Sunday 16 March 2014

MENGERJAKAN SOLAT KERANA ARAHAN

TERTARIK dengan tazkirah di masjid.
Apabila ada isu, baharulah orang nak berdiri di atas sejadah di dalam saf jemaah. Baik surau, masjid atau di mana-mana.
Tidak terfikirkah, selama ini solat sunat itu jarang atau tak pernah dilakukan pun!
Dan apabila ada kerahan untuk melakukan, maka sibuklah jurugambar akhbar kita melaporkan solat sunat di mana-mana kerana sesuatu keperluan.
Ustaz yang bagi tazkirah mengulas, alangkah baiknya kalau solat sunnat itu telah menjadi amalam harian kepada semua orang. Bukan hanya seminggu sekali atau setahun beberapa kali.
Kalau semua orang telah melanggengkan amalan solat sedemikian, maka ruang untuk memperoleh jawapan akan lebih mudah dan dipercepatkan.
Jadikan perkara yang terjadi sebagai amaran kepada kita semua.
Tidak ada sesuatu yang mustahil.
Mengerjakan sesuatu tidak perlu menunggu apabila dikerah. Atau melakukan sesuatu untuk pamer publisiti media bagi menggambarkan keprihatinan!
Tentunya, kita kena menyemak tafsir Yassin yang di dalam memuatkan kisah pengangkutan yang digunakan manusia. Apabila Allah menghendaki ia tenggelam, tak ada sesiapa yang dapat menyelamatkannya.
Elok juga dalam isu ini tazkirah di masjid dan surau memberi penekanan kepada tafsir ayat tersebut agar dapat memberi pencerahan kepada semua. Wallahu a'lam. []

LAGI LAMA, MACAM-MACAM SPEKULASI JAHAT AKAN TIMBUL

Kehilangan pesawat milik negara menimbulkan kekecohan. Kecoh dalam minda. Ada yang marah-marah, geram, dan pantang mendengar atau membaca komen dari orang biasa. Kalau kaum gelandangan yang bagi komen, lagilah mereka geram.
Akan tetapi kalau yang bagi komen itu berstatus menteri, maka semua akan dilaporkan. Tukang lapor memang suka melaporkan kenyataan menteri. Walaupun hanya sepotong ayat, atau tak ada apa nak komen.
Lagi lama pesawat hilang dalam lautan misteri, maka banyak spekulasi jahat yang dimainkan untuk dikaitkan dengan parti politik.
Sekarang nampak sangat pihak yang berwewenang terlalu larut dengan dunia spekulasi termasuk dunia mitos dan mistik dalam bikinan.
Teori mengaitkan sesuatu isu dengan isu yang tidak berkaitan memang berlegaran di sekeliling kita. Inilah masanya untuk mengenakan seseorang. Atau inilah masanya untuk membina persepsi yang logik atau yang tak masuk akal.
Apabila kita terperangkap dalam wadah begini, kita akan tenggelam sama dengan kisah yang sebenar. Kita membina seribu andaian bagi dikaitkan dengan seseorang.
Maka daripada andaian yang sudah lari dari fakta itu, ada pihak tertentu sibuk membuat siasatan yang tak berkesudahan.
Jika ada seseorang yang berminat dengan andaian itu untuk dimantapkan sebagai bahan tudingan politik dan fitnah, dibarengi pula dengan media yang siap sedia mengatur langkah, maka persepsi itulah yang akan dibangunkan dan dimantapkan agar semua orang menuding jari ke satu arah.
Arah mana?
Itulah arah untuk bermain politik secara murahan. Kita sudah lama bermain politik begini. Jangan tuduh siapa yang murah, sendiri kena faham. Di negara kita, apabila seorang tokoh utama bersuara dan memantapkan persepsi, maka orang lain pun akan ikut juga.
Diharap, kita fokus kepada isu kehilangan itu dan tidak menjadikan sebagai modal politik. Sudah lama kita bermain dengan fitnah. Jadi, isu kapal hilang ini elok dirasionalkan mengikut landasan yang betul. []

Tuesday 11 March 2014

CARI PESAWAT DENGAN CARA MISTIK?

KEHILANGAN PESAWAT menyebabkan ada orang ambil kesempatan untuk menonjolkan diri.Antara yang menarik ada orang yang mendakwa sebagai bomoh sedunia, dia cuba nak mengesan di mana menghilangnya pesawat itu.Dia kata, pesawat disorokkan bunian.
Isunya bukan soal nak kesan di mana pesawat itu hilang,sebaliknya, inilah peluang untuk tampil ke permukaan media.
Penulis masih ingat, tokoh yang setiap minggu memaparkan iklan perdukunan dalam media kecil berbentuk tabloid memang mendapat dukungan wartawan tempatan.
Wartawanlah yang mengajar tokoh itu menggunakan label besar SEDUNIA bagi menggambarkan kehebatannya. Sayang, dia tidak pula membuka cawangan di Cape Town, di Kaherah, di London,New York atau paling koman di Jakarta.
Untuk mendakwa sebagai tokoh hebat SEDUNIA itu sudah keterlaluan.
Anehnya, media Melayu memberi ruang liputan terhadap bomoh sebegitu sedangkan ia telah disenaraikan sebagai sesat. Semak rekod lama dalam Jakim.
Kita mudah lupa.Ketika orang sibuk bercakap tentang pesawat, ada pihak tertentu mencari ruang untuk mempopularkan diri. Sekarang terbukti,dia tampak menonjol.
Apakah matlamat yang sebenar?
Jika kita berfikiran mistik, dan menganggap kaedah kita hebat, ada lagi pihak yang mengaku hebat. Adayang memiliki ilmu berdialog dengan orang mati. Satu lagi ilmu ghaib yang boleh terbang dan menyelam dalam air sampai 10jam lamanya.
Agaknya, kalau cerita dua benda mistik ini dipaparkan dalam media Malaysia, ada pihak tertentu tawarkan diri mengesan pesawat dengan cara ghaib itu. Pemikiran mistik memang bergelayutan di Nusantara.[]

Saturday 8 March 2014

BERDIALOG DENGAN MAYAT

KHABARNYA ada orang pintar yang lagi pintar. Dia mendakwa memiliki ilmu supramistik, ilmu yang dipanggil berdialog dengan mayat.
Maksudnya, apabila mayat ditemui dan kematiannya meragukan, apakah gara-gara dibunuh atau tindakan lain, maka orang akan bertanya kepada mayat, kenapa ia matidi situ?
Apakah logik ada ilmu pelik seperti ini? Ini bukan kisah lembu kuning yang semua orang sudah tahu.
Seorang lelaki yang pernah jadi pengawal keselamatan mendakwa, dia telah didatangi oleh datuknya yang merupakan pakar supramistik.
Datuk itu bilang, dia mahu menitipkan ilmu itu sebagai bekalan di dunia.
Ilmu apa?
Ya, ilmu yang membolehkan dia berdialog dengan mayat.
Tidak diketahui, apakah kes bunuh sahaja atau ada kes kematian lain yang boleh dipraktikkan?
Dengan ilmu supramistik itu, sang ahli akan bertanya kepada si mati, kenapa ia mati,siapa yang membunuh, dan di mana pembunuh itu berada sekarang.
Kalaulah begitu,kerja pihak penyiasat tentu semakin mudah. Asal ada kematian misteri, maka orang pintar itu akan dipanggil untuk menyelesaikan masalah.
Dia akan berdialog dengan si mati punca-punca kematiannya.
Hanya yang orang ingin tahu, kenapa arwah datuk tiba-tiba muncul untuk memberikan ilmu seperti itu?
Sejak jadi pakar supramistik, dia tak jadi pengawal keselamatan lagi. Dia melakukan tugas rahsia.Tidak mahu publisiti lagi. Kalau ada kes kematian yang meragukan, maka dialah yang jadi tempat rujukannya.
[Misteri Ed.501, 2010]. []

PENJARA

apakah ini cara yang bijak
untuk menang dalam lumba politik
apakah ini budaya yang kita amal
sejak zaman silam
andai tak mampu hendak mengalahkan sang lawan perkasa
lawanlah dengan cara begini
kelak anda disanjung dunia
sejarah merakam keberanian pahlawan terbilang

begitulah tindakan bijaksana pemimpin Melayu akhir zaman
mereka ketawa meraikan kejayaan
meraikan kemenangan
musuh telah dipenjarakan
keadaan jadi mudah untuk kalahkan lawan

hakikatnya bukan begitu
rakyat mengetahui
misteri di sebalik tembok itu
sejarah telah dilakar
pejuang tak akan mundur
sekalipun dipenjarakan
hanya pahlawan pengecut sahaja
yang meraikan kemenangan itu.

Kuala Lumpur, 2014.