Monday 31 December 2012

KONSERTO TERAKHIR AMBANG 2013

ADA beberapa perkara menarik untuk dicatat tentang sambutan "Ambang 2013" - sebab kalau boleh saya tak mahu sebut tahun baru. Lagipun kita sudah meraikan Awal Muharam yang merupakan tahun bagi kita semua.
Malam tadi, riuh di sana-sini. Pendeknya semua tempat ada sahaja acara sambutan untuk menghitung detik jam 12.00 tengah malam. Acara ada yang berlanjutan sampai pagi.
Saya tak ada poin nak ulas banyak kerana tidak jenguk pun jendela kota dan di mana-mana ada acara termasuk menonton tv [ulamak nasihatkan agar jauhkan dari tv].
Tetapi ketika menyemak blog tergerak pula nak membuka sebuah laman yang menyiarkan program secara langsung dari Dataran Putrajaya, Presint 3 tajaan sebuah bank terkenal.
Program itu bagi saya adalah ulangan yang pernah ada 20 tahun dulu. Macam itu jugalah cara yang dipersembahkan, ada pengacara yang mengomel bicarakan tentang ambang tahun baru, ada siaran secara langsung dari lokasi tertentu, ada ucapan tokoh dan berbagai lagi.
Yang sudah mesti, di setiap tempat ada barisan artis yang diundang. Disebabkan terlalu banyak tempat yang hendak dimeriahkan, bilangan artis terpaksa dipecah-pecahkan, dibahagi-bahagikan, akhirnya timbullah nama artis yang tidak menyerlah atau yang suam-suam kuku.
Ketika mereka membuat persembahan, seperti zaman 20 tahun dulu juga lagi showmanshipnya. Tidak ada beza. Kalau pakai cermin mata gelap, maka sampai sekarang masih pakai lagi walaupun sedar hari sudah malam. Bukan apa, silau lampu di pentas, spotlight melampau-lampau. Sekali tak apa, siang malam pun begitu juga.
Dan kebanyakan artis yang diundang hanya menyanyikan lagu yang diistilah "cari makan" di kalangan para penganjur acara hiburan pentas. Mereka nyanyi asal menyanyi sudahlah, jangan bersungguh sangat. Mungkin mereka keletihan membuat latihan persembahan sebelah petangnya atau bagaimana.
Persembahan Mizz Nina yang terkinja-kinja, berlari ke kanan dan kiri pentas, memanglah orang kata dia begitu bertenaga malam itu. Tetapi lagunya banyak lagu orang putih. Berapa ramai orang putih yang nak dengar lagu Inggeris nyanyian lidah Melayu?
Tidak ada seorang penyanyi kita yang berjaya di peringkat antarabangsa dengan membawa lidah Melayu. Mungkin bagi Mizz Nina, dengan cara itu orang akan ingat sampai bila-bila. Persembahannya datar, memilih lagu rancak yang senada seperti lagu "Take Over" itu [guna minus one].
Persemban M.Nasir, Hattan, Jamal Abdillah, Ramli Sarip begitu mendatar, santai, hanya duduk bagai orang nak baca puisi di pentas.
Tidak mengapa, asalkan tidak terkinja-kinja tak tentu hala. Dunia artis kita bukan besar mana dan tak sehebat mana pun. Jadi artis perlu bertasyabuh kepada artis terkenal yang popular di luar sana. Itulah acuan yang sebenar.
Adakah seseorang itu rasa rugi sebab tak jenguk Putrajaya? Mereka yang tak keluar langsung dari rumah adalah golongan yang beruntung. Bilangan penonton yang membanjiri Putrajaya sudah tentu kelompok Melayu yang dominan. Di mana-mana pun begitu, tanyalah siapa yang pergi Padang Kota Lama, Penang, tanyalah siapa yang pergi Mydin Ipoh, atau di KL sendiri [saya tak ada maklumat program apa -maaf].
Secara keseluruhan, acara sambutan ambang 2013 masih mengekalkan cara lama, cara yang tahun 80-an dulu. Memang penganjur hiburan kena fikirkan sesuatu yang baru. Memang sukar.
Acara pentas sudah jadi hambar jika penyanyi yang melompat-lompat itu asyik depa tangan, lurus ke atas, suruh orang tepuk tangan, suruh orang angkat tangan, atau suruh orang menari macam dia. Ini Malaysia!
Dan apakah molek penonton yang bertudung menutup aurat [tidak tahu pakai seluar ketat atau apa] disuruh menarik-nari, tentulah tak kena.
Dalam bab bunga api, tidak ada apa yang istimewa. Mungkin bagi kalangan remaja, kanak-kanak, bunga api dianggap acara yang paling penting dan kemuncak. Jadi, dengan acara yang pelbagai itu, ambang 2013 disambut dengan lesu, ramai yang mengantuk kerana balik lewat, lepak di kedai mamak, lepak di taman-taman, lepak di dataran, lepak di mana-mana sehingga larut pagi.
"Inilah cara kami sambut tahun baru bang!" kata mereka dengan megah. Ya, teruskan!
Ini belum bab kelesuan kerana terdampar di hotel budget, hotel murah, hotel mahal pun lagi bagus. Mereka tersadai di situ kerana tak ada pengangkutan lagi. Ini cerita biasa seperti 20 atau 30 tahun dulu!
Secara keseluruhan sambutan ambang 2013 disambut biasa-biasa sahaja dengan kelesuan! []

IBU TUNGGAL SELANGOR

SEBENARNYA kalau nak dikatakan persatuan ibu tunggal, maka di Selangor ini sudah ada dua kelompok Ibu Tunggal [mungkin lebih pun] satu menyokong Umno dan satu PR. Di antara dua ini, persatuan di bawah kepak PR tidak menghadapi masalah kerana memang mereka berhak menganggotai persatuan itu dan mendapat bantuan bulanan sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan PR.
Kecoh ibu tunggal yang terbaru sehingga hendak menyaman semua, bukan lahir dari gerak hati para ibu tunggal itu, melainkan ada tangan-tangan ghaib yang meminta mereka bertindak begitu bagi melepaskan geram ke atas kerajaan Negeri Selangor yang sudah berada di bawah PR.
Bantuan untuk ibu tunggal ini untuk Selangor, ia memang khusus untuk PR, berbeza dengan BRIM yang UBN lakukan, ia menyeluruh, sebagai sebuah kerajaan yang mengaku hebat tidak mungkin akan bagi kepada rakyat Umno sahaja? Itu menampakkan ketempangan.
Mungkin ada juga persatuan ibu tunggal yang tidak terikat langsung dengan kepolitikan atau di bawah NGO. Selalunya, apa program pun yang dibuat di bawah kerajaan BN tetap fokus untuk menambahkan bilangan pengundi - jangan temberanglah nak mengatakan ia untuk membantu rakyat semuanya.
Berapa ramai rakyat yang langsung tak peduli dengan program yang pihak tertentu buat? Kalau setakat berlonggok, mendengar amanat, berbaris tuju meja, isi borang, siap keluarkan MyKad dan bahan sokongan lain, semua ini sudah klise.
Walaupun saya bukan penyokong Umno, tetapi saya pernah hadir di majlis apa pun yang Umno dan BN buat. Memanglah kalangan pemerhati akan mengatakan sambutan hangat! Mereka tidak tahu siapa yang datang ke situ. Ucapan para pemimpin mereka senada dengan ucapan Menteri Selangor yang dikatakan pemohon bantuan untuk Ibu Tunggal itu kena buktikan mereka adalah penyokong PR.
Ucapan MB Selangor ini bukan luar biasa, kerana majlis bertemu atau bersama rakyat yang pihak UBN anjurkan kerap menyeru perkara yang sama. Bahkan apa program pun semuanya menyeru agar rakyat pilih mana kerajaan yang terbaik dan jangan menyesal. Maksudnya, kalau pilih PR rakyat akan menyesal, manakala pilih UBN rakyat akan bahagia. Ini belum dibuktikan lagi.
Kalau kita semak iklan-iklan yang dipaparkan, mereka ambil pendapat beberapa orang tokoh, bercakap tentang keamanan yang dikecapi di negara kita ini hendaklah dikekalkan untuk pembangunan negara.
Maksudnya, kalau pilih PR keamanan negara kita tidak akan dikecapi lagi.
Atas alasan apa kalau pilih UBN keamanan yang ada hari ini terus dikecapi rakyat? Dan kalau memilih PR negara tidak stabil? Ia seolah-olah ada perancangan misteri yang sengaja dicipta untuk menakut-nakutkan rakyat agar jangan mencari perubahan.
Berbalik kepada soal ibu tunggal tadi, isunya bukan bantuan RM100 yang tak sebanyak mana, duit itu kata orang ciput sahaja, tetapi sengaja perkara dibangkitkan bagi "mencabar" kerajaan Selangor. Kerana ini salah satu misi UBN hendak tumbangkan Kerajaan Selangor. Bukankah baru sekarang mereka menyatakan amat sayang kepada Selangor, sedangkan sebelum itu mereka pandang lekeh kepada Selangor kerana semua yang ada hendak dimiliki.
Mitos lama sudah rosak. Dulu, mereka selesa sebagai sebuah kerajaan yang didakwa sebagai stabil. Dengan sebab kestabilan itulah, kekayaan negeri digerogoti habis. Rakyat diperbodohkan supaya jadi petani dan peladang, gunakan teknologi moden untuk memajukan pertanian. Dan bukan tidak ada di kalangan mereka yang tidak gemar kalau rakyat Selangor belajar tinggi-tinggi, sebabnya nanti semua akan melawan taukey!
Jadi, disuruhkan duduk di kampung. Suruh tanam sayur dan bela ayam itik. Suruh jadi nelayan. Jangan hijrah.
Mentaliti biar aku senang dan pedulikan orang lain sudah terbaja sekian lama.
Dalam isu ibu tunggal tadi, ia adalah mainan politik. Mainan politik yang sama seperti dalam isu air. Pendeknya, menjelang nak pilihan raya ini, apa sahaja modal yang boleh dibangkitkan, mereka akan isukan. Kalau sesiapa yang suka baca Utusan, Berita, NST dan akhbar yang senada [saya tak baca langsung], tidak ada hari yang bebas daripada mereka menyiarkan hal-hal negatif tentang kerajaan PR.
Rakyat sudah sedia maklum, isu ibu tunggal tidaklah penting kerana ia sengaja dijadikan bahan untuk mengisukan sesuatu. Bukankah dalam persoalan ini telah muncul tokoh-tokoh yang lantang bersuara? []

MAIN CATUR DI TEPI JALAN [CHOW KIT]

PERMAINAN catur tidaklah popular di kalangan orang kita.
Jika popular, sudah tentu ada seorang jaguh catur dari Malaysia dikenali seperti mana orang kenal jaguh squasy yang kita ada.
Catur ini khabarnya adalah permainan golongan elitis di masa silam. Atas kapal mereka main catur pada waktu petang ketika duduk santai di pelabuhan atau dalam pelayaran.
Mereka boleh main catur di jeti, kawasan pelabuhan tempat mereka berlonggok nak habiskan masa.
Di Chow Kit, Kuala Lumpur, adalah suatu pemandangan biasa melihat orang berlonggok sambil main catur di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka tak peduli pun dengan kesibukan yang ada. Tak peduli orang lalu-lalang.
Mereka tetap tekun mengamati pergerakan buah catur lawan. Mereka begitu tekun main catur hingga berjam-jam begitu.
Orang pun tertanya-tanya, kerja apa mereka ini?
Asyik main catur dari petang sampai malam?
Hobi bang! Macam orang main dam aji.
Sudah berkali-kali haji, solat fardu pun tinggal juga kata orang menyindir golongan ini.
Pengaruh dam haji dan catur ini sama sahaja. Sama juga orang asyik bermain karom.
Jentik buah karom ada tekniknya, kepandaian menolak buah karom lawan adalah skill yang bukan sebarangan.
Baiklah, menurut sebuah catatan, Ibnu Umar pernah ditanya tentang catur.
Dia berkata, "Catur itu lebih jahat daripada dadu."
Kalau begitu, orang pun tidak suka main catur sebab ia lebih teruk daripada main dadu.
Abu Musa al-Asy'ari berkata:
"Tidak akan bermain catur kecuali orang yang keliru."
Riwayat dari Aisyah r.a. bahawa dia membenci perkara yang melelahkan sekalipun tidak ada pertaruhan.
Kemudian Abu Said al-Khudry juga membenci permainan catur. Inilah qaul para sahabat, dan tidak ada satu pun yang berselisih pendapat tentang catur.
Imam Baihaqy meriwayatkan tentang kebencian bermain catur.
Dari Yazid bin Abu Habib dan Muhammad bin Sirin Ibrahim dari Malik bin Anas, kami mengatakan, istilah karohah -dibenci- banyak digunakan ulama salaf dan umumnya bermaksud tidak menyukainya.
Mungkin ada catatan lain tentang catur. Bolehlah ditambah. Wallahu a'lam. []

CARI DANA GHAIB DI TAHUN BARU

MESKI sudah menjejaki tahun baru 2013, masih ada sekelompok umat yang memikirkan bagaimana hendak mendapatkan dana ghaib sebagai salah satu resolusi tahun baru. Kira macam azamlah. Apa azam abang? "Oh, abang fikir nak giatkan lagi usaha untuk mendapatkan dana ghaib!"
Dana ghaib itu apa?
Dana ghaib ini macam cerita dongeng. Ada orang kata memang ada dana ghaib kalau orang itu ada ilmu untuk mendapatkannya.
Jadi, cerita dana ghaib ini adalah salah satu hiburan orang-orang sekarang yang diwujudkan sekadar menimbulkan semangat untuk berusaha.
Mereka berusaha dan terus berusaha. Ini salah satu ikhtiar. Mereka yang berkecimpung dalam pencarian dana ghaib mempunyai senarai dana yang boleh dihajatkan.
Namanya pun dana ghaib, jadi ia ada dana yang berada di alam ghaib. Semua ini permainan para pawang dan dukun dana ghaib. Jangan tanya kepada pawang keris atau dukun angka bertuah, mereka tidak tahu. Setiap orang ada kepakaran masing-masing. Pakar dana ghaib ini memang ada, mereka menekuni bidang ini sejak puluhan tahun sehingga dia sangat matang dengan dana ghaib.
Dana ghaib ini bolehlah dianggap sebagai salah satu persugihan. Ada orang kaya kerana jalankan perniagaan hebat dengan modal pusingan sampai ratusan juta, terutama yang dapat dukungan politik.
Kumpulan orang kaya yang dipayungi ini memang ramai, itu sebabnya mereka jadi gundah gulana kalau payung yang ada hari ini reput, koyak atau terbang dipukul ribut.
Nah, bagi yang sibuk mencari dana ghaib, mereka selalu sebut beberapa dana yang tersohor. Antaranya:
[1]. Dana ghaib dari nenek kebayan - ini paling sukar dicari. Lokasinya pun tidak diketahui. Hanya orang tertentu yang pernah berkomunikasi dengan nenek kebayan tahu di mana nak jumpa nenek. Nenek sedia menolong sesiapa yang ikhlas, ditunjukkan di mana ada harta tersimpan, baik dalam tanah atau dalam busut. Syaratnya, jangan sombong kepada nenek. Jangan anggap nenek itu orang gila. Jangan anggap nenek merayau-rayau tepi hutan tak tentu hala. Pendeknya jangan buruk sangka kepada nenek. Dalam bab ini, bimbang juga ada jin atau syaitan yang menyamar sebagai nenek kebayan, dia menipu orang yang ghairah dengan dana ghaib ini.
[2]. Dana ghaib dari alam bunian - sudah ramai terkecoh dengan dana ini. Ada yang kata, mereka ada bank ghaib, dia akan bagi cek untuk ditunaikan di dalam bank mereka. Ada yang kena berkahwin dengan anak dara bunian untuk mendapatkan dana ghaib itu, atau menjadi sahabat bunian. Di mana lokasinya? Ini pun masih samar-samar, ada yang menyebut di hutan anu, di kampung anu, pendeknya, lain orang, lain pula khabar yang dituturkan. Ini yang menyebabkan hobi mencari dana semakin menarik. Bahkan sampai lupa kepada hobi memancing.
[3]. Dana ghaib dari jin-jin dan syaitan - dalam bab ini ramai yang terpedaya kerana menemui orang bijak bistari yang mendakwa boleh berhubung dengan Tuk itu dan Tuk ini, Moyang itu dan ini, dan menyebut nama pelik-pelik. Padahal semua ini adalah temberang jin dan syaitan yang memperdaya. Jika kita harapkan bantuan pawang atau dukun temberang, maka kesudahannya kita jadi penat, terperangkap dengan jebak syaitan. Ini yang patut dielakkan.
[4]. Dana ghaib dari mimpi - ini pun kes yang jarang terjadi. Bukan senang nak dapatkan mimpi orang berjubah putih beritahu cucu boleh pergi sekian tempat kerana Tuk nak beri sesuatu. Seorang Raden pernah mengalami mimpi seperti ini menyebabkan dia sanggup duduk "bertapa" di atas gunung, akhirnya dia dapat sebuntil duit dari puteri makhluk halus. Dia juga mendakwa bertapa dalam gua, dan mendapat selendang serta senjata mistik dari dana ghaib.
[5].Dana ghaib dari cerita kawan - bukan tidak ada orang bercerita tentang dana ghaib di sesuatu tempat. Hasil dari cerita orang yang disembangkan. Siapa yang kemaruk dana ghaib dia akan berusaha untuk mencarinya walaupun ia hanya cerita orang. Sebab mereka fikir, "Mana tahu?" Ini awal tahun, kalau nasib menyebelahi diri.
[6]. Dana-dana ghaib lain yang tidak diketahui.

Soal wujud atau tidak dana ghaib bukan persoalan kepada orang yang minat cari dana ghaib.
Mereka menganggap memang ada penguasa dana ghaib dari kalangan siluman - iblis dan syaitan. Jadi, kena masuk perangkap iblis dan syaitan untuk dapatkan dana ghaib ini.
Untuk dapatkan dana ghaib akan ada ritual seperti pembacaan mantera di tempat yang menyeramkan, di tempat yang tidak masuk akal, di tempat yang orang tak pernah fikirkan, tetapi peminat dana ghaib semacam tahu di sesuatu tempat itu ada auranya.
Nak dapatkan dana ghaib kena ada perantaranya atau pembimbingnya. Minat bagaimana pun kepada dana ghaib, kalau tidak ada orang yang jadi pemandu di depan, dana ghaib tidak akan diperoleh secara mudah.
Maknanya, tak boleh buat sendiri-sendiri. Masuk gua duduk bertapa tak tentu hala, kalau berlaku apa-apa bagaimana? Di Jawa mereka sebut jurukunci atau kuncen [Jawa].
Khabarnya Sang Kuncen -yang memegang kuncinya- tahu nama penguasa yang memiliki dana ghaib itu. Dia tahu apa syarat yang diperlukan untuk dapatkan dana ghaib. Dia juga akan mengajarkan peminat dana ghaib membaca atau merafal mantera pelik yang dianggap boleh membuka tabir ghaib.
Yang jadi soalan, dana ghaib itu milik siapa? Penguasa yang namanya pelik-pelik itu hanya memegang amanah sahaja. Dia akan berikan kepada siapa sahaja yang memenuhi syarat yang ditetapkan.
Jadi, soal dana ini pun masih misteri. Orang tak tahu bank itu milik siapa. Yang orang sebut ia milik bangsa bunian, ia milik jin, ia milik syaitan atau iblis.
Ada dana ghaib yang aman. Maksudnya, boleh diambil harta yang diberikan itu dengan tanpa mengadakan apa-apa ritual pun. Jadi, tak perlu bimbang selepas memperoleh dana akan timbul musibah atau terjadi semacam korban dan penumbalan.
Yang orang takut adalah dana dari siluman syaitan dan iblis. Ia kelas berat. Ia boleh berikan dana ghaib untuk menolong orang yang sudah kepepet duit, tapi, ada syaratnya. Syaitan dan iblis kerjanya menyesatkan orang, maka siapa yang kemaruk kepada dana ghaib, dijadikan orang itu "murtad" atau "kafir" dahulu baharulah segala ritual menjadi. Permintaan akan dipenuhi.
Sejauh mana dana ghaib ini popular?
Ia hanya popular pada nama sahaja. Ceritanya hebat dan menggebu-gebu, tetapi memandangkan yang minat hanya dalam bentuk cerita hiburan, maka dana ghaib hanya berupa cerita hiburan. Fiksyen.
Ada tujuan tertentu mereka bercakap tentang dana ghaib. Bagi orang yang tidak tahu apa cerita, mudah pula ikut masuk kelab pencari dana ghaib. Keluarkan modal pusingan untuk dapatkan dana ghaib.
Disebabkan pengaruh cerita dana ghaib, ada yang sanggup keluarkan duit simpanan bagi membayar itu dan ini, termasuk mendapatkan bahan-bahan dikehendaki yang pelik-pelik untuk keluarkan dana ghaib.
Andainya syarat itu hanya rekaan pak dukun, siapa pun tidak tahu.
Sebenarnya, tidak ada kitab apa pun tentang dana ghaib ini. Ia hanya kegemaran seseorang untuk menerokai dunia supranatural. Seperti orang suka mendaki gunung, mengembara ke hutan rimba, maka mencari dana ghaib juga sebahagian daripada adventure yang digemari orang. Wallahu a'lam. []

BEDAH OTAK SUDAH ADA DI ZAMAN FIR'AUN

MESIR PURBA selalu dikaitkan dengan Fir'aun sebuah kuasa besar pada masa silam. Kehebatan Fir'aun itu sama seperti kedudukan Amerika Syarikat pada hari ini. Dia yang menguasai dunia, semua kena dengar cakap dia. Pada masa dulu suara Fir'aun itu digeruni. Bukan soal Fir'aun yang kita nak sentuh kali ini, kerana cerita Fir'aun semua orang sudah tahu terutama bagi mereka yang menyelusuri sejarah para Nabi yang diutus - Nabi Yaakub, Nabi Yusuf, Nabi Musa dan Nabi Harun.
Yang kita nak sentuh adalah tentang betapa hebatnya teknologi perubatan Mesir Purba. Meski purba, ia bukanlah purba seperti yang kita fahami. Kepurbaan Mesir ini adalah ketamadunan yang berteknologi tinggi pada zamannya.
Bayangkan, setelah carigali dan uji kaji semua legasi dari Fir'aun yang terpendam dalam tanah maka pakar dunia moden telah menemukan beberapa fakta yang mengejutkan.
Antaranya, meskipun ia purba, sudah ada kaedah perubatan yang kita kenal hari ini, sudah ada kajian tentang anatomi, sudah ada perancangan bandar, senibina, senihalus dan tekstil.
Meski kepurbaan itu telah wujud sejak 3000 SM, mereka sudah ada tekniknya yang tersendiri untuk buat pembedahan. Contohnya, dalam kes pembedahan otak manusia, mereka juga sudah tahu mengunakan apa yang kita kenal hari ini sebagai antibiotik.
Pengkaji memikirkan bagaimana mereka boleh mengawetkan mayat Fir'aun dan suku-sakatnya. Mereka tahu mengawetkan mumi atau mumifikasi yang sangat kompleks. Dikatakan kompleks kerana, kita sendiri tidak tahu bagaimana kaedah mengawetkan mayat sehingga tahan lama, tahan sampai ke tahun 2013!
Bayangkanlah, bagaimana hebatnya teknologi mumifikasi yang mereka ciptakan. Dari mana mereka belajar ini semua? Apakah mereka mempunyai perguruan dalam bidang perubatan pada masa itu?
Cerdik pandai hari ini mula memikirkan beberapa perkara, antatanya:
Dalam soal mumifikasi ini, mereka telah melakukan kerja makmal perubatan yang hebat. Dilakukan secara bertahap. Mula-mula mereka membedah otak mayat itu, otak dan organ dalaman lain dikeluarkan. Mumi yang kita lihat hari ini sudah kosong dalamnya.
Kemudian mayat yang sudah dikosongkan itu dinyahhidratkan selama 40 hari dengan menggunakan sejenis bahan garam mineral campuran sodium bikarbonat, sodium karbonat, sedikit sodium klorida dan sodium sulfat. Campuran ini mereka namakan sebagai Natron.
Rongga mayat yang sudah dikosongkan tadi kemudian dimasukkan kain linen, pasir atau habuk kayu. Kulit mayat disapu dengan campuran herba khas dan selapis campuran damar. Semuanya kemudian dibungkus kain linen. Mereka sudah tahu mencipta kain linen, bererti memang ada kilang linen di kalangan masyarakat Mesir Purba selain mereka membawa dari luar negeri [jika ada bukti sejarah menyatakan demikian].
Kita tidak usah pergi jauh, lihat sahaja senibina piramid itu sendiri. Siapa yang memulakan bentuk piramid itu, siapa yang menciptanya? Khabarnya, seni berbentuk piramid ini juga wujud di Jawa kerana binaan itu telah tertimbus oleh bencana alam pada masa silam. Susunan batu dalam pembinaan Candi banyak meniru kaedah piramid, tetapi diubah dalam susunan lain.
Orang sekarang tidak mampu bina piramid sebesar yang wujud di zaman Mesir Purba. Bolehkah? Pasti tidak mampu.
Jika syarat diletakkan, anda binalah sebuah piramid sebesar itu tanpa menggunakan kren, tanpa lori besar, tanpa alat-alat moden yang kita gunakan hari ini, jangan guna jentolak atau apa sahaja. Gunakan tenaga manusia 100%, berapa banyak tenaga manusia yang hendak digunakan?
Orang moden tak mampu mungkin melakukan kerja berat begitu sekiranya tanpa alat yang moden. Pembinaan semula Candi Borobudur [kerjasama UNESCO] menggunakan alat moden siap kren semua.
Nah, renungkan, menurut catatan, sebuah Piramid memerlukan 2.5 juta blok batu. Sedangkan orang Mesir purba siapkan Piramid bukan dalam masa setahun dua, malah hingga 20-30 tahun! Bayangkan. Keluasan tapak asas Piramid itu 5.5 ekar. Yang peliknya mereka membina Piramid 2000 tahun sebelum adanya teori Pythagoras Greek.
Mungkin teori itu elok dinamakan teori Piramid Mesir Purba dan bukan milik orang Greek. Atau memang pakar-pakar dari Greek turut diundang oleh Fir'aun untuk melakar bentuk Piramid yang akan dijadikan kenangan di kemudian hari.
Ketika menyambut ambang tahun 2013 ini, cuba kita fikirkan apakah umat Melayu ini mempunyai kehebatan seperti kecanggihan di zaman purba itu? []

KITAB MAJMU' SYARIFF

BUKU KECIL yang diberjudul Majmu' Syariff ini ada dalam simpanan saya, kerana ia buku yang ditinggalkan oleh seorang kawan yang berasal dari Bulungan, Kalimantan Timur, ketika dia tinggal di Taman Sri Watan, Ampang, Selangor [2009].
Buku ini memang sudah lama dijual di mana-mana pasar malam, pasar pagi, pesta-pesta, atau di depan masjid pada hari Jumaat, bahkan di malam markas Tabligh di Taman Sri Petaling pun ada yang menjualnya.
Ia bukanlah sebuah kitab apa, hanya di kalangan yang prihatin, mereka kata kitab ini tidak jelas kedudukannya.
Siapa pengarang atau penyusun kitab tersebut? Asalnya bertulisan jawi, disebabkan ramai tak tahu baca, ia dirumikan seperti yang ada hari ini. Ia diterbitkan di Jakarta [al-Maktabah as-Sa'diyah].
Seorang mualij di Sumatera, mengatakan dia memiliki beberapa versi buku tersebut iaitu hadiah daripada orang yang datang berubat kepadanya. Orang itu mengaku telah mengamalkan beberapa doa dan zikir yang ada dalam buku itu. Bukan tak ada doa dan zikir yang ma'tsur di dalam buku itu, bagi kalangan awam mereka tidak pernah memerika keabsahannya.
Mengikut catatan mualij tersebut ada versi lain terbitan Bintang Terang, Jakarta, terjemahan Abdullah Afif Thaifuri; ada juga yang diterbitkan oleh Mutiara Ilmu, Surabaya terjemahan Achmad Sunarto.
Apa masalahnya dengan buku ini?
Sebenarnya tidak ada masalah sangat kalau orang itu tidak menekuni isinya. Kata mualij tadi, buku ini diragui walaupun telah diterjemahkan oleh nama yang jelas wujud. Identiti penyusun dirahsiakan.
Di dalam bukunya Buku Pintar Jin, Sihir & Ruqyah Syar'iyyah,[ 2010],Musdar Bustamam Tambusai mengomentari tentang Doa Akasyah dan fadilatnya. Dalam buku kecil itu ada dinyatakan tentang keutamaan Doa Akasyah, contohnya:

"Barangsiapa yang membaca doa ini sehari sekali, setahun sekali atau seumur hidup sekali - jika tidak dapat membaca, maka tulisannya saja diletakkan di dalam rumah - Allah akan memberi ampunan atas segala dosanya." [hal.750]

Musdar berkata, ini jelas mengada-ada [bid'ah] dan sangat bertentangan dengan akidah Islam yang murni. Bahkan dapat menjurus kepada syirik kerana meyakini jimat -kertas bertuliskan doa ini yang diletakkan/ditempel di rumah- dapat menghapuskan dosanya.
Dari mana mereka dapat keterangan fadilat ini sehingga begitu yakin akan kebenarannya?
Kemudian, ada fadilat yang lebih hebat lagi. Iaitu jika ada orang meninggal dunia, tulislah doa ini pada kain kafan. Jika didatangi malaikat Munkar dan Nakir untuk bertanyakan sesuatu, insya-Allah mayat akan dapat menjawabnya. Disebutkan dalam kitab itu, dengan "dalil" al-Qur'an:
"Sesungguhnya Aku malu menyeksa engkau kerana doa ini." [?] itulah yang menyebabkan ia lepas dari seksa kubur kerana berkah doa ini.
Saya tak mahu ulas apa-apa, tetapi Musdar berkata:
"Beraninya penulis buku ini membuat-buat suatu pernyataan yang jelas-jelas bertentangan dengan akidah dan syariat." [hal.751]

Sahabat saya di Alai, Melaka juga amalkan doa Akashah ini. Dia ada beri "tazkirah" kepada saya agar amalkan doa ini, tetapi kerana fadilatnya begitu HEBAT sekali, saya jadi gerun nak mengamalkan, ia selaras dengan komentar dari Musdar tadi.
Dan saya teringat, seorang mamak [India Muslim] yang suka lepak di masjid Jamek LRT KL pernah beritahu tentang kelebihan doa ini. Dan itulah yang dia amalkan menurut pegangannya. Itupun saya tidak ambil kisah setelah meneliti fadilatnya begitu luar biasa. Dengan berpandukan buku susunan Musdar itu, saya telah dapat jawapan apa sebenarnya Doa Akashah. Wallahu a'lam. [] 

AMBANG TAHUN BARU 2013 DISAMBUT SAKAN

SAYA TERTARIK dengan satu tazkirah di sebuah masjid di pinggir Kuala Lumpur. Ustaz ini ada menyebut tentang kemeriahan orang nak menyambut tahun baru 2013.
Dataran Merdeka, kata ustaz ini sudah tentu menjadi lapangan sasar untuk sambutan tahun baru. Dan dia menyebut seperti mana tahun lepas, dataran itu sudah jadi tempat orang lepak, muda-mudi bersosial lebih, maklum malam itu ada permit [malam inilah maksudnya] -- dan yang melucukan kata ustaz tadi, cuba hitung, mulai 1hb,Januari 2013 hingga bukan Oktober 2013 nanti, apa dia?
Akan ada kes-kes jahiliyah yang lebih teruk daripada zaman silam.
Nanti akan ada wanita Islam membuang bayinya di depan rumah orang, diletakkan di depan surau atau masjid, ada yang meletakkan di tempat pembuangan sampah, di letakkan di tepi tandas, atau dipam ke dalam mangkuk tandas, itu belum bab campak bayi dari bangunan tinggi.
Walaupun kata-kata ustaz ini penuh dengan nada gurauan, kenyataannya itulah yang perlu kita telan. Kita kena terima, bahawa masyarakat kita sudah edan. Bukan zaman atau tahun yang edan. Tahun dan zaman bukan milik kita, justeru kita tidak boleh salahkan tahun dan zaman.
Menjelang tahun baru 2013 ini ada beberapa kelompok yang sedih sangat kerana menyambut tahun baru. Bukan sedih kerana umur makin meningkat, tetapi apa yang mereka ramalkan tidak tepat dan tidak menjadi.
Orang suku Maya, sudah tentu suku Maya ini sudah pupus, yang tinggal adalah legasinya. Kalendar suku Maya ini atau artifak tinggalan budaya mereka masih dikenang orang. Salah satunya adalah pengiraan dalam kalendar suku Maya. Mereka meramalkan kiamat berlaku pada bulan Disember yang sudah berlalu. Di mana nak letak muka?
Bukan itu sahaja, ada juga kajian bahawa bumi ini akan bergelap selama beberapa hari. Itupun tidak menjadi juga. Ada dua kajian yang dijadikan patukan utama. Ujian dari peninggalan suku Maya yang tidak boleh dipakai lagi. Ia ada pengiraan zaman silam. Mereka mengira berdasarkan kepercayaan agama pagan. Kemudian kajian kedua dari pihak NASA yang juga dikira hebat dan terkini. Kajian mereka juga tidak menjadi.
Jadi, sebagai umat Islam, kita tidak boleh berpandukan kepada mitos kaum pagan seperti orang Maya ini. Budaya kita dengan mereka jauh sangat, tak ada pertalian pun. Lagipun sebagai umat Islam kiamat adalah perkhabaran ghaib yang disebut di dalam al-Qur'an dan al-Hadis. Dua perkara ini yang menjadi rujukan kita. Kita tidak mampu hendak menghurai lebih lanjut, maka kita merujuk kepada para ulama masa silam yang telah mengeluarkan pendapat dan bahasan mengenai perkara kiamat ini dari berbagai sudut. Pandangan merekalah yang menjadi patukan kita hari ini. Kita tidak boleh menafsirkan perkara ghaib ini kerana kita tidak ada kemampuan di segi itu meskipun kita berada di zaman yang serba-serbi mempunyai - kepakaran, kecanggihan referensi dan sebagainya.
Kita tetap merujuk kepada kitab-kitab karangan ulama masa silam yang kupasannya mampu bertahan hingga ke zaman ini. Boleh dibawa ke depan. Inilah kehebatan mereka.
Menyentuh tentang ambang tahun 2013, kita tidak perlulah meraikan kedatangan tahun baru seperti cara orang Barat melakukan. Buat apa kita nak bertasyabuh sampai begitu sekali. Cukuplah kita mengambil manfaat yang baik dan bukan manfaat yang menyesakkan.
Tetapi jangan bimbang, malam ini anak muda berhuha-huha hingga ke pagi. Muzik keras dan lembut dipentaskan malam ini. Bunga api memercikkan cahaya di ruang angkasa, dan anak-anak muda termasuk yang tua bertepuk gembira -- terasa bahawa hanya mereka sahaja yang meraikan kehadiran tahun baru yang baru. Dan mungkin ketika sibuk meraikan itu, akan berlaku kemalangan di sana-sini, tengoklah esok. Kemudian yang sudah MESTI pihak jurugambar akan sibuk mencari cerita kelahiran bayi tahun baru. Silap haribulan ada yang menamakan anak Mat Januari! Elina Janua!
Tidak kurang hebatnya, operasi tahun baru. Maklum ada cuti lagi. Maka akan ada kes-kes samun, rompak, rogol, curi, ugut, beduk dahi, terjang, tendang dan macam-macam lagi, maklumlah malam tahun baru, kita kena "khayal sikit bang!" Yang kaki tonggang akan menonggang sampai satu barel, tak cukup minum dia masuk dalam tong sekali berendam di dalamnya. Sambutan malam tahun baru 2013 sudah tentu diraikan sama hebatnya oleh pihak televisyen kita. Alhamdulillah saya tak tengok tv, sebab tak ada tv pun. Kenapa? Cuba semak (surah ash-Shaff [61]: 2-3).
Sudah tentu baru yang benci kepada budaya hedonisme ini, mereka tak akan tengok tv kita malam ini, malam menjelang tahun baru, menunggu detik jam 12.00 tengah malam. Mereka yang biasa ke masjid dan surau akan meneruskan kebiasaan, kalau ada majlis ilmu, lebih baik tumpu ke situ. Ia lebih bermanfaat daripada menyaksikan bunga api yang mekar di angkasa itu. []

Wednesday 5 December 2012

KENAPA GANGGU ORANG LAIN CERAMAH?

SESUATU YANG PASTI di mana pihak Pakatan Rakyat akan mengadakan majlis ceramah baik berskala kecil atau besar akan ada sahaja puak-puak "gerun" mengadakan majlis yang serupa bagi tujuan mengganggu ceramah. Tujuan hanya untuk menyakitkan hati lawan, ini adalah provokasi secara lembut, orang buat pameran dia buat pameran, orang buat pentas dia pun buat pentas, orang buat pentas bergerak dia belum buat lagi.
Pertembungan antara UBN[Umno BN] memang disengajakan oleh pihak tertentu kerana ini adalah perancangan yang sudah diatur menurut taklimat gerak gempur yang mereka telah putuskan. Di mana ada PR di situ UBN akan buat kacau-ganggu. Bolehlah dianggapkan bahawa UBN adalah puak pengacau ganggu dalam apa sahaja program PR.
Perkara ini telah terbukti berlaku di mana-mana. Kumpulan yang bolehlah dianggap kecewa dengan perkembangan yang ada sekarang bertindak secara serampangan sesuai dengan arahan yang telah diputuskan oleh pihak atasannya.
Yang menjadi kelebihan kepada puak UBN mereka seolah-olah boleh melakukan apa sahaja kerana tindakan mereka dibentengi oleh tangan-tangan ghaib yang memberi konotasi, ia tidak akan berakhir dengan siasatan walaupun berguni laporan telah dibuat oleh pihak yang dianiaya. Imuniti yang mereka peroleh ini menyebabkan kesamsengan menjadi bercambah.
Kebetulan ada pihak yang berkedudukan melontarkan semacam amaran bahawa akan berlaku lagi kekecohan antara kaum [rujuk 13Mei] seandainya UBN mengalami kemerosotan sokongan dalam pilihan raya mendatang.
Sebenarnya tindak-tanduk dan segala keresahan yang dialami oleh para pemimpin dan bawahannya menggambarkan keadaan sebenar dalam UBN. Mereka terlalu bimbang kuasa yang menyebabkan mereka berkuasa, yang membolehkan mereka menguasai semua projek besar negara, mengagih-agihkan kekayaan negara secara sembarangan, semua perlakuan ini akan berakhir apabila negara diambil-alih oleh PR.
Yang mereka bimbang akan berlakulah siri-siri pendedahan yang mengaibkan dan pengurusan negara. Berbagai projek besar yang menguntungkan kroni dan puak tertentu sudahnya diketahui oleh rakyat, semuanya hanya berlegar di kalangan pembesar, kalangan elitis, bangsawan dan macam-macam lagi.
Tetapi itulah yang diinginkan oleh rakyat. Mereka juga patut tahu kenapa sesuatu projek besar itu dianugerahkan kepada seorang perempuan tertentu [misalnya], apakah kerana kedudukan, kerana kebijaksanaan, kerana politik atau kerana ada unsur "suapan" yang menyebabkan berlaku tindakan lain yang memberi manfaat kepada yang memberi projek.
Sebenarnya, jika didedahkan satu persatu segala projek besar dan sederhana, semuanya dikuasai oleh golongan tertentu sahaja. Manakala kalangan rakyat tidak dapat apa-apa, yang mereka mahukan dari rakyat adalah sokongan padu yang tak ada makna. Biarlah rakyat dalam keadaan biasa, yang kerja sendiri, yang kerja kilang, yang kutip sampah atau tangkap ikan di Sungai Klang. Pendeknya slogan rakyat didahulukan itu hanya retorik sahaja. Orang seronok tepuk tangan ketika ia dilancarkan buat pertama kali. Dek kerana terlampau seronok, kalimat rakyat didahulukan digunakan sewenang-wenang.
Jika didedahkan dan diketahui rakyat apa yang terjadi? Rakyat akan kecewa betapa penggerogotan harta negara ini dilakukan secara melampaui had kewarasan. Harta dunia tidak dapat dibawa ke mana, apabila seseorang menemui ajalnya, harta itu ditinggalkan begitu sahaja. Bahkan rakyat pun mengetahui bahawa cinta dunia telah dipupuk begitu lama.
Kenapa pihak samseng sibuk ganggu ceramah orang lain? Jika kedudukan mereka kukuh dan kebal, mereka tidak akan membuat ceramah dan kacauganggu yang sama. Jika mereka stabil, mereka tidak akan risau dengan seribu ceramah satu malam pun. Apa hendak dirisaukan, mereka mempunyai radio dan televisyen. Setiap rumah ada televisyen [bagi orang yang berilmu mereka mengurangkan atau menutup terus televisyen kerana ia adalah punca kemaksiatan umat]. Mereka juga ada akhbar yang sentiasa memburuk-burukkan orang lain, menabur fitnah dan memperlekeh usaha pihak lain walaupun telah diberi mandat.
Senang cakap, mereka seolah-olah ingin mengatakan bahawa lebih baik parti-parti dalam PR tidak usah bertanding, bagi kemenangan percuma kepada UBN. Biarkan UBN memerintah sekali lagi, dan hubaya-hubaya dalam UBN pun seronok meneruskan projek yang terbengkalai.
Andainya nak beri ceramah pun tak boleh, agar sama adil, televisyen yang ada tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menghasut rakyat membenci pemimpin PR. Utusan, Berita, Strait Times, Star, dan apa sahaja akbar termasuk Sinar Harian janganlah menghasut rakyat untuk membenci PR.
Pilihanraya dibenarkan mengikut perlembagaan. Kalau takut kalah, lebih baik tak payah adakan pilihan raya, buatkan sistem kuku besi macam setengah negara. Di negara yang maju tidak terdengar kempen pilihan raya diganggu macam cara kita. Nampak benarlah kita tidak bertamadun. Perkara ini memalukan. Sepatutnya kita membuang imej samseng dan ganas. Wallahu a'lam. []

LINTANG PUKANG: DARI SAMSENG,BOMOH, KOPI PUTERI GEDIK DAN SUSU MONYET BERGAYUT

KALAU ORANG TANYA kenapa lintang pukang?

1. Sebab ketika berjalan di tepi perkuburan tadi [meskipun naik motosikal] nampak ada lembaga putih di tepi tembok. Ia seakan-akan makhluk yang digeruni. Dek kerana tak ada persiapan mental, maka dia pun lari lintang-pukang.
2. Ketika buat perhimpunan dengar ceramah para pemimpin Pakatan Rakyat [PR] ada hujan batu, hujan serpihan pasu bunga, hujan lemparan dari tangan-tangan misteri. Maka kerana ada yang luka di dahi terkena lemparan itu, keadaan jadi tak tentu arah, ada yang lari lintang-pukang. Bukan yang dibaling, tetapi yang melemparkan serpihan pasu bunga itulah yang lari lintang-pukang, kenapa? Bimbang identitinya diketahui budak dari kampung mana, berapa dapat bayaran untuk kerja pecah pasu  dan baling semua ini? Umum sudah mengetahui, kerna jahat begini hanya jadi amalan pihak yang berkuasa. Pihak yang belum berkuasa tidak mampu buat kerja begini.
3. Ketika duduk berdua-duaan di kawasan sunyi, tak kiralah di mana pun, tiba-tiba ada operasi. Maka pasangan yang ada pun lintang-pukang. Yang sedang berbaring-baring untuk melampiaskan syahwat juga terkial-kial membetulkan itu dan ini untuk lari ke mana sahaja. Lintang-pukanglah jadinya.
4. Ketika berada di sebuah hotel budget untuk berseronok, tiba-tiba pintu diketuk berulangkali. Siapa pulak? Jangan-jangan Pegawai Perikanan atau Penguatkuasa Pengangkutan Lebuhraya buat operasi maksiat? [Salah bang! Ya, saya tahu].
5. Ketika seorang VIP duduk bersila depan bomoh tiba-tiba datang orang dikenali yang juga VIP juga. Maka dia lari lintang-pukang ikut pintu belakang. Sebab kalau perkara ini bocor, habis satu dunia orang cerita. Masuk blog, FB dan macam-macam. Cerita bersila depan bomoh ini kalau zaman dulu dianggap biasa aje, tetapi apabila orang sudah berilmu, mereka tahu apa hukum duduk bersila depan bomoh, usahkan nak tanya itu dan ini dan kemudian mempercayainya, mematuhi aturan ritualnya, nak jengah pun tak boleh. Akan tetapi ia sudah jadi budaya masyarakat kita, tak dapat bomoh Jawa, cari bomoh Banjar, bomoh Pasiaman, bomoh Lampung, bomoh Kerinci, bomoh Boyan, bomoh Orang Asli, jumpa Tuk Baba, Tuk Sami dan macam-macam lagi. Bukan lintang-pukang sebab nak mengelak orang tahu, fikiran mereka yang jumpa bomoh juga lintang-pukang!
6. Membaca laporan dari pihak yang bebas dan terkini menyebabkan suasana semakin lintang-pukang. Apa nak jadi ni? Orang itu kata pemimpin utama negara buat gitu dan gini. Maka tercemarlah sudah imejnya. Banyak sangat perkara yang dipersoalkan orang, semuanya fakta belaka dan tak boleh nak elak. Bukan sahaja fikiran rakyat yang memikirkan jadi lintang-pukang, para pemimpin atasan pun apa kurangnya, hanya kita tak tahu adakah mereka terpaksa telan pil tidur atau bagaimana. Memikirkan soal ini pun kita jadi lintang-pukang juga jadinya.
7. Suasana politik negara kita sebenarnya tenang, tak ada apa yang lintang-pukangnya. Akan tetapi media jahat yang dimainkan oleh minda dan jejari wartawan jahat, maka tersebarlah kejahatan di sana-sini. Tersebarlah fitnah yang menyebabkan suasana menjadi lintang-pukang. Tidak tersusun. Sebelah pihak bina satu pihak merombaknya. Fitnah adalah amalan umat bagi menjayakan cita-cita mereka.
8.Kalau kita tengok pengaruh media moden hari ini, akhbar pun makin lintang-pukang. Ada yang bertahan dan ada yang lingkup. Ada akhbar yang terpaksa diberi percuma di tengah bandar. Semak punya semak editorialnya sudah berubah, bukan orang dulu. Ke mana? Nak buat perubahan atau merosot kerana lebih Umnoisme isinya? Jadi, dalam dunia kewartawanan pun berlaku kelintangpukangannya. Hanya sekarang mudah tak macam dulu. Tajuk muka depan boleh ubah 10 kali pun dengan mudah. Lintang-pukang juga sebab ada tangan lain mempengaruhi apa yang nak dilaporkan.
9. Keadaan masyarakat kita pun lintang-pukang dek kerana duit. Berapa ramai orang yang sudah kena tipu hanya kerana nak kaya? Macam-macam program dan projek dilancarkan sana-sini. Risalah tentang cara buat duit begitu ringan keterangannya, celopar amat mengatakan orang itu sudah jadi jutawan dan boleh duduk mencangkung atas bonet BMW. Fikiran umat masih lintang-pukang kerana tidak faham apa yang dimaksudkan dengan gelar jutawan itu. Berapa banyak orang bergelar jutawan tapi naik bas turun bas? Berapa banyak jutawan yang relaks sahaja di warung-warung. Hanya jutawan segera yang kelam kabut cari BMW atau Merce model terkini, atau beg tangan mahal, jam tangan mewah, makan di tempat mewah, sosial di tempat mewah bersama golongan ningrat dan atasan. Itulah model jutawan di negara kita. Iklan tentang keinginan mencari wang lebih digambarkan boleh berbaring atas bumbung kereta. Inilah fikiran lintang-pukang masa kini. Kalau baring atas BMW dikatakan jutawan, maka itu fikiran kolot. Orang sekarang jadi jutawan bukan begitu.
10. Lintang-pukang fikiran orang yang membaca iklan makanan dan minuman kesihatan. Sekarang iklan makin melampau. Fokus utama hanya seks. Dulu iklan ada sopan juga. Akan tetapi sekarang dek kerana lintang-pukang nak berniaga, tatasusila sudah diabaikan, sesuai dengan zaman samseng yang memang ditaja di sana-sini. Iklan tanpa segan silu bicara tentang kepuasan seksual kerana minum itu dan ini sudah melampau-lampau, tidak ada jaringannya lagi. Tambah menyedihkan, iklan produk perempuan bertudung, tetapi tayang bodi, "Tiru macam saya!" kata iklan itu. Ini semua adalah lintang-pukang kefahaman kita terhadap ilmu amat kurang. Iklan-iklan begitulah yang ditegah sebenarnya. Gambar-gambar berahi, gambar seksi tidak wajar mempamerkan wanita berjilbab.
11. Dan seperkara lagi kini sudah muncul produk entah makanan kesihatan, minyak attar atau benda biasa, tetapi sudah dibacakan ayat-ayat tertentu, doa-doa tertentu dan dikeluarkan secara besar-besaran. Ia sebenarnya memancing orang yang kurang ilmu. Boleh iklankan begitu, tetapi biarlah berpada-pada, jangan satu produk boleh mengatasi berbagai masalah. Ini akan menjadikan produk itu suatu benda mistik, mempercayai dan meyakini. Nak pakai minyak attar pakai sahajalah, jangan fikir boleh elak santau, hindarkan gangguan makhluk halus atau macam-macam, tak pakai attar itu boleh boleh hindar jika seseorang itu punya ilmu pembentengan. Ini bab niaga dan produk.
12. Kemudian kita tengok bergantungan produk kopi campuran yang didakwa 3 dalam 1 dan macam-macam. Cap tak kiralah buatlah cap apa pun. Ia sekadar minuman biasa, bukan minuman kesihatan. Untuk menghilangkan dahaga, biarpun ia susu kuda jinak atau susu kuda liar. Mana nak cari kuda liar tu? Sebenarnya, apa pun produk anda boleh pesan banyak mana. Nak 50,000 paket? Harga istimewa. Buat kotak cantik, labelkan cantik-cantik KOPI PUTERI GEDIK, edarkan, maka orang yang suka gedik akan membelinya. Itu sebab nama produk itu main peranan ada nama Janda, Jantan, Ganas, Miang, dan macam-macam nama lagi. Ini yang membuatkan pengguna jadi lintang-pukang fikiran mereka.
13. Produk lain pun begitu juga. Kalau ada yang berminat nak jual susu pekat manis atau krimer manis, boleh taruk label sendiri. SUSU PEKAT MANIS CAP MONYET BERGAYUT. Lagi iklan setiap hari dalam Tv dan radio mengarut, maka larislah Monyet Bergayut tu. Seperti juga produk kicap, sos cili, sos tomato, semuanya boleh dilabelkan apa sahaja kalau anda berfikiran business. Syarikat A dapat pesanan 50,000 botol sos tapi tak cukup. Hubungi syarikat X untuk supply sos dalam botol belum label. Labelkan kemudian untuk memenuhi permintaan tadi biar genap 50,000 botol. Ini cerita mudah asalkan ada duit. []