Sunday 19 January 2014

KANGKUNG, KREATIF ANAK MUDA

TIDAK DIKETAHUI sampai bila isu kangkung akan bermain dalam dunia maya. Apabila seorang anak muda bertindak-balas ke atas ucapan seorang menteri utama, maka ia mendapat reaksi dari yang lain. Lama kelamaan ia jadi marak dan merata.
Sudahnya, dunia maya yang pemainnya terdiri daripada anak-anak muda terus bermain dengan "bola kangkung" ini. Kekreatifan mereka terus berkembang, ia adalah perkongsian minda yang tidak disedari oleh pihak penguasa yang tidak peka.
Anak-anak muda berkreasi dengan apa cara, berbagai kaedah, berbagai aliran diperlakukannya hanya daripada isu biasa, isu sayur kangkung.
Kangkung memberi pengertian sayur yang biasa menjadi makanan rakyat di mana-mana. Ada yang tidak perlu membeli sayur, ia tumbuh melata di kawasan bendang. Sesiapa yang tinggal di bendang tahulah bagaimana dan di mana nak cari kangkung.
Ia tidak sama dengan kangkung yang ditanam orang di pinggir jalan di bawah pencawang elektrik itu. Tanah terbiar itu banyak yang diteroka oleh petani Cina. Mereka rajin mengusahakan tanah yang terbiar.
Isu kangkung menyebabkan timbul dua kumpulan. Kumpulan yang mempermainkan isu kangkung dan pihak yang rasa perlu untuk mempertahankan pemimpin yang memulakan isu kangkung.
Adakah kangkung merupakan isu yang serius?
Rasanya tidak. Ia akan bermain dan berlegar-legar di kalangan anak muda. Jika ada yang buat flash-mob di tepi jalan, itupun hanya sekadar senda gurau untuk melegakan perasaan "marah" kerana kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.
Jangan persoalkan, kenapa perlu berkumpul begitu kalau merasakan diri terhimpit oleh kenaikan harga barang, bekerjalah, tambah pendapatan untuk menyara kehidupan?
Itulah yang diperingatkan oleh cerdik pandai yang setiap hari duduk di bilik berhawa dingin. Hanya bercakap tentang teori itu dan ini. Mengajak anak muda bekerja lebih tekun, berniaga dan sebagainya untuk menambah pendapatan.
Kepada yang berada di bilik hawa dingin itu, andainya mereka tidak ada kerja, mereka telah dipecat, mereka juga tidak mampu melakukan saranan yang mereka buat.
Mereka tak akan sanggup berniaga di kaki lima. Malu. Pegawai hebat kena pecat, nak berniaga bersama orang lain?
Lebih ramai yang pandai bercakap, itulah keadaan yang kita hadapi sekarang. Apabila mereka sudah jadi seperti rakyat biasa, golongan murbawan, marhaen, mereka akan senyap. Tahulah mereka mengapa golongan yang berpendapatan kecil mengeluh dan terus mengeluh.
Tahulah mereka, bagaimana golongan elitis yang ada di negara kita hanya tahu bercakap. Banyak sangat teori tentang kenaikan harga barang dan cara bagaimana nak mengatasi. Kekadang mesyuarat nak bincangkan perkara ini lebih banyak belanjanya, dan harga barang tidak dapat diatasi juga
Paling tidak mereka akan salahkan peniaga, salahkan orang tengah, salahkan pembekal dan pengeluar. Kita perlu sedar bahawa kenaikan harga barang ada kaitan dengan kenaikan harga minyak. Apabila minyak naik, yang lain pun ikut sama naik.
Kemudian pihak atas hanya bermain istilah. Mengurangkan subsidi bukan menaikkan harga barang. Itulah alasan berhemah. Namun, rakyat sudah bijak menentukannya.
Apabila rakyat yang terjerat oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan sekarang, mereka perlu meredakan keadaan dengan menikmati hiburan. Maka, mereka secara kreatif mencipta lagu-lagu rakyat, mencipta puisi rakyat untuk menghiburkan hati. Bukan mereka tak tahu, puisi dan lagu itu tidak akan menurunkan harga barang. Penat berpuisi dan berlagu, mereka kena beli barang juga dengan harga yang sudah dinaikkan.
Pihak penguasa tidak perlu sensitif dengan kerenah anak muda. Inilah bahana kita mahu menjadi negara maju. Bukankah kita selalu bercakap tentang matlamat ini? Begitu juga adanya media sosial yang melambak hari ini. Apakah kita akan bertindak mengharamkannya semata-mata kerana kangkung?
Sedarlah, kangkung itu mudah layu.
Harganya pun murah. Ada seikat seringgit, dua ringgit atau 50 sen sahaja. Ramai lagi yang kutip di belakang rumah. Ia mudah ditanam asalkan ada tempat yang bertanah lembab dan berair.
Jika lagu kangkung masih dimainkan, ia merupakan hiburan. Dalam berhibur ada sindiran. Ada parodi. Tetapi, tak kan golongan elitis tak faham maksud parodi itu. Ia karya. Manusia yang kreatif akan mencipta sesuatu secara spontan. Ia lahir dengan sendirinya kerana tindak balas minda yang menterjemah apa sahaja yang dilihat dan difikirkan. Apakah kita nak marah kepada minda seseorang anak muda yang sedang bekerja?
Sebenarnya isu kangkung boleh dipermainkan dengan lebih lembut lagi oleh anak muda sehingga golongan elitis tidak memahaminya. Bahkan alau ada siri pameran lukisan berkaitan isu kangkung ini, para pemimpin mungkin tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh sang artis. Lukisan surrealisme umpamanya tentulah tidak difahami. Ia berbeza dengan lukisan daun kangkung dan tangkainya. Orang mudah perasa.
Setakat bulan Januari 2014 ini, isu kangkung masih segar. Ada yang mengerti kalau kangkung itu adalah kiasan. Akan tetapi lebih ramai yang marah-marah kerana ia dikaitkan dengan seorang menteri perdana. Wallahu a'lam. []