Thursday 29 August 2013

CAKAP TENTANG SYIAH

Kalau sesiapa menyemak buku yang ditulis oleh pendukung Syiah, tak kiralah Syiah dari mana pun termasuk Syiah Melayu kita, mereka lebih suka merujuk kitab-kitab hadis Sunni sebagai bahan pendalilan. Mereka tidak suka merujuk kitab AL-KAFI si Kulaini.
Kemudian, mereka memang terus terang tak mahu pakai hadis BUKHARI, MUSLIM, AT-TIRMIDZI dan sebagainya, kerana mereka ada serangkaian hadis mereka sendiri.
Mereka selalu mengatakan bahawa hadis-hadis atau tafsir yang Sunni bawa batil semuanya, tidak ada kaitan dengan isu yang diperkatakan.
Mereka kritik Abu Bakar as-Siddiq, Umar dan Utsman. Mereka kritik nama-nama yang biasa kita sebut apabila memperkatakan sesuatu hadis.
Segala kelebihan, segala sesuatu yang baik adalah berkaitan dengan Ali r.a. Mereka selalu menyebutnya Imam Ali a.s.
Apabila mereka menafikan kesahihan hadis yang kita rujuk, kerana mereka ada alasan tertentu. Alasannya ketika di zaman Abu Bakar, Umar dan Utsman orang tak berani tulis hadis. Ia jadi larangan. Lagi-lagi hadis yang berkaitan dengan Ahlul Bait. Ahlul Bait di pihak pembangkang, nak lawan kerajaan bagaimana, kata mereka.
Dengan sebab itulah nama Ali r.a. dipencilkan.
Mereka juga mempertikaikan status para sahabat. Bukan semua sahabat itu cerdik kaa mereka. Mereka juga buat kesalahan.
Akan tetapi siapa yang merujuk kitab mereka, riwayat hadis mereka juga hanya berlegar kepada orang itu juga, paling tidak Jaafar as-Shadiq. Ada juga yang tak sebut nama langsung. Hanya diriwayatkan sahaja.
Dalam bab wuduk, hal basuh kaki atau usap kaki dengan air boleh disembangkan sampai berjilid-jilid. Ada banyak dalil yang menyebabkan mereka lebih suka usap kaki dari basuh kaki.
Begitu dalam bab pemilihan Ali r.a. setelah kewafatan Nabi s.a.w. Boleh dijadikan berjilid-jilid buku. Ada sahaja hujah yang mereka kemukakan. Memang tak ada penyudahnya.
Begitu juga dalam bab BID'AH -- itu sebab ada banyak perkara yang Syiah tak nak ikut apa yang Sunni buat kerana semua yang kita buat adalah bid'ah belaka.
Hal solat terawih pun sampai berjilid-jilid kalau nak dibahas. Begitu kebid'ahan yang lain.
Bab azan pun jadi pertikaian juga. Nabi s.a.w. suruh lain, kita buat lain. Itu hujah pihak Syiah.
Bab kahwin mut'ah lagilah mereka ngotot. Kalau nak diceritakan memang berbelit-belit, dan kekadang tak tahulah apa nak jadi?
Mereka tak pakai hadis yang kita selalu rujuk, tetapi ketika nak berhujah, mereka banyak mengutip hadis dari Abu Hurairah, dari Aisyah dan para sahabat lain. Kalau kena pada mereka, nama sahabat itu mereka pakai, kalau tak kena mereka sisihkan. Begitulah nampaknya. Mereka tetap kutuk juga dan mengkafirkannya.
Apabila berdebat dengan penganut Syiah, kita perlu mengalah. Nak debat bagaimanapun, mereka nak menang. Bagilah dia menang. Bukan apa, bagi dia senyap. Bukan tanda kalah. Fikir-fikir nak berbalah dengan dia pun apa yang dapat?
Baik duduk mengaji tentang bab yang dipertikaikan ini supaya kita lebih memahami lagi. Wallahu a'lam. []

NAMA PUN HOBI, JANGAN MARAH!

ADA beberapa orang yang saya temui memiliki hobi mengumpul majalah hiburan lama, majalah zaman P Ramlee dulu. Tidak setakat majalah hiburan jenis itu, mereka juga kumpul piring hitam lama, tidak kira ukuran EP atau LP. Sedangkan kalau ada pun nak mainkan bagaimana? Orang sekarang sudah beralih kepada CD yang lebih mudah.
Hobi mengumpul majalah dan gambar-gambar artis lama ini memanglah menyeronokkan. Ia adalah gambaran di zaman remaja yang gemar membaca majalah hiburan. Majalah itu naik comot dibelek sepanjang masa. Tulisan yang dipaparkan itu dibaca dan terus dibaca, maklumlah ketika itu bilangan majalah hiburan amat terhad. Nak beli pun bukannya mudah, kena tuju bandar kecil dulu, tak ada barulah tuju bandar besar.
Di zaman dulu, seseorang yang suka kepada seseorang penyanyi atau bintang filem, tidak sah kalau tak tampal gambar di dinding ruang tamu atau tempat lepak mereka.

TAMPAL
Gambar-gambar macam itu ketika itu boleh ditampal sesuka hati. Tidak ada komentar apa-apa pun ketika itu. Mereka tak selidik pun boleh tak bolehnya tampal gambar makhlu bernyawa begitu.
Maka yang ditampal adalah gambar bintang filem zaman hitam putih dan zaman warna pudar. Yang suka kumpul majalah dan gambar-gambar bintang ini ada pula yang kreatif. Dibuatnya salinan gambar-gambar itu. Kalau ada pemeran yang temanya kena dan sesuai, benda itulah yang dijualnya. Masa itu, pantang ada acara yang berkaitan.
Saya teringat A Razak, bekas suami Maria Menado. Selalu sembang dengan dia di KL. Jenguk rumahnya beberapa kali. Dia pernah tinggal dekat Setapak KL. Dia pun suka kumpul gambar lama. Gambar Maria Menado tak usah kiralah. Majalah. Potongan akhbar, potongan majalah. Gambar ahli gusti. Kebetulan saya pernah mengikuti grup A Razak adakan pertunjukan gusti di Stadium Merdeka dalam tahun 90-an.
Seorang rakan jemaah Masjid Jamek LRT KL juga gemar kumpul majalah dan gambar-gambar artis lama. Begitu juga seorang kawan yang pernah pihak radio temuramah dia ketika siaran larut malam. Dia juga dikenali sebagai Abang Gambar. Ke mana pergi dia sangkut kamera di lehernya [saya pun dulu bawa kamera].

HIBURAN
Abang Gambar pun begitu. Dia ada simpan khazanah lama tentang hiburan. Akan tetapi apabila sudah berlonggok begitu, kertas lama yang dilonggok begitu lama-lama menyemak pula.
Nak dikenang apa lagi? Artis-artis lama itu jika kita tak kenang pun sudah ada pihak lain mengenangnya, sudah ada muziumnya. Itulah yang dikatakan hobi. Nak marah pun buat apa.
Gambar-gambar artis disimpan. Diperapkan. Sesekali apabila bertembung, ada peminat koleksi benda-benda ini kata dia cadang nak buat satu buku koleksi tentang seniman-seniwati silam. Senarai lagu-lagu silam, ada sejarah dan ada asal-usulnya.
Walaupun saya terlibat dalam dunia tabloid dan majalah, saya tak tertarik langsung kepada dunia hiburan bentuk begini. Kepala saya selalu memikirkan manfaat sesuatu perkara itu.
Kita boleh fanatik terhadap sesuatu perkara, tetapi ia ada hadnya. Ada ketikanya kita perlu lupakan semuanya. Buka lembaran baru. Untuk apa dikenang sesuatu yang tidak bermanfaat?
Menyimpan gambar seniman-seniwati lama menyebabkan timbul banyak fitnah.
Bukankah menggambar itu sendiri tidak digalakkan. Nak menyimpan gambar artis berkebaya ketat, fesyen zaman P Ramlee rasa tak kena dengan peredaran zaman. Orang sekarang tak mahu dedah aurat lagi. Jadi, ini yang menyebabkan kepala kita berputar ligat. Untuk apa mengenang zaman yang tidak bermanfaat itu?
Nama pun hobi. Kekadang hobi membuatkan kita terlalu taksub dengan kehobian yang ada sehingga melalaikan perkara lain. Perkara yang melalaikan inilah yang sepatutnya kita fokus.

TANGKAP GAMBAR
Apabila sesuatu perkara sampai melalaikan kita, baik hobi ambil gambar dengan kamera digital, kumpul majalah lama, kumpul gambar artis lama, kumpul lagu-lagu The Beattles, Bee Gees, Deep Purple dan macam-macam lagi [teringat kedai macam ini di Central Market KL] -- kita kena fikir apa manfaatnya?
Barangkali kalau hobi kumpul majalah hiburan itu diubah kepada mengumpul majalah yang isinya menjurus kepada bab ilmu tentulah lebih bermanfaat lagi.
Bayangkan, kita selalu nak ambil tahu apa pakaian kegemaran artis sekian, apa menu kesukaannya, dia pakai kereta apa, hobi dia, dan apa lagu yang popular. Kenapa tidak digantikan dengan perkara lain? Berapa banyak ayat al-Qur'an yang telah kita hafalkan?
Setidak-tidaknya, kalau pergi masjid atau surau ketiadaan Imam, maka kita boleh tampil ke depan.
Kenapa kita tidak menukar hobi simpan gambar artis atau kumpul piring hitam lama itu kepada benda lain yang bermanfaat, kumpul buku-buku yang berkaitan dengan soal aqidah, persoalan tentang hukum hakam agama, tentang undang-undang Islam dan undang-undang adat, tentang penyelewengan aqidah, tentang Imam Syafie itu sendiri. Kita selalu kata bahawa kita ikut Imam Syafie sebagai panduan, tetapi tak ramai yang mengkuti apa kitab Imam Syafie yang patut kita rujuk. Kita asyik dengan artis atau orang filem sahaja, atau asyik dengan Elvis Presley, Elton John, Michael Jackson, Cliff Richard atau Tom Jones.
Kekadang perbendaharaan kata kita mengenai hiburan Barat lebih dahsyat daripada persoalan fardu ain dan bab-bab berkaitan sirah, pemikiran dalam Islam, bab Syiah [yang memang tak faham langsung], bab kenapa orang boleh jadi Qadiani, kenapa boleh ikut Tuk Guru masuk gua dan lepak di situ, dan banyak lagi perkara yang kita patut ambil tahu [jangan lupa tanda-tanda akhir zaman, kiamat kecil dan kiamat besar].
Kenapa kita nak ambil tahu di mana artis sekian dikuburkan, tarikh dia lahir dan tarikh dia meninggal dunia. Nak tahu dia tinggal di mana, anaknya berapa orang, siapa saudara maranya. Pendeknya, kekadang kita teramat mengetahui hal-hal yang tidak bermanfaat dibandingkan dengan perkara yang sepatutnya mendatangkan manfaat.

KULIAH
Berhubung dengan hobi ini, saya teringat kuliah subuh atau kuliah maghrib oleh seorang ustadz. Setiap kali dia bagi tazkirah pasti akan keluar nyanyian P Ramlee atau lagu lain yang sesuai dengan tema ceramah. Siap dinyanyikan lagi. Bagi saya, tak payah nyanyikan lagi baik. Sebut liriknya sudah cukup tak payah ingat bagaimana melodinya. Dan sudah jadi kegemaran ustadz penceramah mutakhir ini, menyanyi, ada yang lagu rock, lagu Hindustani, lagu Arab dan macam-macam. Kalau moderator majlis iklankan kelebihan sekian ustadz nyanyi lagu rock, maka ustadz tadi diminta nyanyikan sikit, audien yang ada nak dengar.
Dan amat memelikkan kalau seseorang itu masih mengekalkan hobi lama sampai ke akhir hayat. Sampai rambut beruban masih nak berkaraoke, pantang dipelawa. Bahkan di tempat kita, ada orang masjid sendiri bukan lain ketagih nak pegang mikrofon nyanyi lagu 60-an. Lepas satu lagu, satu lagu lagi. Siap ada permintaan lagi. Lagu Dara Pujaan L Ramlee, lagu Oh Fatimah A Ramlee [lagu Fatimah ini mungkin digemari oleh orang Syiah? Mengusik je].
Ada satu kes yang diceritakan oleh geng surau, di tempat kitalah, meninggal ketika sedang berkaraoke. Inilah sesuatu yang patut kita hindarkan. Hobi biarlah hobi, tapi kena berpada-padalah. Bahkan kalau melupakan terus hobi yang tidak bermanfaat adalah lebih baik. Wallahu a'lam. []

KUBUR SENIMAN

ADA khabar menarik dalam dunia seni.
Kubur milik seorang seniman terkenal dan isterinya yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dikatakan telah mengalami kerosakan teruk akibat tertimpa pokok tumbang.
Maka, kalangan tertentu menyatakan rasa sugul yang amat sangat kerana kubur orang ternama itu seolah-olah diabaikan.
Jadi, tolong jangan biarkan begitu. Tolong baiki mana-mana yang rosak, kalau boleh dibangunkan agar lebih cantik dan indah bagi menggambarkan keagungannya.
Difahamkan ada pihak yang telah memperuntukkan sekian ribu ringgit untuk membaiki kerosakan itu.
Kemudian seorang mufti sebuah negeri menegur perbuatan membazir itu.
Nampaknya, teguran dari mufti yang amat membina itu mendapat reaksi yang pelbagai. Maklumlah, masyarakat kita sejak sekian lama sudah lama didodoikan oleh lagu, muzik dan nyanyian.
Sejak kecil sampai dewasa masih suka menyanyi, suka kepada alat muzik, suka kepada hiburan yang mubah-mubah.
Kerana hiburan itu bukan tidak boleh, kita mengambil jalan mudah, asalkan hiburan, asalkan kita boleh berhibur maka semuanya boleh belaka.
Tidak ada perubahan sikap di kalangan umat Melayu terhadap hiburan.
Hiburan dianggap paling utama. Tak ada hiburan layulah umat kita. Cuba amati, dalam kereta, dalam bas, dalam restoran, dalam supermarket, semuanya disendali dengan hiburan. Kalau tak ada itu semua, ada yang sanggup pasang di telinga, kepala terhangguk-hangguk menikmatinya, ntah apa-apa.
Apabila ada orang tegur tentang pengindahan sebuah kubur, kita patut terima. Jangan cepat melenting dan marah-marah. Semoga mendapat pencerahan. Wallahu a'lam. []

Wednesday 14 August 2013

APABILA ORANG TAK MASUK PANGGUNG WAYANG JANGAN MARAH!

Media cetak kita memaparkan keluhan para penggiat seni terutama dalam sektor perfileman negara. Mereka mengharapkan ada fenomena terbaik yang luar biasa agar ia menjadi daya tarik orang ramai mengunjungi panggung wayang di mana-mana sahaja yang ada di seluruh negara.
Siapakah yang gemar menonton wayang pada masa sekarang? Sudah tentu orang yang suka tengok wayang. Orang yang tak suka tengok wayang, kalau diberikan tiket percuma pun mereka tak nak tengok. Seperti di tahun 70-an dulu, sahabat penulis Othman Abdullah dari Singapura, kerap hantar "tiket" wayang untuk filem-filem menarik Shaw Brothers. Ketika itu saya berada di Felda Bukit Tajau. Mana ada panggung wayang?
Sekarang harga tiket wayang pun sudah mahal. Saya sendiri tidak tahu berapa harganya. Kalau nak tahu juga kena jenguklah mana-mana pawagam yang ada di Times Square. Disebabkan kita bukan kaki wayang, filem TANDA PUTERA atau KL GANGSTER 2 yang dikatakan menarik dan elok ditonton itu kita tak tengok sekalipun rumah depan panggung.
Apabila orang tak masuk panggung wayang, janganlah marah. Jangan pula nak kempen agar kita mencintai filem kita, filem karya tempatan, sebab setiap orang ada kegemaran masing-masing. Ada yang suka tengok wayang, itulah hobi mereka sejak zaman muda sehingga usia mencecah 70-an, apa nak buat. Kita tak nak komen apa.
Kenapa orang tak masuk panggung wayang? Kalau zaman dulu, pangung wayang ada di pekan kecil. Contoh: di Sabak Bernam ada panggung, di Teluk Intan ada panggung, di Sungai Besar pun ada, di Sekincan, Tg.Karang, Pasir Penambang Kuala Selangor, di Klang tak usah cakaplah. Sekarang? Bilangan panggung semakin kurang. Saiznya makin kecil, harga tiket mahal.
Siapa yang suka tengok wayang? Hanya mereka yang aktif dalam dunia perfileman kena meriahkan pawagam, ajak suku-sakat tengok Pak Ngah atau Mak Ngah berlakon walaupun watak sampingan sahaja. Ajak saudara mara krew filem itu tengok sekali. Atau kalangan penulis hiburan yang ingin melihat apa reaksi penonton dalam pawagam, kekadang para pelakon pun ada yang masuk pawagam sebab nak tengok apa reaksi penonton tatkala dia sedang berperan dalam scene tertentu.
Maknanya, khalayak penonton di negara kita semakin mengecil. Belum tentu orang yang membaca ulasan filem dalam akhbar akan jenguk panggung. Belum tentu penulis yang mengulas tentang filem Melayu jenguk panggung.
Sebenarnya panggung adalah wadah yang tak sesuai lagi kepada mereka yang mendapat pencerahan ilmu. Semakin tinggi ilmu yang mereka peroleh dan bagi tujuan membaiki diri, mereka akan menjauhkan diri dari pawagam. Mereka tidak mahu mencampuradukkan pemantapan ilmu dalam diri dengan hiburan yang melalaikan, hiburan yang tidak memberi manfaat, filem fiksyen begini juga kurang memberi manfaat bagi mereka.
Penggemar filem tempatan ada kelompoknya yang tersendiri. Orang masuk pawagam bukan kerana tajul filem dan pelakon. Kekadang masuk pawagam kerana sekadar nak berehat di ruang dingin, melepaskan lelah, ikut kawan yang minat sangat nak tengok wayang, atau menemani orang yang suka tengok wayang. Ada datuk atau nenek temankan cucu tengok wayang, bukan datuk atau nenek itu minat tengok wayang.

MENGELUH
Sekarang sudah kedengaran orang mengeluh. Filem makin tak laku. Kutipan semakin merosot. Mereka mengesyorkan agar FINAS proaktif mencari idea bagaimana hendak menyemarakkan lagi pasaran filem tempatan.
Masalah dunia filem Melayu hanya mereka sahaja yang memikirkan. Penonton filem Melayu tidak hirau apa pun. Hanya orang yang keluarkan modal besar untuk buat filem Melayu mereka pening memikirkan soal pasaran, soal menarik penonton dan sebagainya.
Jika pasaran filem tempatan juga jatuh merundum, maka pembikinan filem Melayu kita perlu dikurangkan. Mereka kena tumpukan kepada filem drama untuk Tv sahaja. Bukankah membazir sekiranya dana yang ada digunakan untuk menyuntik bantuan kepada penerbit filem, sedangkan hasil yang disiapkan tidak mencapai sasaran?
Ada yang mempersoalkan skrip yang ada. Tabung skrip yang melibatkan kalangan mereka sahaja, orang yang biasa tulis skrip, ada skrip sesuai untuk drama TV tetapi dipawagamkan, akhirnya ia tidak menemui sasarannya.
Akhirnya mereka mengeluh. Kalau begini, ramailah yang bakal gulung permaidani. Tutup pejabat, sewa meja sahaja. Buat filem bukan kerja senang. Para pelakon hanya fikirkan glamor tak habis-habis, sedangkan orang yang mengeluarkan duit untuk filem itu memikirkan penyudahnya -- adakah pawagam yang sanggup menerima kehadirannya? Atau bertahan dua tiga hari, keadaan panggung lengang?
Inilah kengerian bagi mereka yang sudah melabur banyak untuk menerbitkan sesebuah filem besar. Para pelakon sudah dibayar. Hanya tunggu bagaimana hasilnya ketika masuk panggung. Inilah cabaran yang sebenar. Laku atau tidak laku sesebuah filem bukan berdasarkan gimik sebelum disiapkan, bukan bergantung kepada paparan media cetak dan elektronik sahaja. Jadi apa lagi?
Anak muda adalah golongan yang layak menyerbu pawagam. Akan tetapi kalau mereka tidak minat tengok filem nak buat bagaimana lagi? Kita tak boleh paksa mereka tengok wayang. Seperti filem TANDA PUTERA yang awal-awal lagi sudah timbul berbagai masalah hinggalah Suhaimi Baba harapkan orang ramai penuhi pawagam. Harapan ini akan tinggal harapan, bagi mereka yang telah mengikuti pertelagahan berkaitan filem itu, bahkan kebetulan ia dikaitkan dengan pegangan politik penerbitannya, maka orang yang tidak sealiran tentu tidak masuk panggung!
Awal-awal lagi TANDA PUTERA sudah terjejas. Kita tidak tahu berapa kutipan yang akan dibuat dari tayangan filem kontroversi ini. Mungkin jatuh di paras bahaya? Jangan main-main, kutipan kebanyakan filem tempatan sekarang makin merundum. Dana besar untuk pembikinan filem sampai berjuta-juta bukan ukuran untuk meraih kutipan hasil. Kalau filem itu filem propaganda, maka ia hanya layak untuk paparan televisyen sahaja. Tajuk filem itu sendiri menyebabkan penonton lari.
Apa yang dialami oleh Hans Isaac ketika merungut kerana filemnya LEMAK KAMPUNG SANTAN kurang memberangsangkan.
Kutipan di pawagam yang terhad hanya mencecah RM100,000 sahaja [setakat ulasan ini dibuat] sebagaimana paparan Harian Metro [14/8/13].

KELUHAN PETANI BAGAIMANA?
Itu keluhan para pengusaha filem. Para artis yang berlagak selebriti langsung tidak dipaparkan. Tidak sedihkah kalau nama dicap selebriti, tetapi filem yang dilakonkan tidak laku? Ia menjejaskan keselebritian seseorang pelakon sebenarnya. Justeru, kita jangan suka mencari populariti murah begitu. Nak tahu jaya atau tidak lakonan seseorang itu, tengok pada penyudahnya.
Apabila orang filem mengeluh kutipan tayangan mereka tidak memberangsangkan, bagaimana pula keluhan para petani? Para petani tidak dipaparkan dengan pakaian serba indah, ada banglo dan kereta mewah seperti artis kita, tetapi ingatlah, jangan kita memikirkan dunia kecil kita sahaja. Kita kena fikirkan dunia orang lain juga. Apabila dunia orang lain terganggu, ia menjejaskan dunia filem juga.
Kalau harga padi jatuh, harga sawit merundum, bagaimana orang muda hendak tengok wayang? Pengunjung panggung yang sebenar adalah orang-orang muda yang bergelumang dengan dunia ladang dan pertanian, mereka mahu merehatkan fikiran, mahu melayani jiwa dengan mengunungi pawagam.
Mereka nak tahu bagaimana filem yang digembar-gemburkan oleh wartawan hiburan itu. Hebatkah filem itu. Jika orang filem asyik memikirkan laku atau tidak filem mereka, kalangan audien di luar bandar yang akan menuju ke bandar semata-mata nak tengok filem, maka keadaan ekonomi mereka kena dibaiki juga. Mereka tak sanggup berbelanja mahal tengok wayang di KLCC atau Times Square kalau harga getah jatuh, harga sawit merundum, harga ayam pun rendah, dan apa sahaja menimbulkan kesan secara tak langsung.
Ingat, sudah tiba masanya kita kena muhasabah diri. Perlahankan momentum glamor kita. Jangan mencari glamor tak tentu fasal. Jadi artis ada hadnya. Ada batasannya. Lebih-lebih lagi selepas kita berada di dalam madrasah Ramadan. Apakah akan diluluh-lantakkan begitu sahaja dengan menuju panggung sehingga melalaikan janji istiqamah yang pernah kita lafazkan dalam hati?
Baru beberapa hari kita berada dalam bulan Syawal, Ramadan yang lalu sudah berantakan melayani duniawi yang melekakan. Wallahu a'lam. []  

HARI RAYA UNTUK ARTIS BERGAYA?

SABAN tahun, sejak tahun 60-an pun begitulah. Paparan media kita, terutama media cetak, akhbar dan majalah, semuanya lebih mengutamakan kaum selebriti [?], ntah dari mana istilah selebriti itu boleh kita gunapakai sehingga setiap hari orang menyebutnya. Hingga, yang baru bertatih nak menyanyi atau berlakon drama TV pun dianggap selebriti juga.
Ini semua kerja wartawan. Jika wartawan menulis, mereka mesti sebut nama seseorang artis itu sebagai TERKENAL, sekalipun orang itu tidak terkenal mana pun!
Lihatlah paparan dalam media cetak [penulis tak sanggup nak tulis tentang tv, sebab memang tak ada tv pun di rumah] halaman yang memaparkan artis berhari raya bukan main hebat.
Itulah yang dibesar-besarkan. Semua gambar menunjukkan mereka tayang Baju Melayu dan kurung moden mereka, siap selendang atau tak berselendang langsung.
Seperti diadatkan, para wartawan Melayu [Islam] seperti tidak tahu apa sebenarnya HARI RAYA yang kita sambut pada 1 Syawal ini.
Gambar yang dipaparkan dalam media cetak - terutama akhbar harian, mingguan dan majalah bulanan - tidak menggambarkan orang menyambut perayaan umat Islam, sebaliknya seperti perayaan biasa, perayaan budaya.
Gambar keluarga artis, gambar pasangan artis, meski ditaja oleh sekian butik tertentu, ia tidak mencerminkan artis yang menggambarkan mereka cinta kepada Islam. Mereka langsung tidak peka kepada soal menutup aurat, hatta ketika artis berbuka puasa bersama anak-anak yatim atau orang tua-tua, mereka tetap dedah aurat. Bukankah majlis berbuka puasa itu berkaitan dengan puasa? Ia bukan majlis makan-makan malam di hotel atau restoran besar.
Nampaknya, wartawan dan editor akhbar kita masih belum faham dengan masalah ini. Mereka masih selesa dengan budaya cara 60-an dan 70-an silam. Ia akan berkekalan selagi mereka menerajui sektor penerbitan akhbar dan majalah berkenaan.
Apabila menyentuh isu surau dijadikan tempat orang bukan Islam melakukan ritual agama mereka kita cukup sensitif, ia dibesar-besarkan. Soal menutup aurat sama pentingnya dengan tempat ibadat tadi. Tetapi kita nampaknya tidak peduli langsung dengan perkara ini.
Begitu juga paparan media di mana para artis bersalam-salaman dengan peminat, tidak kira lelaki perempuan. Ini pun sudah jadi budaya. Budaya Melayu yang perlu diperbaiki agar selaras dengan Islam.
Paparan dalam media kita hari ini memperlihatkan seolah-olah artis sahaja yang menyambut hari raya. Orang lain tidak sambut langsung. Artis sahaja yang bergaya dengan pakaian yang tak sesuai langsung dengan hari raya. Hari raya bukan ruang untuk memperagakan pakaian, bukan masa untuk jadi model pakaian dari butik terkenal. Itulah yang terjadi di negara kita.
Wartawan dan jurufoto sama subahatnya. Mereka mencari angle yang dianggap menarik, tetapi tidak kena untuk dipaparkan bagi memeriahkan sambutan Hari Raya. Wallahu a'lam. []

Sunday 4 August 2013

CHOW KIT PENUH RAKYAT ASING?

HARI ini cadang nak beli sesuatu di Chow Kit, tetapi bukan untuk persiapan hari raya. Bagi kita, hari raya tidak penting. Setelah mengikuti berbagai tazkirah di masjid dan surau, jelaslah, sesuatu perlu dilakukan untuk merombak sistem yang ada di negara kita.
Sepatutnya lagi nak habis Ramadan, masjid dan surau dipenuhi oleh para jemaah yang hendak mendulang pahala, sebaliknya sejak dulu begitulah, kita sibuk nak buat persiapan untuk menghadapi hari raya. Padahal hari raya yang kita raikan setiap tahun bukan selaras sangat dengan kehendak yang sepatutnya.
Memang kita digalakkan berbaju baru untuk meraikan hari raya, tetapi bukan nak semuanya baru. Baru untuk dunia kanak-kanak memang sesuai, tetapi baru untuk kalangan dewasa -- ia sudah berubah takrif.
Semua orang akan melalui fasa begini. Sebenarnya media kita tidak mampu menjadi pendorong kepada masyarakat Islam kita merombak sistem.
Kita nampaknya tidak tertarik langsung dengan tawaran lailatul qadr. Tidak tertarik dengan ganjaran seribu bulan yang menyamai 83 tahun 4 bulan ibadat itu. Kita tidak tergiur kepada soal pahala dan balasan di akhirat kelak. Sebaliknya kita amat tertarik dengan tawaran yang disuguhkan oleh media cetak dan media bukan cetak.
Sejak zaman dulu lagi hari raya adalah hari untuk para artis [lihat majalah hiburan kita bagaimana?] Orang biasa macam kita seperti tidak layak menyambut hari raya. Padahal hari raya adalah hari kemenangan orang yang telah istiqamah menjalani ibadat puasa dan menghidupkan 10 malam terakhir.
Sedang kita sibuk dengan 10 malam mendulang pahala, di luar sana sibuk mencari apa sahaja yang difikirkan layak untuk diletakkan di dalam rumah, di ruang tamu dan sebagainya. Bayangkan, betapa sibuknya nak menghias rumah dengan bunga-bunga plastik atau bunga tiruan, betapa sibuknya hendak menyediakan persiapan bagi minuman dan biskut raya.
Padahal kalau hanya disajikan sejenis dua pun orang tak akan marah. Paling tidak orang akan mengata, "Rumahnya tak ada kuih raya, kasihan!"
Di Chow Kit hari ini orang ramai sibuk dari pagi sampai ke malam.
Ada sahaja yang dicari. Ada sahaja yang hendak dicapai. Bagi yang tak suka hiruk-pikuk, sesak menyesak begitu, mereka akan mencari ruang berbelanja di tempat yang lebih tenang dan aman. Banyak tempat sebenarnya yang tenang dan aman, tetapi suadah menjadi kebiasaan, di mana ada kepadatan, di situlah orang nak berjejal.
Sesekali menjenguk Chow Kit, keadaan sekarang jauh berubah.
Setiap sepuluh orang yang berada di situ, paling tidak enam orang adalah rakyat asing. Dari dulu pun orang sudah tahu, Chow Kit sudah sinonim dengan rakyat asing.
Merekalah yang paling sibuk nak buat persiapan untuk sambut lebaran. Sedangkan rakyat tempatan, santai sahaja tak peduli dengan kesibukan itu.
Jika mereka faham apa sebenarnya hari raya, mereka tidaklah sibuk sangat untuk membuat persiapan semahu-mahunya. Buatlah apa yang ada, tak perlu meniru gaya orang berada. Tak perlu meniru menu hidangan orang yang berkeluarga besar.
Lihatlah betapa sibuknya anak muda mencari jeans untuk hari raya, mencari kasut baru, padahal ia tidak ada kaitan langsung dengan hari raya selain untuk menyesuaikan diri dengan mood nak raya. Tak percaya tengoklah nanti, kemuncaknya.
Di pagi raya. Semua yang dikejar semalam masih ada di Chow Kit. Baju baru yang dipakai pada hari raya pertama, hanya untuk sekejap sahaja, selepas balik dari masjid ia tidak dipakai lagi. Zaman ini orang rasa tak selesa dengan pakaian begitu, orang masih suka berpakaian biasa untuk menyambut hari raya.
Dan nak sambut raya pun tak boleh berlebihan sangat. Masuk raya kedua orang dah mula puasa sunat. Bagi yang memikirkan ganjaran pahala, mereka tidak akan mensia-siakan hari raya dengan aktiviti zaman kuno -- menonton wayang, berpeleseran di tempat peranginan atau tempat rekreasi, atau menghabiskan masa begitu sahaja "meraikan hari raya yang ceria!"
Kalau jatuh pada hari Jumaat, nescaya masjid pun lengang. Kita sibuk berhari raya dan melupakan solat Jumaat pula. Inilah keadaan yang perlu diperbaiki. Pada hari raya itu, jangan bimbanglah masjid tak ada ruang. Inilah pemandangan yang biasa berlaku di celah KL ini. Di kampung tak tahulah, agaknya sama sahaja. []

Friday 2 August 2013

JEMAAH MAKIN SUSUT

Di sepanjang bulan Ramadan ini, masjid dan surau padat dengan solat terawihnya. Surau kecil pun sudah menyediakan dana untuk mengundang ustaz sebagai imam solat terawih.
Paling tidak RM3,000 untuk sebulan.
Setiap hari, pihak surau menyediakan RM100.00 untuk imam jemputan. Imam yang ada kena rehat dulu untuk tugasan solat terawih.
Kalau seorang ustaz jemputan boleh sapu sampai 10 hari, maka dia akan dapat RM1,000 untuk tugasannya menjadi imam termasuk tahlil.
Dalam masa bulan Ramadan inilah orang sanggup menghulurkan wang untuk tahlil arwah. Tidak perlu baca panjang sangat, buat ringkas pun memadai kerana orang sudah lebih selepas witir tiga rakaat.
Ada surau atau masjid yang buat 20 rakaat atau 8 rakaat sahaja. Pertegahannya diikuti dengan tazkirah pendek 15 minit. Itupun orang sudah gelisah dan rasa ngantuk bukan main.
Habis sahaja solat witir, hilang pula ngantuk yang ada.
Surau di tempat kita pun begitu. Tinggal sebaris sahaja. Kalau subuh ada enam orang sahaja. Tidak diketahui kenapa keadaa makin merosot. Tak ada orangkah?
Ada! Jadi, baik bulan Ramadan atau tidak, keadaan sama sahaja. Wallahu a'lam. []

RAMADAN AKAN PERGI JUGA!

Sebenarnya Hari Raya adalah hari kemenangan umat setelah melayari bulan penuh ujian. Kita diuji tidak makan dan minum dan menjaga selainnya sesuai dengan ibadat puasa. Bagi yang berpuasa tetapi sibuk main muzik, menyanyi lirik entah apa-apa, bersalaman tak cukup tangan pantang jumpa salam, buka di warung sampai jam 10.00 malam, atau lebih banyak mengadap muka TV di rumah, maka hendak muhasabah diri. Itu kata tazkirah di masjid sebelum azan solat Jumaat tadi.
Bagi yang sibuk nak raya, mereka jadi stress, sebab nak cat rumah, nak bersihkan laman rumah, nak cuci kereta, nak kemas itu dan ini, dah yang penting kuih raya tak ada lagi, semuanya mahal, satu bekas kecik RM20.00. Nampaknya tak laku. Orang tunggu hari kemuncak, kuih raya kena lelong.
Sayangnya yang paling banyak terlelong adalah batang buruk, dah nama pun buruk, orang langsung tak peduli sekalipun harganya RM5 satu bekas.
Nak jual pun biarla benda yang berjenis, ni sudah hancuk dek kerana naik turun van atau lori, biskut tu dah tak rupa biskut lagi. Apa susah, malam nak raya kita lelonglah. Agaknya pelanggan main sapu saja sampai tak tengok apa isi di dalamnya?
Jenis macam maruku paling banyak. Hancuk maruku dalam paket kerana asyik kena hempap. Tetamu nak makan pun geli.
Di kampung ada orang kacau dodol, sedangkan di bandar hanya harapkan dodol tunjuk. Raya atau tak raya, dodol tetap ada. Dodol bungkus. Setiap hari ada dijual. Begitu juga lemang dan ketupat. Tak payah tunggu raya.
Kini ramadan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Orang tak sibuk lagi nak kejar lailatul qadr meskipun ganjarannya 1,000 bulan ibadat, menyamai 83 tahun!
Orang tak mhu fikir benda begitu. Kalau ganjaran itu dihempap depan mata barulah berebut nak cari lailatul qadr. Di masjid dan surau, bilangan jemaah makin susut. Ada yang tak jenguk langsung pun ada. Mereka sibuk cari duit. Banyak mana pun tak cukup, lagi banyak dapat, lagi tinggallah surau dan masjid.
Tazkirah di masjid dan surau tak sampai kepada sasaran. Orang masih sibuk mencari persiapan nak raya. Mereka fikir hari raya itu adalah hari main mercun dan bunga api. Hari orang menyanyi, hari orang tengok tv dari pagi sampai malam, cerita bagus-bagus.
Beruntung orang yang lupakan tv. Beruntung orang yang tak pedulikan filem terbaik atau pelakon terbaik akting malam itu, jangan peduli.
Apabila ramadan sudah berlalu, baharulah orang menyesal. La! Tak sempatlah nak baca Qur'an, tak sempatlah nak qiamul lail, tak sempat nak tahajud, tak sempat nak solat di masjid, sibuklah, ada sahaja benda yang nak dibuat.
Kepada yang sentiasa sibuk, teruskan dengan kesibukan yang ada. Tetapi jangan menyesal, ramadan akan tinggalkan kita. Tinggal berapa hari lagi. Nak meraih ganjaran pahala semakiin sempit. Beruntunglah orang yang istiqamah dalam beribadat di bulan ini. Beruntunglah mereka yang melupakan kesibukan duniawi yang tak akan habisnya. Wallahu a'lam. []