Friday 5 December 2014

PASAR KARAT JADI KILAT!

Lama tak jenguk pasar karat yang berkarat di Petaling Street. Lagipun dah ada pasar karat lain wujud di Kg.Bahru, Kuala Lumpur.
Pasar karat di Petaling Street kata orang dah kehilangan gizi.
Barang karat dah tak dijual lagi. Nak ada persatuan. Ada peniaga berpermit sementara untuk pamer barang.
Biasalah, dalam mana-mana grup akan lahir hero yang akan mengajak [bukan hasut ya!] agar mereka isi borang untuk dimajukan kepada pihak atasan.
Sudahnya, pasar karat berubah fungsi.
Produk yang dijual sama sahaja macam di pusat membeli-belah, tak ada yang karat dan tak ada yang rosak atau second/thirdhand lagi.
Kalau dah barang baru yang dijualnya, mana pengguna atau peminat barangan lama akan beralih ke tempat lain.
Jika benar, pasar karat telah berubah fungsi, maka berakhirlah peranannya sebagai sumber "talian hayat" penghuni kota untuk mendapatkan sedikit duit belanja. Walllahu a'lam. []

NAK KOMEN PUN TAK BERANI

Nampaknya bukan seronok nak gunakan blog untuk membuat komen apa sahaja. Sebenarnya, idea memang melambak-lambak. Hanya kekangan yang ada di negara kita ni, nak tulis kena berhati-hati.
Dalam pada berhati-hati pun, ada juga yang tak kenanya.
Pembaca blog ada bermacam-macam. Yang puak itu dan puak ini. Ada kelompok tertentu. Semua pihak nak kena jaga. Jangan sampai terguris.
Hinggakan ada orang kata, para nelayan pun takut nak "hasut" ikan masuk jaring.
Para peniaga takut nak "hasut" orang beli barang dagangan.
Para jurujual takut nak "hasut" orang beli itu dan ini, maklum produk promosi!
Komen sikit pun nanti dikata menghasut. Sedangkan yang menghasut banyak [kalau puak mereka] langsung tak diambil peduli pun!
Akhirnya, kata kawan-kawan, jangan tulis banyak-banyak.
Atau jangan buka langsung. Atau cuti panjang! Itu sebab ada orang menjauhkan diri dari blog. Wallahu a'lam. []

Monday 11 August 2014

POLITIK TAK TENTU ARAH

Setakat yang kita semua maklum, Khalid Ibrahim masih menjadi MB Selangor setelah menghadiri mesyuarat penting dengan kelompok Istana. Keputusan ini menimbulkan bermacam komen dan analisis.
Kita tunggu dan lihat. Apa akan jadi setelah ini.
Bagaimana pemimpin PKR nak selesaikan kemelut ini. Bukan mudah nak sorong Kak Wan jadi MB. Ia akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat dan penganalisis.
Memanglah unik buat masa ini. MB Selangor adalah orang BEBAS.
Apakah lepas ini ada orang yang menyertai BEBAS? Mendukung MB Selangor yang ada?
Rasanya untuk selesaikan kemelut, MB kena cari calon lain dan bukan calon yang selalu disebut-sebut itu supaya tidak timbul isu di kemudian hari. Perlantikan Kak Wan akan mencacatkan situasi. Perlu calon penengah yang tidak terlibat dengan kemelut.
Buat masa ni, tak ada komen lebih tentang situasi di Selangor.
Jika isu kecil begini pun tidak mampu ditangani, bagaimana nak pegang Putrajaya? Wallahu a'lam.[]

Sunday 16 March 2014

MENGERJAKAN SOLAT KERANA ARAHAN

TERTARIK dengan tazkirah di masjid.
Apabila ada isu, baharulah orang nak berdiri di atas sejadah di dalam saf jemaah. Baik surau, masjid atau di mana-mana.
Tidak terfikirkah, selama ini solat sunat itu jarang atau tak pernah dilakukan pun!
Dan apabila ada kerahan untuk melakukan, maka sibuklah jurugambar akhbar kita melaporkan solat sunat di mana-mana kerana sesuatu keperluan.
Ustaz yang bagi tazkirah mengulas, alangkah baiknya kalau solat sunnat itu telah menjadi amalam harian kepada semua orang. Bukan hanya seminggu sekali atau setahun beberapa kali.
Kalau semua orang telah melanggengkan amalan solat sedemikian, maka ruang untuk memperoleh jawapan akan lebih mudah dan dipercepatkan.
Jadikan perkara yang terjadi sebagai amaran kepada kita semua.
Tidak ada sesuatu yang mustahil.
Mengerjakan sesuatu tidak perlu menunggu apabila dikerah. Atau melakukan sesuatu untuk pamer publisiti media bagi menggambarkan keprihatinan!
Tentunya, kita kena menyemak tafsir Yassin yang di dalam memuatkan kisah pengangkutan yang digunakan manusia. Apabila Allah menghendaki ia tenggelam, tak ada sesiapa yang dapat menyelamatkannya.
Elok juga dalam isu ini tazkirah di masjid dan surau memberi penekanan kepada tafsir ayat tersebut agar dapat memberi pencerahan kepada semua. Wallahu a'lam. []

LAGI LAMA, MACAM-MACAM SPEKULASI JAHAT AKAN TIMBUL

Kehilangan pesawat milik negara menimbulkan kekecohan. Kecoh dalam minda. Ada yang marah-marah, geram, dan pantang mendengar atau membaca komen dari orang biasa. Kalau kaum gelandangan yang bagi komen, lagilah mereka geram.
Akan tetapi kalau yang bagi komen itu berstatus menteri, maka semua akan dilaporkan. Tukang lapor memang suka melaporkan kenyataan menteri. Walaupun hanya sepotong ayat, atau tak ada apa nak komen.
Lagi lama pesawat hilang dalam lautan misteri, maka banyak spekulasi jahat yang dimainkan untuk dikaitkan dengan parti politik.
Sekarang nampak sangat pihak yang berwewenang terlalu larut dengan dunia spekulasi termasuk dunia mitos dan mistik dalam bikinan.
Teori mengaitkan sesuatu isu dengan isu yang tidak berkaitan memang berlegaran di sekeliling kita. Inilah masanya untuk mengenakan seseorang. Atau inilah masanya untuk membina persepsi yang logik atau yang tak masuk akal.
Apabila kita terperangkap dalam wadah begini, kita akan tenggelam sama dengan kisah yang sebenar. Kita membina seribu andaian bagi dikaitkan dengan seseorang.
Maka daripada andaian yang sudah lari dari fakta itu, ada pihak tertentu sibuk membuat siasatan yang tak berkesudahan.
Jika ada seseorang yang berminat dengan andaian itu untuk dimantapkan sebagai bahan tudingan politik dan fitnah, dibarengi pula dengan media yang siap sedia mengatur langkah, maka persepsi itulah yang akan dibangunkan dan dimantapkan agar semua orang menuding jari ke satu arah.
Arah mana?
Itulah arah untuk bermain politik secara murahan. Kita sudah lama bermain politik begini. Jangan tuduh siapa yang murah, sendiri kena faham. Di negara kita, apabila seorang tokoh utama bersuara dan memantapkan persepsi, maka orang lain pun akan ikut juga.
Diharap, kita fokus kepada isu kehilangan itu dan tidak menjadikan sebagai modal politik. Sudah lama kita bermain dengan fitnah. Jadi, isu kapal hilang ini elok dirasionalkan mengikut landasan yang betul. []

Tuesday 11 March 2014

CARI PESAWAT DENGAN CARA MISTIK?

KEHILANGAN PESAWAT menyebabkan ada orang ambil kesempatan untuk menonjolkan diri.Antara yang menarik ada orang yang mendakwa sebagai bomoh sedunia, dia cuba nak mengesan di mana menghilangnya pesawat itu.Dia kata, pesawat disorokkan bunian.
Isunya bukan soal nak kesan di mana pesawat itu hilang,sebaliknya, inilah peluang untuk tampil ke permukaan media.
Penulis masih ingat, tokoh yang setiap minggu memaparkan iklan perdukunan dalam media kecil berbentuk tabloid memang mendapat dukungan wartawan tempatan.
Wartawanlah yang mengajar tokoh itu menggunakan label besar SEDUNIA bagi menggambarkan kehebatannya. Sayang, dia tidak pula membuka cawangan di Cape Town, di Kaherah, di London,New York atau paling koman di Jakarta.
Untuk mendakwa sebagai tokoh hebat SEDUNIA itu sudah keterlaluan.
Anehnya, media Melayu memberi ruang liputan terhadap bomoh sebegitu sedangkan ia telah disenaraikan sebagai sesat. Semak rekod lama dalam Jakim.
Kita mudah lupa.Ketika orang sibuk bercakap tentang pesawat, ada pihak tertentu mencari ruang untuk mempopularkan diri. Sekarang terbukti,dia tampak menonjol.
Apakah matlamat yang sebenar?
Jika kita berfikiran mistik, dan menganggap kaedah kita hebat, ada lagi pihak yang mengaku hebat. Adayang memiliki ilmu berdialog dengan orang mati. Satu lagi ilmu ghaib yang boleh terbang dan menyelam dalam air sampai 10jam lamanya.
Agaknya, kalau cerita dua benda mistik ini dipaparkan dalam media Malaysia, ada pihak tertentu tawarkan diri mengesan pesawat dengan cara ghaib itu. Pemikiran mistik memang bergelayutan di Nusantara.[]

Saturday 8 March 2014

BERDIALOG DENGAN MAYAT

KHABARNYA ada orang pintar yang lagi pintar. Dia mendakwa memiliki ilmu supramistik, ilmu yang dipanggil berdialog dengan mayat.
Maksudnya, apabila mayat ditemui dan kematiannya meragukan, apakah gara-gara dibunuh atau tindakan lain, maka orang akan bertanya kepada mayat, kenapa ia matidi situ?
Apakah logik ada ilmu pelik seperti ini? Ini bukan kisah lembu kuning yang semua orang sudah tahu.
Seorang lelaki yang pernah jadi pengawal keselamatan mendakwa, dia telah didatangi oleh datuknya yang merupakan pakar supramistik.
Datuk itu bilang, dia mahu menitipkan ilmu itu sebagai bekalan di dunia.
Ilmu apa?
Ya, ilmu yang membolehkan dia berdialog dengan mayat.
Tidak diketahui, apakah kes bunuh sahaja atau ada kes kematian lain yang boleh dipraktikkan?
Dengan ilmu supramistik itu, sang ahli akan bertanya kepada si mati, kenapa ia mati,siapa yang membunuh, dan di mana pembunuh itu berada sekarang.
Kalaulah begitu,kerja pihak penyiasat tentu semakin mudah. Asal ada kematian misteri, maka orang pintar itu akan dipanggil untuk menyelesaikan masalah.
Dia akan berdialog dengan si mati punca-punca kematiannya.
Hanya yang orang ingin tahu, kenapa arwah datuk tiba-tiba muncul untuk memberikan ilmu seperti itu?
Sejak jadi pakar supramistik, dia tak jadi pengawal keselamatan lagi. Dia melakukan tugas rahsia.Tidak mahu publisiti lagi. Kalau ada kes kematian yang meragukan, maka dialah yang jadi tempat rujukannya.
[Misteri Ed.501, 2010]. []

PENJARA

apakah ini cara yang bijak
untuk menang dalam lumba politik
apakah ini budaya yang kita amal
sejak zaman silam
andai tak mampu hendak mengalahkan sang lawan perkasa
lawanlah dengan cara begini
kelak anda disanjung dunia
sejarah merakam keberanian pahlawan terbilang

begitulah tindakan bijaksana pemimpin Melayu akhir zaman
mereka ketawa meraikan kejayaan
meraikan kemenangan
musuh telah dipenjarakan
keadaan jadi mudah untuk kalahkan lawan

hakikatnya bukan begitu
rakyat mengetahui
misteri di sebalik tembok itu
sejarah telah dilakar
pejuang tak akan mundur
sekalipun dipenjarakan
hanya pahlawan pengecut sahaja
yang meraikan kemenangan itu.

Kuala Lumpur, 2014.

Sunday 19 January 2014

KANGKUNG, KREATIF ANAK MUDA

TIDAK DIKETAHUI sampai bila isu kangkung akan bermain dalam dunia maya. Apabila seorang anak muda bertindak-balas ke atas ucapan seorang menteri utama, maka ia mendapat reaksi dari yang lain. Lama kelamaan ia jadi marak dan merata.
Sudahnya, dunia maya yang pemainnya terdiri daripada anak-anak muda terus bermain dengan "bola kangkung" ini. Kekreatifan mereka terus berkembang, ia adalah perkongsian minda yang tidak disedari oleh pihak penguasa yang tidak peka.
Anak-anak muda berkreasi dengan apa cara, berbagai kaedah, berbagai aliran diperlakukannya hanya daripada isu biasa, isu sayur kangkung.
Kangkung memberi pengertian sayur yang biasa menjadi makanan rakyat di mana-mana. Ada yang tidak perlu membeli sayur, ia tumbuh melata di kawasan bendang. Sesiapa yang tinggal di bendang tahulah bagaimana dan di mana nak cari kangkung.
Ia tidak sama dengan kangkung yang ditanam orang di pinggir jalan di bawah pencawang elektrik itu. Tanah terbiar itu banyak yang diteroka oleh petani Cina. Mereka rajin mengusahakan tanah yang terbiar.
Isu kangkung menyebabkan timbul dua kumpulan. Kumpulan yang mempermainkan isu kangkung dan pihak yang rasa perlu untuk mempertahankan pemimpin yang memulakan isu kangkung.
Adakah kangkung merupakan isu yang serius?
Rasanya tidak. Ia akan bermain dan berlegar-legar di kalangan anak muda. Jika ada yang buat flash-mob di tepi jalan, itupun hanya sekadar senda gurau untuk melegakan perasaan "marah" kerana kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.
Jangan persoalkan, kenapa perlu berkumpul begitu kalau merasakan diri terhimpit oleh kenaikan harga barang, bekerjalah, tambah pendapatan untuk menyara kehidupan?
Itulah yang diperingatkan oleh cerdik pandai yang setiap hari duduk di bilik berhawa dingin. Hanya bercakap tentang teori itu dan ini. Mengajak anak muda bekerja lebih tekun, berniaga dan sebagainya untuk menambah pendapatan.
Kepada yang berada di bilik hawa dingin itu, andainya mereka tidak ada kerja, mereka telah dipecat, mereka juga tidak mampu melakukan saranan yang mereka buat.
Mereka tak akan sanggup berniaga di kaki lima. Malu. Pegawai hebat kena pecat, nak berniaga bersama orang lain?
Lebih ramai yang pandai bercakap, itulah keadaan yang kita hadapi sekarang. Apabila mereka sudah jadi seperti rakyat biasa, golongan murbawan, marhaen, mereka akan senyap. Tahulah mereka mengapa golongan yang berpendapatan kecil mengeluh dan terus mengeluh.
Tahulah mereka, bagaimana golongan elitis yang ada di negara kita hanya tahu bercakap. Banyak sangat teori tentang kenaikan harga barang dan cara bagaimana nak mengatasi. Kekadang mesyuarat nak bincangkan perkara ini lebih banyak belanjanya, dan harga barang tidak dapat diatasi juga
Paling tidak mereka akan salahkan peniaga, salahkan orang tengah, salahkan pembekal dan pengeluar. Kita perlu sedar bahawa kenaikan harga barang ada kaitan dengan kenaikan harga minyak. Apabila minyak naik, yang lain pun ikut sama naik.
Kemudian pihak atas hanya bermain istilah. Mengurangkan subsidi bukan menaikkan harga barang. Itulah alasan berhemah. Namun, rakyat sudah bijak menentukannya.
Apabila rakyat yang terjerat oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan sekarang, mereka perlu meredakan keadaan dengan menikmati hiburan. Maka, mereka secara kreatif mencipta lagu-lagu rakyat, mencipta puisi rakyat untuk menghiburkan hati. Bukan mereka tak tahu, puisi dan lagu itu tidak akan menurunkan harga barang. Penat berpuisi dan berlagu, mereka kena beli barang juga dengan harga yang sudah dinaikkan.
Pihak penguasa tidak perlu sensitif dengan kerenah anak muda. Inilah bahana kita mahu menjadi negara maju. Bukankah kita selalu bercakap tentang matlamat ini? Begitu juga adanya media sosial yang melambak hari ini. Apakah kita akan bertindak mengharamkannya semata-mata kerana kangkung?
Sedarlah, kangkung itu mudah layu.
Harganya pun murah. Ada seikat seringgit, dua ringgit atau 50 sen sahaja. Ramai lagi yang kutip di belakang rumah. Ia mudah ditanam asalkan ada tempat yang bertanah lembab dan berair.
Jika lagu kangkung masih dimainkan, ia merupakan hiburan. Dalam berhibur ada sindiran. Ada parodi. Tetapi, tak kan golongan elitis tak faham maksud parodi itu. Ia karya. Manusia yang kreatif akan mencipta sesuatu secara spontan. Ia lahir dengan sendirinya kerana tindak balas minda yang menterjemah apa sahaja yang dilihat dan difikirkan. Apakah kita nak marah kepada minda seseorang anak muda yang sedang bekerja?
Sebenarnya isu kangkung boleh dipermainkan dengan lebih lembut lagi oleh anak muda sehingga golongan elitis tidak memahaminya. Bahkan alau ada siri pameran lukisan berkaitan isu kangkung ini, para pemimpin mungkin tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh sang artis. Lukisan surrealisme umpamanya tentulah tidak difahami. Ia berbeza dengan lukisan daun kangkung dan tangkainya. Orang mudah perasa.
Setakat bulan Januari 2014 ini, isu kangkung masih segar. Ada yang mengerti kalau kangkung itu adalah kiasan. Akan tetapi lebih ramai yang marah-marah kerana ia dikaitkan dengan seorang menteri perdana. Wallahu a'lam. []