Wednesday 30 December 2015

NAK TULIS BUKU, TULISLAH! APA NAK BAGI TAHU ORANG?

ADA kawan penulis sembang-sembang. Dia kata, sekarang dah macam-macam buku ada di pasaran.Puncanya, nak menulis zaman sekarang makin mudah. Tak macam dulu. Sesiapa sahaja boleh tulis buku. Pokoknya asal orang itu minat kepada buku. Nak tulis buku tapi tak suka buku tak jadi juga.
Kalau kita semak paparan dalam facebook, ada sahaja orang paparkan buku baru dah siap. Ada yang buat antologi puisi, kumpulan rencana, atau novel cinta, novel biasa-biasa yang diharap akan dijadikan rujukan filem tempatan macam OMBAK RINDU.
Orang buat filem rujuk kepada novel untuk mencari cerita yang lain dari yang lain. Untuk mencipta cerita pun bukan mudah. Watak-watak yang pelbagai. Selalunya penulis gunakan kawan-kawan sebagai rujukan untuk menulis perwatakan. Nama pun sipi-sipi, kerana itulah yang jadi term of reference dalam tulisannya.
Kawan penulis kata, orang sekarang suka paparkan gambar peribadi dalam facebook. Nak mula pegang kumputer, nak mula tulis dengan laptop pun cerita pada orang lain. Berapa muka surat novel itu, nak tulis cerita pahlawan Semantan, atau Tok Janggut pun kena beritahu orang. Keghairahan begini sebenarnya tak sesuai bagi jiwa seniman kreatif. Seniman selalunya mendiamkan diri. Dia tidak kecoh dengan apa yang sedang dicipta. Sampai buku dah siap, dia masih tenang. Tak pukul canang, bagi tahu satu kampung. Ingat. Dalam sebuah kampung Melayu tradisional, hanya ada seorang atau dua sahaja yang minat buku. Lainnya, setakat baca akhbar harian. Tak percaya? Perhatikan kalau waktu hari raya. Siapa yang memiliki rak buku atau rak dipenuhi dengan model kereta, model beruang dan barang mainan kanak-kanak?
Berbalik kepada hal tadi, ada yang setiap hari nak cerita hal peribadi tentang tugasnya yang sedang mengarang buku. Cerita tentang novel yan sedang ditulis. Padahal dunia novel di negara kita ini kecik. Peminatnya berkelompok. Orang perempuan suka beli novel. Lagi tebal itulah yang dicari. Kekadang cerita tak seberapa. Semua orang boleh tulis novel. Cikgu-cikgu suka menulis sebab ada cuti panjang. Ada masa itu mengadap laptop. Ada cikgu yang diam. Satu sekolah pun tak tahu dia ada tulis novel. Ini memang hebat. Tak suka tonjolkan diri. Ingat. Kalau nak bagi tahu tentang aktiviti yang dibuat kepada orang lain, kepada jiran, takut nanti orang tak tahu apa itu novel. Apa benda yang dicakap pun tak faham.
Bagi orang yang pertama kali tulis buku dan sudah terbit, ia dianggap amat berharga. Tetapi lama kelamaan ia biasa-biasa sahaja. Laka kelamaan ia jadi hambar. Kata kawan yang juga penulis, kalau nak tulis buku, tulislah, apa nak bagi tahu orang? []

MENGELUH DI SANA-SINI

Hujung tahun ini kita dengar orang mengeluh di sana-sini. Menjadi masalah apabila semua nak beli. Semua nak kena bayar. Rakyat pula sudah membina persepsi bahawa tahun baru ini, harga barangan akan naik mendadak. Bayangkan, bagaimana perasaan orang yang berpendapatan ciput? Yang ada pendapatan bulanan tak apa lagi. Bagaimana yang kerjanya kais pagi makan petang. Tak boleh kais pagi makan pagi lagi. Kena kais dan terus kais sampai ke petang. Dah petang baru nak makan.
Beberapa hari yang lalu ada keluhan yang dipaparkan oleh media, bahawa kaki tangan kerajaan juga mengeluh. Mereka mendakwa sekarang mereka macam kais pagi makan pagi. Melalui facebook, kita kritik balik. Mana boleh orang makan gaji, setiap bulan dapat cucuk duit di ATM mendakwa kais pagi makan pagi. Mereka bukan ayam.
Janganlah terlau memandang sampah sangat kepada duit yang diperoleh setiap bulan. Jangan sebut kais pagi makan pagi bagi kakitangan awam. Tak sesuai langsung. Yang kais mengais ini adalah bandingan kepada golongan yang tidak ada kerja tetap. Buat kerja ada duit. Banyak mana dia dapat kadang-kadang tak dapat menampung keperluannya dalam sehari. Buat kerja kerana ada target. Contoh: dia ambil kerja potong rumput di rumah sekian, dapat imbalan RM30. Duit itu akan digunakan untuk beli beras dan ikan. Cukupkah? Memang sakitlah bagi dia. Kita ambil contoh paling rendah, kerana inilah mainan rakyat marhaen.
Itu belum contoh kais pagi, kutip tin aluminium, kutip besi buruk, kutip apa sahaja yang boleh dijual. Mujur ada kedai besi buruk yang membeli barangan terbuang dan barang kutipan. Kalau kedai besi buruk pun tak ada, bagaimana dia nak jual? Itu sebab di luar-luar bandar, kerja kutip mengutip ini tidak popular sangat sebab kedai besi buruk selalunya berada di pinggir bandar besar.
Apabila orang mengeluh tentang pendapatan kecil dan sukar hendak memenuhi keperluan harian, mingguan dan bulanan, ada yang syorkan agar kena kerja lebih. Memanglah kerja lebih. Kais pagi makan petang. Ada yang syorkan buat kerja sambilan, buat kerja tambahan selain kerja pejabat atau kerja yang telah dilakukan setiap hari.
Perlu disedari, bukan mudah nak kerja lain. Ada kawan di Serdang, siang dia kerja di universiti, malam dia kerja security guard. Bayangkan. Bagaimana dia melayani masa untuk rehat dan tidur? Nampaknya, kawan ini bertahan bertahun-tahun. Dia boleh bekerja dalam keadaan kurang tidur. Adakah kawan-kawan pejabat perasan atau tidak, atau prestasi kerjanya merosot, kawan-kawan tak pasti. Dia terpaksa kerja begitu kerana nak bayar hutang. Bukan sedikit pulak tu. Memang dia cari penyakit. Pinjam duit tetapi tidak digunakan dengan berhemat.
Pak menteri cadangkan rakyat buat beberapa kerja. Apa kerja yang mudah dapat duit? Nampaknya berniaga. Boleh mula berniaga kecil-kecilan. Biasanya nasi lemak. Pagi-pagi dah buka meja untuk jual nasi lemak. Bukan mudah. Banyak halangannnya. Silap haribulan nasi lemak dan meja naik lori penguatkuasa. Dah gaduh pula! Macam-macam sumpah seranah keluar dari mulut.
Ada yang berniaga telefon pintar. Tak kiralah ori atau tidak. Anak-anak muda dan bebudak sekarang suka action depan orang. Yang jual benda tak ori ini jangan pula dianggap penipu. Macam orang jual jam tangan RM15 atau RM50. Orang dah tahu jam bagaimana. Buat apa nak gaduh pakai tak sampai sebulan jam pun tak bergerak!
Nak berniaga apa? Bukan mudah kalau tak ada kemahiran satu pun. Ingat boleh buat goreng pisang begitu sahaja? Sekarang macam-macam orang jual goreng pisang, siap bubuh cheese lagi.Nasib baik tak bubuh cencaluk, budu dan sebagainya. Mana tahu ada improvisasi dalam penjualan pisang goreng?
Orang mengeluh tentang harga barang. Duit dah tak ada nilai sangat. Orang miskin cukup susah nak adjust duit yang sedikit. Orang kaya, tengok, pegang dan terus bawa ke kaunter. Orang miskin akan tengok barang, bandingkan harga. Fikir banyak kali. Mana mustahak beli yang ini atau beli benda lain. Atau tangguh minggu depan. Ya, mereka fikir banyak kali. Kekadang kesian tengok. Belek-belek tak jadi juga. Bukan keliru nak pilih barang, duit dalam poket ada RM15. Nak beli apa?
Rakyat mengeluh dan marah-narah kalau media dedahkan bagaimana ada pak menteri boleh dapat derma mengarut sampai RM2.6 bilion. Masuk akaun sendiri pula tu. Setelah media asing paparkan, barulah kecoh. Sampai sekarang, orang tak tahu siapa yang mendermanya. Agaknya penderma itu sudah mati atau dari jenis makhluk halus. Wang persugihan yan diperoleh secara amalan mistik. Itulah kesimpulan bagi orang yang sudah kecewa.
Betapa tidak mengeluh di sana-sini, rakyat kesusahan, golongan penguasa berdendang sayang, tak terfikir pun apa yang rakyat marhaen sedang hadapi sekarang. Tidak mahu mendengar keluhan rakyat. Mereka hanya fikirkan kuasa dan berkuasa.
Dalam pada mengeluh dan rasa jengkellah, rakyat ada yang sudah bertekad nak undi pembangkang. Kalaupun terpaksa undi DAP, mereka akan undi DAP. Kenapa tak undi PAS? Tak mahu, sebab parti itu tak bijak memerintah. Itulah jawapan orang. Sebab apa kata gitu? PAS hanya boleh perintah Kelantan. Lain negeri memang tak boleh. Ada buktikah? Ada. Betul juga.
Jadi, keluhan rakyat ini dari bab duit, kerja, cari kerja lain, tambah kerja, atau tak ada kerja langsung. Nak kerja apa lagi umur dah masuk 63? Ada sesiapa nak panggil pakcik ni kerja? Jadi jaga adalah! Aduh! Ketika keluhan ini diketik, di luar sana orang masih mundar-mandir. Ada yang sibuk membeli keperluan dapur, membeli keperluan budak sekolah, membeli keperluan kucing dan macam-macam. Jadi, kita tak usahlah jadi pak sibuk apabila melihat orang lain berikhtiar mencari duit, hatta kepada mereka yang pagi-pagi dah melongok di pasar karat! []

Friday 25 December 2015

SIAPA YANG LEBIH ISLAM?

Kecoh benar nampaknya PAS nak cari kawan dalam pakatan politik bagi menghadapi pilihanraya akan datang. Ajakan Najib agar PAS bersama UMNO nampaknya mendapat bantahan. Tidak semudah mengadakan pertemuan di pentas yang dianjurkan oleh pihak yang mempunyai agenda begitu. Agenda itu nampak manis, bersesuaian dengan program multaqa almuni pengajian tinggi di Mesir.
Apakah di dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di tengah bandar ini boleh mengubah senario politik negara? Tidak mungkin. Ia hanya pancingan dari pihak penganjur, Dan kebetulan dapat mempertemukan dua tokoh dari politik yang berbeza.
Sekarang, akibat daripada peristiwa itu, media perdana asyik memainkan isu kesepakatan UMNO-PAS seolah-olah inilah agenda paling penting. Kebetulan UMNO sedang menghadapi saat sukar. PAS juga masih dirundung malang dengan kehilangan tokoh-tokoh penting yang berpengalaman kerana mereka semua telah menubuhkan parti baru.
Kenapa tiba-tiba UMNO begitu bersungguh-sungguh nak berbaik dengan PAS? Umum sudah maklum, amaran orang-orang UMNO sendiri yang mengatakan bahawa UMNO akan berdepan saat sukar dalam pilihanraya akan datang.
Selain itu, isu nak berbaik antara UMNO dan PAS ini telah memperlihatkan ketidakmatangan pemimpin parti yang melontarkan berbagai kenyataan yang kemudian dijadikan bahan permainan pemain media sosial. Lihatlah dalam facebook. Berbagai kenyataan dikeluarkan setiap masa. Kekadang setiap orang hendak bercakap sehingga mereka berbeza pemikiran. Satu kandang tapi berlainan pendapat. Sudahnya, timbul rasa marah-marah, tidak selesa, ada yang minta Hadi Awang tidak bertindak sendirian, ada yang meminta sesiapa nak berkawan sangat dengan UMNO dipersilakan keluar dari PAS.
Semua kebingungan. Nampak gara-gara ajaran UMNO, PAS mula berbalah sesama sendiri. Ajakan UMNO ini juga dikenenkan kepada PKR dan DAP.
Ketika PKR sangat akrab dengan Harapan Baru, UMNO memintas dan melamar PAS yang disifatkan sebagai parti bergerak solo.
Bukan mudah hendak bersama dalam pakatan meskipun menggunakan nama agama. Demi kebaikan ummah, demi kebaikan Islam.
Sebenarnya selagi PAS menganggap mereka sebagai JUARA tentang Islam, perbalahan itu akan berlanjutan. Semuanya hendak tunjuk pandai. Siapa lebih Islam? Nampak begitulah. Kenyataan daripada kebanyakan pemimpin kecil PAS bawahan pun begitu. Apabila bercakap sesuatu mereka akan kaitkan dengan sirah nabawiyah, dikaitkan tindakan para sahabat ketika berdepan sesuatu isu yang dianggap mirip dengan isu yang sedang dihadapi oleh PAS.
PAS juga sangat menyerang DAP. Apa nak diserangnya? DAP bukan parti Islam. Bukan lawannnya nak berhujah tentang Islam. PAS patut mendekati DAP dengan dakwah. Apa guna bersungguh-sungguh nak berbaik dengan UMNO sedangkan, dengan sahabat lama yang tinggalkan PAS tak nak berkawan. Malah berbagai tuduhan dilemparkan. Pengkhianat, perampas kerusi dan macam-macam.
Bagaimana dengan orang-orang UMNO sendiri? Apakah ia sebaik-baik parti politik yang digemari PAS? Memanglah, sekarang sedang membina jambatan perpaduan, ingin berkongsi tentang Islam, demi kebaikan bersama. PAS lupa kepentingan ummah itu meliputi semua, dan bukan UMNO sahaja. Apakah PAS tidak melihat, bahawa Islam bukan milik PAS sahaja.
Selama ini PAS seperti hendak mengungguli Islam dengan mendakwa mereka sangat menekankan istiqamah. Berjuang mengikut landasan al-Quran dan sunnah. Hanya yang menjadi persoalan, sejauh mana mereka ikut panduan yang disebut-sebut itu. Entahlah. []

Thursday 23 July 2015

BETULLAH LINTANG PUKANG JADINYA

Nak komen lebih sangat nanti orang marah. Cuma, kita buat masa ini kena tunggu dan lihat parti baru serpihan dari PAS itu didaftarkan.
Ramai yang suka, kalau mereka yang tersisih dari PAS menubuhkan parti baru. Itu lebih baik kerena mereka semua adalah pemain politik di pentas nasional. Nama mereka sudah sinonim dengan acara-acara penting dan besar yang diadaan di ibu negara.
Apabila mereka tersisih dari parti, ia memberi gambaran parti induk tidak gemar dengan permainan mereka sebagai aktivis rakyat. Tidak hairan ada yang memberi berbagai label kepada mereka. Label yang tidak enak didengar.
Itu ada petanda ada pihak yang tidak suka mereka aktif dalam parti induk. Dan sekiranya mereka memilih untuk bergerak dengan parti baru, sesiapa pun dari parti induk tidak boleh kritik atau komen. Itu hak mereka di dalam parti baru.
Soal mereka nak bergabung atau tidak dengan "Pakatan Rakyat" ia tidak timbul isu. Yang penting, gabungan pembangkang yang kuat, yang bersatu, tidak bertelagah dan mempamerkan akting yang tidak sesuai sehingga dijadikan bahan mainan media nasional.
Ramai yang menunggu apa yang berlaku seterusnya. Diharapkan parti baru yag diusahakan oleh bekas pemimpin PAS itu terlaksana dengan jayanya. Ramai yang menyedari usul yang diutamakan oleh PAS dulu telah membunuh sebuah "pakatan" --- hal ini seperti dilupakan oleh pihak PAS. Mereka seolah-olah tidak faham kaedah berpolitik.
Jika dalam gabungan pun tidak boleh diatasi segala masalahnya, tak payahlah hendak mendakap Putrajaya. Itulah yang orang selalu kata. Kini kita lihat memang keadaan telah lintang-pukang.
Itu belum lagi bab isu 1MDB yang menimbulkan kekecohan.
Nampaknya media di Malaysia tidak fokus lagi kepada permasalahan yang utama. Mereka sudah melalut jauh sehingga kepada benda-benda cabang, yang tak penting juga diutamakan. Ada orang kata, inilah cara kita nak mengalihkan isu. Orang lebih sayangkan individu daripada perkara yang lebih besar.
Akhirnya, kita lihat isu 1MBD seperti terkeluar dari topiknya. Media utama sibuk dengan PAS dan parti baru yang nak ditubuhkan. Setiap hari cerita itu sahaja. Orang itu kata ini, orang ini kata itu.
Diam tak diam, Utusan Melayu dah jadi media utama untuk PAS pula. []

Friday 5 December 2014

PASAR KARAT JADI KILAT!

Lama tak jenguk pasar karat yang berkarat di Petaling Street. Lagipun dah ada pasar karat lain wujud di Kg.Bahru, Kuala Lumpur.
Pasar karat di Petaling Street kata orang dah kehilangan gizi.
Barang karat dah tak dijual lagi. Nak ada persatuan. Ada peniaga berpermit sementara untuk pamer barang.
Biasalah, dalam mana-mana grup akan lahir hero yang akan mengajak [bukan hasut ya!] agar mereka isi borang untuk dimajukan kepada pihak atasan.
Sudahnya, pasar karat berubah fungsi.
Produk yang dijual sama sahaja macam di pusat membeli-belah, tak ada yang karat dan tak ada yang rosak atau second/thirdhand lagi.
Kalau dah barang baru yang dijualnya, mana pengguna atau peminat barangan lama akan beralih ke tempat lain.
Jika benar, pasar karat telah berubah fungsi, maka berakhirlah peranannya sebagai sumber "talian hayat" penghuni kota untuk mendapatkan sedikit duit belanja. Walllahu a'lam. []

NAK KOMEN PUN TAK BERANI

Nampaknya bukan seronok nak gunakan blog untuk membuat komen apa sahaja. Sebenarnya, idea memang melambak-lambak. Hanya kekangan yang ada di negara kita ni, nak tulis kena berhati-hati.
Dalam pada berhati-hati pun, ada juga yang tak kenanya.
Pembaca blog ada bermacam-macam. Yang puak itu dan puak ini. Ada kelompok tertentu. Semua pihak nak kena jaga. Jangan sampai terguris.
Hinggakan ada orang kata, para nelayan pun takut nak "hasut" ikan masuk jaring.
Para peniaga takut nak "hasut" orang beli barang dagangan.
Para jurujual takut nak "hasut" orang beli itu dan ini, maklum produk promosi!
Komen sikit pun nanti dikata menghasut. Sedangkan yang menghasut banyak [kalau puak mereka] langsung tak diambil peduli pun!
Akhirnya, kata kawan-kawan, jangan tulis banyak-banyak.
Atau jangan buka langsung. Atau cuti panjang! Itu sebab ada orang menjauhkan diri dari blog. Wallahu a'lam. []

Monday 11 August 2014

POLITIK TAK TENTU ARAH

Setakat yang kita semua maklum, Khalid Ibrahim masih menjadi MB Selangor setelah menghadiri mesyuarat penting dengan kelompok Istana. Keputusan ini menimbulkan bermacam komen dan analisis.
Kita tunggu dan lihat. Apa akan jadi setelah ini.
Bagaimana pemimpin PKR nak selesaikan kemelut ini. Bukan mudah nak sorong Kak Wan jadi MB. Ia akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat dan penganalisis.
Memanglah unik buat masa ini. MB Selangor adalah orang BEBAS.
Apakah lepas ini ada orang yang menyertai BEBAS? Mendukung MB Selangor yang ada?
Rasanya untuk selesaikan kemelut, MB kena cari calon lain dan bukan calon yang selalu disebut-sebut itu supaya tidak timbul isu di kemudian hari. Perlantikan Kak Wan akan mencacatkan situasi. Perlu calon penengah yang tidak terlibat dengan kemelut.
Buat masa ni, tak ada komen lebih tentang situasi di Selangor.
Jika isu kecil begini pun tidak mampu ditangani, bagaimana nak pegang Putrajaya? Wallahu a'lam.[]