Sunday 5 May 2013

MALAM MENUNGGU KEPUTUSAN SANGAT MENDEBARKAN

PUTRAJAYA awal-awal dah tumbang. Dari kempen dan paparan media kita, ia memberi gambaran seolah-olah Putrajaya bakal ditawan.
Ketika kejayaan BN ini mengekalkan kerusi Parlimen di situ, ada orang yang sudah gundah gulana. Habislah, sebab Putrajaya sudah dimenangi oleh BN.
Memang pun, sudah diagak. BN ada strategi rahsia yang orang PR tak tahu. Entah jalan yang lurus atau jalan yang bengkok kena faham sendirilah.
Apapun, kejayaan di Putrajaya itu memang selesa sangat, manakala PAS agak sakit, bukan sahaja Putrajaya tak dapat dikuasai, Titiwangsa, Setiawangsa pula terlepas!
Apa maknanya semua ini?
Ketika ini keputusan yang lain belum kita ketahui. Kerusi panas tokoh-tokoh penting dalam PR belum diketahui lagi.
Keputusan pilihan raya kita kali ini seperti yang sudah-sudah selalu dimulai dengan keputusan di Sarawak dulu. Lagipun negeri ini merupakan stok penyelamat kepada BN. Talian hayat UBN banyak bergantung kepada Sarawak. Kalau Sarawak tidak dijaga, maka akan goyahkan UBN di Kuala Lumpur [istimewanya PWTC tempat mereka menunggu keputusan sepenuhnya malam ini]. []

ASYIK KELUAR MASUK PARTI, UNTUK APA?

APABILA menyemak FB yang ada, saya tertarik dengan seseorang yang macam merungut-rungut dan melemparkan komentar perli, mengejek atau menghina rakan-rakan seperjuangan dalam parti.
Seseorang yang saya katakan itu memang saya kenal pun walaupun sudah lama tidak bertatap muka, tetapi melalui FB dan blog saya dapat melihat dia aktif ke sana-sini, bagi ceramah, ikut kempen, tetapi akhirnya menjelang hari mengundi dia boleh isytiharkan diri keluar dari parti dan tak mahu ikut mana-mana parti, dan tak mahu isytihar dengan membuat kenyataan akhbar pun.
Dia ni memang saya kenal sejak zaman di Temerloh, Pahang. Dia aktif dalam kegiataan sastera. Ketika saya berada di Kuala Lumpur, mengendalikan tabloid Mingguan Bumi, dia menyertai Pas bersama rakan baiknya yang juga orang Pahang.
Dan tak lama kemudian dia senyap dalam kegiatan parti. Alih-alih terserempak di Jalan Haji Hussein, Chow Kit, KL. Dia sedang lepak bersama kawan-kawan di sebuah gerai di situ.
Khabarnya waktu itu dia mulai berkawan dengan krew filem. Dia aktif dalam bidang perfileman pula, katanya buat skrip filem. Baguslah.
Ketika bersama Karim Ibunda menerbitkan buku Tok Awang Ngah -- nama sebenarnya Abdul Muluk Daud atau Dharmala NS [buku misteri] dia pun ada datang menyerahkan sebuah manuskrip buku misteri seram, saya lupa apa judulnya. Lagipun selain dia ada lagi orang Pahang yang menulis buku misteri seperti Allahyarham Tubing, dan Hasmadi [Tok Peran]. Kawan tadi juga tulis buku misteri, hanya saya lupa siapa nama samarannya ketika itu. Yang saya ingat Pak Joko [Wak Jamari] orang Jawa dari Johor.
Kawan dari Temerloh ini kalau saya ikuti komen FBnya memang aktif. Dia ikut beri ceramah sampai ke negeri lain pun. Kira dia boleh bercakap depan orang ramailah.
Tetapi hari ini [Ahad 5/5/2013] dia merajuk habis. Dia tak kisah PR menang ke kalah lagi. Tetapi dia tidak akan masuk mana-mana parti pun, dia akan tetap menyokong mana-mana yang menentang penindasan dan kezaliman, sebagaimana yang diperjuangkan dalam PR.
Saya fikir kawan ini, dia perlu bertenang. Jangan ikut hati. Wuduk dan kerjakan solat sunat. Tenangkan fikiran, ikuti tazkirah yang baik-baik, membaca al-Quran, mentelaah kitab yang ada -- lupakan soal politik.
Memang penat buat kerja politik ini, lagipun kita berada dalam kelompok yang dinafikan oleh BN.
Kita tidak tahu kenapa kawan ini kecewa sangat dengan kerja parti ketika nak pilihan raya. Daripada rungutan yang ada, dia macam tak berapa gemar melihat kawan-kawan yang berjuang dalam parti tetapi ada misi dan visi sendiri.
Dari dulu lagi selepas Parlimen dibubarkan, saya sudah terbaca FB kawan ini. Dia macam tak gemar kerana pihak atasan tidak memilih tokoh yang digemarinya. Ini kira macam kes Najib salah pilih oranglah dalam BN.
Sebenarnya, kita kena bertenang. Jangan kita anggap seseorang tokoh yang kita kenal, yang rapat dengan kita, yang study dalam pusat pengajian yang sama dan sebagainnya sebagai orang yang kita sukai, dia adalah orang terbaik yang sepatutnya dipilih sebagai calon. Mungkin bukan rezekinya kali ini. Kena sabar. Sikap begini tak boleh dalam kerja parti.
Saya faham, agaknya kawan dari Temerloh ini sudah letih. Tidur tak tentu masa. Ada sahaja kempen di sana-sini.
Tetapi, alangkah ruginya, apabila pilihanraya sudah diadakan, hari mengundi sudah selesai, dan kita hanya tunggu keputusan, ada orang yang merajuk.
Itu belum lagi kalau satu kawasan orang PR bertempur. Dari FB lagi saya sudah mengesan ada sesuatu yang tak kena.
Dan hari Ahad ketika orang mengundi, saya dapat baca dia isytiharkan diri tak mahu aktif dalam parti lagi. Dia tak mahu masuk mana-mana pati.
Apa nak masuknya? Dia pernah berada dalam Pas, pernah berada dalam Umno dan kemudian berada dalam PR [PKR] --- kini dia semacam membawa haluan sendiri. Merajuk. Ada parti lain yang belum dimasuki -- DAP.
Dalam kerja parti, seseorang yang ingin kekal lama kena jaga perasaan, kena kontrol, jangan cepat marah, jangan anggap pendapat diri sendiri lebih baik daripada orang lain. Kita kena dengar juga apa yang orang kata. Dan jangan anggap seseorang yang dikenali dalam bidang seni umpamanya akan mendapat kedudukan istimewa dalam parti. Tidak sama sekali.
Perlu dibuktikan, adakah boleh buat kerja?
Kerja parti bukan mudah. Kalau ditakdirkan memegang kuasa negara nanti bagaimana kalau sikap merajuk dan bawa diri ini diamalkan?
Jadi, sebagai kawan lama, walaupun jarang jumpa, kecuali menatap FB yang ada, saya nasihatkan kawan ini bertenang. Jangan terburu-buru. Dapatkan tidur yang cukup.
Sepanjang kempen memanglah kita letih, tetapi janganlah hanya dengan sebab sedikit, sebab yang kecil, hendak dibesarkan di depan kamera TV3 atau wartawan Utusan Malaysia umpamanya.
Simpan kemarahan itu. Rasanya kawan lama yang paling rapat, Suhaimi Said, seorang peguam, boleh memujuknya agar menjadi ahli biasa kalau diri merasakan sudah letih menjadi orang kuat. Kita perlu istiqamah dalam perjuangan meskipun peranan kita kecil.
Hendak berjuang dalam politik tidak semestinya ada jawatan. Jadi penyokong, peminat dan sebagainya, ia pun memberi sumbangan juga namanya. Kalau matlamat kita nak dapatkan jawatan, kita kena ukur di baju sendiri. "Layakkah aku pegang jawatan penting ini?" Wassalam. []

PENGUNDI MASIH SEMBANG DAKWAT, YALAH BARU KALI PERTAMA GUNA DAKWAT

TADI pagi singgah sekejap di Jalan Gombak, tengok bebudak UBN buat kerja. Tak ada apa. Mereka sibuk makan makanan bungkus dan air disediakan. Ada kontena tapi tidak berfungsi sejak sebelum parlimen bubar hinggalah ke time mengundi. Macam itu jugak. Ia memberi gambaran seolah-olah tak ada sambutan dari orang lain.
Di Hulu Klang pula, ramai pengundi. Majoriti Melayu. Bilangan Cina dan India kurang. Petugas bagi dua kelompok parti bertugas dengan penuh ceria.
Hiruk-pikuk di jalan raya adalah pemandangan biasa kalau tempat mengundi itu berada di tepi jalan utama. Setelah menemani seseorang mengundi di situ, saya meneruskan perjalanan ke Bukit Bintang, kerana saya nak mengundi di Cangkat Tambi Dollah, Pudu [belakang Times Square Jalan Imbi] -- bilangan pengundi Melayu boleh dikira dengan jari, jadi saya lebih selesa berada di situ, berada di tengah-tengah pengundi kaum Cina.
Di situ kalau ada pengundi hantu jenis Pakistani, Bangladeshi atau lain warna, ia mudah dikesan. Yang berbaris ramai nak mengundi adalah orang Cina belaka. Dalam barisan panjang itu, hanya saya seorang Melayu. Memang itu yang saya cari, nak nak merasakan bagaimana mengundi di tengah mereka. Mengundi di tengah masyarakat majoriti Melayu sudah biasa.
Keluar dari tempat mengundi jurukamera stesen tv dari Singapura nak tengok jari telunjuk kiri pula. Mereka nak tahu bagaimana kekesanan penggunaan dakwat itu.
Saya beritahu mereka, sebaik lepas masukkan kertas undi dalam peti saya terus ambik tisu dan lap. Dakwat yang melekat pada kuku boleh dihapuskan begitu sahaja. Hanya tinggal 40% sahaja warnanya. Mungkin jurugambar itu akan mengambil gambar dari orang lain pula.
Kenapa dakwat semacam nak dijadikan isu?
Ya, dakwat untuk mengundi hanya kali ini diperkenalkan. Kita belum pandai, belum tahu nak pilih dakwat yang benar-benar bermutu. Kalau tak ada pengalaman, kita kena belajar dari negara mundur dan negara sedang membangun yang pernah gunakan dakwat. Bagaimana mereka laksanakan.
Itu sahaja kaedahnya.
Setakat ini dakwat hanya menjadi bahan bualan para pengundi di sana-sini, dalam blog dan FB. Bagaimana tak hilang pun, kita nak wuduk kena basuh juga, lama kelamaan ia bersih. Soal ia tahan atau tidak, sudah tidak jadi persoalan lagi.
Lagipun ini hari mengundi, esok tak ada lagi dah. Kalau ada kesan dakwat pun nak buat apa. Yang orang risau, ada puak yang mengundi dua kali. Atau pegang kad pengenalan orang lain dan dia mengundi bagi pihak mereka.
Lagipun, tempat mengundi bukan tempat orang nak cek KP itu tulen atau tidak.
Asalkan nama ada dalam senarai, ada nombor senarai, itu sudah memadai. Pasti kertas undi akan diberikan. Dan nak pastikan jari telunjuk kiri itu tidak ada kesan dakwat, maka digunakan kanta pembesar untuk melihatnya. Ia sekali imbas sahaja, bukan teliti sangat.
Sampai time mengundi tamat, orang masih sembang soal dakwat. Dan malam ini kita tunggu apa kesudahannya. Sejauh mana kesannya para pengundi menggunakan dakwat ini. Semoga ada perbezaan yang ketara! []