Sunday 27 January 2013

BACA METRO, CERITA WAK NAHAR JURUFOTO

Hari ini menghadiri majlis perkahwinan di BoraOmbak, Jalan Ampang. Datang ke situ, mengingatkan saya kepada Pulau Bali. Kerana perhiasan, kolam, patung ukiran dan hiasan sepanjang laluan dengan tiang tinggi dan lentur dengan janurnya. Keinginan meniru cara Bali tidak perlulah meniru bentuk budaya yang ada kaitan dengan ajaran versi Bali di sana, ia kata ustaz adalah lambang paganisme, justeru kenapa perlu ditiru begitu?
Okaylah, dari situ kemudian saya melencong ke kedai "buy and sale" yang menjual barang-barang terpakai. Warga asing pun minat dengan barangan yang dijual. Itu di belakang Ampang Point sana. Selanjutnya sambil minum, kita belek akhbar Metro Ahad.
Ada beberapa nota yang perlu dicatatkan:
[1]. Ada cerita kitar semula. Iaitu kisah Mona Fandey.
Kisah Mona Fandey ini memang menarik kerana itulah kali pertama seorang tokoh politik boleh menjadi makanan si bomoh. Ia secara tak langsung memberi gambaran bahawa pada masa itu [tahun 90-an] bomoh juga menjadi medium untuk mendapatkan sesuatu, baik pengekalan jawatan, mendapatkan tangkal atau azimat, mendapatkan motivasi dan sebagainya. Ketergantungan kepada bomoh ini tidak diketahui apakah ia masih kekal sampai ke tahun 2013 ketika kita hendak mengadakan pilihan raya, maka dari paparan blog dan Fb yang kita tatap, memang ada orang tertentu yang "ketagih" dengan bomoh dan dukun bagi tujuan mendapatkan duniawi. Kisah Mona Fandey adalah pencetus kepada idea bunuh dan cincang. Ia bertukar versi menjadi bunuh dan letupkan atau bunuh dan bakar. Mungkin ada yang kata ia kebetulan sahaja, tetapi kalau Mona Fandey tidak memulakan cerita karut itu, maka kekarutan senada tentu tidak menjadi peniruan pihak lain. Atau kebetulan juga?
[2]. Ada kumpulan tertentu mengadakan solat hajat dan berdoa ramai-ramai.
Mereka dikatakan telah melakukan solat dan berdoa mengharapkan agar negara ini aman dari musibah gara-gara umatnya telah berpecah. Dikatakan umat islam di negara kita sekarang telah berpecah-belah, tidak ada perpaduan lagi. Maksud perpaduan yang dipaparkan dalam pemberitaan akhbar tersebut memberi gambaran bahawa kebanyakan umat tidak mendukung Umno Barisan Nasional[UBN], sekalipun pihak yang menganjurkan itu adalah sebuah NGO diterajui Datuk Seri, ia tetap berbau dukungan terhadap UBN. Kenapa tiba-tiba mahu bercakap tentang perpaduan dan perpecahan. Apakah perpaduan itu dianggap telah dicapai kalau semua umat islam berada di bawah bendera merah berkeris? Kalau itulah tafsirannya, maka perpecahan itu bukanlah perpecahan, ia hanya tindak-tanduk umat dalam berpolitik.
[3]. Jurugambar.
Pak Wan yang pernah jadi jurugambar berjaya membentuk sebuah keluarga yang semuanya berminat dalam bidang fotografi. Kedainya di bahagian belakang Pertama Kompleks memang pernah saya kunjungi sekadar melihat-lihat dan berborak-borak biasa. Kebetulan kekadang saya terserempak dengan Wak Nahar, seorang jurufoto yang tak lekang kelek kamera. Rupa-rupanya dalam laporan Metro Ahad, Wak Nahar inilah yang mengajar Pak Wan jadi jurufoto. Walaupun saya rapat dengan Wak Nahar dan pegang kamera SLR waktu itu, tak pernah pula saya tanya soal fotografi kepada Wak Nahar. Tak sangka Wak Nahar ini bagi motivasi kepada Pak Wan. Dengan cerita Wak Nahar ini, saya teringatkan kawan lama pelukis kartun Uncle Sam [Mazlan Manaf] yang tinggal di Setapak Jaya, Jalan Rejang. Saya pun rajin ke rumahnya, dan pernah bersama Wak Nahar pun. Uncle Sam ini ada hubungan dengan Pak Mishar [dulu terbitkan majalah Gila-Gila] isterinya Surya (saya teringat rokok Surya Gudang Garam yang jadi kegemaran Uncle Sam).
Saya kenal Uncle pun di Taman Sri Gombak, ketika itu dia ada projek buat majalah bersama Saidina Ali dan kawan-kawannya. Sementara saya bersama Pustaka Ilmu Raya [milik bos Anjung Rahmat Jalan Gombak tu] buat kerja penyuntingan dan semakan buku terbitan syarikat, termasuk buku-buku tentang Syiah, kemudian terbitkan Mingguan Bumi bersama Pak Hussein Yaacob - Ibnu Muslim dalam Harakah. Uncle Sam juga minat buat buku kanak-kanak, itu kerja paling mudah. Uncle juga dapat membimbing anak lelakinya sebagai artis grafik untuk penerbitan. Beliau juga pernah bekerja di bawah Yamin Daud juga seorang pelukis [Yamin ada melukis beberapa siri buku kanak-kanak terbitan Pustaka Alhas, grafik buku itu saya siapkan]. Saya teringat, ketika kemangkatan Yang Dipertuan Agong [Sultan Selangor] saya ada di Dataran Merdeka ambil gambar untuk majalah, Wak Nahar pun kebetulan ada bersama di situ. Wak pun hairan bagaimana saya pun boleh kelek kamera siap telephoto lagi. Entahlah Wak! Dulu saya pernah terserempak Wak Nahar di Pudu Plaza, sebab dia banyak cuci gambar di situ. Macam biasalah, projek Wak terlalu banyak, hanya dia tak mahu cerita sahaja. Sekarang, dah lama tak jumpa Wak. Ketika bersama Karim Penerbitan Ibunda, Jalan Taman Ibu Kota Gombak dulu, kami selalu mengakalkan Mat Tungau pekerja Pak Karim di kilang cili sosnya. Kami katakan kepada Mat Tungau bahawa Wak Nahar itu adalah ayah kepada Yati Kelantan. Usik mengusik je! Wak datang ke tempat Pak Karim naik motor scrambler, "Dahsyat jugak bapak Si Yati ya?" kata Mat Tungau kepada saya. Kelakar. Cerita ini sudah disampaikan kepada Wak Nahar. Wak tak komen apa, suka hatilah! Ada seorang lagi yang suka kelek kamera, Ibrahim Taib, kerap terserempak di Pertama Kompleks, dan lepak di warung sup Kelantan di hujung bangunan dekat Ships. Daripada kamera biasa, Ibrahim dah kelek kamera video pula. Saya masih ingat, Ibrahim Taib kalau datang ke pejabat akan serahkan lampiran bertaip cerita budak penyanyi pub, siap gambar yang dia ambil. Cerita penyanyi pub tak seberapa, kena siar juga untuk filler sebab nak kejar date line! Kini Ibrahim Taib sudah jauh berubah. Tak tahu apa perkembangannya. Seorang lagi yang suka hantar gambar dan teks tentang gambar itu. Semua sumber dari Onn Ismail. Itu zaman Umno hebat. Nama kawan ini Kawie Awang, orang Kelantan, kerja di pelabuhan. Dia juga rajin hantar bahan, sebab dia salah seorang stringer untuk Mingguan Bumi. Semua ini ada kaitan dengan Wak juga. Gaya Wak memang jurufoto! Hanya masalahnya kata Wak, apabila usia meningkat, mata kita tak tajam lagi. []

Saturday 5 January 2013

MUZIK DAN NYANYIAN PANGGIL SYAITAN

Dalam kitabnya [Al-Islam wa al-Fann, 1996, Kairo: Maktabah Wahbah] Yusuf al-Qaradhawi [setengah pihak tidak suka kepadanya dengan alasan tertentu] ada beberapa syarat nyanyian yang dibolehkan.

Apa syaratnya?

  • Tema atau isi lagu itu sejalan dengan adab -nilai-nilai- dan pengajaran Islam. Jangan sampai ada lirik lagu yang meragukan dalam soal keimanan. Jangan ada lagu yang memuja atau memuji perbuatan zalim, penguasa yang zalim dan yang fasiq. Jadi kena semak liriknya.
  • Cara penampilan penyanyi tidak melanggar syariat - suara yang merangsang, membangkitkan berahi, berlenggang-lenggok, lompat kanan dan kiri -- sudah tentu tak boleh dedah aurat.
  • Tidak bercampur dengan sesuatu yang haram. Seperti bertabarruj -- berpenampilan macam pelacur, dedah aurat tentunya, bercampur lelaki perempuan dalam satu majlis -- ini memang kemestian yang sering berlaku di negara kita.
  • Tidak berlebihan. Tidak berlebihan dan melampaui batas.
Dalam paparan yang sama beliau menyatakan, nyanyian yang dibolehkan menjadi haram kerana beberapa sebab, antaranya:
  • Penyanyi perempuan yang tidak dihalalkan memandangnya, dapat menyebabkan nyanyian yang boleh menjadi haram. Kalau sudah berada di pentas, maka aksinya adalah aksi penghibur, sudah tentu yang memandang adalah audien campuran lelaki dan perempuan termasuk budak sekolah. Keharaman muncul kerana ia mendatangkan fitnah.
  • Alat muzik yang dimainkan adalah simbol kesenangan para pemabuk baik terompet [apa sahaja alat tiupan], gitar [muzik bertali], gendang dan sebagainya. Kita perhatikan hari ini, kelab malam, bar atau sejenisnya adalah menghidangkan muzik, nyanyian, wanita, syahwat, arak dan seterusnya. Tidak dapat dielakkan.
Lagu yang dinyanyikan bukan berisi kata-kata kotor, mencarut, lucah, menghina Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga lirik lagu yang memuji kecantikan wanita [banyak lagu Melayu menggambarkan kecantikan wanita, memuji pinggang ramping, dada bidang, pipi bak pauh dilayang dan sebagainya].
Jika disemak satu persatu, memang sukar hendak mengadakan persembahan hiburan berdasarkan syarat tersebut. Tetapi dunia Melayu kita telah melakukan transformasi yang begitu cantik sekali sehingga semua orang tidak terkata apa ketika menyaksikan acara hiburan di mana-mana. Wallahu a'lam. []

AJARAN DARI SEBUAH AGAMA LAIN [BUKAN ISLAM]

MENGIKUT AJARAN agama mereka, ada beberapa JANGAN yang perlu dipatuhi.

[1]. Jangan  membunuh binatang yang hidup atau jangan menyakiti orang lain.
[2]. Jangan mencuri.
[3]. Jangan berzina.
[4]. Jangan cakap bohong dan buat fitnah.
[5]. Jangan minum arak.
[6]. Jangan berjoget, bernyanyi, bermuzik, berwangi-wangian dan memakai perhiasan.
[7]. Jangan makan selepas masuk waktu zohor.
[8]. Jangan duduk atas kerusi mewah.

Sistem larangan agama ini tidak menyebut halal, haram, wajib atau sunnah, sebab mereka tidak menggunakan acuan ini dalam agama kita. Itu sebabnya kalau kita jumpa orang yang menjauhi segala macam seperti dicatat di atas, jangan salah tanggapan [Sulaiman Nordin, 1997, Sejarah Pemikiran! Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi, Dan Orde Baru Dunia, Pusat Pengajian Umum UKM]. []

PETUA NAK UMUR PANJANG DAN GAGAH

DALAM "Babad Demak" iaitu sebuah buku hikayat setara Sejarah Melayu kita, ada kisah yang menarik untuk difikirkan.
Cerita ini bukanlah satu kejadian sebenar, tetapi kalau disemak pada rangka pemikiran umat kemudiannya, ia dianggap sebagai kejadian yang pernah terjadi pada masa silam dan sehingga sekarang ia masih ada kaitan.
Apa ceritanya?

TELUR
Ada dua benda mistik iaitu telur ajaib Lungsung Jagat dan Minyak Jayekatong. Dua nama pelik ini jangan fikir tidak ada nilai komersial. Malah di kalangan paranormal kondang hari ini bukan tidak ada yang "menjual" benda yang sama tetapi fungsinya berlainan. Hanya ambil namanya sahaja.
Dua benda mistik ini menurut cerita dalam babad tadi adalah milik kepada Pangeran Senopati, kalau kita disebut Tengku/Raja Senopati Raja Demak.
Dua benda ini menyebabkan pemakai jadi kuat dan berumur panjang. Benarkah?
Setelah mendapat dua benda mistik itu, Senopati pun menemui gurunya Sunan Kadilangu. Benda mistik itu adalah pemberian Ratu Kidul.
Benda mistik itu pun ditunjukkan kepada Kadilangu untuk diuji kesaktiannya.
Kebetulan di istana ada seorang tukang kebun yang ketagih candu [dadah zaman dulu] dia lentok habis apabila tak ada kerja sampai sesak nafas. Tukang kebun sering berdoa agar diberi kesihatan dan umur panjang. Dalam pada ketagih candu dia masih berhajat hidup sihat dan umur panjang!
Untuk menguji kemistikan benda itu, Senopati bagi telur itu untuk diuji.
"Inilah telur ajaib Lungsung Jagat namanya," kata Senopati sewaktu memujuk tukang kebun.
Tukang kebun gembira bukan main kerana dapat pemberian dari seorang raja. Dia pun terus ngap telur ajaib itu.
Senopati melihatnya dari jauh, sebab dia tidak tahu apa kemungkinan yang terjadi.
Setelah dimakannya telur ajaib itu, maka tukang kebun itu berpusing-pusing macam orang mabuk. Dia berpusing-pusing dan kemudian kedengaran bunyi guruh yang kuat macam nak hujan. Ada pokok tumbang dekat taman.
Hairan sungguh. Dalam keadaan tidak tentu hala itu, tiba-tiba tukang kebun yang tadi berpusing-pusing sudah hilang. Yang muncul adalah lelaki berbadan besar, berbulu lebat, bertaring, inilah khasiat yang paling utama. Siapa makan telur itu dia akan jadi gergasi. Kuat, hebat, orang takut, pendeknya sebagai makhluk gergasi dia tidak boleh hidup di alam manusia lagi. Itu sahaja ubat orang ketagih candu. Telan telur ajaib, dia jadi gergasi. Nak duduk rumah tak boleh, dia kena pindah ke hutanlah!
Kini sudah terbukti telur itu ada khasiatnya, tetapi meranalah siapa yang makan telur ajaib itu. Kalau Senopati ikut telan, dia pun ikut jadi gergasi juga. Meranalah dibuatnya sepanjang hayat.

MINYAK
 Kemudian benda mistik kedua adalah Minyak Jayekatong. Bagaimana bentuknya tidak diketahui. Dan minyak itu disimpan dalam apa pun tidak diketahui, masa dulu mana ada botol macam minyak attat hari ini?
Nah, atas perintah mahaguru juga, Senopati panggil dua abdi istana Nini Pangung dan Ki Kosa.
"Ini minyak ajaib untuk diuji," kata Senopati sambil mengoleskan minyak mistik itu pada kening dua abdi itu.
Seketika itu juga dua abdi jadi kebingungan. Berasap, berdengung dan kemudian hilang dari pandangan.
Ke mana dua orang ini menghilang?
Iulah tandanya minyak mistik itu telah menjadi. Memang power kata orang sekarang.
Kedua abdi itu sudah jadi makhluk siluman [hantu, jin] tak dapat dilihat oleh manusia lagi.
"Kamu berdua bukan manusia biasa lagi, mulai sekarang kamu kena tinggal di rumah kamu, atas pokok beringin tua dekat istana. Kamu adalah pengasuhku," kata Senopati.
Sedikitpun abdi itu tidak menyesal jadi makhluk halus. Manakala ahli keluarga mereka tercari-cari ke mana gerangan dua abdi itu menghilang, setelah tahu dia dikerjakan oleh Senpati, semuanya tunduk tak berani kata apa.
Berkat dengan menggunakan dua benda mistik tadi, telur dan minyak siluman putih [rekaan penulis], tiga orang telah bertukar rupa. Seorang yang makan telur jadi gergasi. Dia diarahkan masuk ke hutan dan disuruh tinggal di Gunung Merapi.
Dua orang lagi yang sudah jadi siluman berkhidmat sebagai pengasuh misteri.
Walaupun ia hanya sebuah cerita dari Babad Demak, sampai hari ini ada orang tertentu yang percaya bahawa gergasi itu masih wujud di sekitar Gunung Merapi.
Kemudian dua pengasuh raja itu yang tinggal atas pokok beringin tua juga ada orang pernah jumpa. Nini Panggung dengan Ki Kosa kekadang kelihatan duduk bersila di bawah pokok beringin. Keduanya sedang bertapa.
Cerita ini sebenarnya ada kaitan dengan reinkarnasi atau unsur reinkarnasi. Penghijrahan manusia menjadi makhluk lain adalah bentuk cerita zaman dulu. Ia diterima pada zaman dulu, tetapi sekarang, orang akan ketawa. Cerita tak masuk akal! []

TENTANG MAZHAB DALAM ISLAM

INI isu lama, sengaja dicatatkan semula untuk paparan.
Said Ramadan ada membicarakan tentang mazhab.
Dia kata, mazhab-mazhab undang-undang adalah terjemahan biasa daripada al-Madhahib, secara literalnya bermaksud 'jalan pergi' [way of going]. Dalam banyak perkara mengenai Islam, istilah ini adalah menyamai undang-undang Islam. Oleh kerana itu ia menyatakan bahawa 'jalan pergi' yang khusus itu tidak menganggap ia sendiri sebagai istimewa, atau badan agama, tetapi hanya merupakan tidak lebih sebagai salah satu daripada pentafsir-pentafsir undang-undang Islam yang diakui sahaja.
Dalam tulisannya lagi, dia kata, sepanjang ajaran Islam berhubung  dengan ini, tiada terdapat ayat al-Qur'an atau Hadis Nabi Muhammad sallahu alaihi wa sallam yang mendesak  orang-orang Islam  menubuhkan sebarang mazhab, atau menyuruh mengikut mana-mana doktrin mazhab yang terkenal.
Dengan lebih tegas, bahawa pada peringkat yang paling awal Islam tidak menyuruh sesuatu tentang mazhab dan seterusnya. Bukan itu sahaja, malahan menurut sejarah tiada  seorang dari Fuqaha Islam  yang besar yang mazhab-mazhab itu dinamakan mengikut namanya menubuhkan mazhabnya dengan tujuan demikian.
Ada lagi faktor-faktor lanjut yang menunjukkan bahawa Fuqaha-fuqaha yang dinamakan  menurut nama mereka, dan tiada seorang pun daripada mereka secara rasmi sebenarnya mewakili fiqah Sunni.
Ini adalah setengah daripada gambaran-gambaran yang paling mustahak mengenai perundangan Islam.
Berhubung dengan sejarah perundangan Islam ini, Said Ramadan menunjukkan beberapa perkara dari dari al-Shawkani.
Al-Shawkani menceritakan  dengan beberapa kenyataan yang terang dan dibuat oleh Fuqaha-fuqaha besar iaitu atas nama merekalah empat mazhab Sunni itu beransur-ansur ditubuhkan.
Antara lain dinyatakan:
Abu Hanifah berkata, "Tiadalah patut sesiapa pun mengambil apa sahaja yang kami dapati kecuali ia tahu dari mana kami ambil. Adalah fitnah mereka mengatakan yang kami mendahulukan pendapat qiyas daripada Syari'ah sendiri. Adakah perlu kita mencari pendapat lain sedangkan kita telah mendapatinya dalam kitab suci?"
Malik pula berkata, "Saya hanya seorang manusia. Saya mungkin bersalah dan mungkin pula betul. Oleh itu terlebih dahulu diperhatikan apa yang saya kata. Jika ia bersesuaian dengan kitab Allah dan sunnah Rasul, maka bolehlah kamu menerimanya. Tetapi jika ia bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah, hendaklah kamu tinggalkannya."
Al-Syafi'i berkata, " Jika saya mengeluarkan pendapat yang menyimpang dari sebuah hadis,  hendaklah kamu mengikuti hadis, dan janganlah mengikuti pendapatku. Dan jika sesuatu kenyataan itu kemudiannya didapati benar sebagaimana yang dinyatakan di dalam sesebuah hadis, dan apa yang saya dapati itu berlawanan pula dengannya, maka ini tiada terpakai lagi, dan hendaklah kamu menurut hadis itu."
Ibn Hanbal berkata, "Jangan ambil pendapatku, pendapat Malik atau al-Syafi'i atau al-Thawri, dan hendaklah ambil secara langsung dari mana yang mereka semua ambil."

Said Ramadan menyimpulkan, sungguhpun para Fuqaha yang terdahulu tidak bermaksud hendak menubuhkan mazhab-mazhab, mereka hanya hendak mempergunakan semua kepandaian mereka -- sama ada dari sudut kebenaran sejarahnya, implikasi-implikasi bahasanya, atau dalam pengertiannya dengan peristiwa-peristiwa baru. Mereka mempunyai tujuan umum bagi menguatkan hubungan baik antara orang-orang Islam dengan syari'ah mereka.
Perlu dicatat, di antara tahap-tahap perkembangan mazhab perundangan Islam [ada tujuh tahap] tetapi pada tahap ke-5 [dari tahun 351 - 656 H/962 - 1258 M], inilah tahap paling penting dalam penubuhan mazhab-mazhab yang kita kenal hari ini.
[dipetik dari Othman Ishak, Hubungan Antara Undang-Undang Islam dengan Undang-Undang Adat, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, h. 20 - 23]. []

Tuesday 1 January 2013

SYARAT ILMU: JANGAN BELANJA KAWAN YA!

SETIAP kali dia ke tengah kota - Jalan Masjid India, KL - dia pakai sandal, seluar paras lutut dan baju cap Pagoda. Jadilah, daripada tak pakai langsung.
Dia masuk KL dengan memandu Perdana warna hitam. Dia parking jauh dan kemudian naik LRT untuk jalan-jalan cari makan di tengah bandar.
Disebabkan ramai kenalan, maka ke mana dia duduk, di situ orang berkerumun. Semua nak dengar celotehnya. Dia pun bercerita tentang pengalamannya sejak lama menghilang dari pendengaran dan penglihatan umum.
Ke mana kamu menghilang lama?
Dia kata, dia ikut seorang bomoh Jawa di suatu tempat di Selangor. Jadi khadam bomoh. Setiap hari dia jadi orang suruhan.
"Din, ambik limau purut atas almari!" itulah permintaan bomoh yang biasa dia dengar.
"Din, pi basuh keris ini, kasi lap lepas tu," begitulah perintah bomoh pada hari yang lain.
Setiap hari dia akan mendengar permintaan dan arahan yang senada.
Kadang-kadang Din naik jemu.
Orang yang datang jumpa bomoh macam-macam.
Ada yang datang nak minyak pengasih. Minyak cenuai. Minyak mati dibunuh. Minyak Si Rangka Hirang dan macam-macam lagi.
Tidak kurang juga yang datang nak nombor ekor.
Jadi, Din sudah masak benar dengan perangai orang yang jumpa bomoh. Macam-macam hal yang dimintanya. Padahal bomoh Jumingan [bukan nama betul pun] bukanlah pintar sangat. Dia belajar dari siapa, Din tak pernah tanya.
Kerja Pak Jumingan sejak dulu sampai la ni tidak ada yang lain, melainkan duduk bersila, mendengar celoteh orang yang berhajat.
Yang datang jumpa dia macam-macam. Anak dara, janda, isteri orang, bekas kekasih orang, VIP, artis, pelakon, penyanyi, pelukis, penyair, penyajak, penajak, peniruk, penjala, pengail, pemanjat petai, pemanjat madu lebah, pencari cicak tokek dan macam-macam profesion lagi.
Jadi, Pak Jumingan dapat duit hasil daripada orang yang datang berkonsultasi dengan dia. Walaupun Pak Jumingan bukan hebat, tetapi khabarnya nama dia sudah tersohor dikenali di kalangan orang yang gila bomoh anekaragam.
Pak Jumingan tak ada tumpu satu benda. Pendeknya apa sahaja yang orang adukan pada dia, dia akan sapu.
"Pak, saya ada harta karun dalam kebun, boleh Pak tolong keluarkan harta itu?" suatu hari Din dengar seorang pemuda mengadu hal kepada Pak Jumingan.
Khabarnya, Pak Jumingan sudah pergi ke tempat orang itu dan mengeluarkan harta yang disebutkan itu. Hanya Din tidak pernah tanya apa yang dia dapat.
Pak Jumingan sudah pesan, jangan banyak tanya. Jangan tanya kenapa dan mengapa. Jangan campur urusan Pak Jumingan. Dengar arahan sudah memadai. Ada gajinya setiap hari. Tak perlu keluar rumah untuk lepak kedai mamak atau tengok layar lebar. Tak payah. Duduk rumah Pak Jumingan sudah cukup.
Duit Pak Jumingan memang banyak, semuanya disumbat dalam tempayan lubang kecil. Tetapi kalau Din nak sauk duit itu memang boleh. Kekadang Din keluarkan duit itu atas arahan Pak Jumingan.
"Din pergi kedai beli tembakau dan rokok, ambil duitnya dalam tempayan," itulah arahan yang kerap Din terima.
"Din, kalau kamu nak pakai duit untuk beli apa yang kamu nak, ambillah!" kata Pak Jumingan.
Maka setiap hari Din pun ambil wang dalam tempayan bermulut kecil itu sebagai gaji hariannya. Dia tak ambil banyak. Dia kena jujur. Dia ambil RM50 sehari. Itu gaji dia.
Pak Jumingan tidak kering duit. Sesiapa yang datang jumpa dia akan serahkan duit begitu sahaja. Ada kalanya orang datang bawa duit sebanyak 10 peratus daripada yang mereka peroleh. Itu macam hadiah untuk Pak Jumingan.
Pernah ada orang datang bawa duit sampai puluh ribu dimasukkan ke dalam tempatan mulut kecil. Din sendiri pernah periksa. Hampir penuh tempayan itu.
"Mewahnya!" kata Din dalam hati.
Tetapi Din tidak cemburu pada Pak Jumingan. Gaji dia sudah ada. Sebulan dia dapat RM1500. Itu sudah lebih dari cukup.
Suatu hari, ketika tidak ada orang, Din sengaja tanya Pak Jumingan. "Boleh tak saya belajar ilmu yang Pak ada?"
"Ilmu apa yang kamu nak?" tanya Pak Jumingan.
"Ilmu macam ni, supaya ramai orang datang berhajatkan sesuatu!"
Pak Jumingan tertawa buat-buat.
"Bukan tak boleh Din, takut nanti kamu rosak!"
"Kenapa rosak Pak?"
"Habis kamu sudah banyak duit, orang pun ramai datang!
"Ramai datang, dapat duit banyak Pak," kata Din sambil tersenyum.
"Bukan itu, maksud aku, nanti kamu enjoy dengan duit itu, tak boleh Din!"
"Jadi, untuk apa kumpul duit banyak-banyak gitu?"
"Duit ini aku infakkan ke mana-mana, tapi rahsia! Aku tak mahu orang tahu apa yang aku buat Din!"
"Oh, macam tu!"
"Tahu tak, aku boleh bagi ilmu begini kepada kamu tapi dengan syarat..."
"Apa syaratnya Pak?"
"Kamu tak boleh berlagak macam orang senang, macam kaya, kamu kena pakai biasa, selekeh, macam orang tak ada apa!"
"Itu saya boleh buat Pak."
"Kemudian, kamu tak boleh belanja kawan-kawan makan dan minum dengan duit yang kamu ada, melainkan duit yang kamu dapat dari sumber lain."
"Kenapa Pak?"
"Itu tak perlu kamu tanya, tapi kamu kena patuh, jangan belanja orang dengan duit yang kamu dapat dengan cara ini, cara ilmu yang kamu pelajari ada fahammm?"
"Faham Pak!"
"Mulai sekarang, aku akan beri kamu pelajaran secara bertahap. Sekiranya kamu ada ilmu ini, jangan kamu ceritakan apakah kunci atau passwordnya kepada orang lain, kalau kamu langgar syarat, dengan sendirinya kamu merosakkan ilmu, sudahnya apa buat pun tak jadi."

Begitulah setiap hari dia mendapat petua dan fatwa dari Pak Jumingan.  Orang tua itu memiliki sebuah kitab tua yang sudah lusuh. Bukan kitab agama pun. Entah apa tajuknya, kulit buku itu sudah tanggal. Atau sengaja dibuang?
Setelah dia belajar berbulan-bulan, dia mula praktikkan ilmunya. Dan cara dia mempraktikkan adalah dengan menjadi pembantu kepada Pak Jumingan.
Setiap kali ada orang datang bersila, Pak Jumingan akan tanya apa hajat mereka. Kalau hajat yang mudah, dia akan panggil Din. "Din, kau tolong buatkan Din, aku nak rehat kejap!"
Itulah peluang Din mempraktikkan ilmunya. Mantera yang diajar oleh Pak Jumingan semuanya mantera Jawa.

Setelah mendapat ilmu yang memadai, Pak Jumingan menamatkan keilmuannya setakat itu.
"Aku tak mahu bagi lebih-lebih, bimbang nanti kamu salah gunakan ilmu," kata Pak Jumingan memberi nasihat.
Bukan Din tidak tahu, Pak Jumingan takut nanti Din lupa diri. Apabila sudah ada ilmu, dia akan jadi orang sombong, jadi riyak, bangga diri, tak mahu tolong orang susah, pentingkan diri sendiri.

Dan ketika mundar-mandir di Jalan Masjid India, Din cari tukang urut kaki. Dia urut kaki sambil bersembang kosong. Din tak boleh simpan rahsia sangat. Dia tak boleh cerita bagaimana ilmu itu diamalkan, dia hanya cerita pengalaman mistiknya sahaja.
Suatu perkara yang membuatkan Din rasa terkongkong, dia kena membaca mantera yang diajar oleh Pak Jumingan. Sejak menghafal mantera yang bukan-bukan, hafalannya pada ayat-ayat al-Qur'an yang pendek-pendek pun sudah luntur.
Bab solatnya pun sudah mengendur, kerana salah satu syarat yang membuatkan ilmunya menjadi adalah kealpaannya dalam bab solat. Ini sudah memasuki dunia mengarut.
Dia sudah diajar oleh Pak Jumingan agar bersikap rendah diri. Kalau boleh berlagaklah macam orang bodoh. Sorokkan Perdana hitam metallic itu jauh-jauh. Buat biasa sahaja.
Dan yang penting, jangan sesekali duduk di warung atau kedai makan kemudian belanja orang lain makan. Termasuk saudara-mara, kenalan rapat atau sesiapa pun.
"Ini ilmu menyusahkan Pak?" kata Din menyoal gurunya.
"Ingat! Kamu tak boleh persoalkan apa pun, lagipun ini bukan arahan aku sorang, tapi arahan daripada guru-guruku yang dulu, semuanya sudah mati, justeru kalau kamu mahu amalkan ilmuku, kamu perlu patuh dengan arahanku!" mendengar kata-kata itu membuatkan Din semakin mati kutu.
Dengan sebab itu, Din akan mencari lokasi baru. Lokasi yang tak jumpa kawan-kawan rapat dan ipar duai.
Isteri sendiri pun sudah dilupakan. Tak boleh belanja makan kepada isteri dengan wang yang dimasukkan ke dalam tempayan bermulut kecil.
Kecuali, wang yang Din dapat daripada sumber lain.
Syarat ketat inilah yang membuatkan Din kebingungan. Nak cerita tak boleh. Nak bongkar rahsia ilmu lagi tak boleh. Maka Din jadi pendiam. Kekadang dia seperti bercakap seorang diri. Di tengah KL ini orang tidak hairan kalau nampak orang bercakap seorang diri. Dia sedang bercakap guna handphone, apa nak hairannya?

"Aku ada duit, tapi aku tak boleh belanja kamu makan minum," kata Din kepada tukang urut kaki yang dia langgani setiap kali masuk ke pusat bandar.
"Kenapa?"
"Oh, ini syarat ilmu, jangan belanja kawan!" kata Din sebelum beredar. []

TAK KAN NANGKA SEULAS NAK BELAH PERUT?

DI SEBUAH ISTANA. Seorang pekerja istana baru sahaja balik dari kebun. Dia membawa sebiji nangka yang sudah masak. Ketika memikul nangka yang beratnya lebih kurang tujuh kilogram itu, terserempaklah dengan isteri Megat yang katanya sedang mengandung tujuh bulan -- anak sulung.
"Hai! Nangka masak tu? Nak bawak ke mana?" usik isteri Megat.
"Nak bagi boss kitalah!" kata pekerja istana sambil tercegat di depan isteri Megat.
"Boleh tak mintak seulas je, saya nak rasalah, teringin pulak bila kamu kata nangka tu dah masak," usik isteri Megat.
"Seulas aje tau!" kata pekerja istana bergurau sambil menunjukkan jari telunjuknya seperti yang orang moden biasa sebut 1Malaysia!
Maka kemudian pekerja istana itupun meletakkan nangka yang dipikulnya di atas lantai. Dia pun ambil pisau dan ditorehnya buah nangka itu. Dikeluarkan seulas untuk diserahkan kepada isteri Megat yang nama gelaran sebenarnya Megat Seri Rama. Ada yang memanggilnya Megat Seri Kupu.
Isteri Megat makan seulas nangka masak itu. Rasa tak cukup. Nak tambah lagi.
"Boleh tak mintak seulas lagi?"
Tercengang pekerja istana mendengar permintaan itu.
"Bukan ke tadi kata nak rasa seulas aje?"
"Tadi belum rasa, takut rasanya tawar, tu sebabnya saya nak seulas. Kalau sedap, manis, saya nak lebihlah," kata isteri Megat sambil tertawa kecil.
Pekerja istana itu pun menoreh lagi buah nangka itu, dikeluarkan sampai lima ulas nangka. Diserahkan kepada isteri Megat.
Isteri Megat rasa puas hati. Dia bungkus ulas nangka itu dengan daun pisang. Dia bawa balik ke rumahnya yang tidak jauh dari kawasan istana baginda atau boss -- gelaran yang mereka biasa sebut.
Ketika memikul buah nangka itu, pekerja istana teringatkan kisah Sultan Bingung di zaman dahulu. Sultan itu mengikut ceritanya telah membelah perut perempuan yang mengidam makan seulas nangka yang sepatutnya dipersembahkan kepada baginda.
"Itu baginda zaman dulu, tak cukup akal. Dia kahwin dengan jin, dia ikut perangai jin," bisik pekerja istana sambil meneruskan perjalanan menuju ke dapur istana.
Sebaik masuk ke dapur, dia tengok baginda yang dipanggil boss ada di dapur. Baginda nampaknya turut sama dengan para pekerja dapur. Baginda ikut mengacau gulai dalam kuali.
"Mat, nangka mana yang kamu bawak tu?" tanya baginda yang bergaya macam chef zaman moden.
"Nangka belakang istana boss, dah masak, daripada dimakan tupai baik kita makan dulu," katanya.
"Macam mana buahnya? Manis?" soal baginda ingin tahu.
"Tadi isteri Megat dah cuba, saya bagi lima ulas, dia kata manis rasanya!" pekerja istana yang bernama Mat itu tersenyum.
"Tak kan bagi lima ulas sahaja kamu? Kedekut benar, dia tengah mengidam, potonglah lebih sikit," kata baginda.
"Bukan apa boss, takut nanti ada orang kena belah perutnya!" ujar Mat sambil tertawa kecil. Semua pekerja yang sedang sibuk di dapur ikut tertawa termasuk baginda sekali.
"Itu Marhum Mangkat Dijulang! Saya lain, saya boss!" kata baginda gembira.
Mat pekerja istana pun potong buah nangka itu. Dia belah-belah. Habis tangannya terkena getah nangka. Orang lain makan nangka, lain pula yang kena getahnya.
"Mat! Bagi sepotong nangka tu untuk isteri Megat Seri Rama, kang dia kempunan!" perintah baginda.
"Boss tak marah ke ada orang dah makan nangka itu sampai lima ulas?"
"Nak marah buat apa? Siapa sanggup makan sebiji nangka sampai habis? Syaitan bolehlah makan gitu. Saya boss, saya makan dua tiga ulas sahaja, yang lain kamu semua kena makan, atau bawak balik ke rumah. Jangan tinggalkan satu ulas pun di istana boss," ujar baginda sambil tertawa ceria.
Pekerja dapur istana gembira mendengar perintah boss. Hari itu semuanya dapat nangka. Bukan seulas. Malah berulas-ulas, tak terkira.
Sambil memasak di dapur, boss bercerita.
Dia kata, "Logikkah seorang sultan nak makan nangka sampai begitu banyak? Isteri pembesar istana nak makan seulas pun sampai nak belah perut? Itu kejam namanya. Nak tengok siapa makan nangka itu, isteri Seri Rama atau bayi dalam kandungan? Itulah raja bodoh namanya."
"Betul boss!" sahut Bedah tukang masak.
"Betul boss!" kata Fidah tukang potong sayur.
"Boss, kalau ada sultan boleh makan sebiji nangka, dia tu memang baka gajah boss! Kalau bukan baka gajah pun, sanggupkah seisi istana mendengar baginda kentut sepanjang masa di istana? Atau silap haribulan Tuk Dukun kena panggil sebab baginda sakit perut dek terlampau banyak makan nangka masak!" sampuk seorang pekerja dapur istana.
Semua pekerja istana tertawa. Boss pun ikut tertawa.
"Itu sebablah, saya suruh Mat potong nangka tu tadi, bagi pada kau orang semua, tinggalkan sikit untuk saya nak makan. Bukan nak makan sampai kenyang. Buah di kawasan istana ini bukan untuk saya, tapi untuk kamu semua, barulah semua happy! Saya tak mahu orang hantar buah yang baik-baik untuk makanan istana, sedangkan rakyat makan buah yang tak elok. Biar kita sama-sama makan buah yang baik, tak kira dalam istana atau di luar istana!" kata boss panjang lebar.
"Jadi, apa komen boss tentang Sultan Bingong yang belah perut isteri Megat Seri Rama dulu?" tanya Wak Surip yang dari tadi asyik tersengih-sengih tak terucap satu kata pun.
"Saya tak boleh ikut perangai dia. Dia lain, dia lain macam kesukaannya, berkawan dengan jin perempuan, itu sebab perangai dia pun macam itu, saya manusia biasa macam kamu, hanya kebetulan saya dipilih jadi boss. Ini jawatan sementara di dunia, saya tak boleh bersikap kejam macam dia. Itu perbuatan orang tak siuman." kata boss lagi.
"Jadi boss tak setujulah belah perut?"
"Nak belah perut buat apa? Seulas nangka pun nak belah perut?" tingkah boss sambil mencicipi kemasinan gulai yang sedang dimasak. Nampaknya boos atau baginda Sultan sangat minat memasak di dapur istana bersama para pekerja istana. Baginda pun suka berterus terang. Setiap hari baginda berpakaian biasa, jubah dan kupiah putih macam orang kampung nak ke masjid atau surau.
Memang semua pekerja istana mengakui, tidak ada raja yang begitu merendah diri. Dia tahu, ketika di dunia ini sahaja dia dihormati dan disanjungi, apabila sudah mati, tidak ada apa gelaran pun. Dia akan dipanggil dengan nama yang biasa, tiada pangkat dan tiada kedudukan tinggi.
Begitulah kisah seorang raja di sebuah negeri yang tidak bernama. Wallahu a'lam. []

RAMALAN JAYABAYA REKAAN PUJANGGA

DI KUALA LUMPUR dalam tahun akhir 80-an dan 90-an, saya kerap mendengar peniaga kaki lima dari keturunan Indonesia menyebut nama Jayabaya. Hinggakan ada yang berniaga benda tipu, iaitu konon dia boleh meramalkan nasib seseorang, hingga kepada ramalan angka cabutan bertuah dengan kaedah Jayabaya.
Jayabaya itu siapa?
Mungkin kalau kita tanya kepada mereka, ada banyak cerita yang dituturkan. Atau paling tidak, mereka kata Jayabaya itu orang yang mengarang kitab ramalan atau primbonan Jawa.
Sebenarnya, peniaga kaki lima itu adalah bukti bahawa dalam proses akulturasi antara budaya India dan Jawa terdapat semacam moulding, blending dan unsur-unsur kebudayaan [cultural traits] dari India diambil sekiranya sesuai sebagai bentuk nukleus dan kemudian diubahsuai dengan unsur budaya Jawa. Hilanglah keindiaannya dan menjadi kejawaan.
Kata Bosch, seorang pengkaji budaya Jawa, sebagai local genius bangsa Jawa yang telah dilanda bermacam gelombang budaya dan agama asing, maka berlakulah akulturasi tadi [tulisannya "Local-genius and Old-Javanese Art" MEDEDELINGEN...Jil.15, No.1,1952].

PUJANGGA
Contoh akulturasi yang nyata adalah BHARATAYUDDHA yang merupakan kakawin [puisi Jawa kuno] Jawa yang dikarang oleh Mpu Sedah dan Mpu Panuluh.
Kakawin ini macam puisi panjang berjela menceritakan tokoh yang sudah tentunya Raja  walaupun kakawin ditulis dengan merujuk cerita asal dari India sana.
Kakawin atau puisi ini sengaja ditulis oleh dua orang ini bagi tujuan memberikan tanggapan mulia rakyat terhadap rajanya. Setiap raja dianggap agung dan berlaku adil meskipun hakikat sebenarnya melakukan penipuan.
Cerita yang dipetik dari India itu adalah meneritakan tentang kepahlawanan untuk dijadikan teladan kepada pembacanya. Pendeknya wira yang diceritakan hebat-hebat belaka sampai tidak ada cacat celanya.
Dua pujangga yang bergelar Mpu tadi telah menyusun kakawin sebagai persembahan untuk Sang Raja yang bernama Jayabaya.
Sudah jadi kebiasaan para pengarang atau pujangga pada zaman dahulu menulis sesuatu untuk menyanjung raja. Dalam hal ini Raja Jayabaya diberi sanjungan hebat oleh Mpu Sedan dan Mpu Panuluh.
Kenapa mereka memuja raja? Puncanya pada masa dulu, mereka anggap raja adalah penjelmaan dewa atau tokoh -tokoh dari Mahabharata. Berbeza dengan di India di mana mereka memuja dewa per se, sementara di Jawa hanya sekadar menganggap ia "penjelmaan dewa" -- sebagai bayangan yang lebih berkuasa.

SEDIH
Mpu Sedah menurut kisah tidak sanggup menyelesaikan kakawin itu kerana ia begitu menyukarkannya. Sukar kenapa? Ada yang kata dia rasa tak sampai hati nak meneruskan cerita yang "mengerikan" itu. Tidak tahulah mengerikan dalam bahagian mana kakawin itu? -- tidak dinyatakan.
Disebab Mpu Sedah tak sanggup, maka tugas menulis kakawin itu diserahkan kepada Mpu Panuluh pula. Pada masa dulu, gelaran Mpu bukan untuk penulis, pengarang atau penyusun sahaja, malah tukang ketuk besi untuk buat keris juga dipanggil Mpu. Atau kita kata sebagai pandai besi, tukang besi, tukang keris, tukang pisau dan sebagainya.
Jadi kakawin yang ditulis oleh mereka itu adalah berdasarkan kepada kitab Mahabharata Kawi [ketika Raja Dharmawangsa jadi Raja Jawa kira-kira 1,000 tahun sesudah Masihi].
Berbalik kepada Jayabaya tadi, di kalangan orang Jawa, mereka selalu merujuk kitab Jayabaya. Tidak semestinya ia ditulis oleh Jayabaya, atau Mpu Panuluh. Sekarang pun orang boleh gunakan nama Jayabaya untuk apa sahaja bahan yang berkaitan ramalan dan primbonan.
Tidak hairan di Kuala Lumpur, penjaja kaki lima menggunakan "Ramalan Jayabaya" untuk melariskan dagangannya meskipun jelas ia suatu pembohongan. Raja Jayabaya bukanlah pintar dalam soal ramalan dan primbonan, ia hanya menggunakan nama besar bagi meningkatkan status ramalan itu sendiri. Tanpa nama Jayabaya tentulah ramalan itu tidak popular seperti yang ada hari ini. Akhirnya dalam zaman moden ini masih ada orang membelek kitab Jayabaya! []

MITOS LISAN UNTUK MULIAKAN RAJA

MITOS - suatu keperihalan yang dikaitkan dengan seseorang tokoh, biasanya pengaitan kisah itu tidak semestinya benar atau hanya rekaan semata-mata bagi tujuan tertentu.
Sudah pasti mitos akan memanjangkan cerita, sekalipun cerita itu tidak berpijak di bumi nyata, orang tetap menerima kerana ia hanya mitos.
Mitos tidak semestinya benar. Umpamanya mitos moden yang ada di negara kita, janganlah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara kelak berlaku ketidakstabilan dan rakyat akan rugi menyesal selama-lamanya.
Itulah mitos moden. Jadi, mitos ini tidak semestinya cerita hantu, cerita sang kelembai menegur lembu jadi batu dan sebagainya. Dalam politik kita sekarang pun banyak mitosnya. Mitos bukan suatu perkara pelik, apa sahaja perkara yang jika dilakukan akan terjadi perkara lain, ia adalah mitos rekaan.
Mitos pada zaman silam hanya untuk menakut-nakutkan pembaca, untuk membesarkan seseorang tokoh, walaupun hanya tokoh biasa, tetapi disebabkan mitos yang keterlaluan maka ia akan dinobatkan juga sebagai tokoh hebat.
Sebutlah apa sahaja cerita yang menggunakan judul Hikayat pada masa lampau, semuanya penuh dengan mitos. Puncanya, itulah gaya penulisan cerita pada zaman dahulu. Pencerita tidak fikir pun bahawa suatu masa nanti apa yang mereka tulis akan jadi bahan ejekan.
Saya tertarik dengan mitos yang dikaitkan dengan Si Raja Kechil Siak.
Walaupun nama Raja Kechil tidak popular, tetapi siapa yang pernah membaca HIKAYAT SIAK, mereka akan tahu siapa orangnya.
Di dalam hikayat yang fokus kepada Raja Kechil itu ada beberapa kisah mitos lisan yang diceritakan orang.

KAHWIN JIN
Sultan Mahmud Syah II tidak berkahwin dengan anak raja biasa, sebaliknya dia berkahwin dengan pari-pari atau peri [sejenis makhluk halus yang konon bergantung kepada cahaya rembulan untuk mempamerkan kecantikannya, dan ketika bulan mengecil, maka kecantikan pun sirna].

SKANDAL SEKS
Sultan Mahmud Syah II ada skandal seks dengan Encik Apung, anak perempuan Laksamana Johor. Tetapi untuk menutup skandal, mitos mengatakan anak perempuan Laksamana Johor telah mengutip air mani baginda yang tumpah di atas tikar ketika baginda sedang keberahian. Baginda dikatakan berahikan kepada perempuan hantu tadi, tetapi anak Laksamana menggatal, lalu "dijilatnya" air mani baginda. Ini laporan tidak masuk akal dan mengarut. Tetapi paparan cerita ini bolehlah dianggap sebagai satu skandal seks melibatkan baginda dengan anak Laksamana.

LUKA BERUMPUT
Cerita yang paling popular, Sultan Mahmud II pernah lemparkan keris ke arah Megat Seri Rama, terkena kaki Megat. Agaknya oleh sebab tidak dirawat dengan sempurna, ia bernanah dan berkudis sehingga tumbuh rumput di kakinya. Tumbuh rumput di kaki itu dianggap sebagai terkena daulat kerana Megat Seri Rama berani menikam baginda. Balingan keris ke kaki Megat itu menyebabkan dia merana selama empat tahun! Seri Rama terkena daulat Sultan Mahmud II [Mangkat Dijulang].

MUNTAH DARAH
Cerita mitos yang menarik, sewaktu Raja Kechil kanak-kanak, dia gemar bermain di kawasan Makam Sultan Mahmud di Kota Tinggi. Budak itu boleh cabut rumput dekat makam dan mengunyahnya. Dia boleh kunyah berapa helai pun, tetapi kalau ada budak lain yang ikut kutip rumput dan mengunyah macam dia, budak itu akan termuntah-muntah. Sampai muntah darah. Kenapa? Raja Kechil anak Sultan Mahmud, dia tak kena sumpahan. Sedangkan orang biasa yang hina dina, dek kerana makan rumput dia boleh muntah darah. Kalau diceritakan kepada kanak-kanak biasa, mereka tak berani hendak cabut rumput di tepi makam.

TAK KENA DAULAT
Ketika masih remaja bakal raja ini kerjanya membawa tepak diraja. Kalau bakal raja ini memegang tepak sirih baginda Sultan Lema Abang, baginda kena penyakit gatal buntut. Nak duduk pun tak boleh. Kalau nak jalan ke mana-mana pun, Raja Kecil yang remaja kena jalan di depan, kalau baginda berada di depan, baginda macam tersangkut-sangkut, tak larat nak jalan. Ketika anak remaja ini berkhidmat dengan baginda, Sultan Lema Abang selalu sahaja sakit. Macam-macam penyakit ada. Semua ini kata orang kerana ada remaja yang bernama Raja Kechil.

ANAK RAJA ORI
Ketika Raja Kechil berada di Pagaruyung, Sumatera, dia bermain-main di istana raja. Sebagai anak raja apa nak takutnya. Tetapi ada orang istana yang menegur dia, jangan bermain atas peterakna diraja nanti daulat. Habis, Raja Jilan pun tegur orang istana, "Hang tak tau ka? Raja Kechil ni waris sah kerajaan Johor, dia boleh pakai mahkota dan duduk main-main di situ!" Ada lagi kisah, ketika di Pagaruyung juga, Raja Kechil disuruh duduk atas batang pokok jelatang yang gatal. Disuruhnya anak raja itu pakai mahkota sekali. Wah, berseri-seri wajahnya. Itu tanda dia memang anak raja yang asli, bukan raja celup atau raja tiruan. Bukan itu sahaja Raja Kechil boleh tawarkan air masin jadi tawar. Kira macam karomah dialah. Dek kerana kebolehan yang mencarik adat itu, orang pun berteriak: "Daulat tuanku! Daulat Tuanku!" Satu lagi kehebatan Raja Kechil, ketika dia mengetuai angkatan perang dari Minangkabau [Sumatera] untuk menentang Bendahara Abdul Jalil Johor, kesaktian Raja Kechil menyebabkan meriam orang Johor langsung tak berfungsi. Ketika dicucuh, bukan peluru yang keluar, sebaliknya air sahaja, bunyi pun tidak. Cerita ini macam menghina angkatan Johor. Antara Johor dengan Raja Kechil dari Siak, siapa yang hebat? Sudah tentu Raja Kechil!

AMUK
Ada lagi cerita menarik bila mana Yamtuan Muda Johor [adik Bendahara/Sultan Abdul Jalil, Raja Muda Mahmud bin Habib Abdul Majid], dia dikatakan telah mengamuk dan membunuh isteri dan anaknya. Kenapa? Menurut kisah, dia ada berkata: Daripada isterinya diambil orang Minangkabau dijadikan gundik, lebih baik dihabiskan dulu. Tetapi dalam Tuhfat al-Nafis [teks yang pro-Bugis], ada usaha untuk menutup kes, konon kematian isteri dan anak ketika serbuan pasukan Minangkabau menentang pasukan Johor.
Diceritakan juga setelah Mahmud membunuh isteri dan anak-anaknya, dia telah melarikan diri masuk ke belukar.

Itulah yang terdapat di dalam cerita Hikayat, baik Hikayat Siak, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Raja-Raja Riau dan hikayat apa sahaja, pasti ada mitos --- paparan yang dilebih-lebihkan guna mengangkat seseorang tokoh.
[disari dari Muhammad Yusoff Hashim,1992, HIKAYAT SIAK, DBP:Kuala Lumpur]. []