Monday 13 August 2012

AL-KISAH SUP ULAR DAN DAGING KHINZIR UNTUK IBU

Kisah Benar:Belikan Daging Babi Untuk Ibu Berbuka Puasa

ULAR TERBANG ATAU ULAR LOMPAT?

DULU MASA KECIK ada orang kata, kalau ada ular jangan ditetak dengan parang panjang, nanti ia boleh terbang. Wah, ular terbang? Bagaimana ia terbang?
Inilah yang menggerunkan. Sudahnya apabila ada ular, senjata utama ialah buluh panjang. Itulah senjata ampuh untuk menewaskan ular.
Ada kisah misteri tentang ular di Kalimantan. Ada orang kata, memang ada ular yang boleh terbang. Terbang macam burungkah? Rupa-rupanya ia tidaklah terbang, tetapi melompat dari satu dahan ke dahan yang lain dengan gerakannya yang seimbang untuk mendarat dan berpaut. Jadi kalau ada orang lalu, kebetulan ular itu melompat, maka ia akan hingga mengenai leher atau belakang orang itu. Inilah agaknya yang dikatakan ular terbang.
Dulu ketika orang putih [Belanda] berada di Sumatera [1833]mereka pernah merekodkan adanya ular terbang. Penduduk tempatan menceritakan kepada tukang catat itu bahawa mereka lihat ada ular terbang di udara. Disebabkan gerun dengan bahaya ular terbang itu, orang kampung telah membunuhnya sebaik ular itu mendarat ke tanah.
Adakah ular itu bersayap, soal orang putih yang juga selaku penyelidik hal ehwal negeri Melayu. Tidak adas sayap, tetapi ular itu panjangnya sekitar 1.2 meter.
Dalam tahun 1841, dalam laporan Missionary Herald, edisi Mac, melaporkan  NM Ward telah melihat bagaimana ada seekor ular terbang ketika dia mendongak melihat pokok yang tinggi.
Khabarnya, di Asia Tenggara ini ada lima jenis ular yang boleh "terbang" begitu. Seperti yang dikatakan tadi, lompatan di tempat tinggi dari pokok ke pokok itulah yang menyebabkan ia dianggap terbang. Ular itu melompat dari pokok yang tinggi ke dahan yang lebih rendah, ular memilih ruang mendarat yang lebar dan ada tempat berpaut. Itulah yang dianggap sebagai terbang.

CATATAN PERIBADI MINGGU AKHIR RAMADAN

DI MASJID

Bilangan saf solat berjamaah makin kurang. Di tempat ana, daripada tujuh saf merosot tinggal satu saf setengah sahaja selepas 8 rakaat terawih. Yang tinggal hanya muka-muka yang sama sahaja. Tak tahulah di tempat antum semua. Ini perkara biasa, setiap tahun macam ini.
Kemudian ada masjid yang adakan qiamulail dari jam 3.00 pagi atau 4.00 pagi hingga jam 5.00 pagi. Siapkan ada hidangan sahur lagi. Itupun bukan faktor penarik, makanan bukan puncanya, tetapi mungkin keletihan, ketiduran, tak biasa, atau buat qiamulail di rumah dengan ahli keluarga.

DI BAZAAR DAN GEDEGUM

Orang berjejalan mencari sesuatu yang hendak dicari. Ikut selera masing-masing. Bagi yang rasa duitnya masih tebal dalam dompet, mereka beli seada-adanya, bagaikan esok tiada lagi.
Tinjauan di Chow Kit umpamanya, bilangan pendatang asing lebih ramai mengalahkan orang tempatan. Sehingga ke mana sahaja akan bertemu dengan mereka, semuanya yang dari Jawa Timur akan berbicara dengan langgam Jawanya.
Disebabkan itulah kawasan pasar pun sesak, dalam supermarket pun sesak. Habis di mana yang tak sesak masa ini? Justeru jangan bertanguh kalau nak beli sesuatu. Hanya daging tak perlulah beli sekarang, simpan jadi stok penimbal pula. Atau ketupat nasi, atau daun palasnya, sebab yang mustahak adalah mercun dan bunga api.
Dan tak hairan orang berumur pun sibuk main mercun dan bunga api mengajar anak-anak dan cucu teknik bermain yang berani!
Elok tu, anak-anak patut diajar pegang mercun dan bunga api. Kalau meletup di tangan, bukankah akan jadi berita malar segar?
Lagipun nak salahkan siapa, lagu raya kita tak habis-habis, cerita fasal kemeriahan ini, dam-dam dum, bunyi mercun...patut ditambah lagi gedegum-gedegum bunyi meriam dalam tanah, kanak-kanak berlari bawa karbait barulah meriah kalau ada bunyi gedegum yang kuat mengalahkan bom nuklear.

LAMPU MINYAK TANAH

Semua nostalgia. Bukan apa, dulu di kampung tak ada api dalam kaca. La ni api ada dalam kaca. Jadi, tak payahlah pasang pelita semua. Sebab, apabila sudah terang ada cahaya pelita, senanglah bebudak main sorok-sorok, main tembak-tembak dengan mercun, dan macam-macam permainan lagi.
Ada setengah tempat, lampu minyak tanah sudah dijadikan bahan untuk berlawan-lawan, mana yang meriah hiasannya. Kalau nak tengok kenalah rumah tepi highway baru cantik, atau rumah tepi jalan raya.
Di Perak selalunya lampu punjut dipasang dengan aneka rupa hiasan yang kreatif. Lip-lap, lip-lap macam ini sudah jadi tradisi dalam budaya kita. Jika tak ada pelita, ada yang buat gunakan batang buluh, tapi nak kena pandai buatlah, kalau tidak dengan buluh itu sendiri terbakar. Haru dibuatnya.

KUIH RAYA

Mood nak buat kuih raya macam zaman dulu sudah terkambus. Orang lama pencen buat kuih raya, orang muda tak mahu buat pun. Tak tahu resipi, tak pandai nak sukat, alat tak ada dan macam-macam alasan. Akhirnya, mana nak cari kuih raya kak oi?
Apalagi, ada sejenis kuih yang sangat popular di kalangan orang kita, tidak kira di dalam bandar atau di luar bandar, semuanya mengaplikasikan sistem yang dinamakan sebagai KUIH TUNJUK.
Maka di sana-sini kuih tunjuk yang dipamerkan. Dek terlampau banyak kuih tunjuk dan kuih telunjuk semua, maka orang hanya makan ala kadar, atau makan kacang-kacang atau minum sahaja.



PENGASIH UNTUK HOMOSEKS DAN LESBI?

MACAM-MACAM PRODUK MERAPU SUDAH WUJUD di bumi nusantara ini. Semuanya kerana orang sekarang sudah ramai yang bingung dan linglung.
Kalau sesiapa rajin baca akhbar tabloid kita, ada banyak kisah masyarakat yang pelik bin ajaib.
Salah satu yang nak disentuh dalam paparan ini adalah perihal betapa teruknya pemikiran para dukun pengasih yang ada kerana mereka sanggup menjatuhkan imej diri mereka semata-mata membuat ramuan produk yang membuatkan anda kehairanan.
Apa dia?
Ia adalah ilmu pengasih yang khusus untuk kaum lelaki bagi ditujukan kepada kaum lelaki. Lelaki nak pikat lelaki kena guna minyak pengasih juga selain kereta mewah jenis sport, berpakaian kemas, sentiasa melaram, dan jangan lupa sentiasa jenguk dewan muzik kaum sejenis yang mulai merebak di tengah kota kita.
Begitu juga bagi kalangan kaum lesbinya, mereka juga ada semacam kelab pertemuan setiap hari, tak kira malam atau siang, mereka boleh adalah pertemuan sosial guna merapatkan lagi hubungan yang sudah sedia intim.
Jika tidak cukup intim perlu dicarikan "gam" yang lebih kuat, iaitu dengan berjumpa dukun pengasih. Sudah tentu pak dukun yang sediakan minyak pengasih yang jempolan.
Kalau dukun tanya pengasih untuk siapa? Siapa nama gadis idaman kamu itu? Ada fotonya? Maka anda yang tergolong homoseks akan terpinga-pinga.
"Bukan gadis idaman saya bang!"
"Habis siapa gerangannya idaman kamu itu, artis, pak menteri, setiausaha kehormat?" soalan itu bertimpa-timpa.
"Malulah bang!"
"Kenapa malu? Di sini tak boleh malu-malu!"
"Okaylah...kalau gitu," kata lelaki tampan itu sambil membetulkan duduknya di depan pak dukun. "Nama idaman saya itu Herman..."
"Herman? Lelaki atau perempuan?"
"Lelaki bang! Dia anak orang kaya...saya suka kepada dia, jadi saya nak pengasih kalau ada!"
Maka pak dukun tidak akan berkata tidak.
Dia pasti berkata: "Boleh!"
Begitulah yang terjadi, bukan sahaja lelaki yang nak pikat Herman itu sahaja, malah ada budak perempuan yang datang jumpa pak dukun nak dapatkan minyak pengasih untuk kawannya yang perempuan juga. Perempuan pikat perempuan dan lelaki pikat lelaki. Inilah penyakit zaman moden.
Disebabkan masyarakat sudah sakit, pak dukun pun ambil kesempatan, jadi sakit juga.
Ramai pak dukun sediakan khidmat mencipta "gam gajah" terbaik untuk pengasih kalangan homoseks dan lesbi.
Moto pak dukun pun bukan main hebat. Dia kata:

CINTA DITOLAK, DUKUN BERTINDAK!

Ini lebih dahsyat daripada moto yang ada.
Pak dukun sedia bertindak kepada sesiapa yang cintanya ditolak. Kalau cinta itu ditolak dengan kereta kebal pun pasti pak dukun dapat kalahkan. Atau kalau ada jentolak yang jenis besar pun, pak dukun boleh tahan hingga enjinnya mati. Begitulah hebatnya kata-kata dukun.
Dukun ini menyediakan sejenis pengasih yang digelar gembelak asmara! Orang keturunan Jawa faham apa maksudnya. Tak payah terjemahlah. Nanti jadi sebutan pula di sana-sini.
Jadi, ilmu yang namanya mengarut ini konon dapat melekatkan rasa ingin memikat bagi kalangan teruna yang mahu memikat teruna tampan, atau teruna mahu memikat datuk yang gendut, atau cik adik yang manis mahu memikat kakak yang berduit. Orang kata zaman ini zaman serba gila.
Hanya yang rasa gila sakan sahaja sanggup bersila depan pak dukun.
"Pak dukun, saya mahu pengasih!" kata seorang pengkid dengan terus terang.
"Siapa orang yang kamu idamkan itu lelaki tampan tentunya?" pak dukun menebak.
"Eh...bukan pak dukun, saya punya cinta seorang gadis masih sekolah menengah lagi! Anak orang kaya tinggal di kondo mewah!"
"Ada fotonya?"
"Ada!" dan gadis pengkid itu menyerahkan kepada pak dukun. Pak Dukun merenung foto gadis yang masih sekolah itu. Wah, bukan main posing budak sekolah ini. Siap pakai baju renang semi bogel. Pak dukun telan air liur. Dia juga tertarik.
"Kali ini," kata pak dukun kepada gadis pengkid itu. "Kali ini budak sekolah itu tidak enak makan, tidak dapat tidur, sentiasa teringat-ingat pada kamu, dia akan cari kamu sekalipun pukul 3.00 pagi!"
"Begitu dahsyat pak dukun?"
"Ya, inilah yang dinamakan gembelak asmara!"

BEGITUlah adegan dalam bentuk fiksyen yang sengaja didramakan bagi membuktikan bahawa sekarang keadaan masyarakat sudah parah. Semua ini salah siapa ya? Bukan salah ibu mengandung. Akan tetapi bukan tidak ada orang yang bercakap secara ilmu. Apabila seseorang itu sudah terbiasa memakan harta yang batil, maksudnya yang haram, maka hasilnya adalah generasi --anak-anak-- yang cenderung kepada maksiat. Rosaknya umat yang kemudian ada kaitan dengan kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tua masing-masing. Justeru muhasabah dirilah.
Penyakit homo dan lesbi ini sudah menular di nusantara dan memasuki dewan muzik dan nyanyian di kota kita. Apabila umat masih menganggap muzik dan nyanyian itu baik untuk umat, maka ia akan menjangkit kepada bab khamar, bab pergaulan bebas, dan sudahnya --zina, wujudlah kaum homo dan lesbi. Tidak setakat hidup bergelumang dengan dosa naluri dalaman tadi, malah ditambah dengan mengunjungi pak dukun bagi mendapatkan "gam gajah" pengasih untuk melengketkan lagi pasangan yang sejenis. Astaghfirullah! []

ILMU TARIK DUIT MASUK AKAUN BANK WAH! HEBAT!

ADA SATU IKLAN YANG MENARIK PERHATIAN penulis untuk diulas.
Benda-benda macam ini perlu komentar dan ulasan bagi mencerahkan minda orang yang kemaruk dengan hal-hal pelik dan tak masuk akal.
Ceritanya begini, seorang lelaki, masih muda mungkin usianya dalam lingkungan akhir 20-an, dia mendakwa  boleh memberikan sebuah ilmu untuk diamalkan oleh sesiapa yang nak cuba.
Ilmunya pelik, iaitu memasukkan wang secara misteri ke dalam akaun anda. Tidak kiralah bank mana pun asalkan anda hafal nombor akaun bank anda.
Kemudian proses ritualnya hanya 24 jam sahaja. Tetapi tidak bolehlah secara online gitu. Yang dimahunya anda kena duduk bersila depan dia. Dengar dia mengoceh apa adanya.
Yang lebih digemari konon ilmu ini tak mintak apa-apa bala atau tumbal, kerana dia kata ini bukan kerja haram atau tarik duit secara persugihan.

SAMAR

Sebenarnya ilmu ini masih samar-samar. Tetapi yang empunya ilmu kata, kalau sesiapa sudah bosan  dengan kegagalan dan ekonominya kian merundum, hutang setinggi KLCC, maka sesiapa yang berhajat akan diberikan panduannya.
Kalau mengikut iklan bukan main mudah. Hanya amalkan atau wirid pemanggil dan perintah untuk menarik. Panggil siapa dan tarik apa?
Selanjutnya, dengan ilmu ini katanya, ia bukan mengambil duit dari poket kawan-kawan, atau bos kita, atau dari dana yang ada, tetapi ditarik dari baitul mal ghaib, dari bank ghaib dan dari wang ghaib.
Kalau semuanya ghaib, bolehkah wang itu digunakan untuk beli itu dan ini, atau ia akan ghaib juga ketika dimasukkan ke dalam dompet?
Cerita ini macam tak masuk akal.
Dengan amalkan ritual tertentu, baca wirid entah ratusan atau ribuan kali, maka ada "tangan-tangan" ghaib memasukkan wang ke dalam akaun anda.
Kalau tak percaya cuba semak akaun anda setelah beramal selama beberapa waktu.
Apa amalan yang diajarkan oleh anak muda ini?
Katanya ia adalah apa yang dipanggil sebagai hizib Khadam Bismillah, ia dapat menarik duit masuk ke dalam akaun bank anda.
Wah, kalau begitu jadinya, sudah lama produk ini menjadi buruan semua orang pemalas. Ia lebih hebat dari business via internet yang orang kata hebat itu.
Jika tak mahu terseret ke kancah maksiat, maka janganlah dicuba, cukup setakat dijadikan maklumat sahaja. Dan saya pun syorkan begitu juga. Sekadar nak tahu. []

AL-KISAH TULANG MAYAT

DULU SEWAKTU penulis di kampung, setiap hari kami ramai-ramai turun ke laut, meredah lumpur masin untuk mencari apa sahaja siput [tahun 60-an].
Ada yang kita panggil kijing, lala, kerang atau mengutip ikan di belat Cina. Itu sudah jadi subbudaya kampung yang tinggal di tepi laut.
Ketika mencari kijing, yang tinggalnya di dalam tanah liat berlumpur, kami biasa tersauk atau terangkat tengkorak manusia. Kekadang tulang selangka, tulang rusuk, lengan, tulang belakang, tengkoraknya, atau tulang paha dan sebagainya.
Pendeknya, setiap hari kami waktu itu asyik terpegang tulang mayat.
Menurut sembang orang kampung [Pasir Panjang Sekincan, Selangor] dulu di kawasan pantai itu ada tanah perkuburan, hanya tak pasti perkuburan siapa, ada yang mengatakan ia tanah perkuburan bukan Islam. Tetapi tidak logik kerana perkampungan di sekitarnya adalah penempatan orang-orang Melayu belaka.
Soal ini tidak pentinglah. Tetapi kami setiap kali terpegang tengkorak, maka kami akan lemparkan tengkorak itu jauh-jauh ke tengah agar tidak ke kawasan pantai lagi. Sebab di pantai itu kami mudah mendapatkan siput kijing.

BALUNG MAYAT

Itu kisah berkaitan tulang mayat. Mungkin kalau ada sesiapa yang ingin mencari benda-benda mistik, maka tengkorak atau tulang mayat atau balung mayat akan dikutip, dibersihkan dan disimpan di rumah.
Kalau peniaga ubat kaki lima, ia jadi barang kemegahan, bawa tengkorak ke sana-sini, masukkan dalam beg niaga dan pamerkan sebagai hiasan. Orang pasti tabik kerana dia berani bawa tengkorak sebenar dan bukan dari bahan logam atau plastik.
Mungkin tengkorak itu atau tulang yang dia dapat akan dibalut dengan kain kuning. Kain warna merah pun boleh atau kain hitam. 
Berbalik kepada kisah balung mayat tadi, ada paranormal yang hari ini berterus terang menjual produknya yang dipanggil Ilmu Balung Mayat, atau ilmu tulang mayat.
Orang yang menawarkan ilmuan pelik ini masih tergolong anak muda, tetapi dia mendakwa ilmu itu sebagai warisan di bumi nusantara. Memanglah, tanah nusantara ini ada bermacam mistik termasuk mistik rekaan terbaru.
Warisan itu tidak semestinya warisan leluhur, ada warisan tahun lepas pun. Ada warisan yang baru direka semalam dan hari ini dihebahkan kepada umum.
Ilmu tulang mayat ini khabarnya sangatlah keras, jangan dicuba-cuba nak test atau uji kepada seseorang.
Orang yang mencipta ilmu ini berkata ia adalah gabungan beberapa ilmu kanuragan.
Pemilik ilmu mendakwa, kalau ilmu ini digunakan, ia akan menghadirkan ribuan pasukan perang [?] dari segenap arah mata angin.
Pasukan perang itu tentulah dari kalangan jin dan syaitan yang menjadi sahabatnya. Begitulah dahsyatnya ilmu itu. Ilmu yang ada kaitan dengan balung mayat.
Tetapi bukanlah tulang mayat yang dikutip di tepi laut seperti pengalaman penulis dan kawan-kawan itu. Ia mungkin balung mayat yang diperoleh dengan cara membongkar kubur baru atau lama.
Tentu ada kubur tertentu yang diburu oleh paranormal atau dukun yang menjadi mencipta ilmu ini.
Ilmu ini tergolong ilmu santet atau santau. Atau ia hanya tulang monyet yang didakwa sebagai tulang manusia.
Sahabat penulis  (Pak Raden), dulu pernah menanam bangkai makhluk dipercayai UFO di rumahnya di Kuala Krai, Kelantan. Ketika penulis minta dia selidik tulang bangkai itu, bagi memastikan adakah makhluk UFO itu dari species macam manusia -- homo sapiens -- maka katanya, tulang itu rapuh tidak seperti tulang bayi. Tulang makhluk ini pun boleh dijadikan bahan jajaan mistik kalau pandai kelentong.

AMARAN

Bayangkanlah, di zaman moden ini orang boleh hebahkan bahawa dia memiliki ilmu santau yang terbaik untuk diberikan kepada sesiapa yang berhajat.
Maknanya, dia sudah terang-terangan isytihar sebagai dukun santau terkini. Dukun santau yang handalan.
Dia siap bagi amaran kepada sesiapa yang tak percaya atau tak meyakini kekuatan santaunya itu.
Katanya, sesiapa yang terkena santau itu [yakni santau balung mayat] orang itu akan langsung jatuh sakit, menderita, lumpuh terus, rezeki tertutup, resah, susah, gelisah, terseksa lahir batin dan matlamat ilmu ini adalah kematian orang yang dikenakan.
Orang yang memiliki ilmu ini siap bagi amaran seterusnya:

Orang yang terkena santau balung mayat ini tidak dapat disembuhkan, kecuali liang kubur!

Maklumat menarik ini saya kutip dari sebuah iklan seorang "dukun" yang konon menawarkan sebuah ilmu mistik yang diracik dengan menggunakan tulang mayat [dalam majalah kemisterian].
Tidak diketahui tulang mayat dia kutip di mana, atau mungkin dia mengutip di tepi laut seperti pengalaman penulis tadi, atau di kawasan pemakaman animisme di kalangan kaum pagan.
Ada kaum pagan yang menggantung atau meletakkan mayat di kawasan hutan dan ditutup dengan dedaunan sebagai atap, membiarkan mayat reput sendiri. Dan kemungkinan tulang itu yang dikutipnya untuk dijadikan media ilmu yang membahayakan ini. Ilmu semacam ini adalah ilmu membunuh namanya.
Hanya sanya di negara kita, tidak ada orang berani mengiklankan ilmu yang tidak masuk akal. Ilmu ini benar-benar menafikan kekuasaan Allah s.w.t. Wallahu a'lam bishowab. []

SABUNG AYAM PERMAINAN ELIT MASA LAMPAU

APABILA DISEBUT MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI kita secara langsung terus teringatkan Pak Kaduk. Dia sanggup menyahut cabaran keluarga diraja untuk bersabung ayam, iaitu sejenis permainan yang dianggap sukan, tetapi lebih menjurus kepada perjudian. Sabung ayam sudah dikenal sejak zaman silam, di mana ia dijadikan permainan rakyat oleh kalangan istana, maka permainan ini bolehlah dianggap permainan kelas tinggi pada zamannya. Hanya orang berkedudukan sahaja yang menyertai sabung ayam. Inilah bentuk perjudian di masa silam, buktinya Pak Kaduk kalah teruk kena tipu dek raja dengan cara menukarkan ayamnya untuk bersabung. Meskipun ayam yang dimiliki sudah ditukar kepada raja, Pak Kaduk masih merasakan bahawa ayam raja itu adalah ayamnya. Dia gembira meraikan kejayaan ayam raja mengalahkan ayamnya. Kegembiraan yang melambangkan kebodohan orang Melayu masa dulu, kalau dengan raja, apa yang diminta semua dipenuhi. Inilah kepatuhan, penghormatan dan gerun daulat yang menyebabkan orang Melayu bersifat lemah, berjiwa hamba dan mengalah.

LUKISAN AYAM SABUNG

Kini, sabung ayam, masih dimainkan oleh orang bawahan. Mereka bermain sabung ayam di ladang getah, di ladang sawit, di tempat tersorok, manakala kalangan pendatang terutama dari Jawa, mereka juga suka menyabung ayam kerana amalan itu sudah jadi tradisi -- permainan rakyat.
Pelukis juga gemar melukis ayam sabungan sebagai bahan pengkaryaan yang menarik. Sayangnya, lukisan ayam sabung tidak layak berada dalam rumah muslim, ia hanya layak ditempatkan di balai seni lukis, di mana makhluk yang gemar dengan lukisan makhluk bernyawa ini menggemarinya. Kita tidak digalakkan melukis makhluk bernyawa dan menjadikan lukisan itu sebagai hiasan dinding di rumah.
Akan tetapi hairannya, umat amat menghargai sekali bakat alam dan intelektualisme dalam dunia lukisan. Sesiapa yang dapat melukis atau menggambar seperti yang nyata [realisme] maka orang itu dinobatkan sebagai pelukis hebat.
Kata Ibnu Abbas r.a. "Celakalah kamu, kalau kamu masih berkeras hendak melakukannya [melukis maksudnya] kamu boleh menggambar pokok dan segala sesuatu yang tidak mempunyai roh." [Bukhari: 4/416 dan Muslim: 14/93]
"Barangsiapa yang menggambar sebuah gambar di dunia, maka dia akan diharuskan untuk meniupkan roh padanya, dan dia sama sekali tidak dapat meniupkannya."
Pernah seorang lelaki mendekati Ibnu Abbas r.a. dan memberitahu bahawa dia adalah seorang pelukis atau artis yang berpenghasilan dari hasil kreatif tangannya, dan dia melukis gambar-gambar yang ada. Maka kata Ibnu Abbas r.a. "Saya tidak akan bercakap denganmu kecuali kalau kamu mendengar apa yang saya dengarkan dari Rasulullah s.a.w..." bahawa beliau menegahnya, itulah sabdanya, iaitu kalau pandai melukis maka nanti orang itu akan diminta memberikan roh pula kepada lukisan makhluk bernyawa yang dilukisnya.
Usahkan melukis, menyabung ayam, bahkan hendak mempamerkan di ruang tamu juga ditegah. Memang bagi kalangan seniman, mereka ada rasa bangga kalau lukisannya dipamerkan di ruang tamu, jadi tontotan tetamu, semuanya memuji, akan tetapi sebaliknya, di dunia yang tak nyata apa yang terjadi?

MALAIKAT

Di dunia tak nyata, yang ghaib itu, dengan adanya gambar sabung ayam itu, malaikat tidak akan masuk ke rumah kita. Rumah para seniman biasanya ada patung dan lukisan. Kecuali lukisan yang surrealisme, yang abstrak, hanya campuran atau adunan warna-warni, tak ada imej haiwan atau wanita bogel yang menjadi kegemaran para seniman dan peminat karya lukisan.
Kata Abdussalam Bali, pakar dunia ghaib dari timur tengah, jika malaikat tidak masuk, maka yang masuk adalah syaitan. Para syaitan bermarkas dalam rumah yang dihias dengan hebatnya bermacam lukisan makhluk bernyawa, termasuk potret peribadi, gambar dapat ijazah kedoktoran, gambar kenangan di Paris atau di mana-mana, apa lagi lukisan Ayam Sabung yang merupakan permainan tradisi kaum pagan di masa silam.
Rumah umat Islam hari ini, terutama mereka yang cuai dalam ilmuan banyak dihiasi dengan patung-patung dan gambar-gambar yang tidak sesuai. Gambar para pemimpin juga tidak wajar dijadikan hiasan dinding sebagaimana dicontohkan oleh pemimpin Mesir yang baru. Dia tidak mahu diagungkan dengan meletakkan gambarnya sebagai hiasan di mana-mana. Itu kerana dia seorang yang berilmu, dia faham sunnah, sedangkan kita, mentang-mentang jadi peniaga patung dan barang kraf tangan, maka rumah dipenuhi dengan berbagai barang yang tak sesuai.
Penulis ada seorang kawan yang dulu berniaga di Central Market, dia asal Sungai Besar, Selangor, sekampung dengan saya, dia kata adik beradiknya kerap pergi India, Pakistan, Nepal dan Bali semata-mata hendak mendapatkan bahan-bahan jualan. Maka yang dibawa pulang adalah kebanyakannya patung-patung yang mirip sembahan orang-orang jahiliyah. Sekalipun patung wayang kulit, dan ukiran kayu atau dari logam, maka semua ini tidak wajar dijadikan hiasan rumah.
Walaupun kita hanya peniaga, ia memberi makna kita merestui agar mereka yang membelinya menjadi sesat dan terus sesat. Patung begitu tidak cantik untuk dijadikan hiasan di depan pintu rumah kanan dan kiri. Jika dibuat juga ia akan menjadikan rumah kita umpama pura dan puri di Bali.
Janganlah kerana kagum dengan keindahan pulau dewata itu, maka kita membawa pulang patung hiasan untuk menghias rumah kita pula. Kes ini penulis temui di sebuah banglo milik bekas menteri, patung itu dijadikan hiasan berhampiran kolam renang, kolam ikan koi dan gazebo di halaman rumah.

MEGAH

Saya teringat sembang seorang lelaki ketika di Masjid Pakistani, Kuala Lumpur, dia berkata bahawa rumahnya sudah dihias cantik dengan tile ada gambar harimau. Megah dan bangga dia kerana rumahnya ada gambar harimau. Itu gambar kekal. Orang begini jika diberitahu bahawa gambar harimau itu tidak cantik dan tak sesuai, maka dia akan mengamuk. "Apa yang boleh? Kalau semua dah tak boleh? Menyusahkan sahaja..." Maka apa hukumnya orang yang mempersenda hal berkaitan dengan larangan dalam agama kita?
Rasanya, ada seniman fanatik yang marah kalau ada orang berbicara tentang lukisan makhluk hidup termasuk melukis potret pak menteri, datin-datin dan sebagainya.
Rasanya tidak perlu difatwakan, kerana kerja melukis ini adalah kerja yang perlu ketekunan. Selama menjadi seniman selama itulah bergelumang dengan bermacam kenistaan, setiap hari ada sahaja tempahan untuk melukis potret gadis-gadis, atau bahkan sanggup melukis potret yang mendedahkan aurat.
Bukankah lukisan itu akhirnya akan diframekan dan kemudian diletakkan di dinding ruang tamu.
Wah! Cantik lukisan itu persis Mona Lisa!
Usahkan hendak memuji, meletakkan gambar begitu pun dilarang.
Kenapa semua ini terjadi?
Ya, puncanya ilmu kita masih kurang.
Lagi satu, di masa silam benda-benda ini semua adalah kegemaran kalangan elitis. Apa yang mereka buat, akan ditiru oleh pegawai bawahannya dan kemudian rakyatnya. Selagi tidak ada yang menegur dan menasihat, maka selama itulah ketidaktahuan itu bersarang dalam diri.
Sama halnya macam sabung ayam, bagaimana rakyat bawahan tidak menganggap sebagai mainan rakyat kalau kalangan bangsawan pun menjadikan ia sebagai permainan kenegaraan? Wallahu a'lam. []

BULAN PUASA, JANGAN CELA MAKANAN

DALAM BULAN PUASA ni makanan terlalu mewah. Bayangkan orang di Somalia sampai tak ada makanan. Semalam kami solat di sebuah masjid di Bt 4 Gombak, imam dari Somalia. Dia menceritakan bagaimana keadaan di Somalia yang serba kekurangan itu.
Dia kata, Somalia adalah negara Islam, sayangnya penadbiran negara masih tidak terurus, ada sahaja perebutan kuasa. Akibat huru-hara yang berpanjangan, ikhtiar ekonomi jadi macet dan lesu.
Mungkin kita pernah dengar ada lanun Somalia menjarah kapal dagang. Itulah satu cara untuk mendapatkan benda berharga dari kapal dagang. Mereka ada senjata dan ada keberanian. Itulah tindakan manusia apabila terdesak.
Teringat juga saya kepada kisah seorang syeikh yang ditanya dalam soal jawab agama. Wakil dari Somalia bertanya, bagaimana hukumnya orang yang berpuasa tetapi tidak mampu hendak bersahur dan tidak mampu nak berbuka, kerana di dalam dua waktu itu memang tidak ada sumber makanan pun!
Maka menangislah syeikh apabila menerima soalan dari Somalia itu.
Apakah kita di Malaysia ada keadaan seperti ini? Rasanya ada. Hendak berbuka hanya ikan gelama masin dengan sayur ubi kayu masak air. Bawang pun tidak ada, jangan tanya bawang besar atau bawang putih. Habis stok, duit tak ada.
Dan orang ini atau keluarga ini maan seadanya tanpa diketahui jiran terdekatnya. Hak jiran hendaklah ambil tahu apa yang ada pada jirannya. Masalah mereka pun nak ambil tahu juga.
Tengok satu kes kecurian ibu kayu di ladang ubi. Pemilik ladang repot polis. Polis siasat, orang yang melakukan adalah seorang perempuan berumur, dia curi ubi kayu untuk memberi makan kepada anaknya yang sedang sakit.
Punyalah tidak berhati perut pemilik ladang itu. Kalau dia suruh perempuan itu bekerja membersihkan ladang ubi pun apa salahnya? Ini tidak, dia ngotot mahu perempuan tua itu disumbat ke dalam penjara. Saya tak tahu kalau kes ini berlaku di Malaysia apakah tuan hakim sampai hati hendak menjatuhkan hukuman kepada perempuan tua yang kemiskinan begitu?
Apa guna projek ratusan juta, LRT dipertingkatkan, bangunan mencakar langit, projek sana dan projek sini sedangkan di sebuah mahkamah sedang membicarakan seorang perempuan tua yang dituduh mencuri ubi, bukan barang berharga, kalau nak curi pun setakat dua tiga ketul ubi sahaja, bukan sampai dua tiga pokok ubi!
Maka, dengar cerita, hakim yang bijaksana di Jawa itu memang menjatuhkan denda dan hukuman penjara kepada perempuan tua itu mengikut panduan undang-undang. Tetapi dia dalam masa yang sama turut mendenda jiran-jiran yang tak ambil kisah dengan jiran yang satu ini.
Maknanya, awak makan sedap-sedap, sedangkan jiran sebelah rumah beras pun tak ada. Puncanya, jiran itu bukan saudara kita. Tak ada kaitan persaudaraan pun. Inilah kesombongan umat di mana-mana. Kehidupan yang seperti dulu sudah berubah.
Setiap keluarga berada bangga kalau dapat menghimpun harta dan mempamerkan kekayaan. Sedangkan jirannya miskin.
Begitu juga dalam bab terlalu mewah makan, dalam bulan puasa ini, dek terlalu mewah dan melambaknya makanan, sampai nak makan pun tak lalu. Bukan apa, terlalu banyak yang sedap. Jadi, yang paling sedap yang menjadi pilihan. Ketika ini pula ada orang mencela makanan. Itulah, inilah. Terutama yang beli juadah berbuka terlalu awal. Pukul 2.00 petang sudah beli. Sedangkan nak buka berapa jam lagi?
Inilah kisahnya, ada negara yang kebuluran, dan ada negara yang melambakkan makanan di atas meja dan kemudian dijamah sedikit. Selebihnya dibuang ke tong sampah. Puncanya? Dah kenyang! []

CENDERAWASIH BURUNG YANG KASIH

JUDUL PAPARAN INI diambil dari lirik lagu Cenderawasih yang dulu sering berkumandang di radio dalam tahun 60-an. Lagu itu yang sudah tentunya dari seberang dinyanyikan semula oleh A Halim dengan judul yang sama. Gambaran ketika itu bahawa burung cenderawasih itu adalah burung kayangan, tak akan ada sesiapa mendapat burung itu kerana ia berada di tempat yang tinggi, atau ia ada kaitan dengan dunia kayangan, raja-raja dan puteri jelitanya [mana ada cerita tentang raja yang anak daranya tak cantik?]
Burung cenderawasih ini adalah burung yang dikawal agar ia tidak pupus. Ia memang banyak di Irian Jaya sana kerana hutan tebalnya masih tidak diusik manusia. Barangkali kalau pembangunan dan penerokaan hutan dijalankan dengan pesat, burung cenderawasih hanya tinggal sebutan sahaja atau tinggal gambarnya sahaja.

JUAL UBAT

Burung yang satu ini dulunya menjadi kemegahan para pedagang ubat tepi jalan. Sesiapa yang ada membawa burung cenderawasih [bangkai] maka dia terasa begitu dikagumi, burung itu siap dibungkus dengan kain kuning untuk menjadikan ia benda bermanfaat pada pandangan awam. Kemudian disebabkan kesakralan yang dibuat-buat itu, bulu burung ini juga diperdagangkan, konon itu sesuatu yang memberi manfaat seperti tangkal dan azimat fungsinya. Entah idea mana, tetapi penulis percaya ia hanya rekaan semata-mata.
Burung yang satu ini menjadi begitu berharga kerana ia hanya ada di Irian Jaya atau Papua New Guinea sahaja. Sesiapa yang mendapat bangkai burung ini mereka boleh jual hingga nilainya ratusan ringgit. Itu bergantung kepada temberang penjualnya, dan kekeringan ilmu pembelinya.
Kalau setakat nak beli bagi tujuan perhiasan pun ia bukanlah sesuai apa lagi untuk disimpan dalam rumah. Ia hanya sesuai di Muzium Burung kalau ada. Mengenai kesakralan burung ini, selain dijaja oleh para dukun dan paranormal, pedagang ubat kaki lima semua, burung ini juga kekadang disebut sebagai syarat-marat untuk perdukunan. Biarlah mereka dengan dunianya.

DONGENG MENARIK

Burung cenderawasih ini menariknya ada cerita dongeng yang sengaja direka oleh orang dulu-dulu terutama di kalangan kaum Onin di Papua Barat, terutama di Fak Fak. Burung ini banyak beterbangan di pergunungan Bumberi.
Konon dulu ada seorang perempuan yang tinggal bersama seekor anjing betna. Dia masuk ke hutan untuk mencari makanan --- baik haiwan buruan atau buah-buahan yang ada.
Bertemankan anjing betina, dia menyusuri kawasan hutan mencari apa yang ada. Tiba-tiba dia terpandang rumpun pandan (?) yang berbuah lebat.
Dia pun memetik buahnya dan diberikan kepada anjing betina sebagai makanan sebelum mendapat makanan yang lain.
Agak pelik juga, anjing boleh makan buah-buahan. Setelah dimakan sekonyong-konyong anjing betina itu merasai suatu kelainan di dalam rahimnya. Ia mulai berisi. Anjing itu bunting dalam masa beberapa minit. Ini menimbulkan kehairanan.
Perutnya makin besar dan akhirnya, di tengah hutan itu anjing betina melahirkan seekor anak anjing yang comel.
Melihat si anjing sudah melahirkan anak yang comel, timbul dalam fikiran perempuan tua itu, itu anjing yang makan buah pandan. Bagaimana kalau dia sendiri yang makan buah itu?
Maka dia pun memetik buah pandan lagi. Dia kupas dan makan isinya.

HAMIL

Wah, dalam masa beberapa minit kemudian dia mulai merasakan suatu kelainan. Rahimnya mulai berisi seperti orang sedang mengandung. Dia meraba perutnya. Ia membusung. Bukan busung, tetapi mungkin hamil seperti mana anjing betina yang bunting dan melahirkan seekor anak anjing.
Dia segera balik ke rumah. Tidak mungkin mahu melahirkan bayi di tengah hutan. Bersama anjing betina dan anaknya dia pun balik ke rumah.
Sampai di rumah, dia melahirkan seorang bayi lelaki. Ia dinamakan Kweiya. Kini, dia tidak keseorangan lagi. Sudah ada anak lelaki yang bakal menemani dirinya tinggal di tengah hutan sepi.
Seperti proses terbentuknya anak anjing dan janin dalam perutnya, apabila bayi itu sudah dilahirkan, ia pun menjalani proses pembesaran yang serba segera.
Inilah hebatnya cerita dongeng ini.
Anak itu cepat membesar dan kemudian diajak oleh ibunya untuk membersihkan kawasan hutan bagi tujuan bercucuk tanam dan menanam padi huma.

KAPAK

Dengan menggunakan batu tajam, si anak diajar oleh ibunya bagaimana menebang pokok hutan. Sudah tentu hanya pokok yang ukurannya kecil dapat ditebang, dengan batu kapak itu dia tak mampu menebang pokok yang besar, lagipun dia masih kanak-kanak.
Mana-mana pokok yang sudah tumbang akan dicantas daunnya oleh di ibu. Daun dilonggokkan dan kemudian dibakar. Asapnya menjulang ke udara. Hanya dua beranak itu sahaja yang mengerjakan hutan simpan itu.
Asap yang naik ke udara kelihatan dari jauh. Seorang pemancing ikan melihat dengan penuh kehairanan. Dia sudah syak, di kawasan rimba itu pasti ada orang tinggal.
Maka pemancing itu pun menyusuri sungai dan kawasan hutan untuk mengetahui sumber asap itu.
Apabila sampai ke kawasan hutan itu, pemancing itu melihat ada seorang kanak-kanak sedang menebang pokok dengan menggunakan kapak batu.
Pemancing itu mendekati penebang kayu itu.
"Kenapa kamu tebang pokok itu?" tanya lelaki pemancing itu.
"Saya tolong ibu saya tebang pokok ini untuk buat ladang," jawab Kweiya.
"Kamu seorang yang rajin, kamu menolong ibumu bersusah payah menebang dengan batu, pakcik ada kapak besi, gunakanlah kapak ini untuk menebang," kata pemancing itu sambil menunjukkan cara memegang kapak dan cara menghayunkannya.
Kweiya suka hati dapat kapak dari besi. Ia lebih tajam daripada batu yang dia gunakan selama ini.
Ibunya pasti gembira kalau lebih banyak pokok dapat ditebang dengan kapak pemberian dari pemancing itu.
Dalam diam-diam hubungan pemancing dengan Kweiya semakin akrab. Akan tetapi ia masih rahsia kepada ibunya.

TEMAN HIDUP

Disebabkan lelaki pemancing itu seorang diri, dan ibunya juga seorang diri di tengah hutan, maka Kweiya merancang hendak menyatukan keduanya. Biarlah pemancing itu menjadi teman hidup kepada ibunya di tengah hutan.
Bagaimana caranya? Kapak besi pemberian pemancing itu sudah diceritakan kepada ibunya. Hanya lelaki pemancing itu sahaja yang belum pernah dilihat oleh ibunya.
Kebetulan di tengah hutan itu dia juga ada menanam tebu, maka dia tebang beberapa batang tebu untuk dibawa balik ke rumah.
Dia sudah dapat satu idea. Dia ajak pemancing itu ke rumahnya. Pemancing dipujuk agar setuju dengan cadangannya, nanti kalau sudah sampai di rumah, dia kena berbaring di tengah longgokan batang tebu dan daunnya.
"Kenapa buat begitu?" tanya pemancing.
"Nanti saya beritahu!" kata budak lelaki itu.
Tebu yang ada ditebang dan kemudian diikat. Kweiya dengan pemancing berjalan beriringan sambil memikul seikat tebu di bahu masing-masing.
"Pakcik nanti baring di tengah dua longgokan tebu, saya nak suruh emak saya ambil tebu sebatang, ketika emak saya ambil nanti tentu dia hairan di tengah longgokan tebu ada orang!" terang Kweiya sambil tertawa.
"Amboi, awak suruh pakcik berlakon ya?"
"Yalah!"
Kedua-duanya tertawa suka.
Sampai di rumah, pemancing itu disuruh berbaring dan longgokan tebu diletakkan di kanan dan kirinya.
"Diam-diam, jangan bising!" kata Kweiya sambil menepuk-nepuk kaki pemancing.
Ketika itu si ibu sedang sibuk di dapur, Kweiya pun masuk ke dapur. Dia duduk dan meminta air minuman.
"Nak air apa nak?" soal ibunya.
"Apa ya?" kata Kweiya sambil memikirkan air minuman kesukaannya. "Ha...air tebu!" katanya.
"Air tebu? Mana ada tebu?" kata ibunya.
"Ada mak depan pintu tu...ambillah sebatang!"
Ibunya pun pergi ke pintu depan untuk mengambil sebatang tebu yang dikatakan oleh anaknya. Sebaik ditarik sebatang, ibunya terkejut kerana ada seorang lelaki di situ.
"Bangun! Bangun! Apa awak buat di sini?" katanya.
Kweiya cepat-cepat meluru ke pintu depan.
"Ini pakcik yang tolong kita mak, dia berikan kapak besi untuk kita pakai," terang si anak.
Si ibu angguk-angguk malu.

PUJUK

Kemudian si anak berbisik kepada ibunya. "Mak, apa kata kalau kita ajak pakcik ni tinggal dengan kita sekali."
"Hisss, merepek kamu ni!" kata ibunya malu-malu.
"Bukan tinggal sahaja mak, tapi pakcik ni bolehlah temankan emak dan saya pun tentu ada ayah," kata Kweiya.
Dipendekkan cerita, maka akhirnya pakcik itu pun setuju berkahwin dengan ibu Kweiya. Dia tolong membersihkan hutan untuk berladang.
Tidak lama kemudian lahirlah seorang bayi, bayi lelaki. Itu adalah adik kepada Kweiya. Rumah di tengah hutan itu makin meriah. Selang setahun kemudian lahir lagi seorang bayi lelaki. Pondok di tengah hutan makin riuh dengan suara kanak-kanak.
Kweiya adalah anak tertua, ia anak misteri dari buah pandan yang dimakan oleh ibunya.
Tidak lama kemudian lahir lagi seorang bayi perempuan pula. Jadi di rumah itu sudah ada tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan yang bungsu.
Walaupun sudah ada anak yang lain, si ibu masih sayangkan yang paling tua. Kweiya lebih disayangi kerana kelahiranya mistik sedikit tidak seperti adiknya yang lain.

CEMBURU

Disebabkan ibunya terlalu sayangkan yang sulung, adik-adik yang lain rasa cemburu. Suatu ketika dua beradik itu berpakat untuk memukul abangnya. Biar dia cedera, biar dia rasa kerana dia sangat disayangi oleh ibunya.
Perbuatan adik beradik itu membuatkan Kweiya macam merajuk. Dia tidak mahu balik ke rumah. Dia menyorok di sudut rumah, memang tersorok hingga ibunya tak tahu dia di mana. Sambil menyorok dia membuat benang warna-warni daripada kulit haiwan.
Benang itu dipilin dan kemudian dia bercadang hendak jadikan ia seperti bulu burung. Benang yang panjang itu berjuraian apabila dibawa berjalan. Dia pun meletakkan benang itu di bawah ketiaknya kanan dan kiri. Dia berangan macam burung dan boleh terbang.

BURUNG

Sekonyong-konyong Kweiya telah bertukar menjadi burung. Dia pun melompat dan menuju ke arah pokok. Dari pokok dia melompat ke atas bumbung rumah.
Aneh, daripada tubuhnya yang sebesar kanak-kanak belasan tahun, dia sudah bertukar menjadi burung yang berukuran kecil.
Si ibu memanggil anaknya. Dia tidak menyahut. Yang kedengaran adalah suara burung.
KUK-KUK! KUK-KUK!
KUK-KUK-KUK-KUK-KUK!
Burung yang cantik, berekor panjang berjuraian. Warna-warni. Itulah konon asalnya burung cenderawasih.
Kalau di zaman moden ini orang percaya dengan dongeng maka itu adalah mustahil. Ia hanyalah cerita untuk pengantar tidur. Jika orang bercakap tentang burung cenderawasih, maka cerita ini secara spontan akan diceitakan orang. Hanya pedagang ubat kaki lima tak tahu cerita ini.
Setelah menyedari anak sulungnya jadi burung, si ibu merayu kepada si anak agar diberikan pintalan benang yang ada kerana ibu juga ingin menjadi burung mengikut jejak langkah si anak.
"Ibu punya ada di dalam gulungan tikar!" kata si anak yang telah bertukar jadi burung.
Si ibu pun mengambil pintalan benang berambu-rambu itu dan meletakkan di bawah ketiaknya. Sebaik dia buat begitu, dia pun secara tiba-tiba boleh melompat dan badannya jadi ringan. Badannya jadi kecil seperti burung. Dia pun sudah dapat terbang dan melompat ke atas dahan pokok.
Dua ekor burung yang asalnya manusia telah terbang berkejar-kejaran di atas bumbung rumah.
WONG! WONG! WONG!
Burung itu terbang.
KO KOK...KOK...!
Burung itu berbunyi.
WO...WIKKKK!
WO...WIKKKK!
Di Papua Barat burung cenderawasih jantan dipanggil Siangga kerana ekornya panjang dan cantik. Burung betina mereka panggil Tombor dalam bahasa Lha.
Bagaimana dengan tiga beradik yang ditinggalkan ibu dan abangnya itu? Mereka telah bergaduh dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Ayahnya cuba menasihatkan mereka, tetapi mereka tetap berdegil. Mereka menyesal kerana telah kehilangan ibu dan abang sekaligus.
Akhirnya kedua beradik lelaki itu saling lontar melontar. Batu tungku daput dan abunya dilontarkan ke arah lawannya. Habis muka mereka comot. Badannya kena debu arang dan kehitaman. Ketika itu si bapa tidak mampu hendak menahan lagi kerana kedua beradik itu konon bertukar menjadi sejenis burung yang tidak menarik, berbulu hitam kelabu dan tidak ada warna-warni pada bulunya.
Disebabkan itulah konon di hutan itu sampai sekarang banyak burung yang tidak menarik berkeliaran. Adik yang sulung pun ikut sama menjadi burung.
Dengan berubahnya tiga beradik itu menjadi burung, maka sempurna sudah, anak beranak menjadi burung. Kini, tinggalkan pemancing ikan itu menjaga pondok di tengah hutan.

KOMEN

Barangkali kerana asal-usul cenderawasih dari manusia, maka bangkai burung itu dianggap bermanfaat untuk tujuan "perubatan" atau "benda mistik simpanan" - di mana-mana orang mengusung cerita tentang kehebatan burung cenderawasih. Bangkai burung ini bernilai ratusan ringgit, dan bagi yang terdesak sanggup membayar lebih untuk mendapatkannya.
Disebabkan ia suka terbang di kawasan hutan yang tinggi, ia dianggap makhluk kayangan. Tidak dapat dipastikan apakah keistimewaan burung ini dipandang dari sudut pranormal. Apa pun jika benar ia ada manfaat atau khasiat, ia hanya rekaan semata-mata.  []