidak sama sekali. Ia menggambarkan ketidaktahuan seseorang tentang batu delima asli atau batu tiruan.
Begitu juga apabila seseorang begitu mudah menyerahkan wang sebagai bayaran bagi sesuatu perkhidmatan yang diminta. Misalnya, tugasan menghalau hantu dari rumah, orang yang melakukan tugasan itu akan meminta bayaran tertentu. Jika berlebihan, orang itu akan mendakwa dia kena pukau.
Ia bukanlah pukau. Sebaliknya lebih kepada kesan psikologi yang bermain dalam minda seseorang. Ada orang terperangkap oleh kata-katanya sendiri.
Disebabkan telah terlepas cakap, orang itu terpaksa mengalah membayar berapa sahaja yang diminta. Ia bukan pukau.
Terpengaruh dengan kata-kata seseorang yang baru dikenali bukanlah pukau namanya. Itu sebabnya, kita kena bersedia apabila mendengar sesuatu penerangan dalam bentuk baru.
Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata seseorang.
Bertemu orang baru dan orang itu membuka temberang mengatakan itu dan ini, maka anda lekas percaya. Inilah masanya anda boleh ditipu. Tidak ada pukau sama sekali.
Sikap bodoh seseorang terhadap sesuatu perkara akan memudahkan diri terkena tipuan. Jangan salahkan orang lain dengan mengatakan anda kena pukau. Tidak ada ilmu pukau yang sebarangan.
Ilmu pukau tidak akan dikenakan kepada seseorang begitu sahaja. Tanpa pukau pun, kalau anda tidak bersedia menerima keterangan perkara baru, anda mudah merasakan diri dipukau.
Seorang wanita berumur serahkan rantai emas setelah mendengar cerita daripada seseorang yang mempesona. Ia bukan pukau. Ia ada rasa takjub yang berlebihan di samping memikirkan keuntungan daripada tindakan yang sedikit.
Bertemu orang baru, kita mudah terpesona dengan cerita mereka. Begitu dalam seminar MLM, jadi agen produk baru, jangan mudah percaya dengan kemampuan orang lain. Jika anda lemah, anda dengan mudah akan mengeluarkan wang untuk membayar apa sahaja yang dikehendaki.
Ia bukan pukau. Selalunya orang akan mengaku kepada pihak tertentu dirinya telah dipukau. Ini adalah alasan yang sukar diterima.
Sebenarnya bukan anda yang dipukau, tetapi anda sendiri yang terpukau oleh mainan bahasa dan kaedah orang itu berinteraksi.
Jika anda sanggup memberikan wang beberapa kali melalui transaksi bank, ia bukanlah pukau. Sebaliknya ia menggambarkan kelemahan diri sendiri. Ada rasa tamak, rasa ingin memiliki sebelum peluang itu terlepas.
Anda ditawarkan akan mendapat laba yang banyak jika melabur sekian ribu. Tanpa fikir banyak anda pun mengeluarkan wang untuk melabur. Ia tidak ada kaitan dengan pukau. Sebaliknya anda telah terpukau oleh mainan bahasa dan keterangan teori yang tidak dapat anda jangkakan.
Atau memang sikap anda yang mudah membuat keputusan sekalipun berdepan dengan hal-hal baru. Maka jika terjadi, jangan jadikan pukau sebagai alasan. []

LAGU-LAGU KERONCONG DARI JAWA

SEMALAM BERSAMA grup surau Ainuddin kami ke majlis perkahwinan yang dibuat pada sebelah malam. Elok juga, sebab suasana sejuk dan tenang. Anggaran undangan adalah sekitar 400 orang silih berganti. Dan tetamu di majlis itu dihiburkan dengan sebuah kumpulan muzik keroncong.
Hanya lagu-lagu berirama keroncong sahaja yang dimainkan. Sambil menjamah hidangan, kedengaranlah lagu-lagu keroncong lama yang semuanya diboyong dari Jawa.
Bayangkanlah, lagu lama seperti "Terkenang-kenang", "Begawan Solo", "Sapu Tangan", "Senja Indah di Kuala Lumpur," dan semua lagu berirama keroncong dimainkan.
Tidak tahulah apakah orang muda tahu menikmati lagu keroncong begitu, tetapi nampaknya irama keroncong itu amat sesuai dengan ketenangan malam, tanpa hiruk pikuk bunyi bass dan ketukan drum secara muzik kegemaran anak-anak muda seperti rock kapak atau pop.
Sepanjang malam itu hingga jam 12.00 tengah malam, hadirin disajikan dengan lagu-lagu keroncong sahaja.
Disebabkan lagu-lagu yang dimainkan hanya berentak keroncong, maka tidak ada kebisingan berlaku. Bunyi kompang pun tidak ada.
Selera mendengar lagu-lagu keroncong begitu telah menurun pada saya. Walaupun saya gemar muzik suatu ketika dulu, kini saya anggap muzik dan nyanyian itu hanya penyendal keramaian yang tidak bermanfaat.
Meskipun ada petikan gitar, ada ukelele, ada double bass, nikmat mendengar lagu-lagu sedemikian telah luntur.
Benar, ilmu telah meletakkan muzik di wadah yang sebenar. Di antara yang haq dan yang batil, di mana muzik dan nyanyian hendak diletakkan?
Memang tak ada ruang sama sekali. Inilah yang menjadi punca betapa muzik dan lagu keroncong yang dimainkan di rumah jiran itu tidak memberi impak lagi kepada saya. []

HIMPUNAN BELIA DI PUTRAJAYA: SYOK SENDIRI

HIMPUNAN BELIA DI PUTRAJAYA memang diharapkan dapat menarik "berjuta-juta"  belia berkampung di situ. Jika kiraan juta itulah yang diharapkan, maka himpunan itu sama seperti ketika musim haji. Padat dan sendat. Tapi Putrajaya, sejak dulu hingga sekarang, himpunan apa pun tidak menggamit umat untuk berkumpul di sana.
Himpunan yang ada adalah untuk belia dari usia 40 tahun hingga belasan tahun. Himpunan belia ini bukanlah pertama kali dibuat di situ, tahun lepas pun ada juga, tetapi ia tidak ada bezanya dengan "Sure Heboh!" atau "Jom Heboh" - memanglah begitu dalam penganjuran perhimpunan belia.
Nampak sangat himpunan belia ini sudah kehilangan arah. Tidak ada matlamat sebenar menghimpunkan belia di suatu tempat.
Bagi penganjur, ia semacam ruang untuk menyukakan seorang PM apabila dapat hadir bersama menteri-menteri lain. Anak muda yang berhimpun di situ pun kehilangan arah. Apa nak buat?
Jadi, setelah berada di sana, mereka hanya berlegar-legar, mendengar amanat dari pemimpin pilihan, dan mereka diminta mengikuti segala macam program yang telah disiapkan.
Sayangnya, pengisian program belia itu tidak menampakkan kesungguhan. Ia masih memainkan program tahun lepas. Apa yang ada tahun lepas, diulang semula bagi menyukakan belia dan pemimpin UBN yang ada.
Perhimpunan belia itu bolehlah dianggap perhimpunan tangkap muat. Mereka lebih fokus kepada dunia hiburan.
Program yang diatur tidak menggambarkan konsep perhimpunan belia yang sebenar.
Perhimpunan belia lebih banyak bergantung kepada konsep pesta biasa. Tanpa ada gerai-gerai jualan, maka pesta belia yang dikatakan hebat itu tidak lebih sebuah pasar malam atau "Jom Heboh" yang biasa dibuat di mana-mana.
Mungkin inilah sahaja modal yang ada di kalangan penganjur perhimpunan. Mereka kering idea. Ada pentas, dan siapkan program hari pertama, hari kedua dan hari ketiga.
Untuk menarik minat Melayu kerana memang Melayu sangat teruja dengan pesta dan hiburan, maka ada sebaris artis diundang untuk berhuha-huha di pentas.
Daripada paparan media mereka, setiap artis yang hadir di perhimpunan itu dianggap SELEBRITI belaka. Maka inilah yang dianggap sebagai Mazhab Selebriti, syok sendiri, budak muda mentah diminta naik pentas, suruh nyanyi atau berhuha-huha, dan wartawan hiburan kata budak muda itu adalah SELEBRITI.
Kalau begitulah yang dipanggil selebriti, jelas betapa naifnya dunia hiburan negara kita.
Perhimpunan belia yang dikatakan ada sejuta itu, tidak menampakkan impak yang sebenar. Ia tidak lebih daripada pesta biasa. Seperti perhimpunan yang biasa di buat di Titiwangsa, himpunan di Kuala Trengganu, pesta candat sotong, pesta memancing dan pesta-pesta pertemuan pemimpin bersama rakyat anjuran kementerian tertentu.
Kalau setakat pentas, ada grup muzik bermain di situ, kemudian ada belia menari, menyanyi atau menjerit-jerit, itu bukanlah himpunan belia namanya.
Jika beginilah yang dibuat setiap tahun, ia tidak lebih dari pembaaziran sahaja. Elok perhimpunan ini dipadam dari senarai penganjuran. Kalau setakat konvoi motosikal besar, kereta mewah, pertunjukan drift dan sebagainya, ia masih tidak mencapai matlamat perhimpunan yang sebenar.
Mengadakan pesta adalah mudah jika ada peruntukan, tetapi yang paling sukar adalah pengisiannnya. Kalau pesta yang dianggap besar tetapi pengisiannya hambar, ia tidak lebih daripada pujian biasa yang ditulis olej tukang ampu yang ada.Akhirnya pemimpin negara syok sendiri dengan penganjuran yang tidak bermanfaat itu. []

Thursday 24 May 2012

PERINGATAN YANG DIPANDANG RINGAN UMAT MELAYU

UMAT MELAYU sejak mengenal budaya pop bawaan dari Barat, hingga kini terus memburu pembaratan secara merata. Semuanya mahu ditata dengan pemodenan. Dalam soal budaya, erti budaya Melayu itu sendiri sudah berbaur dengan pemodenan budaya Melayu.
Sejak dulu, umat Melayu sangat gemarkan apa sahaja bentuk hiburan. Bermula dari nyanyian, kemudian muzik dan seterusnya tari-tarian, teater [kini filem]. Kalau kita semak dari nyanyian hingga ke filem, ia bukanlah warna asli budaya Melayu, kerana dalam dunia Melayu kita yang sebenar, nyanyian sebenar tidak wujud, bahkan tidak dikenal pun, begitu juga dengan muzik Melayu.
Jadi, amat hairanlah kalau ada orang mengatakan umat Melayu gilakan tarian pendet, sebuah tarian dari Bali yang tidak ada kaitan langsung dengan akar budaya Melayu, jadi rebutan, sampai orang saling membenci, padahal ia hanya sebuah tarian kaum pagan, dan dunia Islam tidak kenap pun dengan tarian.
Ketagihan umat Melayu dengan hiburan terbawa-bawa sehingga ia seolah-olah menyanyilah kamu dari sejak buaian hingga ke liang lahad.
Umat Melayu tidak peduli langsung dengan agamanya kerana mereka lebih menggemari nyanyian dan muzik. Jika ada yang menafikan, sampai sekarang kita masih mengenang penyanyi tertentu yang dianggap terkenal dan jadi idola. Sedangkan dalam Islam tidak ada apa yang dianggap sebagai penyanyi dan idola. Istilah penghibur pun tidak dikenal.
Sayang sekali, umat Melayu lebur dalam ketidak-tahuan, meraba-raba, atau mungkin kehilangan arah. Ia seolah-olah satu rantaian yang terputus. Nyanyian dan muzik perlu ada dalam pakaian budaya Melayu tanpa kita pedulikan sedikitpun akan sindiran dan ingatan Rasulullah shalllahu alaihi wasallam:
"Akan muncul di kalangan umatku nanti beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar dan alat-alat muzik." [HR.Bukhari, no.5590, juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah].
Benar sekali dengan apa yang dinyatakan itu, semuanya telah muncul sejak lama dahulu lagi. Dan kaum yang disebut itu, sudah tentu umat Melayu sekali dan umat lainnya yang menganggap zina itu biasa sahaja. Terbukti laporan media kita hari ini tidak sunyi dari paparan kisah orang berzina.Zina dipandang sebagai gurauan, zina dianggap sebagai alat untuk memerangkap, untuk memfitnah seseorang.
Kemudian kita lihat penggunaan bahan sutera sudah makin galak di kalangan kaum lelaki. Kaum wanita tidak ditegah kerana memang sesuai dengan fitrah mereka yang lembut, kini kaum lelaki juga tidak peduli langsung memakai kemeja sutera asli. Ada ulama mengatakan, sutera tiruan tidak dianggap sebagai sutera yang menjadi larangan. Majlis-majlis rasmi kenegaraan juga berbangga mempamerkan pemakaian seragam sutera asli yang mahal-mahal harganya. Tidak diketahui apakah mereka memang memakai sutera atau bahan seakan-akan sutera. Apa pun kecenderungan umat kepada sesuatu yang menjadi larangan amat ketara sekali.
Selain itu, khamar atau minuman keras. Ia juga sudah dianggap biasa oleh umat kita. Khamar menjadi hidangan kaum elitis bangsawan, meraikan rakan-rakan di hotel ternama, paparan begini kerap dimuatkan dalam akhbar berbahasa Inggeris di negara kita. Dan menurut bekas pemandu di sebuah rumah milik bekas menteri kabinet, banglo yang diduduki itu siap dengan tempat menyediakan minuman keras dan ruang dansa serta kolam renang. Budaya Barat memang jadi kemegahan orang Melayu. Kalangan bangsawan Melayu lebih-lebih lagi bagai tidak boleh dinasihat.
Dan akhirnya, setelah berpakaian mewah sutera mahal, mereka juga cenderung untuk bersosial berlebihan yang mendekati zina atau memang zina itu sudah bersebati dengan minuman keras serta pelengkapnya ialah alunan muzik, entah muzik keras atau muzik lembut ketika pasangan berdansa dengan pasangan bukan muhrim, semuanya saling melengkapi. Tepat sekali sindiran dan teguran Nabi shallallhu alaihi wasallam, bahawa di akhir zaman nanti, iaitu zaman sekarang ini yang sudah kita tempuh sejak mengenal peradaban Barat, zina, sutera, khamar dan alat muzik sudah jadi halal belaka.
Maknanya, empat perkara ini adalah benda yang diharamkan baik lelaki atau perempuan [kecuali dalam bab pemakaian sutera].
Nah, di mana silapnya umat kita melayani empat perkara ini? Zina sudah tentu tidak dapat dibendung lagi. Masalah gadis muda mengandung di luar nikah adalah cerita biasa. Kisah khalwat, rogol, perkosa dan semua yang berasal dari mendekati zina telah merosakkan masyarakat kita.
Salah satu perkara besar yang umat Melayu tidak ambil peduli adalah muzik dan nyanyian. Mereka masih memandang lunak kepada nyanyian dan muzik. Tidak ada yang memandang jijik atau cuba menjauhinya, padahal nasihat dari Nabi shallallahu alaihi wasallam itu membuktikan, muzik dan nyanyian ditegah. Islam tidak mengenal muzik Islami. Umat melayu memandai-mandai menjadikan nyanyian dan muzik sebagai "ad-dien" bermula dari buaian anak-anak sudah diperdengarkan nyanyian, hingga sampai ke liang lahad orang masih masih menyanyi lagi. Bahkan, kecenderungan umat kita adalah mengenang artis-artis yang lagunya terkenal dan diminati, padahal muzik itu dipandang haram. Muzik tidak berdiri sendiri, setiap nyanyian pasti ada muzik.
Ibnul Qayyim al-Jauziyah menganggap nyanyian itu adalah senandung syaitan.
Oleh sebab umat Melayu sudah jauh sesatnya di dalam rimba senandung syaitan, maka senandung yang tidak berguna dan tidak memberi manfaat kepada kehidupan akhirat ini diperdengarkan setiap hari. Ketika memandu, ketika menunggang motosikal, ketika di rumah, nyanyian dan muzik jadi penyeri. Alangkah sedihnya kalau ketika menikmati lagu-lagu maksiat itu berlaku kemalangan yang membawa maut, bukankah satu kerugian abadi kepada diri yang bersangkutan?
Kini, pagi-pagi ada orang sudah ketagih mendengar celoteh DJ radio yang asyik memutarkan lagu-lagu yang tidak ada faedah langsung dalam kehidupan seorang islam. Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsasimin ketika ditanya apa hukum mendengarkan muzik dan lagu? Dia kata, mendengarkan muzik dan nyanyian adalah haram dan tidak disangsikan lagi keharamannya.
Maknanya sebagai umat yang kurang ilmu kita kena dengar dan taat, bukan membantah dengan meminta dalil. Kerana golongan yang tidak berilmu, sekalipun diberikan dalil mereka akan berhujah lagi. Paling tidak mereka kata, di dalam al-Quran tidak disebut larangannya!
Sebelum pergi kepada dalil, elok kita semak, bahawa para sahabat dan salaf salih ada meriwayatkan bahawa lagu itu boleh menumbuhkan sifat munafik di dalam hati. Lagu termasuk perkataan yang tidak berguna. Bagaimana mahu dikata berguna, berkali-kali anda menyanyikan sebuah lagu yang menggambarkan kecantikan seorang gadis atau wanita, hafal lirik maksiatnya, menggambarkan kecantikan wanita atau gadis yang tidak menutup aurat seperti gambaran lirik lagu itu, apakah mendapat pahala? Cuba bandingkan kalau seseorang itu membaca al-Quran. Di antara nyanyian dan al-Quran, mana yang bermanfaat?
Dalil di dalam al-Quran ialah:
"Dan di antara manusia (ada) yang mempergunakan [lahwal hadits] perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan  manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan." (Luqman: 6).
Inilah keterangan dalam al-Quran yang menyentuh tentang nyanyian, sekiranya ada yang membantah akan dalil larangannya.
Para ahli tafsir [kita tidak perlu pertikaikan kerana ilmu mereka jauh lebih hebat daripada kita sekarang] menyebut, "perkataan yang tidak berguna" [lahwal hadits]seperti dalam ayat di atas maksudnya adalah nyanyian.
Betapa indah dan baik, atau betapa tersohornya seseorang penyanyi dan lagu mereka digemari, ia tetap dianggap sebagai perkataan yang tidak berguna.
Sepatutnya umat Melayu sudah mula meninggalkan nyanyian dan muzik secara beransur-ansur setelah mengetahui bahawa betapa tak bergunanya dunia nyanyian dan muzik ini di sisi Islam. Mahu dimegahkan apa lagi kalau seseorang itu menjadi juara karaoke veteran misalnya? Mahu dibanggakan apa lagi kepada seorang anak gadis yan dedah aurat menyanyi sambil menari-nari di pentas? Orang tua yang jahil akan bertepuk tangan dan berseronok menyaksikan anak gadisnya di pentas. Sebaliknya orang yang berilmu menangis kerana gagal menjadikan anak gadisnya menutup aurat dan tidak menggunakan lirik lagu yang tidak berguna itu sebagai alat untuk cari makan.
Terlalu banyak perkara tentang nyanyian dan muzik yang tidak diketahui oleh umat Melayu. Kita sebenarnya sudah ketinggalan jauh. Sepatutnya kita mengetahui hal ini 30 tahun dulu, dan bukan baru sekarang. Selama kita tidak kenal, selama itulah kita bermaksiat kepada-Nya, dan kita ingkar kepada Nabi-Nya.
Nanti akan ada umat Melayu yang bangga dengan Imam Syafie tetapi tidak menmgetahui bagaimana sikap dan pandangan Imam Syafie tentang nyanyian dan muzik? Imam Syafie [dalam kitab Adabul Qadha] mengatakan, sesungguhnya nyanyian adalah suatu kesia-siaan yang dibenci, ia menyerupai kebatilan dan kemustahilan, siapa yang memperbanyak nyanyian maka ia adalah orang bodoh dan tidak diterima kesaksiannya."
Sahabat Imam Syafie juga berpandangan demikian. Syaikh Abu Ishak [dalam Al-Tanbih] salah seorang daripadanya mengatakan, "Dan tidak sah menyewa atas manfaat yang diharamkan, seperti nyanyian, meniup seruling, atau mengangkat khamar, dan dalam hal ini tak seorang pun yang menidakkannya."
Elok diringkaskan perkataan Abu Ishak tersebut:
1. Manfaat nyanyian adalah manfaat yang diharamkan.
2. Menyewa atau membayar kepada penyanyi mengadakan show adalah batil.
3. Makan dari hasil nyanyian bererti makan harta secara batil, iaitu sama dengan makan dari harga bangkai atau darah.
4. Seseorang tidak boleh keluarkan hartanya untuk penyanyi, hal itu haram baginya kerana bererti ia mengeluarkan harta untuk sesuatu yang diharamkan, sehingga mengeluarkannya untuk kepentingan tersebut sama dengan mengeluarkan harta untuk membeli darah dan bangkai.
5. Seruling [dan alat-alat muzik lainnya] adalah haram.
Umat Melayu pasti menentang jika ada sesiapa hendak mengharamkan nyanyian dan muzik kerana ketidaktahuannya tentang perkara ini. Kita sebenarnya sudah terlanjur lama, sejak zaman P.Ramlee sampai ke zaman Akademi Fantasia sekarang - nyanyian dan muzik dipandang mulia.
Keterlanjuran ini tidak ada sesiapa hendak membetulkannya. Malah media cetak dan elektronik di negara kita bagai tidak tahu, mereka tetap berkeras, menjadikan muzik dan nyanyian sebagai agenda utama dalam kehidupan. Bayangkanlah, dari usia muda hingga ke tua masih sanggup bermain-main dengan perkataan yang tidak berfaedah ini [nyanyian/muzik].
Ingatlah amaran ini:
"Dan barangsiapa menentang rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali." (an-Nisa: 115).
Ingatlah, adapun mendengarkan nyanyian dari wanita asing -bukan mahram- atau anak kecil yang tampan maka ia termasuk hal-hal yang diharamkan yang paling besar dan ia lebih merosak terhadap agama! []

Tuesday 22 May 2012

BERSIH 4.0 TIRUAN

Jika benar penjaja kecil mengalami kerugian disebabkan Bersih 3.0, yang konon terganggu pada hari Sabtu itu, maka penjaja yang mengalami kerugian itu sanggup pula bermain-main dengan "berniaga" di depan rumah Ambiga.
Konon inilah protes yang ditujukan kepada Ambiga, biar dia rasa bagaimana yang dia telah buat kepada para peniaga.
Sebenarnya, mereka yang sibuk berbaju kuning logo Bersih 4.0 bukanlah peniaga tulen. Mereka ada bawaan daripada ketua-ketua tertentu yang disokong dari belakang oleh puak Umno.
Nampak benar Umno sudah kehilangan arah. Mereka tidak berani tonjolkan diri, sebaliknya menggunakan persatuan penjaja untuk unjuk rasa di depan rumah orang.
Mengikut akta apa pun, perbuatan berniaga di tempat yang tak sesuai, apa lagi di depan rumah seseorang adalah satu kesalahan.
Di sinilah orang memandang DBKL yang begitu tegas terhadap penjaja tak berlesen mati kutu apabila sesuatu program itu dianjurkan oleh Umno dan sekutunya. Gunakanlah nama persatuan penjaja banyak mana pun, orang sudah tahu, di belakangnya pasti ada orang Umno dan orang seperti Kimma yang ketandusan idea.
Kimma di Jalan Masjid India hanya bermodalkan seorang senator. Gambarnya tergantung di pokok tepi jalan. Rasanya gambar itu kalau boleh dibesarkan dan diletakkan bergandingan dengan Najib. Kalangan orang Melayu sendiri meluat melihat gambar songkok senget itu.
Kemudian, setelah berhimpun di depan rumah orang dan tanpa tindakan DBKL yang pengecut, apakah mereka tidak menanggung kerugian kerana terpaksa tinggalkan perniagaan yang membawa laba berjuta-juta itu?
Biasanya dalam bab kerugian mereka suka menyebut angka yang ganas. Penjaja kecil rugi RM2.5 juta. Siapa yang mengira? Dan siapa yang jadi peniaga kecil itu? Anggaran begini tidak boleh diterima pakai.
Sekarang mereka berniaga di depan rumah Ambiga, berapa keuntungan yang mereka dapat?
Mereka tak dapat apa pun, tapi hanya setakat nak menunjukkan:
1. mereka jaguh dalam membalas. Orang buat Bersih 3.0 dia buat Bersih 4.0. Tapi kumpulan ini tidak kreatif kerana meniru orang lain.
2. mereka nak himpun 10 ribu orang. Kalau betul, kita nak tengok adakah FRU datang dengan meriam air dan macam-macam. Kita nak tengok apakah dasar pihak PDRM berat sebelah, pihak yang sekufu dengan Umno dibelai-belai mesra, manakala yang berlawanan ditendang dan disepak terajang.
3. mereka termasuk dalam kelompok upahan. Mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka buat. Orang suruh berniaga dia berniaga, suruh duduk dia duduk, suruh menongging dia pun buat, yang mustahak, gambar mereka keluar akhbar Utusan Melayu tak guna, Berita Harian karut dan TV3 suku, RTM putarbelit.[]

SOON KIA DARI PEKAN SEKINCAN

Di tahun 60-an, apek Soon Kia kerap merayau-rayau masuk kampung. Dia kayuh basikal sambil membawa bakul kosong. Apa sahaja yang boleh dipunggah, dia akan punggah. Kelibat apek Soon Kia sudah diketahui oleh penduduk kampung, baik Kg Parit 4, Sungai Leman yang berparit-parit dari Parit 7, Parit 8, Parit 9, Parit 10. Serata kampung dia masuki tanpa ada rasa curiga pun. Padahal itu belum pecah 13 Mei 1969.
Kadang-kadang apek Soon Kia bawa motosikal Bantamnya siap bawa guni dan dacing. Apek Soon Kia memang kreatif. Ada sahaja idea yang hendak dibuatnya.
Dia datang dari Sekincan, terus masuk ke Kg Warisan Pasir Panjang. Dia tengok pokok ubi yang ditanam sudah cukup tinggi, buahnya pun tentu berisi. Apek Soon Kia sudah berkira-kira hendak mencabut beberapa batang pokok ubi.
Tanah gembur, tidak menyusahkan Soon Kia mencabutnya. Dia boleh cabut pokok ubi seorang diri. Kanak-kanak pun boleh. Ubi kayu diperlukan untuk dijadikan makanan haiwan. Jadi, apek Soon Kia kena cari bahan dengan cara masuk ke kampung, perkampungan Melayu yang ditujunya.
Setelah ubi kayu dicabut, isinya dipulas dan kemudian disumbatkan ke dalam guni. Seguni ubi kayu memanglah berat. Masa itu orang tidak menyukat dengan gram atau kilogram. Apek Soon Kia menimbang guna dacing berbatang besar. Perlu dipikul oleh dua orang dewasa sambil apek membetulkan batu dacingnya. Bayangkanlah batu dacing itu, kalau terhempas dan kena kaki, maka melolonglah kesakitan.
Apek Soon Kia, kira dengan kertas haribulan yang dikoyak-koyak. Dia menconteng. Satu pikul berapa ringgit? Masa itu duit merah masih gambar kerbau pembajak sawah.
Selain membeli ubi, Soon Kia juga mencari kelapa kering. Siapa yang nak buat kelapa kering, Soon Kia sedia membelinya. Tidak kira berapa guni. Kalau tak cukup motosikal, Soon Kia akan datang dengan lori kecil.
Dengan memakai seluar pendek, Soon Kia kerap keluar masuk kampung Melayu. Orang Melayu tidak ada perasaan apa pun, tidak memandang dia sebagai seorang lelaki Cina atau apa. Malah dia dianggap sebagai sahabat.
Sewaktu kecil saya pernah beberapa kali pergi rumah apek Soon Kia kerana urusan jual kelapa kering. Masa dulu mana ada orang jual kelapa sawit?
Apabila teringatkan cara kerajaan Barisan Nasional menakut-nakutkan orang Melayu kepada DAP, saya jadi semakin curiga. Apa matlamat sebenar BN ini? Bukankah mereka mencanangkan perpaduan sejak berpuluh tahun, tapi perpaduan yang dicanangkan itu tidak berbekas langsung.
Nampaknya, kegagalan BN untuk merapatkan perpaduan antara kaum sudah diungguli oleh Pakatan Rakyat. Dulu orang DAP takut berkawan dengan lelaki berkupiah, tetapi hari ini mereka lebih percaya kepada lelaki berkupiah daripada yang bersongkok tinggi.
Sebenarnya BN memang suka kalau perpaduan kaum di negara kita sentiasa bermasalah. Apabila DAP dapat memerintah Pulau Pinang, hilanglah upaya BN hendak menawan semula. Bukankah rakyat Pulau Pinang masih ingat, untuk menyelamatkan Pulau Pinang, BN mengutamakan Gerakan untuk mentadbir Pulau Pinang.
Berbalik kepada apek dari Sekincan tadi, saya pun sebenarnya anggap Soon Kia ini macam pakcik juga. Dia datang bawa buah tangan. Boleh duduk bersembang di atas pangkin sambil hisap rokok.
Soon Kia boleh berkira-kira mahu beli kelapa kering atau ubi kayu sebulan lagi. Itulah perkiraan dia. Dan perkiraan ini sebenarnya mendatangkan wang kepada kami sekeluarga.
Kalau kami pergi ke laut, Soon Kia pun tidak kisah. Dia boleh cabut ubi dan isi dalam bakul. Apabila kami balik dari laut baharulah dia timbang. Berapa pikul beratnya? Dan berapa kati?
Kini apabila terkenang kepetahan ADUN Sekincan dari DAP yang pandai cakap Jawa, saya rasa dia pun mungkin ada belajar sedikit sebanyak daripada cara apek Soon Kia berhubung dengan orang kampung.
Heboh 13Mei langsung tak dirasakan ketika itu. Kami tetap pergi ke pekan Sekincan, sebab itulah pekan untuk mendapatkan apa sahaja meskipun untuk dapatkan sebilah jarum atau mata pancing.
Sebenarnya selain Soon Kia, ada lagi watak menarik seorang lelaki India yang kita panggil Weiran. Dia tinggal di Parit 4 Sekincan, berniaga lembu.
Setiap kali orang kampung beli anak lembu, Si Weiran akan datang ke kampung. Dia menjaga lembu itu sehingga dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Weiran sanggup tidur di beranda rumah. Makan tidur di situ. Tuan rumah sediakan makanan. Apa yang kita makan, Weiran pun makan juga.
Kelibat Weiran kelihatan setahun dua kali atau lebih, itupun kalau ada orang beli lembu.
Weiran berkain pelikat baju t kusam, kain selimut diletakkan di keliling lehernya macam lagak Mahatma Ghandi.
Jadi, di kampung kami ada dua watak yang biasa hadir dan tidak mencurigakan sesiapa pun. Apek Soon Kia yang mencari kelapa kering dan ibu kayu, Si Weiran pula sibuk dengan lembunya. []

Wednesday 16 May 2012

MENJELANG PILIHANRAYA, KE MANA SI BEBAS PERGI?

BUDAYA LOMPAT MELOMPAT parti sudah jadi macam mainan sejak musim pilihan raya yang lampau. Lompat melompat memberi gambaran pelompat itu tidak ada pendirian, tidak ada tujuan dalam berpartisipasi dalam politik yang diwakili. Bahkan ada orang bertanding atas lambang parti lain kerana kawasan itu memang popular kepada dia, maka setelah menang, dia pun dengan bangganya menentang lambang parti yang membuatkan dia menang sekarang. Golongan seperti ini memang ada dalam dunia Melayu.
Apa pun kita melihat gejala lompat melompat parti ini bukan berpunca daripada masalah parti yang diwakili. Kebanyakan mereka yang telah keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai Bebas adalah mereka yang tidak suka bertanggungjawab dan tidak suka berdepan dengan sebuah organisasi di berbagai peringkat.
Pernahkah anda mendengar ada Cawangan Parti Bebas Wangsa Maju, atau Cabang Bebas Sungai Kajang? Tentu tidak pernah. Sesiapa yang memilih Bebas sebenarnya telah memilih untuk membebaskan diri dari ikatan peraturan sebuah parti. Dia tidak perlu cabang, tidak perlu bahagian dan tak perlu mesyuarat. Jadi dia tidak mewakili sesiapa pun, sebab kewujudan seseorang YB itu bukan atas kapasitinya sebagai calon Bebas, sebaliknya daripada parti tertentu.
Andainya mereka itu bertanding atas calon Bebas, belum tentu lagi hari ini dia bergelar YB, belum tentu dapat anugerah Datuk dan macam-macam anugerah lagi.
Jadi, menjelang pilihan raya nanti, orang yang duduk di bangku Bebas akan mencari ruang untuk bertanding di kawasan yang telah dimenanginya atas tiket parti dulu. Cuma kali ini dia bertanding atas tiket Bebas bagi tujuan pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru.

TAWARAN BERGANDA
Matlamat mereka kini, sama ada hendak memenangi pertandingan sebagai calon Bebas atau mungkin mendapat pujukan agar tarik diri dari bertanding dengan tawaran dan habuan wang ringgit atau projek besar menanti. Di masa lepas, kejadian seperti ini banyak berlaku, mereka yang bertanding Bebas boleh tarik diri dan isytiharkan sokongan kepada parti yang berkuasa. Calon Bebas begini memang contoh orang yang cari makan dengan cara bertanding bagi tujuan mengumpan tawaran berganda.
Kini, tidak ada siapa dapat mencongak ke mana gerangan orang-orang yang telah melompat parti pada masa lalu. Mereka sudah tidak ada parti, dan kalau menyertai Umno atau parti lain pun, belum tentu mereka akan dicalonkan kerana mereka tetap tidak dipercayai.
Kedudukan YB yang kini duduk di bangku Bebas adalah tidak tentu arah. Mereka tidak dapat mencongak hendak ke mana lagi sesudah ini.
Segala tindakan yang dibuat selalunya menyebelahi pihak UBN, hendak masuk Umno terasa malu kerana parti itu pernah dihina pada masa dulu, jadi mereka mencari jalan selamat, menyokong UBN tanpa menyertai parti apa pun.
Soalnya sekarang, dapatkah mereka menjadi YB untuk meneruskan sepenggal lagi dengan bertanding atas tiket Bebas?
Inilah yang menggerunkan mereka. Sudah tentu mereka terasa malu hendak berkempen di kawasan lama. Mereka telah menipu pengundi. Mereka tidak setia dengan parti. Orang begini sukar dipercayai, maka pengundi akan memilih orang yang ada parti dan bukan orang yang bertanding atas tiket Bebas.
Mereka yang telah menjadi Bebas, hanya mengharapkan pertubuhan yang diketuainya baik Perkasa atau Jati. Inilah talian hayat untuk meneruskan karier di kancah politik tanah air. Diharapkan dengan suara yang lantang, suara yang sealiran dengan UBN akan membuahkan hasil, setidak-tidaknya dijadikan rakan karib UBN, dilantik sebagai orang tertentu atau senator paling tidak.
Wacana ini hanya merujuk kepada calon Bebas yang dulunya adalah calon daripada parti politik tertentu di dalam Pakatan Rakyat, ia tidak menyinggung langsung sesiapa pun yang memang bertanding atas tiket Bebas dari mulanya. Sebab dia memang bertanding atas tiket Bebas. Setelah dia menang, dia bebas untuk menentukan pihak mana yang dia hendak sokong.
Kini, YB yang Bebas memang tidak ketahuan arah. Mungkin mereka akhirnya akan kecundang dalam arus politik negara. Ketika hampir pilihan raya inilah mereka memikirkan nasibnya yang tidak keruan.
Suara-suara lantang yang dilontarkan walaupun menyebelahi pihak UBN belum tentu menjadi sebab untuk mereka dijadikan anak emas kerana dalam Umno terlalu ramai yang menunggu giliran untuk dicalonkan.
Rakyat pun ingin tahu ke mana Ibrahim Ali, Hassan Ali, Zulkifli Nordin, dan orang lain yang telah berpaling tadah secara tidak terhormat itu akan berada setelah pilihan raya kali ini?
Adakah mereka masih mampu bersuara atau ditelan arus zaman? Tunggulah. Biasanya mereka akan dilupakan orang begitu sahaja. []

BAGAIMANA MEMBUANG NYANYIAN DAN MUZIK?

MUNGKIN INI SOALAN YANG DIKEMUKAKAN OLEH SI JAHIL yang tak mengerti akan betapa hebatnya dunia nyanyian dan muzik dewasa ini.
Justeru kenapa mahu mencari solusi untuk membuang nyanyian dan muzik?
Dalam tazkirah selalu kita dinasihatkan agar mengurangkan dan seterusnya membuang terus apa sahaja perkara yang tak berfaedah yang tidak memberi apa-apa kepada dunia akhir kita - akhirat.
Tanyakan, adakah kita mendapat pahala dari nyanyian dan muzik yang kita mainkan?
Jadi, lebih baik kita akur dengan nasihat orang berilmu. Jika kita tidak berilmu, kita membantah, ini akan menunjukkan kedangkalan kita, kebodohan kita.
Antara lain ustaz menasihatkan agar kita:
1. Jauhi  dari mendengarkan radio, tak kira apa saluran pun, jangan pedulilah DJ terkenal atau tak terkenal, raja lawak, atau pelakon atau penyanyi, itu tak penting, dan di rumah selain mengelakkan radio, televisyen juga perlu dijauhi, kalau nak juga cari program yang bermanfaat [ sukar pula cari  program bermanfaat sekarang, walaupun program islami tetapi selingannya tetap program yang berlawanan dengannya].
2. Kita kembali kepada asal. Bukanlah dahulu kita tidak mempunyai tetuang udara dan TV? Kenapa kita berilmu juga? Apa salahnya kita hanya tumpukan kepada persoalan kita dengan Allah SWT, banyak lagi urusan kita yang tidak selesai, kerana kita diminta agar mengingati Allah dan membaca al-Quran, memahami maksudnya, mentelaah dan bukan dengar radio atau nonton TV berterusan!
3. Membaca sirah Nabawiyah demikian pula para sahabat beliau. Jemulah, baik baca novel atau komik. Semua ini kerana umat sudah terlanjur dengan peradaban dan budaya kosmo meniru Barat. Apabila kita hendak berundur bagi menjernihkan diri, kita rasa semu, rasa kosong, dunia begini hendak dihadap setiap hari? Ini melawan fitrah. Begitulah komen yang akan muncul nanti.
Sebenarnya umat kita hari ini tidak sedikit pun risau dengan masalah pemakaian sutera di kalangan orang lelaki. Tidak risau pun kalau khamar dijadikan minuman harian dan tidak risau pun kalau alat-alat muzik makin bercambah, bahkan kalau boleh dipelajari, kelak akan jadi seniman tersohor dunia.
Yang Nabi s.a.w. risaukan ialah apabila suatu masa nanti di akhir zaman, maksudnya zaman kita sekarang, semua itu dianggap halal dan diperbolehkan belaka.
Sekarang fenomena pembolehan terhadap muzik sudah begitu jelas. Tidak ada larangan dan tegahan pun. Bahkan, semua orang hendak mengelak dari membicarakan bab yang satu ini.
Mereka sudah bayangkan, bagaimana kalau tanpa nyanyian dan muzik?
Maka terasalah sunyi dunia ini.
Bukankah manusia di zaman moden ini sekarang gemar bercuti di pulau yang jauh dari kesibukan atau mahu menyepi di sesuatu tempat yang terpencil? Ini bukti nyata bahawa kehingar-bingaran yang ada di sekeliling kita menyebabkan kita semakin semu, semu dengan persekitaran.
Mungkin janggal kalau tanpa bunyi muzik, tanpa suara radio dan TV? Tidak. Tidak percaya cubalah. Pada mula terasa janggal, tetapi apabila anda gunakan sebahagian masa anda untuk mentelaah bab-bab agama yang bercabang ini, anda tidak ada masa untuk saluran TV dan radio lagi, percayalah.
Bahkan anda lebih beruntung jika tidak tahu melodi lagu apa pun. Anda beruntung tidak mengenali seorang artis drama pun atau bintang filem pun. Tidak mengapa. Bukan kerugian. Dan anda jangan malu kalau ditanya tentang artis terkenal tapi anda tak tahu menahu.
Memang payah, terus terang, penulis blog ini juga dulu minat muzik dan nyanyian, tetapi menjelang tahun 80-an, semua itu telah ditinggalkan dengan tujuan taubat nasuha dari nyanyian dan muzik. Dan gitar pun telah dibuang, begitu alat-alat muzik lainnya. Alhamdulillah, keadaan jernih. Tanpa muzik dan nyanyian tidak ada apa-apa pun masalah. Masih mampu berkreatif walau tanpa melodi di sisi.
Sayangnya hari ini, di rumah kita, ketika waktu solat maghrib misalnya, hanya orang tua yang mengerjakan solat, anak-anak dibiarkan nonton TV.
Lepas solat ibu dan bapa pula sambung nonton program yang sama. Ini bukan contoh dan teladan yang baik.
Sepatutnya, waktu solat antara maghrib hingga isyak, tutup terus baik radio, TV atau internet.
Tumpukan kepada ibadah. Masa yang dihadkan ini bukan lama. Kalau ke masjid dan ke surau, terasa begitu cepat masa berlalu.
Untuk membuang nyanyian dan muzik memang merupakan perkara yang sukar bagi umat Melayu. Puncanya? Kita dibesarkan dalam wadah nyanyian dan muzik, dan kita tak pernah dengar ada ulama melarangnya atau mengurangkan. Bahkan majlis kenduri-kendera zaman jahiliyah dulu muzik dan nyanyian jadi penyeri.
Rebana yang dibenarkan dalam Islam pun bukan seperti kompang-kompangan cara Jawa, cara negeri-negeri seperti yang kita kenal hari ini. Semua sekarang telah berlaku improvisasi, ada nyanyian, ada semacam tarian, dan semua ini penambahan.
Hendak membuang nyanyian dan muzik dari dunia kita memang payah. Bagaimanapun apabila umat mulai berilmu sepenuhnya, mereka akan segera membuangnya satu persatu. Insya-Allah.
Pengunduran artis dari dunia nyanyian dan selebriti adalah salah satu cara "membuang" nyanyian dan muzik yang penulis maksudkan. []

Saturday 12 May 2012

AJARAN SESAT ATAU CARI YANG MUDAH?

BAGI ORANG YANG NAK BERAGAMA SECARA MUDAH, atau kerana kurang ilmu, maka mereka mudah terpesona jika mendengar ajaran baru.
Maka hairanlah mereka apabila ada fatwa baru dikhabarkan kepada mereka. Dalam hal ini saya nak catatkan tentang ajaran Qurani, maksudnya, dalam beragama, kita hendaklah merujuk kepada al-Quran sahaja dan jangan merujuk kepada as-Sunnah.
Mereka pun mengadakan kelas pengajian setiap lepas maghrib. Mula-mula tazkirah biasa, apabila sudah ramai, maka masuklah jarumnya.
Biasanya tazkirah itu sampai terlajak dan memang tak ada azan Isyak pun. Dan khabarnya, tak payah qamat semua, mereka pun solat dengan dipimpin seorang imam Qurani.
Mereka yang biasa solat 4 rakaat fardu Isyak akan terkejut hairan kerana solat isyak hanya dua rakaat. Itu mengikut tafsiran nyeleneh ajaran Qurani, ajaran yang berpaksikan kepada al-Quran.
Ajaran ini berkembang secara berkelompok di pusat pengajian sekitar kota metropolitan di sebuah wilayah di Nusantara, mujur tak ada di Kuala Lumpur. Kita hanya mendengar anti-hadis sahaja suatu ketika dulu.
Selain itu, khabarnya, kelompok Qurani ini kebanyakannya tidak berpuasa dalam bulan Ramadan kerana mereka berpegang kepada ajaran, bahawa hanya mereka yang melihat bulan [bukan anak bulan] diwajibkan berpuasa, yang tidak melihat bulan, mereka tak wajib puasa. Inilah salah satu segmen ajaran Qurani.
Habis? Kalau bulan bisa ngomong, ia tentu tak akan bohong! begitulah lirik sebuah lagu. Memang bulan akan melaporkan penipuan pendiri ajaran Qurani ini.
Ajaran ini yang juga disebut oleh pengkaji ajaran sesat sebagai ajaran ingkar sunnah, menyebarkan ilmu melalui majlis tazkirah tadi, sambil berjualan kaset rakaman, risalah bercetak.
Kebetulan ada bos berduit dari Padang Panjang, Sumatera, yang memiliki mesin cetak, maka dia giat mencetak bahan ajaran untuk orang ramai terutama di suatu tempat di kota.
Siasat punya siasat, ada seorang lagi orang kuat persatuan yang kerja di kilang Unilever milik Belanda, dia juga ikut berdakwah dan berfatwa.
Ada lagi tokoh keturunan indo-Jerman, juga ikut berdakwah keliling, sebab hendak merosakkan Islam secara tak disedari. Bagaimanapun ajaran itu dapat dilemahkan, sebuah kawasan permukiman penduduk keturunan Belanda yang Kristian dapat diimbangi setelah didirikan sebuah yayasan islam dan sebuah rumah ibadat ditempatkan di situ.Ingkar sunnah adalah sebuah ajaran sesat.
Daripada begitu ramai orang yang telah mengikuti majlis ilmu di sana, kemudian mungkin ada salah seorang atau beberapa orang pindah ke Semenanjung, cari kerja, kerja kontrakan, lalu mungkin ajaran yang dia terima itu tetap diamalkan di sini.
Maka jika bulan Ramadan mereka tidak puasa, mungkin kerana dia tidak melihat bulan. Atau kalau mahu solat, buat dua rakaat sahaja. Dan sudah pasti apa sahaja amalan sunnah ditolak ke tepi.
Nampak benar, pendiri ajaran sesat ini bukanlah orang berilmu sangat. Jika ada ilmu dan berkelulusan tinggi pengajian islam, mereka diperdaya kerana kebendaan dan kedudukan. Maka cara jarum perosak ini melakukan kerja sangatlah halus. Khabarnya, ingkar sunnah atau Qurani ini adalah jarum dari Yahudi kecil di sebelah Nusantara.
Maka beringatlah. Ajaran sesat bukanlah sebuah ajaran baru, ia bolehlah dianggap sebagai salah satu cara mencari yang mudah daripada yang sudah mudah. Islam itu mudah. Maka mereka tafsirkan secara individu tanpa merujuk kepada apa pun, bahkan ajaran mereka sampai mampu melahirkan kitab tafsir mereka sendiri. Bayangkanlah kalau kitab tadfsir itu sesat dan ditatap oleh kelompok antihadis, maka bertambah cengenglah mereka. []

Friday 11 May 2012

BOMOH DAN KEDENGKIAN

SYEIKH ABDUL AZIZ ABDULLAH BAZ (m.2000M) pernah mengesyorkan kepada kerajaan di mana-mana pun negeri yang menghadapi masalah perdukunan sesat agar melakukan beberapa tindakan.
Antara lain beliau mengesyorkan agar mereka mencegah segala bentuk praktik tukang ramal, dukun dan sebangsa dengannya. Mereka yang diberi kuasa membanteras hendaklah menegah praktik perdukunan ini merebak hingga ke pasar-pasar dan tempat lainnya.
Di pihak media pula sudah sewajarnya mereka tidak menerima iklan-iklan yang berbau kedukunan, mengiklankan kepandaian atau kebolehan tentang sesuatu yang berbau mistik. Perlu jelas kedudukan sesat dengan amalan ruqyah kerana masyarakat kita masih belum celik dalam perkara ini. Mereka masih terpedaya dengan perdukunan bukan Islam.
Drama dan filem kita, walaupun cenderung kepada cerita-cerita mistik, namun pemaparan adegan dukun sebagai perawat atau perantara masih menggambarkan ciri-ciri dukun purba. Masih digambarkan bahawa mantera sesat merupakan intipati dalam perdukunan.
Mungkin penulis skrip drama atau filem kita masih belum faham apa yang dikatakan sebagai ruqyah syar'iyyah itu. Jika mereka tidak berguru dalam bidang rawatan secara Islam, sampai bila pun mereka tidak akan tahu dan tidak berani mengenengahkan rawatan Islami yang sebenar.
Paparan dalam media kita masih menjurus kepada kedudukan yang menyimpang. Mereka masih memaparkan dukun teluh, dukun santet/santau, dukun tenung atau ramal, dan dengan berbagai nama indah seperti paranormal, sebeh, orang pintar, ahli guna-guna, pengasih, pelaris dan berbagai ajian lagi. Semua yang disebutkan tadi adalah pekerjaan syaitan.
Responden dari Alai, Melaka, memberitahu dia suami-isteri tidak dapat berniaga lagi kerana diganggu oleh orang-orang yang dengki dalam perniagaan gerai makanan. Kisah dengki mendengki di kalangan peniaga kita adalah cerita paling lumrah. Kita tidak dengar pun peniaga nasi kandar atau restoran barat saling berdengkian dan gunakan khidmat bomoh unuk melariskan atau meruntuhkan saingannya.
Mungkin mentaliti masyarakat Melayu suka mencari alasan apabila sesuatu itu gagal. Sikap menyalahkan orang lain kerap dibicarakan. Begitu dengan maklumat terbaru yang penulis terima, pasangan peniaga ini tidak dapat berniaga kerana ada perbuatan dengki. Maksudnya ada kaedah menggunakan khidmat bomoh untuk merosakkan perniagaannya.
Kemudian, dalam bidang niaga ini, kita mudah mencari solusi dengan meminta nasihat daripada orang pintar seperti dukun pelaris. Keyakinan mereka menjadi terlalu tinggi terhadap peranan bomoh memanggil pelanggan dan bukan kerana keyakinan dan tawakal mereka kepada Allah. Rezeki adalah di bawah penguasaan Allah, tidak ada dukun handalan yang boleh mendatangkan rezeki. Bagi yang rajin mengharapkan usaha bomoh, mereka tidak yakin bahawa penambahbaikan gerai, resepi dan kebersihan sebagai pemangkin kedatangan pelanggan.
Disebabkan kepercayaan yang tinggi terhadap perkara pelaris, orang pintar yang menyediakan khidmat pelaris cukup banyak di mana-mana. Bahkan golongan ini sanggup datang ke gerai-gerai atau restoran untuk mencari pelanggan baru.
Sebenarnya, tidak ada dukun atau bomoh pelaris yang pintar. Mereka hanya pintar mengakali peniaga yang tak bersedia dalam bidang yang diceburinya.
Contoh terbaik, seorang sahabat dari Teluk Intan, ketika singgah di sebuah gerai makanan di perhentian teksi bandar Muar,sempat melontarkan kata-kata biasa. " Nampak sunyi sahaja kak, tak ada orang nak makan ke?" kata lelaki berumur dan berkupiah putih ini.
Mendengar kata-kata itu, tuan punya gerai pun tarik bangku dan terus duduk di depannya. "Apa yang kamu cakap tu betul, tempat akak ni macam terhadang dari pandangan orang, tu sebab tak ada orang singgah."
Maka lelaki berumur itu pun menawarkan khidmatnya. "Kalau begitu, saya ada petua untuk gerai akak."
"Kamu boleh buat pelaris ke?" tanya tuan punya gerai.
Rakan lelaki berumur yang sejak tadi diam membisu terus buka mulut, "Kak, pak cik ni bomoh pelaris dari Kuala Lumpur. Dia boleh tolong kakak kalau mahu?"
Sambil mencuit secara sulit, bagi tujuan penafian, maka lelaki berumur itu tidak menafikan pun bahawa dia bomoh pelaris hebat dari Kuala Lumpur. Padahal itu hanya lakonan kosong sahaja.
Hasil dari keyakinan tinggi itu, lelaki berumur menasihatkan kakak peniaga gerai agar menjaga solat lima waktu, tolong carikan bunga tujuh jenis, buah kana, air masjid sampai tujuh masjid, solat dulu di masjid berkenaan. Dan pengerasnya?
Hasil daripada lakonan dua orang sahabat dari Kuala Lumpur yang kerap lepak di Masjid Jamek, Kuala Lumpur itu, maka mereka mendapat duit pengeras dekat seratus ringgit.
Adakah lelaki berumur itu memang dukun pelaris? Jawabnya tidak. Dia terperangkap oleh mainan kata-kata kawan tadi yang mengatakan lelaki berumur itu sebagai dukun pelaris.
Berkat lakonan itu dia sudah dapat duit tambang untuk pergi Kuala Lumpur.
Sejak itu, kedua sahabat tidak berani singgah ke gerai di Muar itu bimbang nanti tembelang mereka ketahuan.
Walaupun hanya rekaan, nampaknya, dengan keyakinan tinggi, pemilik gerai itu mulai menjaga waktu solatnya. Dan dah tentu menutup aurat ketika berniaga. Alhamdulillah, gerainya sudah ada pelaris, orang mulai datang ke gerainya dan perniagaan makanannnya ada kemajuan sedikit.
Perniagaan itu maju bukan disebabkan bomoh pelaris dari KL. Ada sebab lain lagi.
Salah seorang sahabat ini entah bagaimana suatu hari singgah semula ke gerai di Muar itu. Bimbang juga penipuan diketahui, jadi dia buat muka bodoh. Order minuman dan makanan.
Ketika hidangan diletakkan depannya, peniaga bertanya, "Nak ke mana?"
"Saya nak ke KL, kenapa?"
"Oh ya, kamu kenal tak dengan bomoh pelaris ini," kata kakak peniaga sambil menunjukkan kertas berconteng yang telah ditulis oleh bomoh pelaris rekaan itu. Dia adalah kawan sahabat yang sedang duduk di gerai itu sekarang. Takut juga. Mana tahu.
"Kenapa kak?"
"Kak nak ucapkan terima kasih kepada dia, dengan berkat nasihat dia dulu, dan doanya, sekarang gerai akak dah laris, memang ampuh bomoh pelaris dari KL tu," ujar kakak pemilik gerai.
Nak ketawa pun ada. Tapi sahabat ini diam sahaja. "Tengoklah kak, kalau jumpa saya bagi tahu dia!"
"Suruh dia datang sini, akak nak belanja makan pada dia," kata kakak itu.
Nah, kesimpulannya, tidak ada apa yang dinamakan sebagai tangkal pelaris, bedak pelaris, atau air jampi pelaris. Gerai di perhentian teksi Muar ini menjadi bukti.
Mungkin, ketika itu dua sahabat ini terdesak kerana duit dalam dompet semakin nipis. Sedangkan salah seorang daripadanya memang kaki sembang dan "putar alam" kecil. Maka jadilah seperti yang telah terpeta.
Main-main menyediakan syarat kepada kakak peniaga, ia akhirnya menjadi kenyataan. Kakak itu mungkin yakin amat dengan syarat yang ditetapkan. Syarat itu tidak menyalahi apa pun, kerana ia mengajak kepada kebaikan. Menjaga solat lima waktu ketika berniaga. Ini wajib ada pada setiap peniaga muslim. Dan tentang bunga tujuh jenis itu, ia tidak ada apa-apa sebenarnya, jika hendak mandi bunga atau tidak pun tidak mengapa.
Yang penting, lakonan itu telah jadi duit. Ini contoh bagaimana doa pelaris boleh menjadi keyakinan tinggi bagi orang yang pertama kali mendapat tahu ia didoakan oleh seorang bomoh pelaris terkenal di KL, padahal dia seorang lelaki tabligh biasa.
Kisah ini disampaikan kepada penulis oleh Sdr Jaafar Jutawan, yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Kesimpulannya, kita tidak boleh terlalu mengharap daripada keahlian orang yang mendakwa sebagai bomoh atau dukun pelaris. Kelarisan barang jualan bukan terletak kepada tangkal atau bedak pengasih pelaris yang dijual oleh orang pintar.

AL-KISAH PAK DUKUN PINTAR

SEBELUM umat Melayu mengenal apa yang dikatakan ruqyah syar'iyyah, mereka hanya tahu Pak Dukun sahaja. Gelaran Pak Dukun ini menggambarkan keahlian seseorang di dalam bidang tertentu. Biasanya Pak Dukun mempunyai banyak kemahiran atau tiga dalam satu. Selain pintar mengubat berbagai penyakit misteri, dia juga boleh mengurut, dan dalam bab mengurut ini ada pecahannya lagi, termasuk urut batin, urut tulang patah, urut terkehel terseliuh dan berbagai lagi.
Apabila disebut Pak Dukun ada juga berbagai gelaran mengikut kemahiran yang sangat dikenali di kalangan masyarakat. Akan tetapi dalam bab dukun ini ada semacam kecenderungan umat Melayu di kampung-kampung untuk bertandang ke rumah Pak Dukun tanpa mengira status kedukunan mereka. Selalunya mereka setakat dengar cakap orang lain. Jika ada orang mengatakan bahawa di kampung sekian ada seorang dukun pintar, maka mereka pun mulalah merancang untuk berkunjung ke rumah dukun itu.
Di zaman silam, dukun tidak mengiklankan kepandaiannya seperti sekarang. Dukun zaman siber sekarang, berani dan terus terang mengiklankan kepandaian dan keahliannya, siap menceritakan pengalaman berguru di perbagai perguruan sekalipun dengan menceritakan latar belakang itu akan menjerumuskan kedukunannya ke lembah kehinaan.
Ketika itu ilmu tentang larangan berjumpa Pak Dukun belum sampai kepada mereka. Atau memang maklumat tentang itu tidak ada siapa paparkan di mana-mana, hatta hendak ditazkirahkan di surau dan masjid. Maka berduyun-duyun umat mengunjungi Pak Dukun untuk mendapatkan khidmatnya sekalipun terpaksa menunggu giliran hingga larut malam.
Secara luaran, umat Melayu di kampung-kampung cenderung mencari dukun yang berkaitan dengan kepandaian tertentu yang berbau mistikisme. Mereka tidak terfikir pun perbuatan duduk bersila di depan dukun itu suatu hal yang mengaibkan. Mereka tidak terlintas pun adanya tegahan seperti yang dilakukan ketika itu.
"Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal dan menanyakan sesuatu kepadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh hari." (HR.Muslim).
Mereka juga tak terbaca pun ada hadis lain yang menyentuh tentang perbuatan buruk itu.
"Barangsiapa yang mendatangi dukun (arraaf) dan membenarkan apa yang dikatakan, sungguh ia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad shallallahu alaihi wa sallam." (HR.Abu Dawud)
"Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad shallallahu alaihi wa sallam." (Dikeluarkan oleh empat Ahli Sunan dan ditashih oleh Hakim).
Berdasarkan hadis-hadis itu, jelaslah mendatangi Pak Dukun adalah sesuatu yang dilarang. Amat memalukan jika ada umat Melayu sanggup bersusah payah mengunjungi rumah dukun semata-mata untuk berhajatkan sesuatu.
Terus teranglah, di kalangan umat Melayu, mereka mengunjungi dukun hanya apabila ada perkara tertentu yang berkaitan dengan duniawi. Pengetahuan mereka cukup mendalam dalam bab senarai dukun pintar dalam hal ehwal yang mendatangkan keuntungan duniawi.
Umpamanya, ada orang sangat ketagih untuk menemui dukun yang boleh meramalkan angka bertuah bagi judi ramalan empat angka seperti dalam permainan toto, magnum, kuda atau hadiah jackpot. Inilah perburuan yang paling dominan di kalangan masyarakat Melayu, sejak dulu hingga sekarang.
Terus teranglah, bahawa daripada pengakuan responden, mereka kerap mengunjungi sesiapa sahaja orang yang mengiklankan kepandaian dalam hal peramalan empat angka ini. Akibat kecenderungan yang luar biasa di kalangan umat Melayu, maka ada pihak tertentu yang ambil kesempatan mengiklan, menyebar iklan ke dalam peti-peti surat tentang kehebatan dewa kewangan yang akan membantu orang yang sedang kesusahan tidak berduit.
Sudah ramai umat kita merana kerana dipermainkan oleh berbagai dukun rasmi dan tak rasmi. Pengaruh kewangan dari hasil testimoni mereka menyebabkan orang tidak peduli lagi dengan kebenaran.
Disebabkan apa yang mereka cenderungi ini membawa keaiban kepada diri, mereka tidak akan sibuk-sibuk mengaku ditipu atau diperdaya. Kalau boleh biarlah ia menjadi rahsia.
Kenapa pengaruh dukun ramalan empat angka begitu kuat? Ia bermula dari mendengar cerita orang. Pengkisahan orang yang telah berjaya konon telah menarik minat bagi orang lain ikut serta.
Umpamanya, ada seorang tukang ramai yang mahir dalam bidang astrologi mengiklankan tentang kepandaiannya meramalkan angka jitu. Meski dipaparkan dalam akhbar berbahasa Cina, bagi maksud pelanggan bukan Islam, namun ada juga umat yang membeli dan menghubungi tempat-tempat itu. Kenapa? Bagi mereka, berkunjung kepada tukang ramai bukan Melayu lebih selesa dan tidak memalukan.
Maka tidak hairan, di kalangan umat kita ramai yang mengunjungi tukang ramal atau Pak Dukun spesialis ini di mana-mana.
Sekarang sebut sahajalah di daerah mana atau negeri mana, pasti ada orang yang tahu pakar-pakar terkenal yang tersenarai. Nama mereka hanya ada dalam senarai panggilan telefon bimbit mereka. Tukang ramai nombor jitu ini sangat popular, bahkan menurut cerita umat yang ketagihan, mereka berdatangan ke situ tidak pedulikan apa lagi.
Semuanya berhajatkan ramalan yang tepat. Jika tepat angka yang diramalkan, maka dia akan mendapat wang. Hasil daripada permainan inilah yang mereka anggap sebagai persugihan. Jangan berkata bahawa ini harta haram atau subhat, kerana minda mereka sudah menyiapkan alasan, "Kalau kami tak berduit kamu nak bagi ke?"
Ada yang beralasan ini zaman darurat. Mereka telah berusaha dengan apa cara pun untuk mendapatkan wang.
Ada sekelompok umat mengatakan, mereka tidak bertemu dengan dukun yang mahir dalam bidang ramalan untuk perjudian. Maka mereka rasa terselamat dari terperosok ke lubang perjudian yang ditegah. Akan tetapi mereka cenderung kepada kepercayaan mistik yang melampau.
Umpamanya menggunakan berbagai sarana benda mistik bagi tujuan menarik duit, bagi tujuan mendapatkan dana dari sumber mistik, bahkan ada yang mengistilahkan sebagai menarik harta karun.
Ada sekelompok umat yang ahli dalam bidang ini sehingga ada sahaja ruang untuk mereka meneroka celah-celah baru untuk mendapatkan wang yang bersifat karun.
Perburuan harta karun tidak pernah surut bahkan masih diceritakan oleh Pak Dukun yang pintar di mana-mana. Sekiranya ditubuhkan sebuah kelab pemburu karta karun, rasanya memang cukup ramai yang akan menyertainya.
Berbalik kepada kisah perjudian empat angka yang menjadi buruan utama umat kita, maka di sana-sini ada sahaja dukun yang dianggap ahli atau pintar di dalam bidangnya. Mereka menggunakan berbagai teknik, termasuk menggunakan lilin dan telur ayam bagi mengelabui orang bodoh.
Tidak kurang juga dukun yang berlakon dengan begitu tersusun sehingga tindakannya dianggap benar. Dia berpura-pura melakukan aksi kesurupan ketika memanggil Mbah atau khadam yang disahabatinya. Dia berpura-pura kesurupan dan kemudian mengoceh, lalu setelah itu pembantunya akan bertanya kepada dukun itu agar mencatatkan angka jitu yang diberitahu. Dengan berbagai helah yang biasanya amat diyakini oleh pengagumnya, maka angka jitu yang diramal paling tidak hanya selisih satu digit sahaja. Selisih begini dianggap menepati sasaran. Umpamanya dukun tadi memberikan angka 1234, tetapi setelah cabutan angka yang naik di tempat pertama adalah 0234. Selisih begini masih membuatkan dukun tersenyum dan peminatnya tidak rasa dukun itu menipu.
Kenapa?
Dukun itu akan memberitahu, "Mungkin ada di antara kamu was-was dengan apa yang aku beri!" Atau ada alasan lain, "Mungkin kamu ada rasa tamak, mahu merahsiakan kemenangan jika kamu menang!"
Selalunya alasan dukun diterima dengan senang hati. Jarang mereka mengkritik dukun yang menipu.
Disebabkan dukun peramal empat angka perjudian begitu popular, umat kita tidak peduli lagi kepada siapa mereka boleh temui. Mereka akan temui siapa sahaja tukang ramal, astrologer yang mengiklankan di mana-mana akhbar berbahasa Cina, atau iklan sebaran di dalam peti surat, mereka sanggup bertemu dukun Orang Asli, dukun Buddha, dukun Siam atau Tuk Sami, Tuk Ca, mereka sanggup jumpa Mbah atau Wak yang ada di mana-mana.
Peliknya, umat yang berkecenderungan kepada permainan empat angka ini, mereka sanggup merentasi sempadan negeri semata-mata hendak mendapatkan kejituan.
Kenapa orang menemui dukun pintar yang mahir di bidang perangkaan begini? Ia dianggap jalan paling mudah untuk mendapatkan duit. Sudah banyak cerita orang kena tipu dukun pintar. Bagi umat kita, jika tertipu pun mereka tidak berani mewar-warkan kerana ia akan membuka aib diri sendiri.
Rasanya kesedaran umat Melayu terhadap kedukunan dan tukang ramal masih nipis, mereka tidak ambil peduli pun, kerana bukan tidak ada yang menganggap sihir itu adalah amalan Fir'aun sahaja, sihir tidak ada dalam kamus orang Melayu. Dengan sebab itu mereka hairan jika ada yang mengkategorikan sihir itu termasulah sebahagian besar kerja perdukunan yang selama ini dikenali di kalangan kita. Mungkin kita masih memerlukan masa untuk membanteras habis kecenderungan umat kepada Pak Dukun yang mengelirukan.[]

Wednesday 9 May 2012

KENAPA GUNA NAMA MALAIKAT SEMUA?

DALAM DUNIA ILMU HIKMAH anda mungkin pernah bertemu dengan ilmu yang menggunakan nama malaikat. Sesungguhnya nama ilmu yang menggunakan nama malaikat adalah satu kekeliruan manusia. Malaikat berada di alam ghaib. Kita hanya tahu tentang dunia malaikat melalui perkhabaran dari al-Quran dan as-Sunnah.
Kitab-kitab lama ada menerangkan tentang dunia malaikat. Tidak ada umat di zaman ini yang pernah bertemu malaikat.
Begitu juga tentang keterangan bagaimana keadaan malaikat yang bersayap. Tidak dapat digambarkan dalam bentuk bagaimana malaikat itu bersayap. Maka ada pelukis di dunia Barat sana menggambarkan malaikat seperti manusia atau haiwan yang bersayap, seperti layaknya kuda terbang dan sebagainya.

AJARAN SESAT
Dalam dunia ajaran sesat, nama malaikat digunakan semahu-mahunya. Contohnya Jibril. Kita dikhabarkan tentang sifat dan tugasan Jibril menurut keterangan al-Quran dan Hadis.
Tidak ada satu pun hadis atau ayat yang menerangkan bahawa malaikat Jibril masih diberi tugasan oleh Allah SWT untuk menurunkan ajaran kepada umat manusia, baik ajaran baru atau ajaran yang bersifat penjelasan terhadap ajaran agama yang telah ada.
Ajaran Allah telah sempurna. Tetapi di zaman serba gila sekarang, ada orang yang mendakwa bahawa dirinya terlalu istimewa sehingga didampingi dan mendapat ajaran keagamaan dari malaikat Jibril.
Siapa orang itu? Ada beberapa orang tokoh pengembang atau pendiri ajaran sesat di belahan Nusantara yang mendakwa begitu. Inilah yang kita kata sebagai ajaran sesat.
Ibu Lia Aminuddin mendakwa mendapat ajaran baru dari Jibril. Diharapkan Jibril itu bukanlah malaikat Jibril yang kita kenali dalam bidang aqidah.
Begitulah melampaunya pendiri ajaran sesat di belahan Nusantara sana.
Tidak cukup dengan mendakwa bahawa dia didampingi rapat oleh Jibril, Lia Aminuddin yang juga dikenali Lia Eden, dia mengeluarkan sebuah risalah ajarannya "Tahta Suci Kerajaan Tuhan Eden."
Di dalam risalah ajaran sesat itu dia mendakwa bahawa di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang reinkarnasi, kerana itulah yang diyakini di dalam ajaran sesatnya.
Selain itu Lia Eden memberi fatwa dalam risalahnya bahawa daging babi itu halal kepada para pengikutnya.
Ajaran perempuan sesat ini juga dikenali dengan Salamullah, diketuai oleh seorang perempuan yang mengamalkan seks bebas, dia mengakui dalam risalahnya bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan sebilangan lelaki.
Salah satu ajaran karut dari perempuan ini ialah mencukur semua rambut pada tubuh, baik kepala, ketiak dan bahagian lainnya dan kemudian dibakar. Itu katanya adalah perintah daripada malaikat kepadanya. Sesiapa yang melakukan, orang itu akan bersih seperti mana bayi yang baru lahir.
Kedudukan Jibril ini menurut ajaran Lia Eden adalah sebagai pendamping dan boleh dipanggil pada bila-bila masa jika ada kepentingan.
Sejauh mana ajarannya berkembang? Lia Eden sendiri mengakui pada akhirnya pengikutnya makin kurang dan berjumlah sekitar 70 orang sahaja. Dia meringkuk dalam penjara kerana ajaran sesatnya pada tahun 2006. Setelah keluar penjara, dia macam kebingungan dengan ajaran sesatnya. Apakah dia sudah taubat?
Yang dibimbangi ada kelompok umat mencari jalan mudah mengikut apa sahaja ajaran sesat yang memberi kemudahan kepada mereka.
Umpamanya, untuk mengelak dari kewajiban solat lima waktu, maka dicari ajaran yang memudahkan solat. Untuk memudahkan urusan, dicarinya ajaran yang memandang ringan minum arak, berjudi atau zina.
Lia Eden sendiri yang hidupnya tidak tentu arah, berdasarkan pengakuannya maka kemungkinan amalan bebas seks juga menjadi ajaran kepada pengikutnya.
Sesuatu yang paling mengarut adalah pengakuan dia boleh berdampingan dengan malaikat. Inilah yang dikatakan ajaran sesat gaya Lia Eden. []

ADA ORANG BERKAWAN DENGAN BUNIAN

MAKHLUK BUNIAN INI selalu diceritakan orang. Ada lokasinya di tempat-tempat dan negeri tertentu. Ia adalah penempatan makhluk halus yang serupa manusia. Boleh dijelajahi dan boleh dikenali. Bahkan akan ada kolaborasi di antara dua makhluk ini, manusia biasa dan makhluk bunian.
Di dalam dunia nyata, kita selalu mendengar gambaran tentang betapa indahnya dunia makhluk bunian. Mungkin ada yang tergiur dengan lirik lagu P Ramlee yang memuji keindahan istana bunian.
Khabarnya ramai juga manusia biasa dari jenis lelaki yang terpesona dengan kecantikan gadis bunian. Ada yang sanggup bermastatutin di sekitar Gunung Datuk kerana berkahwin dengan gadis bunian.
Kisah bunian ini seperti kisah seribu satu malam bagi orang biasa. Mereka yang asing kepada dunia bunian selalunya merasa hairan bagaimana orang biasa boleh memasuki dunia bunian.
Yang mereka hairankan ialah bagaimana ada setengah manusia yang mengaku mempunyai benda mistik dari alam bunian. Contohnya sejenis minyak yang dianggap sebagai pengasih.
Ia bolehlah dikira sebagai minyak pengasih bunian. Ia konon berasal dari alam bunian. Minyak itu dibuat daripada campuran puluhan jenis air mata haiwan, ada yang menyebut hingga 28 jenis haiwan. Cuba senaraikan haiwannya? Bolehkah kita menyebut 28 jenis haiwan yang mengeluarkan air mata?
Dan ada campuran lain lagi yang didakwa sebagai helaian rambut puteri bunian. Nama puteri bunian ini bolehlah kita reka apa sahaja, bunian Malaysia dengan cara kita, kalau di Jawa sana tentu namanya Khanjeng Ratu. Di tempat kita hanya guna nama Puteri Bulan Kejora, Puteri Bintang Timur, Puteri Mengambang Lima Belas dan macam-macam termasuk gelaran Puteri Bulan Suli.
Alam bunian ini pun ada yang menyebutnya alam sadim.
Berbalik kepada ramuan untuk membuat pengasih ini, konon setelah dapat air mata haiwan - untuk mendapatkan air mata harimau, beruang, kucing hutan, harimau akar, harimau bintang, tupai, musang, kucing rumah, kucing parsi, dan macam-macam lagi, maka cairan air mata itu ditapakan selama hampir 3 bulan di sebuah gua. Misalnya Gua Cahaya. Gua Kota Gelanggi pun boleh, gua di Batu Caves pun boleh.
Setakat dapat air mata binatang tadi belum cukup rupanya. Bahan tadi perlu diramu lagi dengan berbagai jenis bunga terpilih, yang hanya diperoleh di alam bunian.
Dan nama bunganya pun bukan main indah:
a. Bunga Merah Embun nak panggil Bunga Mestika Embun pun boleh,
b. Bunga Seri Pagi,
c. Bunga Kias Malam, atau Bunga Kias Kelam,
d. Bunga Pokok Delima Merah.
Bayangkanlah, untuk membuat minyak pengasih ini anda perlu berpetualangan di tengah rimba bunian, kalau bukan calang-calang anda seorang pahlawan terbilang yang mampu merentasi dua dimensi berbeza, maka anda tak akan dapat air mata haiwan dikehendaki dan juga bunga-bunga indah yang disebutkan tadi.
Setelah selesai semua, anda ada tugasan besar, bertemu dengan seorang bunian yang dianggap pakar dalam pembuatan minyak pengasih. Namanya Panglima Regas Panji Alam Semurba Sakti. Lelaki sakti ini akan memasukkan penjaga atau khadam kepada ramuan minyak air mata haiwan dan bunga-bungaan tadi.
Dikhabarkan dari alam sadim itu, ada beberapa khadam yang boleh diajak berunding untuk menjaga minyak pengasih ini.
Mereka yang tinggal di alam sadim ini konon bernama seperti berikut:
1. Puteri Kuning
2. Tuk Daim
3. Panglima Pak Wahid
4. Puteri Gunung Putih
5. Tuk Begandi Gagah
Apabila mereka telah diajak berunding, maka khadam pun menghadiri di setiap ruang dan penjuru di mana gelombang dan aura minyak pengasih itu diterapkan ia mula berfungsi.
Bagi mereka yang memiliki minyak pengasih dari alam bunian ini, akan terpancar daya pengasih yang sangat hebat, anda akan disayangi orang lain, kalau dicalitkan kepada seseorang maka konon seluruh jiwa dan raganya akan menjadi milik anda.
Jadi ingatlah, jangan calit kepada sebarangan orang, takut nanti jiwa dan raganya diserahkan kepada anda akhirnya anda jadi Romeo, anda jadi Don Juan, anda jadi Cassanova, atau anda akan jadi jahat dan ganas.
Untuk memegang minyak pengasih dari alam bunian anda perlu menyediakan kemenyan Arab. Mujur kedai Arab banyak di Bukit Bintang, tanyalah ada kemenyan Arab atau tidak.
Minyak pengasih dalam botol itu perlu diperasapkan sebulan sekali dengan kemenyan Arab. Orang kata, asap kemenyan ini mengundang jin. Jin yang datang tentulah khadam-khadam yang disebutkan tadi.
Kemudian botol minyak pengasih itu jangan taruh dalam poket seluar, bimbang terbawa ke tandas. Dan jika anda minat sangat dengan ikan patin masak asam, atau tempoyak, lupakan sahajalah nak pegang minyak pengasih dari dunia bunian.
Jika begitu susah nak menjaganya, kenapa orang bersungguh-sungguh ingin mendapatkan minyak pengasih bunian?
Anda boleh bayangkan, dalam bab mencari 28 jenis haiwan untuk mendapatkan air matanya pun satu hal yang mustahil. Mahukah anda merayu kepada sang harimau agar meneteskan air mata duka untuk anda tadah ke dalam botol?
Mahukah anda memujuk beruang agar meneteskan air matanya di depan anda. Bagaimana anda hendak memujuk tupai, arnab, kucing hutan, kambing liar, kambing kacang, unta, kuda, keldai dan banyak lagi agar meneteskan air mata?
Inilah dunia kemustahilan. Jika anda berkawan dengan bunian, mungkin mereka boleh tolong. Khabarnya di dunia bunian, haiwan itu semuanya jinak. Wallahu a'lam. []

Tuesday 8 May 2012

ADA PULA JUMPA PUTERI GUNUNG LEDANG

PERAWI KITA pada suatu ketika berada di kawasan Gunung Ledang. Tempat itu memang ramai pengunjung pada waktu cuti. Ketika berada di situ, dengan kewaskitaan dia menyatakan keinginannya untuk bertemu dengan kelibat puteri berkenaan.
Jika ada puteri pun, ia bukanlah Puteri Gunung Ledang (PGL) versi yang asal dulu.
Apakah puteri itu panjang umur? Jika dia manusia biasa, maka yang ada hari ini adalah keturunan dari PGL yang asal.
Jika dia adalah makhluk dari jenis jin, maka dia kemungkinan masih wujud kerana mereka ada yang berusia hingga ratusan tahun. Mungkin 500 tahun usianya.
Perawi tadi berada di kawasan berair, dia meraduk genangan air dan mencuci kedua belah tangan sebelum menyapu ke muka. Bukan tujuan berwuduk, tidak, hanya ingin menikmati genangan air yang sejuk di kawasan sekitar gunung.
Tiba-tiba dia terpandang seorang gadis jelita nun di hujung sana, di cecelah batu. Gadis itu melemparkan senyuman yang aduhai. Untuk mendekati memang tak mungkin.
Maka dengan senyuman muda berbalasan, sekonyong-konyong, gadis berambut panjang [tak tutup aurat] itu semakin dekat dengan kasat mata.
"Anda siapa?"
"Aku puteri!"
Perawi fikir inilah PGL yang orang cerita agaknya.
Maka perawi itu pun menyatakan keinginannya untuk berjumpa dengan PGL. Sudah terniat di hatinya ingin bertemu dengan PGL. Kini mungkin dialah orang yang dimaksudkan.
Maka perbualan diteruskan. Selanjutnya, perawi minta sesuatu kepada puteri berkenaan sebagai tanda kenangan.
Puteri itu katanya telah menyerahkan sehelai selendang kain jarang kepadanya untuk dijadikan cendera hati. Setelah kain selendang itu diserahkan, maka kelibat gadis dengan rambut panjang mengurai itu sirna dari pandangan.
Bagi perawi, sahlah, gadis berambut panjang itu adalah makluk halus, ia jelmaan yang sengaja hadir bagi memenuhi permintaan yang dihajatkan tadi.
Kain selendang pemberian PGL itu disimpan oleh perawi. Itulah kenangan mistik yang dia peroleh ketika menziarahi kawasan petilasan sejarah PGL di Gunung Ledang.
Ketika beredar dari kawasan berair itu, perawi ada bertanya kepada orang yang di sekitar, adakah anda ada melihat gadis berambut panjang di tepiannya tadi? Tidak. Tidak ada sesiapa pun yang nampak. []

TERINGAT KISAH KAWAN KOREK JIRAT LAMA

MENURUT YANG EMPUNYA CERITA, entah sanad terputus atau bersambung kepada yang empunya, maka ada sekumpulan umat yang percaya bahawa jirat lama-lama dulu ada menyimpan harta karun.
Mereka menggambarkan sebagaimana yang ada di Negeri China sana, ada jenazah yang ditanam bersama benda-benda berharga, entah emas, perak, gangsa dan batu-batu permata bernilai.
Bertolak daripada cerita itulah, mereka memberanikan diri masuk ke kawasan jirat lama yang sudah lama terbiar untuk diterokai.
Keberanian mereka memang luar biasa. Al-maklum mengorek jirat lama pada waktu malam di tempat yang tersorok. Setelah dikorek dan ditemui kotak keranda lama yang ada, maka dibukalah untuk mengetahui apa isi di dalamnya.
Apa yang ada? Kata yang empunya cerita, bukan ada apa pun. Yang ada tengkorak yang lama, tulang bersusun, sepatu warna hitam yang masih utuh. Bayangkan sudah berapa ratus tahun agaknya? Tidak ditemui apa pun tembikar, jade, batu permata atau barang berharga.
Maka yang dapat hanyalah penat. Setidak-tidaknya kalau ada orang kata, kematian warga keturunan China pada sekian tahun ada pengaruh dengan adat budaya di China sana, termasuk adat bangsawan China, maka kelompok yang buat kajian ini telah membuktikan, tidak ada.
Setelah tidak menemui apa pun, mereka pun kambus semula. Dalam kepenatan mereka buat kesimpulan, tidak semua kubur lama ada menyimpan benda berharga. Perkuburan yang menurut sumber itu terletak di sebuah daerah di Johor, saya pun tak ingat, sebab ketika penutur kisah bercerita, kami ketika itu sedang melalui sebuah kawasan menuju ke Johor, setepatnya ke Pontian. Jadi lokasinya di mana, saya tak ingat.
Kawan yang bercerita ini memang suka cerita misteri. Kebetulan dia pun ada menulis kisah misteri, maka mungkin carigali yang dilakukan adalah salah satu cara praktikal untuk melakarkan kisah misteri yang sebenar. Kisah pengalaman mengorek kubur lama di Johor.
Jadi, kalau ada sesiapa dengar temberang orang mengatakan dalam kubur sekian ada harta karun, maka jangan percayalah. Begitu juga ada yang mengatakan kubur yang bertarikh tahun tertentu, biasanya jenazah ditanam bersama barang berharga, itupun masih diragui.
Kisah kubur ada harta karun ini pun saya pernah dengar apabila seorang "pintar" memberitahu bahawa ada makam di Bukit Melawati, Kuala Selangor menyimpan harta karun.
Menurut sumber yang lain pula, seorang perawi menyatakan ada harta karun yang ditanam berhampiran makam. Bermakna bukan di tempat jenazah, sebaliknya di kawasan permakanan.
Menurut perawi lagi, harta karun itu dijaga oleh seorang khadam berjubah putih, yang konon kelibatnya boleh kelihatan di kawasan tengah padang dekat deretan meriam lama yang menghala ke stesyen pencawang yang ada.
Kemudian ada seorang Puteri yang memberi keizinan untuk mengambil wasiat yang tertulis pada sekeping belulang yang ditempelkan pada sebuah batu nisan berbalut kain kuning di situ.
Wasiat itu belum dibuka ketika ditunjukkan kepada penulis. Saya cuba memegangnya, memang keras, maklum belulang. Cuma pertanyaan saya, betulkah di dalamnya ada wasiat tertulis? Tulisan jawi atau rumi? Wasiat tentang apa?
Inilah kemusykilan saya. Kebetulan orang pintar ini sangat akrab dengan saya. Dan setiap penemuan baru akan diberitahu kepada saya. Maka cerita Puteri ini juga menarik kerana khabarnya ada kaitan dengan kraton.
Hanya kisah harta karun yang dikatanya ada tersimpan di suatu tempat tetapi tidak diketahui di mana lokasinya masih jadi tanda tanya. Untuk dijadikan sembang mistik dan misteri memang mengancam.[]

MUSIM BOLA RAMAI BERTAHAJUD

DI MASJID DAN SURAU acap benar kalangan ustaz membuat komentar yang berseni. Komentar itu ditujukan kepada para jemaah baik surau atau masjid agar jangan persia-siakan masa ketika musim bola sepak sedang menjadi kegilaan di mana-mana.
Bayangkan, orang sanggup berjaga malam hanya kerana hendak menyaksikan perlawanan bola sepak yang berlangsung di luar negara.
Hairannya, setiap pasukan itu mempunyai kelompok peminat yang fanatik. Mereka sanggup bersengkang mata menyaksikan perlawanan bola sepak tanpa memikirkan waktu disia-siakan sahaja hanya kerana sebiji bola yang bergulir di tengah padang.
Umat lebih sayangkan tiupan wisel permulaan dan ingin menyaksikan pada minit ke berapa gol pertama masuk. Atau mahu melihat bola melayang dan terkena jaring ketika penjaga wang jatuh tertiarap di atas padang.
Ustaz selalu menyindir, pada musim bola sekarang, ramai orang bertahajud. Kalau benar begitu, ia memberi gambaran betapa umat hari ini telah menyedari akan peri pentingnya masa tidak dipersiakan.
Menonton bola sepak memang melekakan, dan kelekaan itu akan menjadi seseorang itu alpa dengan tanggungjawabnya.
Bayangkan, seseorang sanggup tidur awal untuk menyaksikan perlawanan pada waktu pagi. Mereka boleh bangun, membuat kopi dan makan sedikit sambil menghadap skrin tv di rumah atau di kedai mamak.
Kenapa tidak tergerak langsung hendak ke bilik air, berwuduk dan mengerjakan solat sunat sekalipun dua rakaat sahaja?
Kenapa tidak ke situ? Ia memang gambaran di dalam kepala seorang yang berilmu, mereka tahu bagaimana hendak memanfaatkan waktu yang sunyi itu, waktu yang sesuai untuk qiyamulail, tapi sayang, sebilangan umat tidak berminat ke situ. Mereka lebih mengutamakan hiburan. Sukan yang disaksikan adalah salah satu bentuk hiburan.
Orang terhibur apabila menyaksikan bola menjadi rebutan. Cerita bola akan jadi bahan bualan di kedai kopi, warung atau meja pejabat.
Nasihat orang berilmu selalu dipandang ringan. Solat sunat dua rakaat yang ustaz sebut itu tidak difikirkan langsung apabila seseorang itu sudah berada di depan skrin tv. Sambil membawa semangkuk mi segera dan air hangat, maka pagi itu menyaksikan perlawanan bola sepak lebih penting daripada solat sunat dua rakaat, empar rakaat, lapan rakaat atau 12 rakaat.
Mereka lebih seronok menyaksikan bola bergulir dengan masa daripada membaca al-Quran atau mentelaah hadis.
Apabila ustaz berkata ramai orang bertahajud di musim bola sepak di Eropah sana, maka ramai yang hairan, apa yang sebenarnya hendak disampaikan oleh uastaz itu? Ilmu taktikal bola sepak tidak dapat menjawabnya. Ingatlah hanya orang berilmu mereka mengerti dengan sindiran ustaz. []

BERSIH 3.0 DISERANG HABIS-HABISAN

SEJAK SEBELUM, SEMASA DAN SESUDAH BERSIH 3.0 berlangsung dengan jayanya, media pemerintah terus mengasak dan menggasak dengan ganasnya untuk mempengaruhi orang ramai akan percaya bahawa anak-anak muda yang turun di Kuala Lumpur untuk menmyertai bantah duduk adalah ganas.
Maka setiap hari tidak ada cerita lain, orang yang sealiran dengan Umno-Barisan Nasional (UBN) terus menyatakan pendiriannya bahawa para pemimpin yang mengadakan Bersih 3.0 perlu dihukum.
Permintaan bodoh ini jika dilayan akan memberi tamparan yang lebih buruk kepada UBN dan memberi kesan kepada undi UBN.
Dalam keadaan pihak UBN menanggung banyak beban masalah, dan penyelesaian pun belum tuntas, kini mereka menanggung beban lagi, Bersih 3.0 seolah-olah tsunami yang menyapu bersih segala kepercayaan Tuk Jib terhadap jentera pilihan raya mereka, kini semua telah retak.
Tuk Jib kena fikir banyak kali. Semakin dekat menjelang pilihan raya, semakin banyak masalah pula yang perlu didepani. Jika selama ini UBN menganggap suasana sudah cukup selesa dengan cara memukul gendang skandal seks yang konon melibatkan Pakatan Rakyat, gendang itu musnah apabila Bersih 3.0 benar-benar hadir dan menggugat.
Para perkiraan UBN Bersih kali ini akan merosot dan bilangan anak muda yang turun ke jalanan tidak seramai Bersih 2.0. Kini telah terbukti, bahawa Bersih 3.0 jauh lebih hebat.
Kehebatan Bersih 3.0 menyebabkan pihak tertentu cuba menimbulkan imej buruk terhadap peserta Bersih 3.0, akhbar dan media elektronik lainnya cuba menggambarkan peserta Bersih 3.0 ganas dan buat kacau.
Setelah tuduhan dilemparkan bertalu-talu ke atas peserta Bersih 3.0, mereka akhirnya mendapat banyak jawapan yang memalukan.
1. Ada unsur sabotaj di mana ada kelompok yang sengaja hadir untuk membuat kacau dengan berpakaian kuning Bersih 3.0. Mereka terdiri daripada orang suruhan yang menjadi agen provokasi. Hal ini sudah maklum di kalangan peserta Bersih 3.0.
2. Bilangan wartawan yang terkena oleh tindakan polis yang ganas, telah menjadi kisah sebaliknya. Daripada hendak melemparkan tuduhan kepada peserta Bersih 3.0, akhirnya ia makan diri, cerita sebenar para wartawan yang cedera adalah kerana tindakan pihak polis. Perkara ini tak boleh ditutup lagi.
3. Begitu juga orang-orang yang dianggap berpakaian kuning Bersih 3.0 itu semuanya mewakili peserta tulen telah bertukar menjadi peserta jelmaan yang sengaja dirancang oleh pihak tertentu untuk memberi gambaran buruk terhadap sebuah perhimpunan yang aman.
4. Terlalu banyak sandiwara di dalam usaha pihak UBN hendak memrojeksikan imej buruk peserta Bersih 3.0, namun akhirnya usaha itu gagal. Ternyata, perhimpunan Bersih 3.0 sengaja dikacau ganggu agar menjadi huru-hara agar pihak tertentu senang bertindak kerana mereka mempunyai alasan kukuh.
5. Kini semakin banyak pertubuhan atau NGO bersuara menentang Bersih 3.0 tetapi cara mereka menyatakan penentangan dan kritikan adalah tidak jujur. Banyak yang bersuara hanya setelah diajak untuk bersuara untuk meramaikan. Semua ini sudah ditelah, ia adalah kerja jahat daripada orang-orang atau agen UBN sendiri.
6. Banyak rungutan tentang kerosakan dan kerugian, semua ini adalah bahan yang dipaparkan secara tak jujur kerana ia dicari oleh wartawan jahat semata-mata untuk memberi gambaran tidak baik terhadap peserta Bersih 3.0.
7. Pihak UBN menjadi kelam-kabut, slogan rakyat didahulukan telah memakan diri sendiri apabila ketika Bersih 3.0 berlangsung, rakyat dimusuhi, rakyat dipukul, ditendang, dipijak, ditarik, diherdik, dimaki, dan macam-macam lagi perlakuan ganas. Kini semua orang tahu, siapa yang melakukan keganasan terhadap mereka? Soalan siapa yang ganas telah ada jawapannya.
Sebenarnya, semakin kalut UBN mendepani gerakan massa seperti Bersih 3.0 semakin menyerlahkan sikap mereka sebenar. Ketika pemimpin UBN melemparkan tuduhan bahawa Bersih 3.0 ingin menggulingkan kerajaan, ternyata, pihak Bersih 3.0 tidak pernah pun menggulingkan kerajaan, sebaliknya pemimpin UBN sendiri pernah menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak secara tak beretika. Kini pemimpin UBN malu sendiri, kerana tuduhan terhadap Bersih 3.0 kena pada batang hidung mereka.
Apa lagi hujah yang pihak UBN hendak mainkan? Setiap hari kita mendengar alasan dan kritik yang sama sahaja. Dan yang paling teruk adalah ulasan dan komentar daripada bekas ketua polis yang telah dipojokkan oleh rakyat kerana jasa-jasanya membina jenayah yang memalukan.
Bekas ketua ini begitu mudah melemparkan tuduhan kafir terhadap seorang individu yang bergelar ulama. Semua orang sudah tahu siapa bekasan itu, dan sejauh mana orang yang menuduh itu akhlaknya bagaimana? Orang pun faham, bahawa walaupun seseorang itu berpangkat dan punya kedudukan dan gelaran hebat, jika ilmunya tidak sehebat orang yang dikritik, semuanya akan menjadi tsunami kepada penuduh itu sendiri. Buktinya, semua orang terkejut, termasuk wartawan yang menulis laporan kenyataan itu.
Jelas, bahawa media milik UBN cukup gelabah, mereka kali ini begitu payah hendak menghadapi fakta yang sebenar. Sebaliknya mereka bermain dengan andaian, bermaian dengan fitnah dan tohmah. Percayalah, semua ini akan berbalik kepada mereka jua kerana selalunya kemenangan akan berpihak kepada orang yang berilmu. []

Thursday 3 May 2012

YANG BURUK DAN NEGATIF ADALAH RAKYAT

TIDAK DAPAT DIPASTIKAN APAKAH pemerintah yang ada di pusat sekarang memerlukan rakyat atau tidak. Gambaran yang ada sekarang menunjukkan UBN tidak suka kepada rakyat yang menyertai perhimpunan aman Bersih 3.0. Setiap hari akhbar, tv dan radio mereka menceritakan tentang keburukan rakyat yang menyertai Bersih 3.0.
Mereka yang peliknya bertanya kepada orang yang tak tahu apa tentang Bersih 3.0, iaitu soalan bodoh. Perkara bodoh ini banyak dipaparkan dalam ruang Lapor, surat pembaca, laman twitter, facebook dan macam-macam yang konon dipetik bagi menggambarkan bantahan rakyat Malaysia terhadap perhimpunan Bersih 3.0.
Setiap hari mereka burukkan Bersih 3.0. Mereka tuduh ada agenda. Agenda apa? Mereka kata dapat dana dari negara asing. Hebat sangatkah Bersih 3.0 sehingga dunia sanggup bagi dana? Setahu orang, BN lagi hebat.
Di sinilah nampaklah cacat-cela yang sengaja dibentuk oleh merosakkan minda rakyat. Mereka cuba memberi gambaran bahawa Bersih ini amat buruk dan kotor. Jiwa umno dan pemimpinnya bersih. Tahu menjaga kebajikan rakyat, pihak pembangkang hanya tahu turun di jalanan. Politik jalanan mereka kata.
Tetapi pihak pembangkang berani cabar kepada Umno kalau mereka benar dapat sanjungan, cubalah adakan perhimpunan sehebat Bersih 3.0, jangan libatkan jabatan kerajaan, jangan libatkan polis, jangan libatkan RTM dan semuanya, turun dengan tangan kosong, nescaya, pemimpin Umno menangis kerana mereka gagal nak himpunkan rakyat begitu banyak.
Perbuatan yang bersifat memusuhi rakyat ini akan membahayakan masa depan Umno. Mungkin ini tanda-tanda Umno sampai ke penghujungnya. Idea para pemimpin Umno sudah mampat. Zon selesa yang membawa mereka ke arah kebangsawanan melayu elitis yang mengasingkan kehidupan dengan rakyat akan berakhir.
Akan terjadi pertentangan rakyat miskin dengan kaum bangsawan yang kaya. Pertentangan ini tetap wujud. Golongan bangsawan amat takut zamannya akan berakhir. Mereka gerun untuk menjadi rakyat biasa. Anak pemimpin Umno bolehlah dianggap kaum bangsawan yang tak pedulikan hal rakyat.
Cara mereka melayani rakyat amat keterlaluan, seperti mencampakkan makanan untuk haiwan peliharaan. Begitulah gambaran kasar sikap pemimpin kita terhadap rakyat kecil. Mereka tidak prihatin, tetapi apabila terdesak, mereka menyembah mengharapkan undi rakyat kecil.
Agenda apakah yang digeruni oleh Umno?
Umno sengaja buat tidak faham. Desakan rakyat adalah untuk mendapatkan sistem pilihan raya yang adil dan telus, bukan cara menipu kerana inilah yang diamalkan oleh UBN untuk meneruskan dasarnya. Mereka tidak ada kekuatan dari segi undi popular, dengan sebab itu penipuanlah yang dilakukan.
Jika benar mereka jujur, maka tuntutan lapan perkara yang diperjuangkan oleh Bersih 3.0 sudah lama
dipenuhi. Kini mereka masih takut dengan tuntutan itu.
Hairan juga kenapa pihak aparat begitu memusuhi orang bawa kamera untuk merakam keperihalan yang sebenar di dataran itu.
Ini membuktikan bahawa mereka takut, segala aksi gelojoh dan kekasaran yang dilakukan terhadap rakyat dipaparkan dalam media. Ketakutan ini menyebabkan setiap ada kamera yang dihalakan kepada mereka akan dijadikan sasaran. Bayangkan The Sun dan Malay Mail itu bukankah media yang menyebelahi mereka, tetapi kenapa dikasari? Kenapa tidak kepada Utusan Malaysia, Berita Harian dan Straits Times?
Kelibat wartawan yang disebutkan tadi tidak nampak pun di dataran sana kerana mereka gerun dengan kehadiran rakyat. Mereka tahu, kehadiran mereka akan diboo oleh orang ramai.
Sehingga sekarang, cerita buruk dicampakkan kepada pembangkang dan pendukung Bersih 3.0. Bilangan yang turun cukup besar dan menenggelamkan Umno.
Yang turun di lapangan pun kebanyakannya adalah bekasan ahli Umno. Ramai cikgu yang saya temui adalah bekasan Umno belaka. Mereka sudah insaf, sebab Umno hanya menipu rakyat, Umno parti orang kaya, parti bangsawan Melayu, orang Melayu yang hidup sederhana tak sesuai menyertai Umno. Mereka akan tersisih.
Ketika bahan ini diselesaikan, di luar sana masih ada suara-suara yang membantah Bersih 3.0. Bantah untuk apa. Jika kehadiran rakyat berskala kecil bolehlah dibantah, tetapi bilangan rakyat yang turun terlalu besar, dan Tuk Jib sendiri sebenarnya gerun dengan kehadiran itu. Dia mula mencongak, apa lagi program yang dianggap all out untuk mengatasi Bersih 3.0?
Sebenarnya dipandang dari sudut apa pun, tak ada pihak yang mampu mengatasi keupayaan rakyat. Bersih 3.0 telah membuktikannya. []

LAPORAN BERSIH DI MATA RAKYAT

RAKYAT yang menyertai bersih 3.0 sudah tahu cerita sebenar di gelanggang "pertempuran" antara peserta perhimpunan dan pihak "perosak keamanan" di dataran merdeka. Mereka kalau mendengar laporan dari tv dan media lain pasti akan mencebik dan mengatakan itu berita dusta! Itu berita tipu.
Inilah kesan jangka panjang apabila pihak pemerintah sentiasa menutup segala kes dan segala kepincangan yang ada.
Perkara yang melibatkan pihak polis mahu dijaga dengan baik oleh pemerintah. Tetapi ketika mereka nak menutup keburukan dan keganasan yang dilakukan ke atas rakyat, ada kes lama yang melibatkan anggota polis dipaparkan dalam media, seorang cip inspektor merogol pelajar sekolah, kemudian kes orang menyamar polis, maknanya ketika satu pihak hendak menutup keburukan, di pihak lain membuka cerita aib yang tak boleh ditutup lagi.
Apakah ini kifarah? Kita tidak kata begitu, secara kebetulan belaka. Ketika ini isu bersih 3.0 memang benar-benar jadi bahan sensasi yang menarik minat.
Sensasi bersih 3.0 dimainkan oleh media kerajaan bagi menggambarkan ada anasir jahat dalam kumpulan bersih tajaan pembangkang.
Dari dulu memang pihak penguasa cuba memburukkan bersih, memburukkan ketuanya, kepada siapa peserta bersih nak ikut? Kemudian pandai pula bermain fatwa, konon tidak boleh berketuakan seorang yang memperjuangkan itu dan ini, tak boleh ikut ketua yang bukan Islam.
Pihak yang mengkritik lupa, ketika BN mengadakan majlis yang diketuai oleh golongan kafirin, tidak sebaris ayat pun mereka berani melontarkan kritikan. Mereka hanya nampak kesalahan orang sahaja, dan pada masa yang sama bercakap tentang perpaduan rakyat.
Bersih 3.0 adalah bukti perpaduan rakyat. Di bawah satu ketuaan rakyat sanggup datang berkumpul meskipun senjata pemedih mata dan air kotor sudah disiapkan untuk disemburkan dengan zalimnya kepada rakyat.
Ertinya, rakyat didahulukan memang benar-benar dipraktikkan. Rakyat didahulukan untuk disembur dengan air dan gas pemedih mata. Rakyat juga yang didahulukan untuk digempur. Padahal tidak seorang pun rakyat yang bersenjata. Rakyat mengalah dipijak dan ditendang sesuka hati. Hal ini yang membuatkan orang teringat kepada bumi Palestine yang berdepan dengan polis Israel.
Jika disindir rasa marah, maka ketahuilah, kemarahan rakyat lebih-lebih lagi. Ia kemarahan yang merata dan tidak akan mudah dipadam dengan mengadakan hari mesra rakyat, hari polis, atau apa sahaja hari. Seorang ibu yang pernah dipijak-pijak akan jadi trauma, sampai di mana-mana pun dia tidak boleh melihatkan baju gelap. Percayalah. Ini adalah naluri semula jadi manusia.
Sesiapa yang pernah dizalimi, akan timbul perasaan dendam dan benci yang mendalam terhadap pihak yang melakukannya. Jika ada yang mengharap kerjasama orang ramai, mereka akan menempelak semula, bukankah mereka itu profesional? Tidak perlu kerjasama orang ramai untuk membanteras apa pun.
Hasil dari bersih 3.0 adalah buah kebencian kepada pihak UBN kerana SPR yang menjadi sasaran kritik tidak berbuat apa.
SPR semacam kebal, dan tak peduli apa pun kerana didukung oleh sebuah penguasa yang zalim yang bimbang undi mereka kian merosot.
Kehadiran rakyat yang turun ke gelanggang membuktikan usaha penganjur bersih 3.0 adalah program yang mendapat sokongan segenap lapisan rakyat. Bayangkan, jika tanpa halangan apa pun dari DBKL atau PDRM rasanya bilangan yang hadir boleh mencecah sejuta umat!
Bayangkan dapatkah Umno yang akan menyambut ulang tahun ke-66 mengundang sejuta ahlinya? Tidak mungkin kalau hanya sekadar makluman. Mereka sudah terlalu biasa disodorkan dengan bermacam kemudahan untuk hadir di sesuatu tempat. Justeru kalau tidak ada eskalator depan rumah, rasanya mereka tidak mahu bersusah payah sekalipun di stadium itu sudah menunggu Pak Jib untuk bersalaman.
Media pemerintah selalu menggambarkan betapa rindunya seorang lelaki berumur untuk makan bersama Tuk Jib. Itu hanya rekaan wartawan sahaja. Orang kampung peduli apa dengan Tuk Jib, kalau setakat sarapan pagi dengan Tuk Jib bukan ada fadilatnya pun. Lainlah kalau bersama orang berilmu, mendapat sebaris ilmu pun membawa manfaat.
Akan tetapi bagi orang yang jauh dari ilmu, mereka tak faham dengan kedudukan orang berilmu, kenapa kita perlu berdampingan dengan orang berilmu, orang yang dianggap tuk guru, tetapi tradisi Umno nampaknya hanya memuliakan orang bergelar yang bukan-bukan, mereka tidak memuliakan orang berilmu.
Inilah bezanya orang berilmu dan tidak berilmu.
Apabila Tuk Guru pun beri keizinan kepada ahlinya untuk turun ke gelanggang, sekalipun perhimpunan itu diketuai oleh A Samad Said dan Ambiga, ia adalah satu perjuangan suci, perjuangan menegakkan kemunkaran. Kemunkaran dalam pilihanraya akan menjadikan sesuatu itu bersih atau tidak sahaja.
Jika pilihanraya sarat dengan penipuan, maka hasilnya adalah sesuatu yang subhat dan mengelirukan. Kita tidak mahu cerita rampasan kuasa BN berlaku lagi seperti yang terjadi di Perak. Ia adalah kes yang memalukan umat kerana melibatkan golongan bangsawan melayu.
Jika pilihanraya dijalankan dengan jujur dan telus, tidak akan berlaku membeli Adun atau MP sebagaimana praktik yang diamalkan oleh pihak penguasa di pusat.
Cerita Bersih 3.0 buat sementara waktu masih menjadi topik yang menarik. Sejauh mana pihak PDRM akan bertindak terhadap anggotanya?   Meski penafian telah banyak kali diucapkan dan yang diulang-ulang adalah kalimatn profesional yang memualkan.
Pak Cik Mat pun buat kerja profesional juga sebagai nelayan di laut. Pak Badri pun buat kerja profesional juga ketika mengutip sampah di kawasan longgokan sampah.
Jangan fikir orang bergaji bulanan sahaja profesional, orang yang menggunakan keahlian atau kepakarannya untuk cari makan ia adalah profesional.
Jadi, siapa sebenarnya yang profesional?

FILEM REALITI CHOW KIT: SINGKAP LORONG KELAM

KISAH lorong mahu difilemkan lagi. Kisah suka duka lorong itu masih laku dipasarkan agaknya. Biasanya kisah lorong kelam hanya berkisar kepada aspek kehidupan malamnya yang kelam, aspek kehidupan pelacur kelas bawah, pelacur pondan, anak-anak yang membesar di lokasi tersebut dan warga penghuni lorong yang datang dan pergi apabila masa bergulir.
Kita tidak tahu apakah filem akan berlaku jujur terhadap permasalahan yang sebenar di situ. Semuanya bertolak dari soal mencari makan. Mereka melakukan apa sahaja kerja rencam termasuk dalam kategori menjual tubuh, tidak kira apa yang terjadi, entah untuk dilanggan oleh si pemabuk, pengidap AIDS atau siapa sahaja.
Dalam episod yang mereka jalani, banyak berlaku pergaduhan, pertengkaran disebabkan perkara kecil. Pondan dengan pondan bergaduh, seluk saku, pelacur berebut pelanggan, atau peranan lelaki yang berlagak menjadi pelindung kepada semua pelacur, inilah keragaman dalam dunia hakiki sebuah lorong kota.
Di lorong kota ini ada nama yang popular sebagai Minah Rugged, tinggal di Kg Periuk, Kg.Bharu, Kuala Lumpur, iaitu kawasan yang pernah popular sebagai Pawagam P Ramlee.
Di sana, bermacam ragam penghuni setinggan yang tidak dapat dihidu kerana dihadang oleh populariti Chow Kit dan Lorong Haji Taibnya.
Minah Rugged adalah seorang pelacur. Mempunyai seorang anak lelaki yang cacat sejak lahir. Anak itu membesar di kawasan kelam. Ibu pelacur, dan anak mewarisi sikap ibu yang sedemikian. Ia macam lingkaran syaitan. Si anak menjadi jahat kerana faktor lingkungan. Dia membesar di kawasan setinggan dan sentiasa menemani ibu dilanggani lelaki demi lelaki.
Dengan wang hasil pelacuran itulah Minah Rugged membesarkan anaknya. Dulu selain menjadi pelacur, Minah Rugged pernah bekerja di sebuah kabaret. Mencari pelayan kabaret dengan bedah tebal di muka adalah gambaran pada ketika itu.
Di sekitar Chow Kit ada beberapa buah kelab malam, bar dan kabaret. Ketika itu, Chow Kit adalah syurga lelaki yang memburu keseronokan setempat.
Minah Rugged membesarkan anak yang cacat dalam lingkungan yang tak terpelihara. Apabila Minag Rugged meninggal dunia dalam kealpaan duniawi dan tidak mengenal keislaman secara jitu, maka si anak yang cacat menyatakan protes kepada dunia, bahawa dia tidak mahu dilahirkan dalam keadaan cacat begitu.
Maka setiap hari kedengaran cerita si anak Minah Rugged yang cacat itu kerap bergaduh. kerusi roda yang elok makin lama semakin teruk. Tayar kerusi rodanya tidak dapat digerakkan lagi. Dia sudahlah cacat, turut menjadi ganas dengan membawa besi tajam diletakkan di bawah lapik duduknya.
Jika berlaku pergaduhan, dia akan mengeluarkan senjata itu. Begitulah protesnya kepada dunia Chow Kit. Dia adalah anak Minah Rugged yang saya sempat hidu sejarah kelamnya dalam tahun 80-an.
Selain kisah Minah Rugged dan anak lelakinya yang cacat, ada kisah penghuni rumah setinggan di belakang lorong sepasang suami isteri, tinggal serumah, sudah berumur, tetapi difahamkan mereka tidak pernah bernikah pun. Ini suasana biasa, bahkan hingga sekarang pun orang yang bersekedudukan dari usia muda sampai ke tua pun masih ada di kawasan tersebut. Ada yang sampai beranak-pinak, tidak diketahui sejauh mana soal sijil kelahiran anak dan dokumen lainnya. Bahkan seorang jurugambar yang tinggal di Flat Selayang ada menceritakan, sepasang suami-isteri "lakonan" menyewa di rumah kedai di situ sehingga beranak pinak, anak perempuannya diasuh menjadi pelacur muda oleh si ibu sebagai melangsungkan tugasan ibu. Sementara si bapa masih menjadi bapa yang mengharapkan wang hasil dari sumber yang haram itu.
Inilah putaran hidup di kawasan sekitar Chow Kit. Orang masih suka mengaitkan ia dengan kehidupan pelacur, sedangkan zaman sudah berubah. Sudah ada bangunan PAS berdiri megah di Jalan Raja Laut di situ, sekitarnya sudah ada balai polis, sudah ada pasar malam yang beroperasi setiap hari.
Kini wajah Chow Kit bertukar. Ia menjadi wadah pemborong dan peniaga kecil mencari bahan jualan. Di sini semua pemborong berkumpul. Apa sahaja barangan boleh diperoleh di sini.
Legasi lama dari zaman silam adalah pelacuran pondan yang tak akan habis. Meskipun diburu, mereka tetap bersarang di situ. Penghuni lorong bertukar ganti, apabila usia mendadak senja, mereka tidak mampu lagi menyamar sebagai waria, maka terpaksalah mengalah dan cuba menjadi lelaki sejati meskipun janggal penampilan mereka.
Banyak contoh, penghuni veteran sangkar pondan sudah beralih arah, mereka tidak mampu menyarung sepatu tumit tinggi dan skirt ketat lagi, tidak mampu hendak bergincu dan berbedak, tidak mampu pakai maskara dan rambut palsu.
Segalanya berubah. Lelaki tetap lelaki, lelaki tak akan jadi perempuan. Inilah episod yang ada di Chow Kit. Baik pelacur wanita sebenar dan pelacuran pondan, kedua-duanya memainkan gelagat penghuni lorong yang tak boleh dinafikan.
Pergaduhan setiap malam, berpunca seluk poket, menipu pelanggan, dadah, tukaran wang yang dimanipulasi, dan macam-macam lagi kes.
Pendeknya lorong ini banyak memakan korban. Lelaki muda banyak terkorban wang ringgitnya ketika melanggani pelacur pondan atau wanita berusia.
Berbagai kejadian pelik berlaku. Tidak kurang juga pernah terjadi pembunuhan seorang pelacur. Mayatnya disumbat dalam plastik besar dan dicampakkan ke Sungai Gombak.
Dia menurut cerita lisanb adalah perempuan pelacur asal dari Kedah. Gambar wanita itu pernah dibawa oleh seseorang yang bertanya di sana-sini mencari di mana si fulan berada. Ramai yang cam gambar wanita itu.
Dia sudah dibunuh dan mayatnya dibuang begitu sahaja.
Ketika itu pembunuh dajjal itu sentiasa berada di kawasan Chow Kit. Dia memang sadis. Khabarnya ramai lagi yang bakal menjadi mangsa kalau tidak akur dengan permintaannya.
Lelaki yang dikatakan berasal dari seberang itu berlagak hero dan penyelamat kepada para pelacur yang perlu perlindungan. Jika enggan mengikut perintahnya, ia akan diperangkap dan dibunuh di bilik air. Ia mudah. Mangsa dihentak dengan benda berat dan direndam ke dalam takungan air di bilik air. Kesan darah boleh dibasuh sehingga hilang jejaknya.
Kisah ini pernah disampaikan oleh seorang saksi kepada penulis. Tetapi saya tidak yakin dengan pencerita ini kerana dia pun adalah warga Chow Kit yang kelam.
Banyak kisah suka duka di sini. Dulu, warga dari seberang menjadikan lokasi ini sebagai ruang untuk menipu. Memeras orang ramai dan menjual benda-benda mistik yang tidak berguna. Kini ada di antara pakar penipu ini telah berjubah hitam, berkupiah, membawa biji tasbih, duduk di saf pertama Masjid Pakistani, duduk di sebelah penulis, saya cam dia, dia tak cam saya. Baguslah, mungkin sudah taubat. [] 

Wednesday 2 May 2012

SOLAT DUHA

IBNU UMAR menganggap solat duha adalah bid'ah tetapi ia memandangnya sebagai baik. Apa maksudnya?
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Hakam bin al-A'raj daripada al-A'raj katanya: Aku bertanya kepada Ibnu Umar tentang solat duha. Lalu dia menjawab: Bid'ah, dan ia adalah sebaik-baik bid'ah. [Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mussanaf (1/405)]

Abdul Razak meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Salim daripada bapanya, katanya: Uthman telah dibunuh, tanpa seorang pun yang mengerjakannya. Tidak ada perkara baru yang diada-adakan oleh orang yang paling aku suka berbandingnya [solat duha]. [masih dari Al-Musannaf (4868)]

Said bin Mansur meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada mujahid daripada Ibnu Umar, katanya: Sesungguhnya ia [solat duha] adalah perkara baru yang diadakan, dan sesungguhnya ia termasuk dalam sebaik-baik perkara baru yang mereka ada-adakan.

Selain solat duha, apa lagi perkara baru yang diada-adakan oleh para sahabat selepas zaman Nabi s.a.w.?
Ada banyak:
1. bertarawih secara jemaah di masjid.
2. pengumpulan al-Quran
3. Umar r.a. mengubah maqam Ibrahim dan tempat asalnya
4. Uthman bin Affan melakukan penambahan azan hari Jumaat.
5. Pengubahsuaian Masjid Nabi s.a.w.
6. Penyatuan al-Quran mushaf Uthman.
7. Ali k.w. mencipta selawat Nabi s.a.w.
8. Abdullah bin Mas'ud membuat penambahan pada lafaz tasyahud
9. Penambahan lafaz tasyahud oleh Abdulllah bin Umar
10. Penambahan lafaz Talbiah oleh Umat al-Khattab.

[Baca Syeikh  al-hafiz Abu al-Fadl Abdullah al-Siddiq al-Guhamari, MAKNA SEBENAR BID'AH: SATU PENJELASAN RAPI, (terj. "Itqan al-San'ah fi Tahqiq  Ma'na al-Bid'ah") Middle East Global (M) Sdn. Bhd. 2007].