Wednesday 25 July 2012

YANG FREE ITU SEDAP! : AL-CHOW KIT ROAD

SIAPA JENGUK Chow Kit KL masa puasa ini tentu tak seronok.
Sebabnya, dulu lapang dan lengang, tiba-tiba menjelang puasa, kawasan itu sudah jadi semak-samun. Kanopi sana-sini, kanan dan kiri jalan pulak tu.
Kemudian lorong untuk orang nak berjalan makin sempit. Langsung tak selesa. Jika anda nak selesa pergilah ke tempat shopping yang berhawa dingin lagi eksklusif.
Kemudian, dah beberapa kali solat zohor di Masjid Pakistani, KL, sudah dipasang pendingin hawa. Maka selesa benarlah orang solat terawih di situ.
Ketika solat di surau Perkim, sudalah hangat, tak selesa langsung, walau hanya 8 rakaat campur witir semua, keselesaan itu tak ada.
Lepas itu nak catat, ketika solat di surau Perkim itu saya macam ternampak seorang bekas orang kuat PAS yang menyorokkan diri, solat bersama kami, ketika orang buat witir dia sudah pergi, jadi tak tahu, benarkah dia solat di situ? Kenapa tak pergi masjid lain? Atau sebagai pelarian? Sana-sini nak solat orang kenal, tak selesa kut?

AYAM TERGOLEK DAN BUBUR
Berbalik kepada bab Chow Kit KL, ada sebuah restoran kecik milik Pak Keturunan Arab yang bagi nasi briyani percuma siap dengan ayam tergoleknya.
Syarat datang awal antara jam 2.00 ptg - 3.00 ptg, dan bergantung kepada bilangan kopon yang disediakan. Kalau habis kopon, maka pemberian nasi percuma ditamatkan. Sorry!
Tak apa, jenguklah Masjid Kg. Bharu cari bubur lambuk.
Kalau tak mahu di situ, jenguk Houz Depot, mereka pun ada bikin bubur lambuk. Setakat nak makan cukuplah. Kalau nak banyak, beli baldi kecik dan bawa ke Masjid India, berbaris dengan mereka di belakang masjid, pintu belakang bukan depan! Satu baldi boleh melantak puas-puas kata sobat dari Masjid Jamek LRT, Mat Amin Segambut.

LAUK TERDEDAH LAMA
Kemudian, hairannya di Chow Kit, siang-siang lagi, jam 2.00 ptg orang berniaga makanan sudah dedah makanan. Lauk macam-macam lauk bersusun-susun sepanjang meja. Pilihlah mana yang berkenan. Tapi, tak kan dedah begitu sahaja tepi jalan pulak tu. Bayangkan, dari pukul 2.00 ptg sampai pukul 7.00 lebih lauk pauk terdedah.
Dan macam dulu-dulu terdengarlah komen pengguna. Sampai waktu buka, ada lauk yang dah basi. Begitu juga juadah yang lainnya. Bayangkanlah, pukul berapa mereka siapkan semua benda-benda itu? Takkan nak jual pukul 3.00 petang, pukul 1.00 baru nak masak?

BUNDLE SANA-SINI
Dah biasa jual baju, seluar, kasut dan benda bundle, ketika bulan puasa kena jual budle jugalah. Terpulang siapa nak beli untuk pakai baju bundle, seluar bundle dan kasut bundle - janji raya. Jangan pandang hina ya. Orang kota tidak suka pakai baju Melayu siap songkok dan samping. Mereka kalau pakai begitu hanya untuk nikah dan kemudian mesyuarat parti politik ANU. Lainnya, orang tak pakai. Mungkin lambat laun baju tradisional ini pupus dari alam Melayu. Kemudian yang pakai penari inang, zapin, tari lilin dan macam-macam tarian lagi. Yang belum kita dengar tarian tiang pakai baju Melayu. Rasanya kalau penari tiang pakai baju kurung, yang lelaki pakai songkok dan samping, maka tak ada siapa marah buat tarian tiang. Menarilah dan panjatlah tiang itu tinggi-tinggi, tak ada siapa yang marah.
Selamat berpuasa. []

ISU MENARIK DI SANA-SINI: KEADILAN ED.76

WANG HARAM
Umum mengetahui, jumlah wang haram yang mengalir ke luar negeri memang terlampau banyak. Jumlahnya pun kita gerun nak sebut, rakyat biasa tak tahu bagaimana nak menulis angkanya. Dek terlampau banyak, ada benarnya kebimbangan Senator Syed Husin Ali andainya jumlah aliran keluar makin melonjak. Puncanya, kerajaan yang ada hari ini seperti telah goyah, wang dihambur sesuka hati, dan kemungkinan pemindahan wang oleh individu terkaya, separa kaya atau bapak bilionaire akan berlaku secara senyap-senyap. Ada orang mengatakan, golongan ini hanya mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa akan jadi dengan ekonomi negara. Dibimbangi kita menghadapi masalah, hutang negara pun naik RM465 bilion [2012]. Wang haram yang mengalir keluar negeri ini tidak melibatkan orang kampung, tidak libatkan orang berpangkat rendah, sebaliknya orang-orang yang "biasa tidur atas duit."

JEMAAH ISLAMIYAH
Tidak diketahui apa benda Jemaah Islamiyah ini, sebab pertubuhan ini hanya ada di luar negeri. Apabila ada pihak berani mengatakan ada anasir JI di dalam PAS ia adalah mainan politik. Meski konon ia dilaporkan oleh pihak perisikan, rakyat keseluruhanya langsung tidak percaya. Ia hanya untuk test market apakah apabila perkara itu disebut rakyat akan marah kepada PAS. Zaman membodohkan rakyat sudah berlalu. Orang sekarang makin cerdik. Tidak ada penyusupan elemen JI di dalam PAS, hanya yang masuk adalah bekas-bekas pegawai kanan kerajaan. Mereka menyertai PAS. Adakah kerana mereka masuk PAS lalu timbul isu elemen JI ini? Sebenarnya ketika negara luar kecoh dengan perkara JI kita tidak terkesan langsung, kecuali kebimbangan yang sengaja dicipta bagi menimbulkan kegelisahan rakyat. Mungkin ada yang rasa kecewa semakin ramai bekas pegawai tinggi dalam kerajaan menyertai PAS. Rakyat Malaysia yang terlibat dengan gerakan militan tidak ada.

DR M DIKTATOR
Peratusan undian rakyat begitu tinggi terhadap label yang diberikan kepada Dr M, label yang telah disebut orang sejak meletus gerakan reformasi dalam negara. Dr M memang terkenal sebagai diktator. Tidak perlu disebutkan satu persatu di mana letak kediktatorannya, semua sudah mengetahui, sebab apabila dia hendak sesuatu dia akan kata MESTI. Orang setuju atau tidak terpaksa ikut sahaja. Memanglah ramai yang kecewa dengan tindakan berani beliau itu. Sebagai diktator, gelaran itu bukan menjadi sebutan rakyat sahaja, malah penganalisis luar negeri juga menganggap dia diktator, kediktatorannya adalah mengikut kayu ukur Malaysia. Diktator di negara kita lain sedikit bentuknya. Jadi jika kita lihat dari perspektif itu memanglah wajar rakyat pertikaikan Dr M. Kalau nada sudah berubah sejak akhir-akhir ini, ia menggambarkan "penyesalan" yang tidak dapat ditampung hanya dengan meminta maaf kepada semua pihak yang dianiaya.

JANJI DITEPATI
Itulah tema hari kemerdekaan kita pada bulan Ogos nanti. Orang pun bertanya sinis, janji apa yang sudah ditepati? Dia berjanji sesama dia agaknya. Atau janji mahu bertemu di bawah pohon bambu pada waktu senja, memadu asmara ketika orang lain sibuk di masjid nak solat maghrib. Janji ditepati banyak konotasinya. Ia bukan membawa tema yang baik dan sesuai untuk sambut merdeka. Siapa yang berjanji, dan dia berjanji kepada siapa? Inilah yang orang tak tahu. Janji nak bagi t-shirt dan topi sempena perarakan sambut merdeka agaknya. Atau janji dapat nasi bungkus sorang satu. Inilah janjinya.  Jika janji ditepati dijadikan tema hari merdeka, ia tak ada makna. Kosong dan hambar. Tidak ada nilai puitis dan tidak ada bobot ekonomi. Dengan kata lain, tidak ada semangat langsung nak sambut merdeka. Janji ditepati macam lirik lagu zaman jahiliyah Melayu dulu. Banyak janji tinggal janji - inilah janji politik namanya. Jangan fikir UBN sudah memenuhi segala janjinya. Bahkan ramai orang UBN tidak seronok lagi dengan tema ini. Janji hanya tepat untuk puak-puak yang berkepentingan sahaja, rakyat jauh sekali. Janji kepada rakyat banyak yang diabaikan. Percayalah, tidak ada janji yang berani ditepati kerana apa yang mereka janjikan hanya kepada puak-puaknya menurut idealisme kenasionalismemannya. Banyak janji lain yang tidak ditepati.Sebab orang selalu berjanji menjelang nak pilihan raya, lepas pilihan raya janji tinggal janjilah.

Jadi, memang baguslah kalau orang kritik tema yang tidak berbobot ini. Saya percaya akan ada tukang tulis pembodek akan mengatakan bahawa tema ini memang sesuai dan wajar dalam suasana menghadapi dekad yang mencabar ini. Kemudian ada pula ustad mereka yang kata wah, janji ditepati ini mengikut dasar Islam. Banyak perkara boleh dihuraikan, jangan fikir janji ditepati ikut cara Islam sebaliknya sejauh mana pelaksanaannya? Janji apa? Janji mulut pun ada, janji macam perjanjian siap dicop dan matikan setem pun ada. Ini bukan Perjanjian Pangkor lagi. Fikirkan masak-masak.

ISU SYABAS DAN AIRNYA
Kalau tak ada isu ini maka rakyat yang kutip sampah, selongkar tong sampah, makan sisa atas meja orang, dan yang mengemis di sana-sini, mereka semua tidak akan tahu ada CEO yang bergaji mak oi! Kenapa banyak sangat sampai RM425 ribu sebulan?
Kita yang selongkar sampah nak dapat RM5 pun susah.
Kita yang berniaga di pasar karat nak dapat RM15 pun susah. Tiba-tiba puak ini boleh dapat sebanyak itu sebulan.
Secara tak langsung pendedahan ini menimbulkan kemarahan rakyat kepada Syabas.
Daripada bagi gaji kepada orang yang sudah mampat fikirannya untuk melaksanakan sesuatu bagi menyelesaikan masalah air dengan kos yang minimum, maka sudah sewajarnya, beban bagi gaji bulanan sebegitu besar wajib ditamatkan.
Dengan gaji sebanyak itu apa sahaja boleh dibeli. Dalam keadaan rakyat menghadapi kenaikan harga barang, nak menghadapi perayaan lagi, kekadang kasihan tengok orang pergi bank keluarkan RM90 itulah duit baki yang layak dikeluarkan.
Apakah orang yang kaya raya, yang bergaji sampai begitu banyak tidak terfikir? Untuk apakah duit banya-banyak itu?
Apakah nanti akan dibina tugu peringatan dengan batu marmar yang mahal?
Atau wang itu akan disedekahkan kepada orang susah. Kekadang kita malu sendiri, ketika ada orang bergaji sampai ratusan ribu sebulan, ramai rakyat yang tidur di kaki lima, di kawasan taman, bawah jambatan, bilangan gelandangan bertambah, kutu rayau, penyelongkar dan pengutip tin bertambah, dan isu air tidak selesai juga.
Gaji sudah banyak, terlalu besar, hal air pun tak boleh selesai.
Main tarik tali, nak mempermainkan rakyat yang susah, hingga ada ugutan nak catu. Ini semua politik air sebenarnya. Kalau ada orang marah kepada Syabas, mereka marah kepada orang berpendapatan tinggi yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan.

BEGITULAH KOMEN SAYA ke atas beberapa isu yang dipaparkan dalam KEADILAN Edisi 76, 2012. []

Monday 23 July 2012

APA KELUHAN ORANG KOTA MASA RAMADAN?

ADA BEBERAPA perkara yang orang keluhkan ketika bulan Ramadan di Kuala Lmpur ini, tempat lain tidak tahulah.

1. Harga barang keperluan naik tak fasal-fasal. Ini adalah indikasi biasa bagi warga kota. Mereka sudah tahu sebaik bulan puasa menjelang macam-macam benda yang naik harga, itupun ada orang kata nasib baik ada beberapa bahan dapat subsidi, maka berterima kasihlah dan  bersyukurlah kepada Allah.
2. Kuala Lumpur semakin semak, banyak pokok kanopi tumbuh di kanan dan kiri jalan sehingga keadaan serba tak selesa. Di bawah kanopi yang disewa petaknya itu orang berniaga macam-macam benda. Di setengah tempat, banyak benda recyle dijual kasut bundle, baju bundle, jeans bundle, yang tidak ada biskut bundle sahaja.
3. Jalan-jalan di mana sahaja selalu jem. Orang merungut. Kalau sudah tahu jem, jika masuk bandar tak ada benda mustahak, tak payahlah masuk. Atau kalau saja-saja nak meranjau siang Ramadan, tak payah bawa kereta. Bayaran letak kereta pun mahal.
4. Atau bagi sesiapa yang seronok berbelanja di kota, fikirkan, seandainya benda-benda itu juga terdapat di kawasan sekitar tempat anda tinggal, tak perlulah beli di tempat yang jauh-jauh.
5. Semua tempat solat menawarkan hidangan berbuka yang boleh tahan. Baik waktu berbuka atau selepas solat maghrib. Disebabkan faktor ini, ada yang memilih masjid atau surau. Di surau Perkim, Jalan Ipoh pun ada majlis berbuka puasa bersama saudara baru dan saudara lama - ada santapan berbuka dan hidangan selepas solat maghrib, ada tazkirah, dan solat tarawih 8 rakaat + witir. Di tempat lain tidak tahulah. Ini hanya contoh sahaja. Sebab ada restoran kecil di Jalan Tuanku Abdul Rahman, boleh bagi nasi briyani percuma setiap hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi syaratnya kena ambil "kopon" di kedai bingkai selang dua pintu dari restoran itu. Ayam golek jadi hidangan. Nak cuba? Mana tempatnya? Dekat sebelah 7 Eleven dekat Mydin Cokit.
6. Kebanyakan pakaian yang tergantung adalah untuk orang muda. Jeans berbagai corak, baju-baju, t shirt, dan kasut fesyen orang muda. Mood untuk membeli pakaian belum mekar masa ini. Orang masih berkira-kira nak berbelanja. Bagi yang bergaji tak kisahlah, kalau tak ada gaji tak ada kerja, nak beli apa? Jadi hari raya bukanlah matlamat sebenar orang berpuasa.
7. Kemudian ada pula pentas kecil di tempa tertentu, sempena hari raya, mereka berdendangan dengan muzik dan nyanyian meraikan orang membeli-belah. Ia sudah jadi acara tahunan. Semua tempat membeli-belah nak buat acara ini. Sesuaikah?
8. Majlis berbuka puasa di hotel-hotel makin mahal. Hanya orang yang berduit sahaja atau yang nak bergaya sahaja sanggup berbuka di situ. Hanya, berbuka di tempat macam ini selalunya melekakan. Sampai masuk isyak, masih berlonggok lagi di situ.
9. Majlis berbuka dengan anak-anak yatim atau orang-orang tua, memang elok diadakan, tetapi biarlah majlis berbuka puasa itu adalah perkara ibadat bukan untuk berhibur dan bersuka-ria, panggil artis buat persembahan tetapi macam buat show konsert di luar sana, maksudnya tak tutup aurat, dan tak kena pun kalau nak berlagu sakan dengan alat muzik atau iringan minus one. Yang lebih penting, tetamu yang diraikan dan VIP undangan mestilah tahu bawa diri sesuai dengan mood Ramadan!
Ada lagi keluhan orang kota. Kita tidak tahulah bagaimana keluhan dan rintihan orang kaya, para CEO yang berpendapatan sampai ratus ribu sebulan! Orang kata, itu sudah melampau, keterlaluan. []

Thursday 5 July 2012

BULAN RAMADAN: MAKAN LEBIH UTAMA

ORANG PALING SERONOK KALAU BULAN RAMADAN.
Sebabnya, ia adalah festival makanan sedunia bagi orang kita. Dan orang yang tak puasa [yang bukan Islam] pun boleh tumpang semangkuk beli juadah untuk dimakan bila-bila masa. Bermacam makanan dijual, terpulang kepada selera masing-masing.
Biasanya sebelum Ramadan orang sudah sibuk mencari tapak untuk berniaga. Tapak perniagaan ini jadi rebutan. Bahkan ada yang berduit sanggup beli tapak bazaar Ramadan. Mereka tak mahu berniaga kalau setakat satu tapak. Kalau boleh mereka nak bolot lima enam tapak, memanjang dia punya seorang. Dan tempat mesti strategik. Tahun ini kita belum dengar pihak tertentu mengadakan sekatan dan larangan berniaga di tempat tertentu. Maklum berniaga depan premis orang lain, menyekat perniagaan mereka pula.
Seperti biasa, memang nampak cantik amaran pihak DBKL konon hendak memantau lokasi bazaar Ramadan. Mereka nak pastikan jangan ada Ali Baba. Ini istilah lama. Ia tak akan dapat dihapuskan. Bukan tidak ada peniaga yang sudah kamceng dengan pegawai DBKL atau puak-puak dalam politik ikut bertarung untuk rebut dan jual tapak?
Dulu lagi kita sudah dengar ada skandal rebut dan jual tapak niaga, dijual dengan harga melampau walaupun tempoh niaga tinggal dua minggu.
Mereka mengejar waktu puncak.Sebenarnya inilah masa nak buat duit. Bukan semua peniaga jujur hendak berniaga. Ada yang tak ada persiapan apa pun, sengaja gatal minta tapak niaga, siap undi tapak niaga. Setelah dapat, tak ada idea nak jual apa. Akhirnya kena tengok dulu apa yang jiran sebelah tapak jual. Boleh tiru. Kalau tak ada barang, boleh cari sumber. Kedai jual bunga plastik paling banyak, tak muat-muat tapak.
Pada mereka kalau anda rajin buka mulut minta mereka hantarkan bunga plastik. Hantar barang, jual dulu. Makan komisyen jualan. Kira berapa yang jual sahaja. Kekadang tapak pun boleh tolong tebus bayaran. Masa bulan Ramadan inilah orang tamak ada di mana-mana. Sebab berniaga boleh gaduh.
Kemudian hairannya ada kelompok artis yang menyertai BARISAN ARTIS MALAYSIA [macam BN aje] nak berniaga di Bukit Jalil, mereka berniaga dan buat show sekali di samping buat hebahan barang jualan. Apa mereka fikir dalam bulan Ramadan ini orang nak berhibur juga?
Tolonglah. Cukuplah 11 bulan terkinja-kinja, sepatutnya sebulan Ramadan ini kena lupakan soal pentas dan nyanyian. Inilah kesilapan artis kita. Mereka masih kemaruk dengan glamor. Kemudian ada sesi bertemu peminat. Ingat, tidak semua artis ada peminat tau. Yang syok sendiri ramai peminat pun ramai.
Nak meniaga apa kalangan artis? Kadang-kadang laporan dalam media hiburan sahaja yang lebih dan dahsyat. Sekali anda jenguk tapak mereka berniaga, alahai...baik tak usah bising-bising. Nak meniaga, meniagalah sahaja, buat apa pukul gendang semua.
Jadi bulan Ramadan ini adalah bulan makan. Memang bulan ibadat. Tapi seramai mana yang beribadat pun? Minggu pertama, hari pertama, kedua, dan seterusnya sampai tak muat masjid. Masuk minggu kedua tinggal lima baris, masuk hari-hari berikutnya tinggal dua baris setengah.Kena ingat, terawih bukanlah nak mengejar yang 20 rakaat macam kilat. Habis solat ada makan-makan lagi. Akhirnya penat makan.
Kekadang di KL ini, orang sibuk dengan bubur lambuknya. Bubur lambuk Masjid Kg Bharu selalu dicanangkan kesedapannya. Tetapi percayalah, mana-mana bubur labuk pun sedap kalau ia jadi menu harian anda setiap berbuka. Kalau nak rasa sebaldi kecik bubur lambuk, datanglah ke Masjid India, berbaris di belakang masjid siap bawa baldi. Tunggu, anda boleh mandi dengan bubur lambuk spesial! Itu kata gurauan kawan saya Si Amin yang kerap geleng kepala melihat telatah manusia berbaris nak dapatkan bubur. Sanggup bawa baldi. Kenapa tak bawak tong yang lagi besar?
Jadi, kalau tengok sana-sini dalam bulan Ramadan ini, jelaslah, ia adalah bulan makan. Buka puasa makan, lepas maghrib makan lagi, Lepas terawih makan lagi. Balik rumah makan lagi. Nanti jam 3.00 atau 4.00 pagi makan lagi. Errrrrgghhhh...sendawa pun panjang.
Jadi, di mana hikmahnya Ramadan untuk merasai bagaimana susahnya orang yang hidup susah? Orang susah belum tentu dapat makanan di penghujung hari. Tetapi orang senang yang merasai susah ketika puasa, mereka sudah menyediakan santapan kambing golek di rumahnya. Jadi, bulan Ramadan ini memang bulan makan, sangat sedikit yang mempraktikkan bulan ibadatnya. []

BABI HUTAN ADA ONG LO! : MISTIK KITA

TERSEBUTlah kisah seekor anak babi hutan merayau-rayau ke kawasan kampung. Anak babi itu nampak comel. Anak haiwan memang macam itu, serupa kita tengok anak kucing, anak rimau, anak singa, anak beruang atau anak orang utan. Disebabkan comel lote, maka anak babi hutan itu dilayan dengan baik oleh seorang penduduk di situ.
Kata orang kampung, emak babi hutan itu itu sudah mati dilanggar kereta ketika melarikan diri dari kawasan hutan "simpan" yang telah diteroka habis untuk buat projek milik manusia. Haiwan yang mempunyai habitat semula jadi sudah kehilangan kampung halaman. Hutan tempat tinggal mereka diterokai manusia untuk projek yang mengeyangkan si perut gendut bertali-leher berkereta besar.
Apa sudah jadi dengan anak babi hutan yang cute itu?
Bebudak kampung layan anak babi itu, bagi makan semua. Kenyang dan seronok sangatlah si anak babi hutan dapat duduk bersama manusia.
Disebabkan layanan istimewa, ada seorang dua yang kaki nombor ekor mula fikirkan tentang "ong" dari anak babi ini. Kalau beli nombor bawalah kertas pertaruhan itu dan sentuhkan kepada anak babi hutan itu. Mana tahu ada "ong" boleh kena hadiah nombor satu!
Hoi! Haramlah, babi tu dahlah haram, ditambah lagi dengan nombor ekor pula. Memanglah haram. Tetapi yang kemaruk dengan anak babi hutan dan kemudian bawa kertas merah ramalan atau kertas pertaruhan itu semuanya golongan kafirin, kalau ada Melayu yang datang ke situ nak ambil berkat mistik anak babi hutan alias khinzir itu adalah Melayu jenis bagaimana?
Melayu pun banyak kategori dan jenisnya, kena faham tu. Jadi, yang gila perkara mistik, mistik dari nombor bertuah sempena berkat anak babi hutan maka mereka ikut-ikutan si apek dan si nyonya. Kalau apek buka buku ramalan mimpi, maka dia pun tumpang sekaki.
"Apek, kalau itu babi hutan anak apa nombor?" tanya Melayu jati ini.
"Itu ka? Nan gua tengok apa nombor," apek pun belek buku "primbonan" dan "Jayabaya" nya sambil mengatakan kalau anak babi hutan, nombornya begini dan begitu. Maka Melayu yang satu ini pun ikut tumpang tuah anak babi hutan. Beli nombor di kedai kopi. Atau pergi pekan beli nombor ramalan. Mana tahu anak babi ini ada "ong".
Jadi, kalau ada Melayu yang ikut ambil berkat anak babi hutan itu adalah Melayu kategori yang tak makan saman. Melayu kategori yang pantang ada nombor ekor pasti jumpa punya.
Kita tak payah nak cerita, oh, itu kerja khurafat, tak boleh. Melayu yang tak makan saman ini pun tak tahu apa bendanya khurafat. Sebab selama ini pun dia ikut ke mana orang pergi. Kalau ada orang buat angkung dia pun ikut. Kalau ada orang menyeru datuk keramat di kubur lama pun dia ikut. Kalau ada orang bawa tali orang mati gantung diri pun dia ikut. Pendeknya, kerja menurun bawah pokok atau depan busut sudah jadi hobi sejak bertahun-tahun yang lampau. Jangan marah bang!
Yang namanya Melayu apa nak hairan kalau mereka beli nombor ekor berkat anak babi yang dia jumpa itu. Tak perlu menghukum orang macam itu kerana mereka masih setia dengan amalan semi purba dan paganisme itu.
Kalau kita bertindak pada dia, bagaimana orang moden yang pergi naik ke Genting Highlands itu, malam-malam naik bukit, esok petang baru balik. Ada masanya untung dan ada masanya rugi. Hoi, bang! Mana ada orang Melayu boleh masuk Genting main judi bang? Siapa kata? Yang ditegah adalah orang Islam. Melayu tak apa.
Maka bilangan Melayu yang naik ke situ sebenarnya ramai. Hanya kerana sudah lama tak ada orang sibuk, papar dalam akhbar harian atau mingguan, tak ada liputan dalam tv, maka orang pergi Genting sudah jadi biasa.
Satu lagi, orang hanya nampak Melayu beli nombor ekor di kedai ramalan baik toto, magnum dan kuda. Tetapi orang tak fikir pun siber-kafe yang melambak di sana-sini siap ada CCTV lagi. Setakat nak berinternet apa nak CCTV semua? Jadi, di situ juga ada unsur atau memang perujudian kelas kakap yang orang lupa.
Kemudian, bukan tidak ada mesin permaian semacam jackpot itu beroperasi di kelab-kelab eksklusif. Siapa yang main? Muka Melayu pun ramai juga bang. Ada yang berpangkat tinggi dan berpangkat rendah. Kena pandailah. Ada yang sanggup jalan jauh semata-mata hendak berjudi di kelab yang serba aduhai itu.
Memanglah, orang selalu nampak Melayu kena tangkap kerana beli empat nombor ekor di kedai magnum, toto atau kuda. Padahal paling ramai membeli siapa? Paling ramai cai nombor petang-petang siapa?
Melayu yang dimaksudkan ini termasuklah grup dari Indonesia yang kononnya amat mahir buat cai. Pandai baca code atau barcode pada tiket pertaruhan. Kepandaian mereka ini luar biasa, hingga mereka boleh cakap tiga angka masuk, satu kena tukar. Hebat. Tak payah cari anak babi hutan atau bomoh Cina untuk dapatkan ramalan jitu. Dulu Dato Baba di Jalan Masjid India pun pakar ramal nombor macam ini. Sekarang dia berniaga di Pasar Karat Jalan Petaling [baca laporan tentang ini dalam blog].
Melayu juga suka pergi ke kelab lumba kuda. Tidak kira bulan puasa atau tidak. Mereka lebih suka ke situ sebab di situ boleh on the spot ambik duit. Bertaruhlah setiap race atau race tertentu sahaja.
Di situ mereka tak segan-segan pergi kaunter beli tiket pertaruhan, dan tak segan ambik duit berkepuk [kalau menang racelah!] kalau tidak mereka termenung dan tepuk dahi.
Hairannya, kelab lumba kuda seperti contohnya di Sg Besi yang tak jauh dari The Mines ini, macam ruang yang eksklusif, tak pernah dengar ada orang Melayu kena tangkap kerana berjudi. Bahkan ramai joki kuda lumba itu adalah orang yang berketurunan Boyan.
Dulu orang Melayu yang tinggal di kawasan sekitar Kg.Bharu, Chow Kit dan sekitarnya, termasuk Ampang dan Kg Pandan, banyak yang pakar dalam lumba kuda. Maklum dulu tapak KLCC yang ada sekarang ini adalah padang lumba kuda.
Hari minggu ramai orang ke situ. Berkampung seharian suntuk untuk berjudi.Adakah sesiapa yang mengatakan oh, khurafat puja kuda lumba nak bagi menang? Tidak ada. Sebab dunia lumba kuda adalah dunia asing dalam dunia Melayu yang eksklusif.
Orang yang kaki kuda ramai yang pakai topi, bareta atau tak pakai apa. Dulu banyak juga kalangan veteran dalam dunia hiburan masuk ke situ. Bukan nak katalah. Ini merujuk kepada padang lumba zaman Jalan Ampang dulu. Ada perkampungan setinggan orang Boyan di situ, saya pun pernah singgah, tumpang solat di surau situ. Biasa ke situ sebab nak rasa rojak yang sedap.
Orang nak berjudi empat nombor sanggup buat apa sahaja. Kebanyakan yang terlibat adalah geng bersongkok rendah dan kelepet atau lipat. Jadi soal ambil berkat anak babi hutan atau tidak, mereka tak ambil pusing.
Malah ada satu kes menarik, seorang lelaki asal Gombak [?] mendakwa dia menang pertaruhan 6 digit berkat kesabaran membeli angka pertaruhan selama berbulan-bulan berdasarkan nombor siri batu nisan arwah bapanya yang meninggal. Dia kata si ayah telah berpesan agar membeli nombor batu nisannya. Ini lagi kes haru. Antara percaya dengan tidak.
Dia yang dulu bekerja di sebuah bangunan dekat Kota Raya, KL, ada beritahu, setelah memang dia beli Waja sebuah. Bakinya? Enjoylah...apa lagi. Jangan kata duit itu berkat atau tak berkat. Dalam kamus orang yang ketagihan dengan permainan ini mereka tak ada perhitungan itu.
Apa nak hairannya dengan membawa kertas pertaruhan dan disentuhkan kepada anak babi hutan itu untuk dapatkan berkat semoga dapat "ong" kerana dalam dunia mistik Melayu pun ada orang yang sibuk mencari rantai babi.
Seorang lelaki yang mendakwa pernah berkhidmat dengan kedutaan kita di Mesir pun pernah bertanya di mana nak cari rantai babi? Bukan rantai macam rantai beruk, tetapi ini benda mistik yang orang gila-gila nak cari. Di Indonesia nama rantai babi sudah terkenal, begitu juga di negara kita terutama Melayu yang kemaruk dengan kemistikan babi. Rantai babi pun ada kaitan dengan babi hutan tunggal.
Jadi ratai babi pun ada "ong" juga siapa yang boleh dapat. Harganya? Mahan lo, latus-latus libu, janji ORIGINAL. []


Tuesday 3 July 2012

SURUH NAJIB LETAK JAWATAN KE?

maemahi.blogspot.com: Sidek kena, Bakar kena sebab Najib yang luluskan S...: This is a classic case of an unscrupulous government - the cabinet approved the pay scheme but when it turns ugly, wag the civil servants....

KISAH SERAM: JEMBALANG TANAH SIANG PUN MERAYAU-RAYAU

Menyingkap Misteri Jembalang Tanah Kellie’s Castle

MALAYSIA PALING KORUP DI ASIA? MALU ATAU BANGGA?

PASPB: TERKINI!!!!UMNO/BN rejim paling korup di Asia deng...: Najib mahupun Mahathir boleh berhenti mendesak pengundi untuk setia pada BN. Apabila kerajaan tidak bertanggungjawab, korup, tidak kompet...

KISAH SEORANG LELAKI DARI SELATAN

DIA gemar bertegur-sapa, tak kira di mana, asalkan orang yang ditegur tak bengis, atau nampak bengis macam Exco Negeri di zaman BN memerintah dulu [saya teringat di Tg Karang, Selangor, punyalah bengis dan tak reti senyum hingga orang takut dengan orang Umno].
Dia kerap naik ke KL. Sebaik sampai Puduraya, dia pun hubungi kawan-kawannya di KL. "Oh, aku dah sampai KL, besok ada rumah?"
Maka soalan itu dibalas macam biasa oleh kawannya. Si kawan pun tunggu di rumah, kerana dia sudah kata besok nak datang rumah. Kawan ni sudah siapkan makanan separa istimewa, masak sendiri pula tu. Sayangnya, lelaki dari selatan ini tidak pun muncul.
Kalau tidak silap, sudah empat kali kawan ini terkena dek perangai lelaki dari selatan ini. Berjanji tidak ditepati. Kalau sudah janji, tiba-tiba tak boleh tunai janji, apa salahnya telefon semula? Beritahu, "Aku tak dapat datang sorry!" Sedap juga bagi orang yang menunggu. Adakah ini amalan munafikun?
Tetapi begitulah. Dia buat muka sardin. Sardin sekarang tengah naik harga. Di Chow Kit semalam RM9.00 sekilo. Tu pun kena pilih, kalau anda biarkan penjual pilih, konon tak mahu tangan kotor, alamat dapat ikan dah bonyot, lagi kalau taruh dalam bonet lama-lama.
Lelaki dari selatan ini entah bagaimana jumpa dengan seorang lelaki India. Lelaki itu aa bisnis man power. Dia selalu pergi Putrajaya untuk menguruskan segala dokumen dan sebagainya. Entah bagaimana ketika ronda-ronda di celah kota, dia terserempak dengan lelaki dari selatan. Maka terciptalah persahabatan yang menjanjikan.
"Pakcik bolehlah tolong saya uruskan bisnis saya, sebab kalau Pakcik ada cable lagi bagus," kata lelaki India itu kepada lelaki dari selatan.
Hasil dari pertemuan sekilas itulah, lelaki dari Klang itu jatuh cinta kepada lelaki dari selatan. Dia belanja makan dan minum.
"Habis macam mana saya mahu konteks Pakcik? Ada no telefon ka?"
"Tak ada," kata lelaki dari selatan.
"Tak palah, saya beli satu kasi Pakcik."
Maka lelaki dari Klang itu belikan telefon bimbit baru, tetapi jenis yang biasa. Orang kata kodi je. Budak sekolah pun tak mahu pakai, malu, hp tak canggih. Budak sekarang bukan macam dulu. Yang berani pakai telefon macam itu adalah orang berumur yang tak peduli nak guna hp canggih atau nak berGPRS, nak MMS atau SMS, atau nak berFB.
Setelah dibelikan semua, lelaki dari Klang pun masukkan data peribadinya, nama dan no hp masing-masing. Dua tiga kawan dalam kompeni dimasukkan. Semua geng lelaki dari Klang itu. Dan lelaki dari selatan pun seronok dapat hp baru meskipun murah. Kalau harga di mana-mana hanya RM75 atau RM85, tetapi disebabkan lelaki dari Klang itu hendak berlagak budiman, dia kena seratus lebih. Tak apa, tak apa, eksyen kita mahu!
Di pasar karat harganya dari RM20 - RM50. Tak percaya jenguklah.
Maka setelah memiliki hp baru, lelaki dari selatan pun balik ke rumah anaknya di Taman Sri Rampai, Setapak, KL.

TELEFON AWAM
Hp yang dia ada dia simpan. Simpan. Jadi dia tidak setkan lagi haribulan, dan jamnya. Sehinggalah apabila suatu hari dia tergerak pergi ke pondok telefon. Bukankah aneh? Sudah ada hp baru masih nak pergi pondok telefon?
"Hallo? Ada di rumah ya, aku datang," katanya.
Begitulah cara dia berkomunikasi, kena cepat dan pantas, sebab pondok telefon itu telan duit syiling.
Ngap, ngap, ngap, klintinggggggggg.
Tunggu punya tunggu, kawan yang menunggu itu sempat masak burger ayam dan burger daging. Jadilah. Kawan ini sudah banyak kali terkena. Janji nak datang, tapi tak datang.
Masak mi goreng basah pun tak datang, masak briyani pun tak datang, masak bihun goreng pun tak datang, kali ini biar dia makan burger spesial sahaja.
Disebabkan menunggu orang, kawan ini tidak dapat tinggalkan rumah. Maklum lelaki dari selatan ini menghadapi masalah komunikasi. Sudah ada hp baru tetapi masih kacau hp orang. "Dek boleh tolong pakcik hubungi kawan ni tak?" begitulah amalan yang biasa dia lakukan.
Sudah ada hp pun dia masih hendak cari pondok telefon awam atau jumpa budak-budak sekolah suruh hubungi si fulan dan si fulan.
Lepas solat asyar. Dia belum datang. Burger sedang dimasak. Elok juga panas-panas. Potong tomato, basuh daun salad, potong bawang Hollandia, panaskan roti burger siap belah.
Santapan petang memang sesuailah. Pekena teh o sudahlah. Sebab pakcik dari selatan ini tak minum susu, kopi pun tidak, jadi teh "o".
Kalau ada sesiapa order minuman begini di KL kadang-kadang jadi gaduh.
"Saya mahu teh "o"" kalau itulah yang diminta. Pelayan akan tanya, teh "o" panas atau sejuk? Begitu juga kalau minta teh, orang akan disoal, teh panas atau teh sejuk. Ini semua kerana pelayan Indonesia. Hingga ada pelanggan terangkan: kalau teh "o" dah tentu panas. Kalau saya kata teh "o" ais barulah ada ais, faham? Kebanyakan pelayan kedai makan dari Indonesia memang begitu, sibuk tanya panas sejuk. Padahal stail order di KL, selagi tak sebut ais, maka tak ada aisnya.
Akhirnya lelaki dari selatan sampai setelah orang solat jemaah Asyar bubar.
Dia sudah tercongok di depan rumah kawan yang telah siapkan burger tadi.
"Apa cite?" itulah soalan yang ditanya sambil tersengih. "Saya baru balik dari Perpustakaan Negara tadi," sambungnya.
"Dahsyat! Mencari ilmu di sana, gedung buku!" kata tuan rumah.
Mereka pun sembang-sembang sambil kawan tadi keluarkan air teh "o", burger dan kek yang siap potong atas piring.
Cerita punya cerita, lelaki dari selatan pun dedahkan hal dia berkawan dengan lelaki India dari Klang yang hendak bisnis man power. Lelaki itu harapkan dia membantunya dan siap belikan telefon bimbit.
"Mana? Cuba tengok!" kata kawan tadi meminta.
Setelah di pegang dia pun tekan itu ini. Rupanya ada lapan miss call tak dikesan oleh lelaki dari selatan. Itu panggilan dari Encik Ganesan, lelaki dari Klang yang hendak bisnis man power itu.
"Kenapa awak tak angkat?" tanya kawan ini kepada lelaki dari selatan.
"Aku tak reti nak jawab,"katanya selamba.

TAK RETI
Lepas itu kawan ini pun mengajar bagaimana hendak gunakan telefon itu. Sukar juga rupanya bagi orang yang sudah ketinggalan keretapi.
Begitu juga kalau dia baru nak belajar pegang PC atau laptop.
"Laaa...mesej pun ada ni!" kata kawan itu sambil tunjukkan sms dari siapa.
"Aku tak retilah," kata lelaki dari selatan yang sudah berusia angka 6 itu.
"Habis buat apalah Ganesan belikan hp untuk awak kalau awak tak reti pakai? Kenapa tak cakap terus terang. Bagi tahu Ganesan yang kamu tak reti pakai hp?" kata kawan itu macam kecewa.
Lelaki dari selatan tersengih.
Bukan setakat tidak tahu hendak menggunakan hp itu, dia pun tak faham apa itu sms dan apa itu miss call.
Kekadang istilah bahasa Inggeris lebih mudah daripada istilah bahasa Melayu untuk gunakan hp. Lagipun Nokia bukan buatan orang Melayu. Orang Melayu tak tahu buat telefon bimbit. Kalau boleh buat tentu sudah kecoh satu dunia. Macam dulu ketika kita buat Proton Saga edisi awal, hantar beberapa unit ke Jakarta. Suharto nak tertawa pun tak sampai hati, sebab Dr M ada depan dia. Orang dah buat helikopter, kita masih dengan Saga.
Akhirnya, kawan tadi pun setkan hp kawan dari selatan, Pak Rufi Rahman.Itulah nama dia. Kadang-kadang sengaja dipanggilnya DATUK. Jangan marah, ada orang suka guna gelaran hebat-hebat ketika jumpa kawan-kawan, bukan apa, ia ada unsur sinisme di dalamnya. Kena faham tu.
Dia ajarkan Pak Rufi bagaimana nak gunakan hp murah itu. Biar tak canggih, untuk belajar tak mengapa. Teramat canggih pun tak guna kalau tidak tahu pakai.
Terbukti. Kawan tadi pun dail nombor hp Pak Rufi. Dia suruh Pak Rufi jawab. Mana nak tekan? Pulak! Kemudian diajar satu persatu. Pak Rufi bukan setakat tak tahu guna langsung, bahkan tak nampak apa pun pada skrin yang ada. Habis nak guna macam mana? Marahlah Si Ganesan.
Dalam pada itu Pak Rufi kata, Ganesan mahu tolong dia. Tolong memudahkan urusan kerja. Kalau tak ada kereta, boleh pakai kereta kompeni. Pak Rufi tak reti bawak, lesen pun tak ada.
Kawan ini kata, lebih baik Pak Rufi setuju, disiapkan pemandu dan kereta sebiji. Duduk menyandar. Beli kot murah di pasar malam. Pakai tali leher lebar. Bawa beg hitam. Spek hitam. Wah! Kalah Datuk Sulaiman Abrar.
Kawan ini suka menyakat Pak Rufi. Disuruhnya Pak Rufi berlagak macam datuk-datuk. Siap ada pemandu peribadi. Habis kalau ada panggilan telefon untuk Datuk Rufi bagaimana? Kalau ada sms untuk Datuk Rufi bagaimana?
Inilah masalah yang menimpa Datuk Rufi Rahman. Dia sekarang sudah jadi rakan penting untuk bisnis man power. Jangan cakap urusan pekerja asing, nampak tak standard.
Man power lagi standard.
Tuan rumah solat maghrib. Pak Rufi ada di situ lagi. Isteri tuan rumah tak ada, sebab pergi ke rumah ibunya di Ampang.
Kawan ini solat sendirian. Datuk Rufi duduk relaks macam tak ada benda. Tak kan nak disuruh solat baru nak solat? Di rumah itu bukan ada sesiapa. Orang yang biasa solat, tak kira di mana, di rumah kawan pun dia nak solat juga. Sudah tentu hari itu Datuk Rufi sudah lalaikan solat Zuhur ketika lepak di Perpustakaan Negara Malaysia. Kemudian datang ke rumah kawan ketika jatuh waktu Asyar, lalu depan masjid kenapa tak singgah dulu?
Kemudian di rumah kawan ini kenapa tidak solat sekali? Inilah yang musykil sangat. Datuk Rufi sudah berumur. Sudah angka 6.. awalnya, tetapi kenapa tidak mahu berubah?

KESIMPULAN CERITA: 
Kisah ini bukan hendak mengata atau menyindir. Tetapi kenyataan sebenar di kalangan orang Melayu yang masih cuai dan abai sangat dengan perkara solat. Bayangkanlah, dia tidak hirau pun nak kerjakan solat, atau sibuk cari tempat solat. Seseorang yang ahli solat sudah dikenali daripada tindak-tanduknya. Dia akan mencari tempat solat, utamakan solat dan apa hal pun ia diutamakan. Berbeza dengan Datuk Rufi ini, dia tidak peduli solat, dan sepanjang kawan ini berkenalan dengan dia, tak pernah dia ikut ke Masjid Jamek KL,  tak pernah melapangkan masa ke masjid. Boleh jadi dia gerun atau phobia kepada masjid. Soal hp tak reti pakai tidak mustahak. Biarlah ketinggalan pun. Sebab sebagai seorang ORANG solat adalah perkara utama. []

Monday 2 July 2012

MEREMEHKAN SOLAT JEMAAH

ORANG BERJEJALAN pada hari Jumaat untuk mengerjakan solat Jumaat. Mereka sanggup bawa sejadah atau apa sahaja yang boleh digunakan untuk dijadikan pelapik.
Sudah tentu, mereka yang suka menunda ke masjid, leka bergebang di gerai, leka bersembang dengan kawan-kawan, dan apabila sudah azan baharulah sibuk mencari ruang untuk mencelah.
Di Kuala Lumpur, masjid sentiasa penuh, tak muat-muat, itu tandanya orang sangat mementingkan solat Jumaat, solat berjemaah.
Hanya di masjid atau surau tertentu sahaja yang padat ketika solat fardu. Meremehkan solat berjemaah akan membuatkan syaitan makin berani mendekati manusia.
"Tidaklah pada satu perkampungan atau pedalaman yang didalamnya terdapat tiga orang muslim, tetapi mereka tidak melaksanakan solat berjemaah, melainkan syaitan akan menguasai mereka.Hendaknya selalu melaksanakan solat berjemaah kerana serigala hanya akan menerkam kambing yang sendirian." [HR.Abu Dawud (1/150) dengan sanad hasan]
Surau dan masjid yang ada di tempat kita [tak semualah] bukanlah berisi sangat sebagaimana di bulan Ramadan minggu pertama dan kedua. Orang yang datang berjemaah pun paling tidak hanya dua baris atau sebaris penuh. Ada masanya, hanya ada sekitar 10 orang atau kurang dari itu. Ada kalanya ada empat orang sahaja walaupun ruang solat cukup luas.
Ini menggambarkan solat berjemaah memang telah diremehkan, orang memilih untuk solat sendirian atau melakukan penangguhan solat hingga ke akhir waktu.
Komen ini bukan untuk menggurui orang lain, tetapi sekadar catatan kecil, betapa masih ramai umat kita ini yang mengidap menyakit "phobia" kepada masjid atau surau.
Sepatutnya kalau rasa "phobia" kepada masjid, pergilah ke surau. Tetapi tidak, dua-dua sekali tidak dijengah. Kenapa? Ini faktor kebiasaan. Kalau sejak kecil, sejak remaja sudah biasa berjemaah, maka setelah dewasa mereka tidak perlu disuruh lagi.
Mungkin di antara kita ada yang perasan, terutama kalangan kawan-kawan sekerja, kawan sehobi, atau kawan segebang di gerai yang "phobia" kerana tidak ada asuhan dari kecil. Sekalipun tidak ada asuhan dari orang tua, kalau orang itu berkawan dengan orang yang sentiasa solat jemaah, lambat laun akan terikut-ikut juga.
Ramai orang kita yang meremehkan solat berjemaah. Mereka lebih selesa solat di rumah seorang diri. Di rumah pun kalau boleh berjemaah ada kebaikannya juga. Bukan tidak ada orang yang tak jenguk masjid dan surau tetapi di rumah mereka berjemaah bersama anak-anak dan seisi keluarga.
Kemudian mereka juga mengadakan semacam majlis ilmu walaupun dalam masa yang pendek.
Apabila orang meremehkan solat berjemaah, boleh jadi kerana tidak mengetahui kelebihannya, atau sengaja mengelakkan berjemaah kerana kesempitan waktu, maklum kerja yang tidak mengizinkan berjemaah. Kalau jemaah pun terburu-buru.
Umpamanya mereka yang mula kerja jam 7.00 pagi. Memang masanya cukup terhadap kerana mereka kena berdepan dengan kesesakan lalu-lintas.
Ada orang mandi pagi bersiap-siap nak pergi kerja pada pukul 4.30 pagi. Sampai di suatu tempat sudah pukul 5.40 pagi. Bolehlah bersiap-siap untuk solat berjemaah. Tetapi selesai solat, dia terus bangun dan bergegas ke tempat kerja. Mereka tidak perlu berwirid panjang macam orang lain. Kadang-kadang masalah kerja menyebabkan solat berjemaah jadi terhalang.
Memang orang fikir, ada golongan yang meremehkan solat jemaah. Bukan meremehkan sebenarnya. Mereka dihalangi oleh kerja harian. Itu yang terhalang oleh kerja, bagaimana yang memang sengaja tidak mahu mengerjakan solat, bukan sahaja solat berjemaah, solat sendiri pun tidak.
Ramai yang begini. Bahkan ada juga kawan-kawan yang bersikap begitu. Kalau masih muda lagi mungkin mereka fikir masa banyak lagi, bagaiamana yang sudah beruban pun masih leka dengan permasalahan dunia? Payah hendak diajak ke masjid atau surau kerana penyakit "phobia" tadi.
Rupa-rupanya, bukan mudah hendak ke masjid atau ke surau bagi yang tak pernah atau tak biasa jenguk tempat ibadat. Mereka rasa gemuruh yang amat sangat, atau kekok, tak tahu nak buat apa apabila sampai ke dewan solat.
Semua ini kerana faktor kebiasaan, dan peremehan solat yang sudah mendarah mendaging dalam kehidupan harian, atau di rumah tidak ada sesiapa yang mencontohi sesiapa pun.
Inilah bahana kalau di rumah lebih mengutamakan radio, televisyen dan kemudahan lain lagi. Mereka lebih utamakan hiburan. Ada yang bangun pagi-pagi sudah dengar lagu. Solat tidak diutamakan. Bahkan lebih gemar qada' solat setiap waktu solat.
Ada juga kalangan ibu bapa yang tidak boleh dicontohi. Setiap hari keluar, lepak di sana-sini, main dam atau main catur. Sudah senja baru hendak balik ke rumah. Orang sibuk di masjid atau surau, mereka masih dalam perjalanan hendak balik ke rumah. Jika ada yang begini, nescaya akan melahirkan generasi yang terbaik, di mana anak hendak meniru, bukan kepada guru atau orang lain tetapi kepada orang tuanya sendiri![]

TENTANG MISTIK DUIT LAMA ATAU NOMBOR SIRI

ADA ORANG MINAT KERIS LAMA, mereka beli mana-mana keris yang dianggap "berhantu" iaitu keris yang konon pernah kena darah manusia. Kalau keris lama, tahukah ia pernah tikam orang atau tidak? Tetapi itulah kegilaan manusia untuk mencari yang mistik dalam sesuatu benda.
Selain mencari keris lama, ada yang suka cari duit kertas atau duit logam lama. Ada perkiraan dan perhitungannya, kalau orang yang tak biasa dengan hobi begini janganlah ikut-ikutan. Mereka yang "ahli" dia tahu menilai duit bagaimana yang boleh disimpan.
Ada pemburu perihal mistik ini sanggup membeli harga mahal kalau duit lama yang dicari itu memang menepati ciri yang disebutkan. Di antara cirinya adalah nombor siri duit itu. Ada pak nujum pak belalang yang beritahu agar mencari duit sekian nilai dengan nombor siri sekian. Kalau ada bawa jumpa Pak Dukun untuk diritualkan, konon boleh mendatangkan "faedah" yang amat besar.
Nombor siri duit kertas ini sudah menjadi rebutan di kalangan peminat duit lama. Bukan setakat kumpul duit lama, malah mereka mempercayai konon duit itu ada "ong"nya berdasarkan firasat orang yang konon waskita.
Maka, dalam bab duit kertas lama ini, orang juga sibuk mencari duit lama gambar Sukarno, yang konon boleh bergulung sendiri atas tapak tangan.
Kehebohan duit dengan ciri pandai buat jimnastik ini sudah lama dicari orang kerana duit yang begitu amat sesuai digunakan untuk ritual tertentu. Ritual apa? Maksudnya ritual untuk buat duit lagi.
Kepercayaan karut ini entah rekaan bomoh atau orang pintar mana, tidak pula kita ketahui. Tahu-tahu sudah tersebar di sana-sini. Ia macam kisah batu delima merah, rendam dalam air jadi merah macam sirap. Atau sibuk mencari rantai babi [saya teringat seorang yang bergelar Ustaz pernah bertanya saya tentang rantai babi, kalau ada dia sangat berhajat].
Saya sendiri tak pernah tengok rantai babi. Mungkin kalau hendak juga kena pergi Sekincan, sana, mana tahu apek Song Kia ada bela babi. Tetapi mana babi ada rantai, ia dalam kandang?
Duit logam jenis lama juga jadi buruan orang bagi keperluan ritual tertentu. Ritual yang dimaksudkan banyak dikaitkan dengan ritual tarik duit, ritual panggil khadam jin, ritual memanggil nombor buntut [toto,magnum dan kuda].
Semua ini adalah kemistikan. Nilai sesuatu benda baik duit kertas lama, atau duit logam akan menjadi tinggi apabila ada orang pintar atau pak dukun mengatakan dia mahu duit logam bertarikh tahun sekian, atau dia mahu duit logam yang bergambar begini dan begitu, kemudian ada yang mahu duit kertas lama gambar Sukarno, atau gambar sampan layar dengan nombor siri ganjil atau nombor siri berdakap. Wah, macam-macam istilah yang mereka gunakan hingga orang terkeliru.
Itulah mistik, ia tidak semestinya mengikut ukuran standard, bahkan banyak yang direka-reka untuk mengelabui orang. Rekaan ini bermula dari mulut orang yang gemar bersila mengadap asap kemenyan dan kemudian memutar-belitkan cerita yang pelik-pelik agar orang melongo mendengarnya.
Ketika orang pintar berkata, "Carikan wang logam lama....carikan duit kertas yang nombor sirinya..." Semua ini adalah untuk buat nombor ramalan. Kepintaran itu tidak diketahui belajar dari mana. Namun berapa ramai umat yang terkeliru dengan permainan ini. []

KLINIK LAPTOP IMBI PLAZA: PAKISTANI

KALAU LAPTOP ANDA PENING ATAU SAKIT, KE klinik mana anda bawa? Sudah tentu anda akan repair sendiri kalau memang ada kemahiran melakukannya. Bagi yang tak tahu langsung nak cari "panadol" atau "paracetamol" kena bawalah ke tempat repair PC atau laptop anda.
Dari pengalaman menghadapi laptop meragam, saya pernah bawa ke suatu tempat di Plaza Idaman, Jalan Gombak Bt.5, dari satu tempat ke satu tempat, akhirnya laptop tu masuk "wad" dan ketika saya tunjukkan sebuah lagi laptop meragam, mereka kata tak boleh repair kerana kena "bongkar" semua baru boleh baik.
Laptop itu saya biarkan di situ. Biar dia baiki sampai sempurna, tak kira berapa hari pun. Bila dah siap saya kena bayar RM350.
Habis kisah. Tidak sampai tiga bulan, charger pun meragam. Ganti lain. Di sebuah kedai dapat charger gantian, ia original, hanya terpakai, tak ada siapa, ambillah murah sahaja. Mula-mula okay, tetapi kemudian jadi KO. Maka saya fikir apa salahnya bawa ke Imbi Plaza.
Kebetulan laptop itu dulu saya beli di situ. Kena repair juga, bab yang tidak dipedulikan oleh tukang repair yang dulu. Saya merujuk kepada kedai repair laptop orang Pakistan.
Memang di Imbi Plaza sekarang, ramai orang Pakistan buka bengkel repair PC dan laptop. Cubalah bagaimana caranya.
Alhamdulillah, laptop pertama dapat dibaiki tak sampai sehari. Boleh ambil hari ini juga. Tetapi disebabkan masa dah suntuk nak maghrib, nak ke surau, dan yang penting jalan jem, maka esoklah.
Esoknya hari Jumaat saya ke Plaza Imbi bawa sebuah lagi laptop untuk dibaiki.
Yang satu sudah selamat dan dapat charger baru. Kemudian yang kedua saya tunjukkan apa masalah. Dia repair depan saya, buka depan saya, cari spare part dengan tangkas. Test. Ganti keyboard sekali. Laptop itu saya beli di Low Yat Plaza, KL, tak jauh dari Imbi Plaza. Biasanya pekedai yang ada di Imbi Plaza juga ada cawangan di sana atau di Times Square. Wah! Hebat Pakistani ini. Dia buat kerja tangkas. Dan semuanya okay.
Termenung saya fikirkan kalau mendengar kelentong pekedai di Gombak itu hari. Di Gombak mereka gambarkan laptop ke dua sudah tak ada harapan lagi untuk hidup.
Tiba-tiba di Imbi Plaza, masalahnya kecil sahaja, keyboard kena tukar baru. berapa dia carge pertukaran ini? Kalau di Gombak dia beritahu saya kena RM180 untuk tukar keyboard sahaja, di Plaza Imbi, budak Pakistani itu hanya kenakan saya RM90, separuh daripada cerita di Gombak itu hari.
kalau begini saya akan bawa laptop ke tiga pula ke Imbi Plaza. Nescaya selamat dan jimat. Dulu saya semacam tak yakin dengan bebudak Pakistani repair laptop. Tetapi setelah berurusan dengan mereka, saya percaya, kalau tak ada kemahiran itu, mereka tak berani buka kedai di Imbi Plaza.
Pengajaran dari cerita mudah ini, orang tempatan cuba memperdaya pengguna yang jahil, manakala kelompok Pakistani ini berlaku jujur menyedari mereka perlu cari makan lama, kalau khidmat bagus orang akan rekomen bagus! Kalau dulu saya bawa ke Imbi Plaza mungkin saya bayar separuh daripada yang dikenakan tempoh hari. []

TEMBOK SEKOLAH PECAH DILANGGAR LORI

SEORANG KAWAN  yang saya kenali di Masjid Jamik Bandaraya [Jalan Tun Perak,KL] menghubungi saya lepas maghrib. Ada cerita menarik katanya. Apa cerita? Dia kata tembok sekolah rendah yang menghadap jalan utama sudah roboh kerana dilanggar lori.
Kenapa hubungi saya?
Dia mengadu guru besar sekolah, guru perempuan buat tak peduli walaupun sudah mengetahui dan sudah diberitahu tentang tembok itu pecah dirempuh lori dari Jalan Raja Laut.
Habis tu?
Kalau tembok yang pecah itu tidak dibaiki dengan segera, maka susahlah bagi pengawal keselamatan yang bertugas di situ, kerana peralatan penghawa dingin pun sudah hilang, besi penutup longkang pun orang sudah sapu, kemudian bilik tertentu diceroboh penyangak ambil benda-benda berharga.
Nampaknya, bangunan sekolah pun boleh jadi sasaran pencuri walaupun apa pengawal 24 jam. Kawan ini yang berasal dari Kedah, bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut.
Dia hubungi saya kerana ingin menyatakan masalahnya, sudahlah gaji kena potong kerana ada barang hilang di sekolah yang dijaga, pihak sekolah pula tidak peduli hendak membaiki tembok yang sudah pecah. Tugas kawalan menjadi sukar kerana sesiapa pun boleh masuk ke situ.
Nampaknya bangunan sekolah yang tidak ada apa benda berharga macam bank atau store barang antik pun jadi sasaran pencuri. Tidak hairan bangunan yang sunyi itu perlukan pengawal untuk menjaga keselamatan barangan di situ.
Akibat daripada tembok sekolah sudah pecah, ada kes kecurian di situ. Sudahnya, dia dan kawan lain kena potong gaji bagi menampung kehilangan benda berharga yang sepatutnya tak hilang kerana sudah ada pengawal di situ.
Dulu pun saya pernah beritahu dia, tempat yang sibuk di tepi Jalan Raja Laut, macam-macam hal boleh terjadi. Sesiapa pun boleh lakukan kerja-kerja tertentu bagi mengelabui orang ramai. Mereka boleh letak kon di tepi jalan, letak penanda kerja-kerja sedang dijalankan, mereka boleh bongkar itu dan ini, lagipun tak ada siapa peduli orang buat kerja waktu malam. Tiba-tiba penutup longkang hilang, alat pendingin hawa kena kebas, bilik tertentu diceroboh dan macam-macam lagi.
Tugas sekuriti makin mencabar. Mereka tidak boleh duduk di pondok kawalan sepanjang masa. Mereka kena ronda, bawa lampu picit sekalipun kawasan sekitar ada cahaya lampu limpah tepi jalan. Mereka juga kena bawa wisel. Ini tugasan asas.
Apabila telah berlaku kehilangan benda berharga di sekolah itu, kawan kita ini kena potong gaji.
Habis? Kenapa hubungi saya pula? Rupa-rupanya dia ingin agar masalah sekolah itu dipaparkan dalam akhbar tempatan. Dia tak faham, saya sudah lama tak baca akhbar tempatan, jadi saya tak kenal siapa wartawan apa pun. Jadi saya suruh dia telefon sahaja nombor yang dipaparkan dalam halaman kedua akhbar harian. Hubungi mereka untuk dapatkan cerita. "Tapi hang kena ceritalah apa masalah pada wartawan tu," kata saya.
Kemudian dia bimbang guru besar sekolah tidak setuju benda itu diwar-warkan dalam akhbar. Saya pun nasihat juga, kalau rasa tak penting, lupakan panggil wartawan. Cerita tembok pecah dilanggar lori tak penting. Yang penting kalau tembok itu melanggar lori.
Gara-gara kecurian di situ, kawannya sudah ditukarkan ke sekolah lain. Inilah nasib sekuriti. Macam pegawai masjid juga, suruh TGNA jadi imam solat Jumaat di masjid Pasir Gudang, JB, sudahnya dia kena tukar ke masjid lain.
Bagi saya, pegawai ronda syarikat sekuriti itu patut menyediakan pegawai bantuan waktu malam bagi mengawal sekolah berkenaan. Atau dua pengawal hendaklah sentiasa bersedia bergiliran meronda kawasan pagar sekolah, bawa peralatan yang sesuai ketika meronda. Jika mereka hanya duduk melangut di pondok kawalan, siapa pun berani masuk ke kawasan yang temboknya sudah terkoyak.
Atau mereka tidak benar-benar bertugas, mereka tidur hingga berjam-jam menyebabkan orang mengumpil benda penting pun mereka tak sedar. Sebenarnya ini bergantung kepada cara rondaan bersistem yang dilakukan. Setiap jam mereka kena buat rondaan. Mereka kena melakukan intipan dan pantauan berkala di sudut yang berlainan pada waktu malam. Itulah cadangan saya kepada kawan tadi.[]

TG NIK AZIZ JADI IMAM SOLAT JUMAAT DI JOHOR PUN KECOH.

SALAH SATU PERKARA PELIK yang sebenarnya bukan pelik dan tak menjadi hal apa pun, ialah apabila seorang Menteri Besar menjadi imam solat Jumaat, tiba-tiba pegawai masjid di situ kena tindakan disiplin ditukarkan ke masjid lain.
Setelah ditukar ke masjid lain, dia boleh rancang panggil lagi orang lain jadi imam solat Jumaat. Agaknya dia akan ditukarkan lagi ke masjid lain pula.
Begitulah kalau dia buat lagi di masjid yang lain, dia ditukarkan lagi dan lagi. Maka berkali-kali dia ditukarkan kerana membenarkan atau memberi laluan kepada orang luar untuk jadi imam solat Jumaat.
Baiklah. Nampak mudah. Dan bagaimana sekiranya, yang menjadi imam solat Jumaat pada ketika itu adalah seorang MB dari negeri Umno? Adakah petugas di masjid yang membenarkan MB Umno itu jadi imam solat dikenakan tindakan disiplin?
Jawapannya pasti tidak.
Tidak mungkin akan terjadi kerana tidak ada MB Umno yang berkelayakan untuk memimpin solat Jumaat, dan kalau ingin tunjuk juga, apa salahnya kita suruh Tuk Jib jadi imam solat Jumaat di mana-mana masjid. Sudah tentu tak ada sesiapa dikenakan tindakan disiplin.
Sebenarnya, tindakan disiplin yang dikenakan kepada seorang pegawai masjid yang konon melakukan kesalahan membenarkan MB Kelantan jadi imam solat itu sebagai satu penghinaan. Bukan sahaja menghina pegawai masjid yang diperintah pindah ke masjid lain, malah menghina MB Kelantan sekali.
Dia yang jadi imam di situ bukanlah atas kehendaknya kalau tidak dipelawa, dan beberapa kali dipelawa agar menerima pelawaan itu. Tidak ada orang luar datang ke sesebuah masjid tiba-tiba minta kebenaran ingin jadi imam solat. Tidak ada. Mungkin dalam Umno ada agaknya.
Jadi, apa peliknya kalau MB Kelantan jadi imam solat Jumaat? Memang tidak pelik. Dia langsung tak beri tazkirah pun di masjid "milik" Umno itu. Agaknya kalau bagi tazkirah, pegawai masjid itu terus dihantar ke luar negeri pula.
Itulah ketakutan yang luar biasa di negeri yang masih berpegang teguh dengan "mazhab" Umno, sehingga enggan menerima orang luar walaupun berkelayakan.
Rasanya, jika yang jadi imam solat itu Tuk Jib Razak, pegawai masjid itu tidak dikenakan apa-apa tindakan pun, atau silap haribulan dapat anugerah istimewa "Masjid 1Malaysia" kerana pertama kali dalam sejarah seorang PM jadi imam solat Jumaat.
Kenapa pegawai yang jujur itu dikenakan tindakan "buang padang"? Adakah kerana memberi ruang kepada MB Kelantan dari Pakatan Rakyat jadi imam solat? Bagaimana kalau ketika itu yang jadi imam adalah MB Johor? Atau KM Melaka? Sudah tentu tidak ada apa-apa isu pun. Yang jadi isu kerana bagaimana seorang pemimpin dari Pakatan Rakyat boleh jadi imam di situ? Ia dianggap zone Umno.
Puak-puak Umno kena sedar, zaman sudah berubah, zone Umno sudah berubah juga. Semuanya telah dirombak, tidak ada zone yang eksklusif lagi sekarang.
Dengan sebab ketakutan itulah, orang jadi imam solat pun menjadi isu besar.[]

KES SKANDAL SCORPENE BUKAN FITNAH

BAGI MEREKA YANG MENDUKUNG DAN SIMPATI KETERLALUAN TERHADAP PM, maka mereka menuduh pihak tertentu sengaja besar-besarkan isu skandal Scorpene.
Memanglah begitu. Jika anda bercerita tentang skandal ini di depan orang-orang Umno, mereka jadi cuak dan cuba mengelak. Mereka rasa alergik mendengar cerita ini apalagi kalau ia sudah menjadi bahan sensasi seluruh dunia, di mana-mana media mereka melaporkan skandal yang terhebat di abad ini.
Skandal yang dilaporkan itu bukanlah fitnah. Fitnah lain. Sesuatu yang direka-reka untuk menjadikan sebuah kes, dan kemudian mendapat dukungan dari berbagai pihak, sehingga orang mempercayai, didendangkan setiap hari melalui media nasional, maka ia adalah fitnah.
Sedangkan skandal Scorpene bukanlah fitnah, ia merupakan fakta, ada bahan bukti, dan setelah diselidik secara mendalam ia memang benar-benar wujud. Jika ia fitnah tidak mungkin Altantunya budak Mongolia itu dibunuh dengan kejamnya di bumi Malaysia. Masalahnya, siapa yang mengarahkan agar budak itu dibunuh? Kenapa ia dibunuh? Mustahak sangatkah dia dibunuh?
Sudah tentu ada seseorang yang menyuruh agar dia dibunuh atau dilenyapkan dari bumi ini.
Kemudian kenapa dia perlu dibunuh? Sudah tentu ada rangkaian cerita yang sepatutnya disebut di mahkamah, sayangnya ia tidak menjadi kenyataan, ia tidak seperti drama bersiri macam X-Files itu. Jauh sekali, akhirnya, semua orang tidak puas hati dan tertanya-tanya. Ini kes apa?
Kemudian orang bertanya, kenapa data peribadi kemasukan budak Mongolia di airport telah dipadam? Apa gunanya dipadam, mustahakkah ia dipadam? Adakah memang sudah menjadi kelaziman, data-data kemasukan rakyat asing di airport kita padamkan, atau hanya budak Mongolia itu sahaja yang dipadamkan?
Apakah pemadaman ini tidak menjadi suatu kesalahan jika dilakukan oleh petugas airport. Atau mungkin ada orang tertentu yang mengarahkan agar ia dipadam, tetapi siapa pula yang mengarahkan?
Kalau menurut skrip sebuah penyiasatan yang hebat, ia meliputi semua sekali, dan tidak mengambil pada satu segmen kecil seolah-olah penyiasatan itu sengaja dihadkan skopnya.
Di sinilah punca yang menyebabkan rakyat keliru. Mereka bertanya, ini kes apa?
Bahkan orang kampung pun tahu cerita sebenar dan mereka sudah dapat memetakan minda mereka bahawa  ada kisah misteri yang sengaja dirahsiakan kepada publik.
Setakat ini media di negara jiran sudah paparkan hal skandal Scorpene, di Kampuche pun sudah, Taiwan pun sudah, Kanada pun sudah apalagi media di Eropah sana.
Mungkin ada komentar dalam blog yang menggunakan nama samaran marah kerana orang asyik bicara tentang skandal ini tak habis-habis. Bukan makin redup, malah makin leluasa sifatnya. Mereka tidak boleh marahkan pembangkang, ini bukan agenda pembang. Kalaulah budak Mongolia itu dibunuh dan kes itu melibatkan pemimpin pembangkang, rasanya puak-puak Umno pun happy mengusung cerita ini setiap hari.
Sudah tentu media Umno akan besar-besarkan, dan minta siasat, macam-macam hal lagi. Dan apa yang disentuh tentang data di airport, motif pembunuhan, siapa arahkan pembunuhan, dan apa sahajalah akan diungkit oleh media Umno. Akan tetapi kerana kes ini melibatkan maruah Umno, maka mereka begitu berhati-hati dan gerun, malah menyifatkan laporan tentang skandal Scorpene ini agenda pembangkang dan menggunakan Suaram sebagai perantaranya.
Begitulah tanggapan bagi pihak yang simpati kepada kelompok yang terlibat dengan skandal tersebut. Jadi, kita jangan mudah melatah. Kita selalu seronok hendak memfitnah orang lain, tetapi apabila terkena diri sendiri, atau terkena pemimpin sanjungan anda, maka anda menolaknya.
Ini adalah naluri manusia. Sesiapa pun begitu. Pendeknya, kalau anda tidak mahu difitnah, jangan sesekali memfitnah orang pula. Memang ada orang gembira memfitnah dan membogelkan orang, akan tetapi apabila terkena diri sendiri, apabila ada orang lain nak bogelkan anda, anda marah dan begitu marah sekali.
Apa pun skandal Scorpene yang sedang hangat diperkatakan di Paris sana bukanlah skandal kecil, ia melibatkan tokoh terkenal, atau dalam istilah yang biasa media kita sebut, kes berprofile tinggi! []

SKANDAL SCORPENE MENJADI LAPORAN DUNIA: HEBAT MALAYSIA.

PASPB: TERSEBAR LAGI!!!Scandal Scorpene disiar oleh 'The ...: Walaupun Kerajaan Malaysia yang diterajui UMNO/BN cuba sedaya upaya untuk menggelapkan berita ini.. Setelah beberapa negara meny...

ADA AKU KESAH??: Perbicaraan di Perancis: Kebangkitan Altantuya dan...

ADA AKU KESAH??: Perbicaraan di Perancis: Kebangkitan Altantuya dan...: 19 Oktober 2006 ialah hari yang menjadi perhatian apabila seorang wanita tidak berdosa yang dipercayai sedang mengandung telah di bunuh den...

Sunday 1 July 2012

MINGGUAN MALAYSIA TAK TAHU FAKTA: MENIPU TAK HABIS-HABIS

Batu vs Kayu: Utusan fitnah lagi,

SOKONGLAH DAN DUKUNGLAH KAMI: LEPAS TU LUPA SEMUANYA

SUDAH BERTAHUN-TAHUN BEGITULAH. setiap kali pilihan raya, kemenangan diberikan kepada calon-calon orang Umno. Jadi, mereka pun seronoklah, dapat kerja selama lima tahun atau sepenggal. Dapat sepenggal pun sudah memadai kalau di luar bandar. Berlaku perubahan yang hebat bagi Adun atau MP dari Umno, sebabnya ketika itu PR  belum wujud, tak ada saingan, Pas tak kuat macam sekarang.
Asal Umno bertanding pasti memang. Itu dulu. Sebab itu tak hairanlah, bila saya balik kampung tanya kawan-kawan, apa khabar bekas Adun kita dulu? Wah, bang, bekas Adun tu dah senang, isteri ada empat.
Jadi matlamat jadi Adun dulu adalah untuk mendapatkan kesenangan duniawi dan kesyahwatan. Maka bekas Adun itu senyap menikus. Ini satu contoh Adun yang duduk di kampung kawasan sawah padi dan kelapa sawit [ini kes di Sg Panjang, Selangor].
Bagaimana Adun atau MP lain dalam kelompok camar Umno?

MEMBURU KEHEBATAN
Wah, mereka hebat. Keluarga mereka hebat. Rumahnya hebat di tepi jalan. Apa nak hairan? Kita tidak perlu hairan kalau rumah Adun atau bekas Adun dalam Umno hebat-hebat kerana matlamat mereka memburu jawatan dengan memerangkap orang kampung undi mereka adalah bagi tujuan duniawi.
Biasanya, sebelum mengundi, begitulah yang ditaburkan, tak perlu cerita, macam akhbar, TV dan radio Umno kata, semuanya muluk-muluk belaka, pendeknya kalau ada orang kampung berak tak ada siapa cebok, calon yang nak bertanding itu sanggup mencebokkan demi SATU undi!

MELUAT
Zaman sudah berubah. Orang kampung sekarang semakin benci dan meluat dengan orang-orang Umno, tak kira pemimpin atasan atau bawahan. Mereka meluat kerana LAGAK mereka keterlaluan.
Bagaimana lagak pemimpin Umno di pusat, begitu jugalah juak-juaknya di peringkat bawahan.
Orang Umno tak fikir perkara ini, kerana mereka fikir, orang kampung mudah dibeli, bagi kain pelikat, bagi beras, ikan kering, sardin, sekotak bantuan AZAM 1MALAYSIA sudah memadai.
Mentaliti ini sudah silap sebenarnya. Orang kampung sudah pandai.
Berilah apa sahaja. Nak bagi BRIM KE-2 pun orang sapu. Lagipun mereka sudah tahu, tidak ada duit pemimpin Umno pun di situ. Semuanya duit rakyat.
Orang kampung pun sudah faham, kenapa mereka dapat duit ciput begitu. Mereka tahu, Umno sudah buat onar, dengan macam-macam skandal kewangan, lebur sana, lebur sini, bukan seribu dua malah juta-juta, ratusan juta, ratusan ribu juga, billion, sampai tak terkira dibuatnya. Belum lagi duit yang lesap tak tahu punca. Betapa hebat menteri-menteri Melayu bekerja.

TIDAK RASA MALU
Tidaklah para pemimpin pusat malu kalau melihat kerenah para menterinya yang terlibat dengan macam-macam hal. Skandal kapal selam pun sudah cukup, belum lagi skandal Pelabuhan Klang, skandal NFC, dan khabarnya banyak lagi skandal yang boleh dikorek, sebab selama Umno menguasai pusat, selama itulah skandal demi skandal disenyapkan, mereka lebih suka ajak rakyat berhibur, bikin festival, bikin sayembara, bikin konsert, maka orang Melayu pun mabuk dengan hiburan sehingga lupa dengan masalah yang sudah disebut-sebut sebelumnya.
Kalau kita melihat lintang-pukang para pemimpin Umno hendak menarik sokongan rakyat, nampak sangat mereka seperti kehilangan arah. Mereka macam cemas tak menentu. Kebangkitan rakyat, perubahan politik di luar negara semuanya memberi kesan secara tak langsung. Ini yang menghantui para pemimpin Umno.
Orang Melayu merasakan, BN tidak wujud. Yang ada Umno sahaja. Tidak nampak fungsi MCA, MIC, Gerakan dan parti menempel yang lainnya termasuk dari Sarawak.

KERENAH
Hanya Umno yang menonjol, itu sebab PR lebih fokos untuk membungkam Umno awal-awal lagi. Umnolah parti yang banyak kerenah. Menggunakan sentimen Melayu yang assobiyah. Mereka masih menggunapakai acuan lama, mereka tak faham-faham dengan perubahan yang melanda seluruh dunia.
Umno masih hendak mengekalkan sistem lama, pemimpinnya masih bercakap soal pembangunan luar bandar, masih bercakap tentang kemudahan awam di bandar-bandar, masih bercakap tentang saham untuk rakyat dan macam-macam lagi.
Nampak benar sekarang Umno semakin sukar hendak memikat hati rakyat. Dasar Umno yang mementingkan corak kehidupan borjuis, mengutamakan kekayaan golongan atasan dan koporat, mengutamakan golongan bangsawan yang mahu merebut semua peluang yang ada, maka selagi impian mereka begitu, rakyat di bawah akan terabai.

SLOGAN KOSONG
Biar mereka bicara tentang slogan rakyat didahulukan, ia masih gagal diterjemahkan. Didahulukan dalam bentuk apa dan bagaimana pelaksanaannya?
Di sini, slogan hanya diterjemah dalam bentuk risalah dan hebahan dalam media. Pencanangan oleh media begitu gah. Ia memberi gambaran sekilas bahawa semua masalah selesai dengan sekali ucapan dengan iringan tepuk tangan yang gemuruh dalam dewan atau stadium.
Sayangnya, kehadiran yang ada di dewan atau stadium itu adalah para petugas atau AJK majlis itu sahaja. Kemudian kumpulan yang ditugaskan untuk membantu mereka.

BUNGKUS
Sokongan dan dukungan dari rakyat diperlukan kerana Umno perlukan mandat. Bukan mandat. Sokongan dan dukungan sangat diperlukan sebagai talian hayat, kerana usia Umno makin kritikal. Jika parti ini bungkus, bermakna para pemimpin yang telah mengambil banyak bahagian di dalam segala projek besar akan gundah-gulana.
Bayangkanlah, segala projek mega di Kuala Lumpur ini tetap melibatkan tokoh-tokoh dalam Umno. Mereka tidak pernah ketinggalan, ada sahaja ruang dan peluang untuk mereka untuk membesarkan tembolok. Orang kampung diminta mengundi, setelah diundi, mereka menang dan menguasai semua, dapat jawatan penting dalam kabinet, kemudian mulalah merebut semua peluang yang ada.
Kalau boleh biar mereka mengusai beratus-ratus syarikat, berikan kepada suku-sakat, anak isteri, dan contoh terbaik dalam perkara ini adalah apa yang telah dilakukan oleh Dr. M. Itu sebab walaupun sudah tak jadi PM dia masih menggelabah tak tentu hala.
Rasanya bukan dia seorang. Para pemimpin kecil di luar bandar, asal dari kelompok Umno juga begitu. Contoh dalam kes Pelabuhan Klang itu, ia turut mengaitkan dengan tokoh di luar bandar. Semuanya ada kepentingan selagi dalam perut Umno.
Inilah yang rakyat tidak mahu. Mereka keterlaluan dalam pembolotan kek ekonomi. Bukan mereka pandai, tetapi mereka menggunakan kedudukan dalam politik Umno untuk mengkayakan diri sendiri.

TUKAR KONSEP
Kita harap, Pakatan Rakyat mampu menukar konsep yang telah dicorak oleh Umno selama ini. Umno telah merosakkan sistem, Umno hanya melahirkan golongan kaya dari kelompok terpilih sahaja. Orang Melayu bawahan cukup sekadar sekotak bantuan AZAM yang kononnya akan mengakhiri zaman miskin.
Bolehkah miskin dihapuskan dengan sekotak bantuan AZAM 1 MALAYSIA dari pemimpin Umno Wangsa Maju misalnya?
Kemiskinan tidak boleh dihapus kalau sekadar slogan, tepuk sorak, majlis penyampaian bantuan duit tunai dan sekotak barang keperluan dapur. Sedangkan bantuan kepada para pemimpin besar Umno adalah ratusan juta, bantuan projek, dilantik jadi pengarah itu dan ini, dan macam-macam gelaran, termasuk membesarkan lagi pingat yang sudah ada.

JASA
Hanya pemimpin atau orang Umno sahajakah yang berjasa? Tidak. Mereka tak ada jasa apa pun sebenarnya. Jasa mereka adalah merebut segala peluang yang ada. Jangan hairan orang muda Umno sudah bergelar Datuk atau Tan Sri. Semua ini bukan kerana jasa kepada rakyat. Terlalu muda untuk berjasa, tapi anugerah semata-mata kerana mereka Umno.
Orang yang mengharapkan dukungan dan sokongan ini adalah orang yang bermasalah dalam politik dan tindakan mereka di masa lalu. Rekod menunjukkan banyak skandal yang terpalit. Maka untuk menyelamatkan keadaan, apa pun mereka perlu memang. Beri mandat sepenggal lagi. Tolong ya! []

PILIHAN RAYA MUSIM HAJI YANG DIRANCANGKAN : Sebuah Panduan Hukum

Pilihanraya Musim Haji : Sebuah Panduan Hukum