Tuesday 25 June 2013

JUMPA BEKAS WARTAWAN ERA ZAMAN BAHA ZAIN

Sewaktu ronda di sekitar pasar karat Petaling Street pagi tadi [Selasa] saya terserempak dengan orang dari Timur Tengah berniaga barang-barang lusuh. Apa sahaja, buku, komik lama, buku tatabahasa Italiano, baju dan seluar terpakai.
Kebetulan datang seorang lagi wanita separuh umur membawa beg dan meletakkannya di sisi peniaga dari luar negeri ini.
Cerita punya cerita, wanita ini kata dia dulu pernah ikut Baha Zain, yang baru-baru ini dipilih sebagai Sasterawan Negara.
Ketika ikut Baha Zain dalam tahun 80-an, dia jadi wartawan majalah ERA.
Saya pun mengikuti perkembangan majalah itu ketika itu, yang kebetulan saya mengendalikan tabloid MINGGUAN BUMI bersama Ibnu Muslim [Hussain Yaacob], Abdullah Tahir UM dan Dr Alias Mohammad.
Majalah ERA sebenarnya adalah cita-cita Baha Zain setelah meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia dan semua orang ketika itu mengharapkan majalah ERA boleh bertahan lama. Ia adalah satu-satunya majalah berita yang dikeluarkan secara mingguan hendak mengikuti jejak TEMPO di Indonesia.
Apa sudah jadi?
TEMPO terus unggul sampai sekarang, manakala ERA sudah jadi arwah.
Kalau sebut majalah ini orang pun tak ingat lagi. Entah siapa yang ada menyimpan majalah tersebut. Majalah ERA itu kalau orang masih ingat, seperti Newsweek isinya. Memang itulah yang semua orang harapkan agar di Malaysia ini ada sebuah majalah berita yang setanding TEMPO.
Sayangnya, ia tidak bertahan lama.
Kenapa?
Kata orang, standard tahap pembacaan rakyat Malaysia masih rendah dibandingkan Indonesia yang kebetulan rakyatnya ratusan juta! Di Malaysia majalah yang ikut standard TEMPO yang tebal dan menyajikan cerita segar tidak boleh hidup kerana kita tidak cukup pembaca.
Kata bekas orang ERA ini yang ditemui sedang menjual pakaian terpakai, rakyat Malaysia terutama muda-mudinya banyak yang membaca bahan bercorak hiburan.
Kalau membaca novel pun, mereka memilih novel tebal [trend sekarang] dan kisah cinta seumpama OMBAK RINDU itu.
Bila menyentuh novel OMBAK RINDU dan khabarnya sudah difilemkan [saya tak tengok pun], ustaz yang bagi tazkirah mingguan di masjid Saad Abi Waqqas bagi tahu, ada orang membaca novel sampai diulang-ulang beberapa kali.
Untuk habiskan sebuah novel yang tebal dua inci itu, perlukan masa juga. Cuma, kata ustaz tadi, ia tidak mendatangkan pahala, tidak sama seperti kita baca al-Qur'an. Memang kita disuruh Iqrak, tetapi Iqrak yang bagaimana?
Barangkali kerana orang kita kemaruk dengan fiksyen yang penuh khayalan, bahan yang berbentuk fakta mereka tidak gemar. Yang jadi mangsa adalah majalah seperti ERA tadi. Itu percubaan Baha Zain yang gagal ketika itu. Apakah tidak ada sesiapa yang berani terbitkan majalah berita setanding TEMPO?
Sekarang sudah ada majalah bermutu seperti SOLUSI, GEN Q, dan beberapa buah lagi yang saya lupa nak catat. Bagaimana agaknya majalah tersebut boleh bertahan lama? Atau penerbitnya juga menghadapi masalah kekurangan pembaca?
Bukan mudah nak siapkan sebuah majalah. Dalam setahun kena ada perancangan tajuk atau tema pokok bulanan yang perlu dipaparkan. Biasanya dikaitkan dengan bulan-bulan tertentu, ada perayaan dan sambutan tertentu atau tidak. Bahan paparan juga kena cantik, kalau boleh cari ustaz yang hebat-hebat.
Biasanya kalau semua memburu tokoh yang sama, maka ada ketikanya ustaz tadi gagal menyiapkan bahan untuk paparan. Maka dengan dua halaman A4 sudah memadai untuk penyendal ruang.
Wanita tadi, beritahu, dia baru beberapa hari mengenal pasar karat Petaling Street. Saya beritahu dia, bahawa pasar itu sudah saya jejaki sejak tahun 1982 lagi! []

LAMA TAK PI PASAR KARAT PETALING STREET

HARI ini tergerak jenguk pasar karat di Petaling Street.
Seperti biasa, sesiapa sahaja yang datang ke situ pasti akan melihat orang memasarkan apa sahaja benda kutipan, simpanan atau benda buangan di atas lantai jalan. Tak perlu meja niaga semua.
Sesiapa yang letak atas meja, memang mencarik adatlah jawabnya.
Para peniaga di situ, adalah orang-orang itu juga. Dan yang berkunjung ke situ pun adalah muka-muka itu juga.
Sesekali ada juga muka baru. Peniaga baru, membawa barang apa sahaja dan kemudian meletakkan di atas hamparan di lantai tepi jalan atau di dalam lorong itu.
Semua sudah maklum, itulah budaya niaga di pasar karat.
Ada orang masuk ke pasar karat semata-mata hendak mencari jam tangan. Pantang nampak orang jual jam tangan dia akan singgah. Belek-belek dan kemudian letak. Cari tempat lain pula. Dan bukan semestinya nak membeli pun.
Ada orang masuk ke pasar karat kerana hendak mencari baju atau seluar rombengan. Bayangkan, ada orang jual baju berjenama terpakai hanya RM3 atau RM5 sahaja.
Ada juga yang nak cari makanan kucing. Sepeket RM5. Orang dari seberang yang menjualnya. Semua dari kelompok itu. Mereka juga jual shampoo, ubat gigi, berus gigi, bedak, biskut dan tidak tahulah apakah ia sudah luput tarikh atau belum.
Ada yang datang nak cari buku. Saya pun biasa cari buku di pasar karat. Ada beberapa buah buku rujukan saya beli di situ. Walaupun sudah berconteng dan sudah digaris-garis, selagi masih boleh dibaca, ia tetap berguna.
Selain itu ada yang mencari handphone lama. Yang sudah kondem pun tak apa. Boleh dibaiki. Di sini khabarnya ramai juga yang membeli dan nak jual semula. Beli Rm30 baiki dan jual semula. Siapa pandai baiki sudah tentu boleh lakukannya. Sama juga dengan jam tangan.
Di pasar karat ini perniagaan paling awal adalah lepas subuh.
Biasanya, pukul 7.00 pun orang sudah berpusu. Pencari kasut terpakai berjenama, ada yang berebutan kalau nampa orang masuk lorong bawa karung plastik. Kalau dia bawa biawak hidup pun agaknya orang berebut juga.
Ada yang cari kasut kerana nak memakainya. Banyak pula yang cari kasut untuk dijual semula. Beli, beli dan beli, kemudian simpan di rumah. Dapat seguni baru jual semula.
Baju, seluar dan apa sahaja pakaian terpakai pun mereka buat begitu. Tidak semestinya mereka beli untuk dipakai. Banyak yang beli untuk dijual semula.
Dulu, di lorong itu tak ada orang jual nasi lemak atau kuih muih siap dengan teh atau kopi bungkus. Sekarang sudah ada. Pendeknya, inilah peluang untuk berniaga.
Kenapa orang suka masuk pasar karat? Di situ, kalau setakat nak tukar bateri jam, potong tali jam dan sebagainya, tak perlu bayar lebih macam di kedai biasa. Santai sahaja.
Kadang-kadang kita masuk ke pasar karat untuk menyelamatkan buku-buku agama, bahan agama yang dijual oleh peniaga bukan Islam. Mereka pun tak tahu buku apa. Buku doa-doa, tentang solat sunat pun kadang-kadang mereka jual.
Apa lagi nak cari di pasar karat? Ikan hidup? Kadang-kadang abang yang gemar memancing ikan ada bawa ikan patin, ikan haruan atau ikan hasil pancingan untuk dijual di situ.
Jadi, macam-macam ada. Jangan cari sayur atau kacang panjang sudahlah.
Pasar karat sesuai dengan namanya, kalau pandai membeli akan terbeli barang berharga. Kalau tak pandai, baru guna sekejap sudah meragam. []