Monday 30 December 2013

SEBUAH "REPUBLIK ARTIS" YANG TERNAMA

NAMPAK gayanya, semua orang memang suka untuk jadi popular. Kalau sudah popular, senang pulalah nak cari makan. Yang orang berperang di sana-sini, adalah kerana nak cari makan.
Di negara kita, yang nampak mudah menjadi warga negara sebuah "republik artis" adalah orang-orang yang dianggap ternama.
Pada 21 Disember 2013 yang lalu, penulis terpandang SENARAI PENCALONAN bagi ANUGERAH BINTANG POPULAR 2013.
Wah! Hebat sungguh penduduk di republik berkenaan. Mereka sentiasa diraikan dan terus diraikan. Dalam setahun ada beberapa anugerah yang hendak diserahkan kepada calon-calon yang layak.
Mereka yang tidak berada di republik berkenaan sudah tentulah orang yang jadi peminatnya, yang diminta memilih, mengundi dan diminta bertepuk sorak, diminta memadatkan dewan untuk menyaksikan acara yang mereka anggap sebagai gilang gemilang [mengikut laporan wartawan hiburan kita].
Menyemak senarai yang penulis kutip [kebetulan kertas itu terbiar di atas bangku di celah-celah KL, sebab penulis tidak membeli/baca media arus perdana] -bahawa di kalangan penduduk republik berkenaan ada berbagai kategori rupanya.
Antaranya:
[1]. KATEGORI ARTIS BARU LELAKI - ada 18 orang. Setelah disemak dari atas ke bawah, tidak ada satu nama pun yang penulis kenal. Bermakna saya sudah ketinggalan MRT/monorail. Tak tahu perkembangan masa di republik berkenaan.
[2]. KATEGORI ARTIS BARU WANITA - tak ada seorang pun yang penulis tahu latar belakangnya. Mereka entah datang dari planet mana pun kita tak tahu.
[3]. KATEGORI PELAKON TV LELAKI - ada 35 nama. Agaknya berapa nama yang penulis tahu dan mengenali latar belakang pelakon itu melalui pembacaan?  Hanya ada beberapa nama yang kerap muncul dalam media, tetapi penulis tidak ambil pusing pun, sebab kita langsung tidak mengikuti siaran TV. Jadi artis dan drama atau filem apa, langsung tak tahu.
[4]. KATEGORI PELAKON TV WANITA - ada 38 nama. Semua nama itu samar-samar bagi penulis kerana maklumlah kita tidak menjadi warga negara republik berkenaan. Tak ambil peduli pun kalau mereka ada gosip, kahwin cerai, khalwat, dan apa sahaja perkembangan tentang diri mereka.
[5]. KATEGORI PELAKON FILEM LELAKI - ada 34 nama semuanya. Kenapa ada perbezaan antara pelakon TV dan pelakon filem? Inilah yang peliknya. Kalau begitu, seorang yang ternama boleh dapat dua anugerah antara TV dan filem tadi.
[6]. KATEGORI PELAKON FILEM WANITA - ada 32 nama semuanya. Baik pelakon filem lelaki atau wanita, kita memang tak berapa tahu. Hanya jeling-jeling apabila ada orang lain selak media cetak. Nak ambil tahu sangat tentang dunia mereka pun buat apa, kita bukan warna negara republik berkenaan pun.
[7]. KATEGORI ARTIS KOMEDI LELAKI - ada 35 nama.
[8]. KATEGORI ARTIS KOMEDI WANITA - ada 17 nama.
[9]. KATEGORI PENYANYI LELAKI - ada 23 nama.
[10]. KATEGORI PENYANYI WANITA - ada 19 nama.
[11]. KATEGORI DUO/ARTIS BERKUMPULAN - ada 29 nama.
[12]. KATEGORI PENGACARA TV LELAKI - ada 26 nama dan KATEGORI PENGACARA TV WANITA - ada 18 nama.
[13]. KATEGORI PENYAMPAI RADIO LELAKI - ada 24 nama dan PENYAMPAI RADIO WANITA ada 20 nama.
Jadi, acara yang dilaporkan gilang gemilang itu adalah untuk warga republik artis berkenaan. Sekalipun bukan penyanyi, bukan pelakon, sekadar jadi penyampai radio pun boleh tumpang naik pentas untuk dapat anugerah.
Kemudian orang ramai pula dikerah agar mengundi mereka. Konon sebagai peminat. Hakikatnya, dunia di dalam republik itu hanya mereka sahaja yang meraikan. Bilangannya boleh tahan sesuai dengan sebuah republik yang kecil.
Nama-nama yang tersenarai itu adalah nama-nama yang akan disenaraikan lagi untuk acara lain pula. Pendeknya, beruntung penduduk republik berkenaan kerana mereka sentiasa disajikan dengan berbagai anugerah.
Baik apa kegiatan mereka, semuanya telah dibayar. Mereka tidak melakukan atas nama kerja amal. Lakonan mereka sudah dibayar. Nyanyian mereka juga telah dibayar. Anugerah jadi pemangkin untuk melonjakkan kemasyhuran diri. Tetapi, orang awam juga ingin tahu, kerana sering golongan ini mengeluh jasa mereka tidak dikenang orang. Jasa bagaimana? Berlakon itu berjasakah? Menyanyi itu menghiburkankah?  Melawak itu menghiburkankah?
Di hujung penghidupan, kita menyaksikan golongan ini agar sentiasa dikenang. Anugerah yang mereka dapat berkali-kali dalam setahun itu adalah contoh orang mengenang mereka. Akan tetapi penduduk republik mahu lebih dari itu. Jadi kenangilah jasa mereka! []

Friday 27 December 2013

PENTAS HIBURAN DAN TAZKIRAH

Di sebuah masjid ada tazkirah lepas solat maghrib.
Majlis ilmu yang begitu besar ertinya kepada mereka yang inginkan maklumat tambahan sayangnya hanya dihadiri oleh 4 orang jemaah sahaja.
Bayangkan, betapa pilunya hati penceramah di masjid ketika itu. Hendak marahkan siapa? AJK masjid yang tidak proaktifkah atau kaedah tazkirah yang perlu diubah?
Menjelang solat isyak baharulah jemaah bertambah. Tetapi itu sudah mendekati ending tazkirah.
Betul kata sindiran seorang jemaah, kalaulah ada artis yang bagi tazkirah, agaknya ramailah orang datang.
Dan ada yang membandingkan kalaulah ketika itu ada pentas hiburan tidak jauh dari masjid, pasti sekitar pentas itu sudah dipenuhi oleh orang ramai. Mereka dahaga hiburan dan bukan dahaga ilmu.
Kebetulan kutbah Jumaat hari ini tadi tentang hiburan.
Hiburan yang terpeta dalam dunia hiburan Melayu semakin kalut dan hanyut.
Tidak ada garis panduan yang ditetapkan oleh pihak yang berwewenang.
Pihak TV swasta menjadi pelopor dalam program hiburan.
Anak-anak kita, sejak kecil sudah diasuh untuk menjadi Idola Kecil. Memasyhurkan diri di pentas hiburan. Kelak jadi bintang, bakal bintang, agar negara tidak ketandusan bakat dan bidang hiburan.
Teguran dari kutbah Jumaat rasanya tidak membekas di kalangan masyarakat kita.
Pihak bertangungjawab perlu mengatur pertemuan kepada pengendali stesen TV yang ada. Hendaklah diberitahu bagaimana bentuk hiburan yang sepatutnya dibuat.
Jika dibiarkan, maka jadilah seperti hari ini.
Program REALITY semakin berlambak. Sebutlah bidang apa sahaja, semuanya nak diprogramkan menurut acuan American Idol atau program reality lainnya.
Nampaknya orang kita tidak peduli walau telah ditegur dalam kutbah Jumaat. Orang kita masih kemaruk menghantar anak untuk program begitu. Kalau anak tersingkir, maka ibu bapa tumpang menangis. Bagaikan kehilangan permata berharga.
Bukankah itu semua adalah permainan belaka? Mainan duniawi.
Menghantar anak-anak untuk program reality sama sahaja seperti kita menjerumuskan mereka ke jurang bahaya. Bukan mencari ketenaran duniawi dan kemasyhuran melulu.
Kita sudah lama dipetakan agar lebih mengutamakan hiburan. Lihatlah media cetak kita. Betapa besarnya gambar artis yang diidolakan. Lihatlah, ada ruang khas untuk apa yang mereka namakan sebagai SELEBRITI.
Bukankah ini menakjubkan. Di negara kita ada ramai selebriti rupanya. Entah selebriti bikinan sendiri atau memang benar-benar selebriti.
Orang yang diraikan. Raikan untuk apa?
Kalau ada majlis tazkirah di masjid tak laku, puncanya minda kebanyakan kita masih mengikut rentak dan ragam media yang ada.
Selagi kita masih bersetia dengan TV di rumah, masa lebih banyak terluang untuk paparan TV dan hiburan. Anak-anak juga dibentuk oleh ibu bapa agar menggemari program hiburan.
Memang kutbah ada menyebut, hiburan tidak dilarang. Tetapi bentuk hiburan bagaimana yang menjadi acuan kita sekarang?
Bukan tidak ada yang mengatakan bahawa kita boleh berhibur, boleh menikmati hiburan, tetapi ada syaratnya. Sedangkan hiburan yang kita nikmati sekarang, hiburan yang diciplak dari budaya orang putih.
Andainya program tersebut merupakan agenda mereka untuk mengajak kita masuk lubang biawak, maka kita pun tidak peduli. Kita lebih rela jadi biawaknya.
Tengoklah nanti, apa yang kita akan lakukan ketika menyambut AMBANG 2014.
Pentas hiburan bagi sambutan tahun baru 2014 itu jauh lebih meriah meskipun kebanyakan masjid di bandar besar kita mengadakan majlis Qiamulail bagi mengimbangi pentas hiburan yang tak tentu arah itu.
Cuba bandingkan, mana yang menjadi tarikan kita? []

SIAPA PUAK PELAMPAU TU?

BELUM apa-apa sudah ada orang yang atau kumpulan yang dianggap puak pelampau.
Siapa puak pelampau tu?
Sebenarnya di negara kita tidak ada puak pelampau. Yang ada adalah persepsi belaka. Mereka buat persepsi begitu bagi melabelkan kumpulan lain yang tidak sealiran dengannya.
Kumpulan yang bercakap tentang keresahan rakyat kerana kos hidup yang semakin meningkat bukanlah kumpulan pelampau.
Jika begitu, sesiapa sahaja yang buat kajian tentang perkara yang sama akan dicap sebagai pelampau. Sebagai kajian pelampau.
Apa yang difahami daripada sikap sedemikian, masih ada orang yang tidak mahu menerima perbezaan pendapat.
Asalkan ada kumpulan yang mengkritik langkah kerajaan menaikkan atau mengurangkan subsidi untuk rakyat, maka orang itu dicap sebagai pelampau.
Di mana rasionalnya kita?
Tuduhan yang dilemparkan hanya berpunca daripada persepsi. Tidak ada pelampau di negara kita. Hanya kerana berjuang untuk kepentingan semua orang, kumpulan itu dituduh pelampau. Sedangkan mereka yang "melampau" tidak pula dituduh sebagai pelampau.
Semua ini persepsi yang sudah ditanam sejak awal-awal lagi.
Keresahan sekelompok kecil rakyat adalah gambaran bahawa keresahan itu menyeluruh. Bukan semua rakyat berkemampuan mendepani kenaikan harga perkhidmatan dan barangan yang dikenakan.
Lebih ramai rakyat yang kecundang mendepani masalah kenaikan harga yang mendadak sekarang. Golongan yang terkesan adalah mereka yang tidak ada pendapatan tetap.
Tulisan ini langsung tidak simpatik terhadap mereka yang kerja kerajaan dengan gaji lumayan tiap bulan. Mereka tidak rasa apa. Mereka senyum melihat orang lain menderita. Bahkan tuduhan terhadap rakyat berpendapatan rendah sebagai puak pelampau adalah keterlaluan.
Berpada-padalah menyuarakan sesuatu perkara. Jangan kerana faktor politik seseorang sanggup memberi label yang tidak simpatik langsung terhadap masalah yang dihadapi kebanyakan rakyat.
Memang orang yang berkedudukan tidak rasa apa. Orang yang kais pagi makan pagi amat terkesan dengan apa yang berlaku sekarang.
Justeru, berhati-hatilah mengeluarkan kenyataan. Jangan sampai menyinggung hati kecil rakyat. Jangan anggap segala program yang dirancangkan oleh pihak pusat itu telah melegakan rakyat keseluruhannya.
Buktikan, golongan elitis ini telah mendengar suara rintihan rakyat.
Buktikan mereka mendengar dan bertindak untuk melegakan keresahan rakyat. Bukan memberi label yang teruk. Kasihanilah rakyat yang berpendapatan kecil dan tidak ada pendapatan tetap. Merekalah yang banyak mengeluh sekarang. []