Tuesday 27 March 2012

PAHLAWAN MELAYU LARI KE MANA?

CATATAN INI BERMULA DARIPADA MONOLOG. pahlawan ini dikatakan pernah berkata, bahawa tak kan melayu hilang di dunia. kena faham, apa yang dimaksudkan dengan dunia di sini. sebab dunia mempunyai banyak makna. ada berbagai dunia yang selalu orang bincangkan. dan kehilangan melayu ini di dunia kecil melayu. sebabnya melayu memang tidak ada pahlawan sejak dahulu kala pun.
ada kawan berkata, pahlawan melayu yang bernama Hang Tuah ini berasal dari kepulauan riau sana. mereka bukan nak jadi pahlawan, tetapi sengaja kehadiran lima sekawan itu disensasikan untuk dijadikan penglipur lara. di zaman dulu dunia melayu tidak kenal aspek pembuktian. perawi cerita pahlawan melayu ini tidak diukur dari aspek mustalahat hadis. perawi sebenar tidak diketahui, dan kita hanya berpegang kepada riwayat yang ditulis oleh tun seri lanang. itu nama samaran. dia seorang pembesar yang tahu menulis dan menyusun cerita. perawiannya mungkin benar atau mungkin hanya fiksyen sahaja.
Jadi, setelah Melaka diserang Portugis, ke mana sahaja pahlawan melayu pergi? kemungkinan dunia kepahlawanan melayu mengalami kejutan apabila melihat kapal Portugis membawa meriam yang berat-berat dengan peluru yang besar. selama ini dunia kepahlawanan melayu hanya kenal keris berluk-luk, itupun khabarnya mujur ada empu yang buatkan keris untuk dipasarkan di melaka.
Apabila Melaka diserang Portugis, maka luluh-lantaklah kepahlawanan melayu Melaka, tidak ada gunanya bersilat sebagaimana cerita panjang pentang pertarungan Hang Tuah - Hang Jebat, atau Hang Kasturi itu. siapa bertarung dengan siapa pun periwayatannya mengelirukan.
Jadi, apabila Hang Tuah mengalami kejutan budaya dan kehilangan keris ternama, dia memilih untuk mendiamkan diri atau istilahnya bersara penuh. tidak mahu campur tangan atau beri pendapat tentang hal ehwal kenegerian.
Dia melarikan diri, merajuk dan tinggal di sebuah kampung pedalaman. Di kampung itu dia menyamar sebagai orang biasa, dia tidak membawa gelaran, tidak membawa keris dan tidak membawa apa-apa pangkat kebesaran.
Di kampung itu dia menggunakan nama biasa, Rahman Tuah. Orang pun tak tahu siapa dia sebenarnya. Walau dia adalah pembesar Melayu di istana dan pernah jadi pahlawan Melaka. Melaka kalah perang dengan Portugis kerana alat perang Portugis jauh lebih canggih. ketika inilah mata pahlawan melayu mulai terbuka, rupa-rupanya keris tidak boleh berlawan dengan meriam. macam meriam katak nak melawan peluru exocet tentu tak berpada.
Di kampung itu Rahman Tuah membodohkan diri. Dia tak mahu cerita tentang istana dan raja lagi. Dia tak mahu cerita tentang kawan-kawannya yang empat orang itu. Dia tidak peduli dengan asal keturunan kawannya itu, sebab ada orang kata mereka itu keturunan China belaka, pernah tinggal di Bukit Cina Melaka.
Rahman Tuah adalah Hang Tuah. Dia telah membuang segala-galanya, dan tidak mahu dikenali sebagai pahlawan melayu lagi. Dia semacam kesal berkhidmat dengan raja Melaka yang perangainya tak boleh diikuti. Dia pun menyesal sebab naik ke Gunung Ledang nak meminang Puteri Gunung Ledang.
Dia tahu puteri itu adalah suku sakat Nyi Roro Kidul di Jawa.
Puteri itu diusir dari Jawa, pindah ke Sumatera, dan dari sana dia lari ke Melaka, lalu bermastautin di Gunung Ledang. Di Jawa kerabat puteri ini banyak menghuni kawasan pergunungan, termasuk gunung berapi yang masih berasap dan meletup bila-bila masa.
Di Melaka, setelah bersara penuh, Rahman Tuah tidak mahu membongkar rahsia dirinya sebagai pahlawan Melayu Melaka. Dia lebih suka membahasakan dirinya Pakcik Man.
Penduduk kampung hanya hairan bagaimana Pakcik Man lebih tahu tentang istana sultan Melaka, tentang kerajaan Majaphit, persilatan Melayu dan fitnah yang melanda seisi negeri.
Pakcik Man adalah pahlawan melayu Melaka yang dulunya terkenal dengan panggilan Laksamana Hang Tuah. Gelaran laksamana masih ada dalam tentera kita.
Pakcik Man sedar, cerita dalam SEJARAH MELAYU itu periwayatannya boleh dipertikaikan. begitu juga apabila ditanya tentang HIKAYAT HANG TUAH. sebab ketika dia masih hidup, kedua-dua kitab hikayat itu belum ada. ia dikarang setelah Pakcik Man bersara penuh.
Pakcik Man pun tak ambil peduli kalau ada orang nak mengarang hikayat tentang Melayu dan pahlawan Melayu. Buatlah sesuka hati kamu. Lagipun Pakcik Man sudah tahu, pengarangnya mesti buat tokok tambah, pahlawan Melayu bijak berkeris. Itu pengarang yang cakap. sebenarnya Pakcik Man pun banyak kali terkena keris. Calar balar dibuatnya.
Inilah politik zaman dulu. Cerita mestilah indah khabar dari rupa. Pakcik Man sendiri mengakui dia bukan pandai bersilat. Setakat bersilat bolehlah, namun nak kalahkan Portugis, nak tentang peluru meriam dan pedang panjang mereka, memang tak mampu. Keris yang dipegangnya pun pendek, mana nak lawan dengan pedang Portugis?
Selama orang heboh mempertikaikan Hang Tuah hilang ke mana, Pakcik Man sebagai orang yang digosipkan hidup dengan tenang. Dia tak tahu apa pun. Sebab masa dulu mana ada televisyen, mana ada surat khabar, mana ada blog macam hari ini?
Sebab itulah, kewujudan Pakcik Man di sebuah kampung di Melaka tidak dipedulikan orang. Dia hanya orang kampung biasa. Buat apa nak tunjuk silat atau menjadi mahaguru silat untuk mengajar silat? Jika dia buat begitu, tembelangnya nanti pecah. Orang akan tahu dia adalah Hang Tuah yang di cari-cari.
Dek kerana Hang Tuah telah "ghaib" dari bumi Melaka, perawi bebas untuk berkata apa sahaja. Biarlah dia meriwayatkan dengan jalan yang sahih atau jalan yang batil. Biarlah cerita itu daif. Dia tidak mengkaji ia hasan atau mauduk.
Cerita Hang Tuah bukan mustahak. Ia hanya sebuah fiksyen. Sesiapa pun boleh tulis semula kisah Hang Tuah dengan versi baru.
Pakcik Man pun tak tahu ada seorang guru silat membawa khabar ahli bid'ah mengatakan dia jumpa sosok Hang Tuah di dalam hutan dekat sempadan Malaysia - Thai.
Pakcik Man kalau ikut standard umur manusia biasa dia tidak boleh hidup lama. Paling tidak dalam usia 80 tahun dia sudah uzur amat. Jadi setelah Melaka ditawan Portugis, setelah Kota Melaka didirikan, begitu juga St Paul yang megah itu, Pakcik Man tidak ada minat lagi hendak berpolitik.
Dia lebih suka duduk di masjid atau surau kecil. Sembahyang jemaah pun tidak ramai orang. Masa itu anak-anak kampung kurang ilmu, mereka tidak utamakan solat di masjid. Bahkan ramai tak tahu solat pun, kalau tak ada siapa mengajar mereka tentang solat.
Jika orang tanya kenapa kisah Hang Tuah lenyap begitu sahaja, dan bagaimana keadaan akhir hidupnya, maka Pakcik Man boleh ceritakan. Dia tidak mahu ungkit perkara lepas. Masa dulu mana ada wartawan penyiaran nak buruk Pakcik Man dapatkan cerita? Mana ada pegawai Arkib Negara nak rakamkan temubual eksklusif dengan bekas pahlawan ulung itu?
Tengoklah cerita Mat Kilau, dia menentang orang putih sejak sebelum merdeka. Malaya sudah jadi Malaysia pun dia masih dalam dunia kecilnya, memencilkan diri dari pengetahuan sejarawan negara. begitu Hang Tuah, setelah dia memilih menggunakan nama Rahman Tuah, dia rasa bebas sepenuhnya. Tak ada siapa ganggu dia.
Kerabat istana pun tidak cari dia. Wartawan pun tak datang kumpul bahan cerita. Mungkin orang macam Pakcik Man ini akan diberi gelaran hebat entah Tan Sri, Tun atau Datuk Seri atau Tan Tin Tun.
Senyapnya Hang Tuah adalah kerana dia ingin menyepi. Tak mahu diganggu orang lain. Tun Seri Lanang pun tak cari dia. Dia duduk di kampung jadi orang kampung biasa, duduk di masjid atau surau, mengejai, solat dan beribadah.
Dia tak mahu buat perguruan silat. Dia sudah belajar di jawa dulu. Diajarkan ilmu kejawen, ada pertapaan semua konon untuk mendapatkan ilmu kanuragan, jadi orang hebat, jadi kebal keris, tidak lut senjata tajam dan sebagainya. Itu ilmu tambahan yang bercampur dengan bantuan jin. Kini Pakcik Man sudah insaf, dia tidak mahu buat kerja karut begitu.
Di zaman dia berkhidmat dengan Kerajaan melaka, memanglah dia hantam sahaja. Kalau pembesar suruh bertapa dia pun bertapa. Ia macam belajar di universitilah. Tamat belajar dia jadi pahlawan Melayu, gelaran paling hebat. Boleh keluar masuk istana, dan kerap mengiringi Sultan Melaka.
Ahli sejarah tidak dapat mengesan di mana Hang Tuah menghilang. Ini semua gara-gara Pakcik Man tidak mahu kecoh atau cari nama. Jika dia isytiharkan dirinya sebagai pahlawan melayu bernama Hang Tuah orang tak akan percaya.
Apa buktinya? Bukan ada ujian DNA pada masa dulu.
Di kampung itu, ada seorang lelaki berumur yang mengesyaki bahawa Pakcik Man bukan sebarang orang. Setiap hari dia himpit Pakcik Man di masjid atau surau. Dia suruh Pakcik Man cerita tentang istana Melaka. Cerita tentang kecantikan Puteri Gunung Ledang.
Ketika Pakcik Man sudah terlalu uzur, dia sendiri tak dapat mengingat kisah-kisah lama. Pengalamannya sebagai pahlawan Melayu Melaka luntur begitu sahaja. Tidak ada tukang catat menulis kisah Pakcik Man di masa silam.
Apabila dia meninggal, dia meninggal sebagai seorang kampung biasa. Dia perantau dari luar kampung itu. Dia tinggal di kampung itu dan kemudian meninggal dunia. Kisahnya tenggelam begitu sahaja. Inilah sebabnya kisah Hang Tuah tenggelam. Tidak ada siapa tahu ke mana dia pergi. Sebab di Melaka tidak ada orang yang pandai menulis dan membaca selain baca al-Quran sahaja.[] 

Monday 26 March 2012

AJARAN SESAT BAHAYA KALAU DISEBARKAN

DENGAN BAHASA YANG MUDAH, ajaran sesat adalah ilmu yang diajarkan dan disebarkan sama ada secara rahsia mahupun secara meluas kepada orang lain yang didapati menyimpang daripada kebenaran asal. Menurut Jakim (Bahagian Akidah, Jabatan Iemajuan Islam Malaysia, 2001), sebarang ajaran ataupun amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam ataupun bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berlandaskan ajaran islam. Hakikatnya, ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islam, bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan ahli sunnah wal Jamaah (ASWJ).
Engku Ahmad Zaki (2007) memberi takrif sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berdasarkan pada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran  dan sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengab mazhab yang muktabar iaitu mazhab ASWJ. (Ajaran Sesat mengenali Jalan Yang Terpesong, PTS Publications).
Sebelum itu, Abdul Fatah Haron Ibrahim (1994) menghubungkaitkan ajaran sesat dengan tasawuf (tarekat), ini kerana masyarakat islam dewasa ini meletakkan tasawuf  bukan pada tempatnya yang sebenar. Ilmu tasawuf telah bertukar wajah sebagai ajaran sesat akibat penglibatan masyarakat awam yang bukan dari kalangan ahli falsafah dalam masalah ilmu falsafah ( bukunya Ajaran Sesat, DBP,KL).
Di panggung sejarah, ajaran sesat sudah lama muncul. Dari sekian banyak ajaran yang dicatat dalam teks rujukan, mungkin ada ajaran yang tercicir dan tidak dihidu oleh pengumpul bahan tentang ajaran sesat. Sesebuah kefahaman tentang ilmu tertentu yang dijadikan amalan peribadi, ia hanya menjadi sesuatu kepada individu yang mengamal di tahap awal. Ia tidak disebarkan kepada orang lain, ia hanya diamalkan oleh "pencipta" itu sendiri. Perolehan sebuah ilmu tentulah dari pengalaman peribadi yang jika kita tanyakan, pasti ia akan memberi jawapan sombong, inilah kasyaf.
Dalam kategori kasyaf ini termasuklah apa yang mereka anggap sebagai ilmu laduni, dzauq, wijdan, bashirah, ilham, hadas, intuisi, ru'ya shalihah dan berbagai lagi istilah terkini. Ilmu kasyaf sendiri payah hendak difahami kerana ia melibatkan ilmu yang konon masuk terus ke hati tanpa melalui pancaindera dan akal. Andai penerima ilmu atau pendakwa itu mendapat bisikan dari dunia lain yang kesyaitanan, sesiapa pun tidak tahu. Hanya orang yang dekat dengannya sahaja mendapat maklumat bahawa si fulan telah mendapat ilmu kasyaf, entah bisikan atau istilah di Jawa sana wangsit.
Ilmu yang diperoleh melalui kasyaf jika bercanggah dengan al-quran dan hadis sahih, maka ia dianggap tertolak. Dengar boleh, percaya atau meyakini jangan. Mungkin dalam perkara ajaran sesat di bumi Malaysia ini ia lebih melibatkan pencarian dan kefahaman individu sahaja. Ajaran itu tidak akan menjadi ajaran seandainya tidak disampaikan kepada orang lain. Ajaran tidak akan menjadi bahaya kepada orang lain kalau ia setakat diamalkan oleh orang itu sahaja, dalam ruang lingkup tertutup, tidak diketahui umum.
Saya tertarik dengan sebuah ajaran sesat di pinggir Kuala Lumpur. Ia bukanlah suatu ajaran, tetapi lebih merupakan tindakan individu yang anarkis, mungkin memberontak secara dalaman, hal terjadi kerana pengaruh dadah atau ganja. Individu ini tidak membuat ajaran, tetapi dia sebagai individu yakin dengan apa yang dia lakukan itu betul, apa yang dia iktikadkan itu adalah tepat. Dia sungguhpun "ngoceh" tentang aspek ilmu yang dangkal, bagi kawan-kawan yang dekat, pertuturannya dianggap butiran ilmu.
Orang begini jika didatangi orang luar, dia tidak mempengaruhi sesiapa pun. Jika ketahanan ilmu sudah ada dalam diri sebagai rujukan, maka hujah apa pun boleh ditolak, atau lebih baik diam daripada berdebat dengan individu begini. Begitu juga apabila dia merawikan kisah sesiapa yang ingin melihat Kaabah, boleh panjat bukit batu di Hulu Klang, nescaya dia akan dapat melihat Kaabah jika diizinkan Allah SWT. Nah, ini adalah sebuah pemikiran yang menentang arus atau entah lateral thinking atau apa. Ia habis begitu sahaja atau jadi bahan lelucun di antara mereka. Akan tetapi bagi yang cetek kata-kata itu amat mempesona dan menggugah rasa ingin tahu dan melihat kebenarannya.
Andai seseorang itu mengaku sebagai apa pun, misalnya mendakwa mendapat "wahyu" kita tidak boleh menerima bulat-bulat butir percakapannya, kerana kita kena lihat dalam situasi dan kondisi bagaimana dia menuturkan kata-kata itu. Ia mungkin bukan ilham, bukan intuisi, bukan kasyaf [jauh sekali], tetapi gurauan minda yang sedang sembrawut kerana menghadapi masalah batin, masalah jiwa, sehingga terkeluarlah kata-kata yang berlawanan dengan kebiasaan.
Orang begini tidak boleh memegang kitab seperti Fushush al-Hikam oleh Ibnu Arabi. Jika dia merujuk kitab ini, akan bertambahlah "fatwa" yang keluarkan kepada kawan-kawan [biasanya dua tiga orang sahaja]. Kitab Ibnu Arabi itu memang menjadi rujukan golongan tertentu yang minat amat dengan berbagai kelebihan tokoh "sufi" masa silam. Tak kurang kekagumannya dengan Ibnu Arabi yang mendakwa bahawa Nabi s.a.w. merencanakan kepadanya dan menyuruhnya  agar kitab itu disampaikan kepada orang lain. Kitab ini sebenarnya mengandung pemikiran wahdatul wujud Ibnu Arabi. Bab ini boleh dihuraikan dalam buku yang tebal jika mahu bagi membedah kebohongannya. Betapa tidak, ilmu boleh didapati dengan cara duduk di kawasan makam, dan dari makam itu ada tangan menghulurkan "kitab" dan kemudian dikhabarkan agar isi kitab itu diajarkan kepada orang lain. Bagaimanapun kesahihan cerita ini masih dipertikaikan. Ia memberi gambaran bahawa Nabi-nabi dan Rasul-rasul masih hidup dan mengajarkan orang tertentu. Inilah yang banyak didakwa oleh orang-orang "kebingungan" di abad ini. Di Jawa sana, yang mengaku Nabi atau rasul entah berapa puluh orang, termasuk yang sudah taubat.
Dan kita pun sebenarnya kena berhati-hati untuk mendakwa seseorang itu mengaku Nabi atau tidak. Mungkin istilah yang kita gunakan tidak sesuai untuk menjadikan seorang Melayu biasa sebagai Nabi. Meski mungkin ajarannya berupa penyimpangan dan sesat, dia bukanlah mengaku Nabi. Orang tidak siuman atau dipengaruhi ganja atau daun ketum mungkin akan berkata begitu ketika akalnya hilang. Setelah berakal, kata-kata itu tidak muncul lagi.
Berbalik kepada persoalan tadi, seseorang individu yang bercelaru pemikirannya memang seakan-akan mengeluarkan fatwa baru, tetapi sesiapa yang mendengarnya, anggaplah ia lahir dari ketidakberesan akalnya. Selagi dia tidak mengajarkan, mendirikan sekolah, mendirikan ribath dan sebagainya, maka ia bukan ajaran. Dikatakan ajaran sekiranya dia mengumpulkan kawan-kawan, mengajarkan ilmu yang dia dapat dan kemudian menyebarkan kepada orang lain. Atau dia memang seorang pemikir yang setiap hari memberikan kuliah rahsia di sebuah tempat terpinggir, ada murid, dan bilangannya makin ramai, maka orang ini mungkin mengajarkan sesuatu. Akan tetapi untuk mengetahui sesat atau tidak, perlu pemantauan, dan yang memantau perlulah orang yang berilmu. Biasanya pemantau akan menjadi "murid" yang kosong ilmunya. Dengarkan beberapa siri kuliah yang ada dan ke mana kesudahannya, dengarkan apa rujukan kitabnya, dan kalau sekadar ngoceh kosong tanpa kitab, biar sebesar mana serbannya, kita perlu berbaik sangka dulu. Golongan begini perlu ditarbiyah, perlu dinasihati, perlu disantuni dan bkan provokasi melulu. Atau yang paling mendera adalah membawa kamera digital, wartawan untuk memaparkan kesesatannya. Justeru, dalam soal ajaran sesat kita kena berhati-hati.
Mungkin kita fokus kepada seseorang yang terasing, mendirikan pondok dan pengajian sebagai sasaran tembak untuk mencari ajaran sesat. Tidak begitu sebenarnya. Ajaran sesat seperti Qadiani tidak ada sesiapa yang mampu membezakan apakah ia sesat atau tidak jika penampilan mereka serupa kita juga. Mereka solat dimasjid juga seperti kita, tapi tahukah kita mereka dari kumpulan Ahmadiyah? Ingatlah, ajaran sesat juga boleh muncul di kalangan pengamal ilmu kebatinan, mereka juga mendakwa mendapat ilmu laduni secara kasyaf kepada peminat yang selalu duduk bersila di depan mereka. Kalangan yang mendakwa sebagai dukun, pawang dan sebagainya juga perlu pemantauan kerana mereka juga membenihkan ajaran, hanya klasifikasi sesat atau tidak itu sukar dibuktikan. []
 

KISAH ANUSYIRWAN ADIL

NAMA ANUSYIRWAN ADIL selalu disebut dalam buku-buku lama seperti Sejarah Melayu dan mukadimah buku sejarah yang meniru acuan Sejarah Melayu lainnya. Siapakah Anusyirwan Adil itu, adakah dia memang seorang yang menegakkan keadilan di tengah masyarakatnya?
Sebenarnya Anusyirwan ada kaitan dengan nama Mazdak [mungkin nama kereta Mazda?] bin Namdan di zaman pemerintahan Raja Qubadz bin Fairuz. Dia adalah ayah Anusyirwan Adil.
Mazdak bin Namdan adalah seorang pengasas ajaran karut, dia mengaku sebagai nabi dan membuat ajaran baru yang semacam agama. Ajarannya hanya berkisar kepada duniawi, harta dan wanita. Itulah agama serba boleh yang membenarkan pengikutnya menjadikan harta dan wanita milik bersama, isteri seseorang boleh dizinai oleh sesiapa sahaja.
Seandainya di zaman sekarang masih ada amalan yang meniru perangai ini, ia adalah lanjutan daripada ajaran sesat Mazdak. Sebagai raja, Gurbadz terpaksa merelakan agar permaisuri ditiduri oleh lelaki lain, baik para pembesar atau elitis bangsawan lain. Sudah tentu rakyat kecil pun ingin menikmati permaisuri yang kalau dalam kisah silam biasanya cantik belaka dan tidak ada cacatnya.
Mahukah Raja Qurbadz membiarkan isterinya ditiduri oleh pembesar negeri atau kalangan elitis bangsawan? Sikap begini juga ada di kalangan manusia moden apabila tindakan ini selalunya dikaitkan dengan perasuahan yang terselindung.
Tentang Anusyirwan tadi, dia anak raja yang menyedari bahawa ajaran yang diamalkan oleh bapanya ini adalah ajaran yang tidak sesuai dengan jiwanya. Lantas dia menentang bapanya sendiri. Manakan rela si anak lelaki melihat ibunya asyik berkepit dengan lelaki lain dari kalangan bangsawan dan elitis lingkungan istana?
Akhirnya, Anusyirwan pun membangkang tindakan bapanya sendiri.
"Izinkan aku berdebat dengan dia," kata Anusyirwan.
"Dengan siapa nak?"
"Dengan ajaran Mazdak ini, kalau aku kalah aku akan tunduk dengan ajaran ini, dan kalau aku dapat mematahkan hujahnya, maka dia akan aku bunuh!" begitulah kata-kata Anusyirwan.
Dalam perdebatan yang berkaitan masalah dekadensi moral di kalangan penganut ajaran agama sesat Mazdak itu, Anusyirwan berjaya mematahkan hujah lawannya.
Dia menentang ayahnya sendiri kerana ajaran yang diamalkan oleh keluarganya itu adalah ajaran agama permisif iaitu serba boleh dan semuanya halal. Pada zaman sekarang pun ajaran begini walaupun orang kata tidak ada lagi di bumi Malaysia, ia masih wujud. Ia menjadi amalan kalangan elitis dan cenderawasih yang mengagung-agungkan kebebasan. Betapa tidak bebas kerana mereka memiliki harta yang melimpah ruah, memiliki kehebatan, ketampanan atau kecantikan, maka mereka ini mengikuti ajaran Mazdak.
Kesan daripada kalah debat dengan anaknya itu, sesiapa sahaja yang menganut ajaran itu jika diketahui akan diusir atau dibunuh oleh Anusyirwan. Jadi, Anusyirwan ini adalah pembenteras kebejatan moral si ayah dan keluarganya.
Pengikut ajaran Mazdak ini adalah orang-orang yang digelar zindiq atau maniyah, manichaeisme, bertuhan dua. Pengikut Mazdak juga begitu. Raja Qubadz berfaham bahawa harta dan para isteri adalah milik bersama, boleh dikongsikan dengan orang lain.
Kelompok Mazdak ini menurut sejarahnya mempunyai kitabnya yang dinamai ZANDA. Pengikut Mazdak menisbatkan kitab ini sebagai ajaran mereka. Perkataan Zinda atau Zanda ini kemudian diarabkan menjadi zindiq [Abu al-Fath Nashir bin Abdis Sayyid bin Ali al-Mathrazi, Al-Mughirab fi Tartib al-Mu'arrab, Dar al-Kitab al-Arabi, juz 2, h.477].
Kini, kata zindiq memberi maksud orang tidak bertuhan, iaitu satu aliran yang tidak mempercayai adanya Tuhan dan ajaran-Nya. Mereka kadang-kadang menampakkan keimanan dan menyembunyikan kekafiran. Aliran zindiq ini beasal dari Parsi, berkembang di Turki, Iraq, China dan Kirman. Pada maza Khalifah Harun al-Rasyid, golongan ini banyak dibunuh.
Kesinambungan dari ajaran caca-marba Mazdak tadi, pengikut zindiq memang gemar mengamalkan hal-hal keterlaluan, menegah hubungan seks antara lelaki dan wanita, sebaiknya adalah homoseks atau lesbian. Jadi, sesiapa yang bebas mengamalkan perbuatan ini sekarang, baik di mana pun, mereka adalah umat Mazdak, meniru ajaran Mazdak yang pernah dibanteras oleh Nusyirwan Adil.
Ajaran zindiq ini juga lebih mengutamakan bangkai daripada haiwan sembelihan. Tidak dibenarkan sembelih haiwan, tetapi kalau haiwan itu sudah tergolek dihurung lalat, maka dagingnya bolehlah dilapah [Drs Shadiq, Kamus Istilah Agama, CV.Sienttarama, Jakarta, 1988,h.401].
Para fuqaha' menggunakan kata zindiq bagi maksud murtad atau munafik. Kata Imam Malik, orang yang zindiq itu adalah yang keadaannya munafik. Dari fuqaha Syafiiyah pula, mengatakan sindiq adalah orang yang menampakkan Islam  dan menyembunyikan kekafiran. Imam an-Nawawi (dalam Lughatu Raudhah), zindiq itu orang yang tidak memeluk agama.

Sunday 25 March 2012

NAMPAKNYA SPR TIDAK BUAT APA-APA terhadap tuntutan Bersih 2.0. pihak yang diberitanggung jawab masih berdolak-dalik macam susah benar hendak ubahkan sesuatu. semua ada di tangan mereka, apa susahnya, dan kebanyakan pegawai yang ada makan gaji, sebagai suruhanjaya ia patut bebas, tetapi kenapa masih nak berada di bawah ketiak umno? umno hanya sebuah parti yang semakin mengecil. benar keahliannya ramai cecah juta, keahlian itu tidak ditapis, pakai sumbat sahaja termasuk yang sudah beralih arah masih ahli umno. dan mereka tak undi umno pun sebab umno tak pernah bertanding dalam pilihanraya, selama ini umno gunakan nama BN.
Gembar-gembur dalam media pembangkang dan blog mereka menunjukkan SPR memang kalut, lintang pukang betul. nama pengundi dikeluarkan dari senarai pemilih tanpa diwartakan SPR. ada pengundi yang ditukar jadi pengundi pos. semua ini adalah cara SPR nak memanipulasi pengundi dengan harapan kaedah ini boleh memenangkan UBN.
Kenapa takut sangat kalah dalam pilihanraya? cuba tengok negara maju di luar sana, kerajaan yang bertakhta lama sudah tersungkur satu persatu. rakyat negara ini juga ingin menguji pemerintahan baru, sebabnya selama ini gendang yang dipalu mengatakan hanya UBN sahaja yang bijak bistari memerintah negara.
Belum cuba, belum tahu. Jika diberi peluang siapa sahaja boleh memerintah, usahkan Umno sahaja. minda kita sudah beku. sejak zaman dulu sudah dikutbahkan bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah yang terbaik, kita akan menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi, pendapatan siapa yang tinggi?
Orang tak mahu pendapatan tinggi kalau harga barang mahal. Sama sahaja kalau pendapatan tinggi tapi gula dan tepung naik harga, minyak naik, semua naik, dek kerana semua naik, syarikat bas henti-henti pun jadi pupus, tinggal kenangan dan jadi barang warisan untuk dikenang di muzium kita. tidak ada usaha bersungguh-sungguh nak pulihkan. padahal rakyat dari kalangan murba ini paling banyak guna kenderaan awam.
Kedegilan pihak SPR yang berwatak Umno dan mengamalkan budaya dan aliran pemikiran Umnoisme menyebabkan tidak berlaku apa-apa pembaikan. Bab dakwat pun masih lintang pukang. ada yang nak warna-warnikan dan tak mahu seragam. ini apa cerita? bukankah ketidakseragaman warna ini akan menimbulkan manipulasi lagi?
Agaknya dari kumpulan bebas mana yang nak kita ajak pantau pilihanraya kita ini? sesungguhnya pilihanraya kita tidak bebas. kita masih dikawal seketat-ketatnya. dalam berita memang hebat kedengaran, tetapi apa yang berlaku nanti adalah sebaliknya. kemudian banyaklah syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh SPR, akan tetapi semuanya adalah mengikut keselesaan puak yang beraliran Umnoisme tadi.
Pilihanraya di negara kita tidak bebas. siapa yang belanja lebih, ada dana lebih, propaganda lebih, kebetulan pihak penguasa yang ada sekarang mengusai serba-serbinya, maka lihatlah nanti ketika kempen pilihanraya, billboard di tepi bulatan dan simpang jalan utama akan memaparkan wajah Najib dengan juak-juaknya.
Dipaparkan gambaran yang indah-indah akan kepermaian negara, rakyat bersatu padu, penduduknya harmoni, tetapi dalam bab berpolitik lintang pukang. kelintangpukangan politik kita ini tercanai dan diacu dalam wadah kepimpinan Umno yang semakin kehilangan visi. mereka seperti bimbang kehilangan kuasa.
Ingatlah, apabila anda berada di atas, tunggulah masanya untuk anda berada di bawah pula. anda tak akan berlama-lama di atas sekiranya anda menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.
Sejarah telah membuktikan bahawa di bawah pentadbiran anda, berlaku banyak skandal kewangan yang memalukan. tidakkah anda malu sebagai pemimpim umat melayu yang mendakwa banyak menolong orang melayu, tetapi nasib melayu tetap begitu  juga? bertahun-tahun anda menguasai Pulau Pinang tetapi apabila terlepas, anda mengeluh nasib Melayu tidak terbela? Inilah sandiwara dalam politik.
Begitu yang terjadi di Selangor, tiba-tiba pihak UBN rasa belas dan kasihan dan sayang amat kepada rakyat Selangor setelah mereka memilih bertukar arah?
Janganlah berpura-pura, sebab sejarah di Selangor membuktikan setiap MBnya bermasalah, cuba semak rekod yang lama.  tak payahlah nak pujuk rakyat selangor atau nak minta maaf akan kesilapan masa lalu. setelah diberi kemaafan anda tak akan beralih sikap, anda yang mengambil kesempatan untuk melakukan keonaran lagi.
Bayangkan di zaman silam ketika anda memegang pentadbiran Selangor, bayangkan betapa hebatnya para Exco yang ada? andai mereka bersara pun mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah. sebab pada masa dulu, setiap jawatan yang ditagih akan membawa input yang besar. alangkah rugi menjadi orang penting kalau tidak memiliki harta, syarikat, tanah dan berbagai perniagaan lain lagi. inilah sebenarnya matlamat perjuangan dalam politik.
Janganlah bicara soal rakyat, rakyat diutamakan. itu semua ada pembohongan minda. bukankah pemimpin yang mendukung penguasa itu perlu diutamakan? rakyat dikemudiankan apabila cita-cita berkuasa telah dimiliki. ini lumrah, apabila sudah jatuh atau sudah terlepas baharulah insaf ingin melakukan perubahan.
insaf dalam berpolitik lain kaedahnya. ia tidak perlu dilayan. sedangkan orang insaf dari melakukan dosa besar pun apabila kekayaan melimpahj ruah boleh berubah serta merta - inikan pula insaf seorang pemimpin politik yang pernah menguasai segala-galanya.
Penyelesaian yang benar, cukuplah mereka yang telah menguasai kekayaan negara ini sejak lepas merdeka itu mengagihkan kepada orang lain. tidak ada makna jadi pemimpin kalau membelakangi rakyat. tidak guna berslogankan wasatiyah, sedangkan secara amali amat jauh sekali.
Ingat, selagi SPR masih bermain kata-kata dan berbagai alasan bodoh, maka rakyat akan bangun juga. mereka akan berhimpun lagi, dan entah bila. apa pun ura-ura Bersih 3.0 mungkin dijadikan jalan akhir sekiranya SPR masih berdolak-balik. []

Friday 23 March 2012

BAB KUTBAH JUMAAT

BUKANKAH LEBIH BAIK kutbah Jumaat itu ditulis sendiri oleh pihak masjid di tempat masing-masing kerana bahan yang hendak disampaikan itu lebih dekat kepada hadirin yang ada. Tidak perlu mencari topik yang global menerjah ruang yang jauh sekiranya permasalahan setempat, di kampung atau kariah itu sendiri masih banyak.
Apabila kutbah Jumaat diseragamkan di mana-mana masjid, atau kutbah dijadikan alat sebagaimana Berita Perdana atau propaganda pemerintah, ia akan mengurangkan rasa  hormat jemaah terhadap petugas masjid,  lebih-lebih lagi sekiranya kutbah itu terang-terangan menyatakan dukungan kepada sesuatu pihak.
Apa alasan kutbah boleh ditulis sendiri mengikut masjid yang ada? Imam atau sesiapa sahaja petugas masjid yang bergaji hari ini kebanyakannya lulusan pengajian tinggi, sudah selayaknya mereka diberi keyakinan dan kepercayaan untuk menulis kutbah sendiri.
Yang hairan, kenapa ada pihak tertentu mengadakan pertandingan menulis kutbah. Adakah hanya untuk suka-suka mencungkil bakal seperti mencari juara nyanyian? Sayembara menulis kutbah tidak memberi makna jika pihak masjid sendiri bergantung kepada kutbah daripada "pusat" guna menyeragamkan isi kutbah di semua masjid.
Sebenarnya bukan soal seragam atau tidak, kutbah sudah dijadikan alat untuk mengawal masjid-masjid agar tidak condong ke kiri, maksudnya agar kutbah itu senada dengan berita perdana yang mereka tonton di televisyen masing-masing di rumah.
Contoh, solat Jumaat baru-baru ini kutbah bertemakan tentang polis, menyatakan betapa anggota polis ini banyak berjasa menjaga keamanan negara. Maksudnya tanpa mereka negara ini tidak aman. Kita kena faham, ia adalah sebuah institusi menjaga keamanan, memang tugasnya begitu sesuai dengan Akta Polis 1967. Mereka bukan kerja tanpa gaji, sama seperti anggota tentera yang bergaji, tetapi kita tidak berperang pun dengan mana-mana pihak, kecuali menyertai pasukan pengaman PBB.
Kutbah itu menyentuh tentang peranan polis, dan kemudian menyentuh tentang hebatnya Ketua Polis Negara di zaman silam, terutama di negara-negara Islam, dia adalah pemimpin yang mampu menjaga agama dan keselamatan rakyat. KPN juga mampu jadi imam solat, faham agama, tahu undang-undang syariah, tahu hadis, tahu tafsir dan bukan setakat tahu perundangan cara Inggeris. Kutbah Jumaat ini seolah-olah menyindir KPN yang ada hari ini.
Kemudian ketika Ustaz Zamihan dari ILIM, bangi buat tazkirah. Belau bertanya hadirin, di dalam al-Quran ada hudud atau tidakkkk? Jawab! Hadirin pun jawab, "Ada!" Nah, siapa yang mengatakan tidak ada kafirlah dia. Kemudian beliau menyatakan bab kekafiran dengan sebab-sebab yang menidak atau menafikan hukum-hukum Allah SWT.
Saya kira Ustaz Zamihan ini suaranya agak lantang, dia mempertikaikan, mana ada undang-undang hukuman gantung? Tali gantung itu sendiri diimport dari Pakistani, dengan harga RM3,500 satu. Duit siapa? Tanya ustaz itu, dah tentu duit rakyat. Kemudian beliau menyentuh ketika diminta baca kutbah di sebuah penjara.
Tema kutbah tak kena dengan keadaan di penjara. Itulah yang saya kata tadi, kutbah kena ikut tempat. Jika kita baca kutbah dari Putrajaya, sesuaikah orang di Gombak sebelah dalam mendengarnya?
Sekarang kutbah kita main tema. Ada ulangtahun yang tak berkaitan pun nak diberitahu kepada hadirin di masjid. Apa mustahaknya ulang tahun itu dan ini? Bagi orang kampung tak ada apanya, melainkan mengantuk sahajalah yang dia dapat.
Berbalik kepada komen Ustaz Zamihan tadi, beliau mempersoalkan belanja yang diperlukan untuk seorang banduan di penjara [mungkin fakta ini boleh dibetulkan, kerana saya mengutip dari tazkirah beliau] sebanyak RM30 sehari, makan lima kali sehari. Kita di luar pun makan tak banyak macam itu. Ini duit siapa? Dah tentu duit rakyat.
Mungkin ada jemaah tertanya-tanya, kalau duit bagi makan kepada banduan pun dipersoalkan, kenapa tidak kurangkan sahaja bilangan banduan yang ada? Kes-kes kecil yang boleh didenda, denda sahaja, tak payah masuk penjara. Duit tak ada, buat kaedah lain cara mana mereka boleh bayar denda. Orang tak ada punca pendapatan diminta bayar denda cuba fikirkan. Masuk penjaralah jawabnya. Sudah masuk ada orang merungut duit makan minum kena duit rakyat juga.
Sekarang semua kesalahan nak disumbat ke penjara. Apabila kos perbelanjaan makan dan minum bertambah sekalipun gunakan duit rakyat, kita tak perlu merungut dan buat komen. Nanti jadi lagu,  "Oh Katak, oh katak kenapa kamu panggil hujan?..."
Inilah catatan saya ketika solat Jumaat di Masjid Jamek Reformasi, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Selalunya saya solat di Masjid Pakistan untul mengelak kutbah Jawi yang propagadis. []

SOLAT AMALAN UTAMA DIHISAB

BUKAN SENANG HENDAK SOLAT hinggakan ada orang kata, solat tunggang-tunggik belum tentu masuk syurga. kemudian yang kata begitu sendiri bukan tunggang-tunggik, malah tunggang-langkang, lintang-pukang hendak mendisiplinkan diri. inilah nasihat ustaz dalam tazkirah. "Sesungguhnya yang pertama kali akan dihisab atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara solat. Jika solatnya baik, maka baik pula seluruh amalan ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu." (HR.an-Nasai, 463).
Memang kita semua akui, kita selalu lalai dalam perkara solat kerana kesibukan kita bermain dengan waktu. Tanpa sengaja kita melakukan kesilapan yang tidak disedari/diketahui  yang membuatkan amalan solat kita jadi tak sempurna.
Di antara yang biasa disebut oleh pentazkirah ketika majlis ilmu adalah:
1.MENUNDA-NUNDA SOLAT DARI WAKTU YANG DITETAPKAN.
Meski ada jam dan peralatan canggih, kira sering melirik ke situ, tapi kita leka dengan perbualan di warung, tempat kerja, dalam kenderaan atau perlekaan yang biasa. "Sesungguhnya solat suatu kewajipan yang telah ditetapkan waktunya bagi orang-orang beriman." [an-Nisa: 103]
2.TIDAK SOLAT BERJEMAAH BAGI LELAKI.
Nabi s.a.w.berpesan, barang siapa yang mendengar panggilan azan kemudian tidak menjawabnya [dengan mendatangi solat berjamaah], kecuali uzur. Jadi sebaiknya kita berjemaah. Di bandar-bandar kita, banyak masjid dan surau, bahkan dalam bangunan tempat membeli-belah pun ada surau walaupun kecil sekalipun.
3.TIDAK TUMAKNINAH DALAM SOLAT.
Kenapa? kita terburu-buru, sibuk, masa begitu terhad. Jadi ia menjejaskan mutu solat kita. Bahkan tak sampai lima minit sudah selesai.
4.TIDAK KUSYUK.
Minda kita bermain dengan apa yang kita lakukan sebelum wuduk tadi, atau apa yang nak dilakukan setelah solat ini. Disebabkan tidak khusyuk, ada yang bermain-main, membuat pergerakan yang berlebihan ketika solat. Kekusyukan itu bergantung kepada hati, hati yang diganggui sesuatu menyebabkan kekusyukan itu lari, ia melalai dalam solat. Bila lalai, tak tahu berapa rakaat sudahnya.
5.SENGAJA MENDAHULUI GERAKAN IMAM.
Atau tidak mengikut gerakannya. Ia memang boleh membatalkan solat. Sebagai makmum menjadi kewajipan kita mengikut imam sepenuhnya, tanpa mendahului atau melambat-lambatkannya. "Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti keseluruhannya, Jika ia bertakbir maka bertakbirlah, dan jangan bertakbir sehingga imam bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan rukuk sehingga imam rukuk." (HR.Bukhari).
6.MELAFAZKAN NIAT.
Tidak ada keterangan dari Nabi s.a.w. mahupun dari para sahabat bahawa mereka pernah melafazkan niat solat sebagaimana yang kita selalu amalkan sehingga mengganggu orang di kanan dan kiri kita ketika bertakbiratul ihram. Ibnu Qayim [dalam Zadul Ma'ad] "Ketika Nabi  s.a.w. berdiri untuk solat, beliau mengucapkan ALLAHU AKBAR, dan tidak berkata apa pun selain itu, beliau juga tidak melafazkan niatnya dengan keras."
Ada ustaz buat komen, masalah niat begini hanya berlaku di alam Melayu kita, entah di mana silapnya kaedah pengajaran tentang solat dalam hal niat ini.
7.BACA AL-QURAN DALAM RUKUK ATAU SUJUD.
Ini dilarang. "Saya telah dilarang untuk membaca al-Quran selama rukuk atau dalam sujud." (HR.Muslim).
8.MEMANDANG KE ATAS ATAU ke kanan dan ke kiri ketika solat tanpa alasan tertentu.
9.MELIHAT KE SEKELILING TANPA ada keperluan apa pun. Perbuatan ini kata Nabi s.a.w., "Itu adalah curian yang sengaja dibisikkan syaitan pada umat dalam solatnya." (HR.Bukhari).
10.TERUTAMA WANITA YANG TIDAK MENUTUP KEPALA DAN KAKI ketika solat. "Allah tidak menerima solat wanita yang sudah mencapai usia haid, kecuali jika dia memakai jilbab[khimar]." (HR.Ahmad)
11.BERJALAN DI DEPAN ORANG SEDANG SOLAT ,tertib ini nampaknya tidak dipatuhi terutama di masjid-masjid. Mungkin orang itu tidak tahu tentang tegahan ini kerana mereka sedang berjinak-jinak dengan masjid.
12.BERDIRI UNTUK MENCUKUPKAN RAKAAT YANG TERTINGGAL sebelum imam menyelesaikan tasyahud akhir dengan mengucap salam ke kanan dan ke kiri.
13.TIDAK MENGIKUT IMAM pada posisi yang sama ketika datang terlambat baik ketika imam sedang duduk atau sujud.
14.BERMAIN DENGAN PAKAIAN ATAU JAM yang dipakainya ketika sedang solat sehingga mengurangi kekhusyukan.
15.MENUTUP MATA atau memejamkan mata tanpa alasan.
16.MAKAN ATAU MINUM ATAU TERTAWA. Jika seseorang itu melakukan tiga perkara ini dengan sengaja, maka solatnya perlu diulangi.
17.MENGERASKAN SUARA hingga mengganggu orang lain di kanan dan kiri kita.
18.MENCELAH DI ANTARA ORANG YANG SEDANG SOLAT.
19.TIDAK MELURUSKAN SAF.
20.MENGANGKAT KAKI KETIKA SUJUD. perbuatan ini ada yang disedari dan ada yang tidak kerana sudah jadi kebiasaan. selagi tidak diperingatkan, maka ia akan jadi amalan berterusan.
21.TIDAK BERHATI-HATI SUJUD DENGAN tujuh anggota tubuh -hidung, kedua tapak tangan, kedua lutut, jari kedua kaki.
22.MEMBUNYIKAN PERSENDIAN ketika solat. ada juga yang membunyikan dan mempermainkan antara jejari ketika atau sebelum solat.
23.MENJADIKAN SESEORANG SEBAGAI IMAM, padahal tidak layak. "Imam bagi manusia adalah yang paling baik membaca al-Quran." (HR.Muslim)
24.BAGI WANITA. "Jangan biarkan perempuan yang berbau harum menghadiri solat isya bersama kita," (HR.Muslim). Maksudnya berhias dan berwangi-wangian.
25.SOLAT DENGAN PAKAIAN BERGAMBAR, apa lagi gambar makhluk bernyawa. Menjadi kebiasaan di negara kita, ada yang memakai jersi bola sepak, jersi futsal, siap ada nama dan nombor pemain, ini belum lagi tulisan dan gambar-gambar pada t-shirt yang dipakai. Ramai yang tidak faham dengan masalah ini. Mereka yang memakai pakaian berganbar, elok solat di saf akhir kerana tidak mengganggu konsentrasi orang lain yang melihatnya jika dia solat di saf depan.
26.SOLAT DENGAN SARUNG, GAMIS DAN SELUAR MUSBIL, yakni melebihi mata kaki (bagi lelaki).
27.SOLAT DI ATAS PERKUBURAN ATAU MENGHADAP KUBUR. Cuba ingat, masjid manakah yang ada perkuburan di depannya atau di sisi kanan atau kiri masjidnya. Jemaah pun menghadap ke arah perkuburan itu.
28.SOLAT TIDAK MENGHADAP SUTRAH. Sutrah ini adalah pembatas, gunanya agar tidak ada sesiapa lalu di depan kita ketika sedang solat terutama di masjid yang sentiasa sibuk dengan orang ramai keluar masuk. Sutrah boleh jadi tiang masjid, beg sandang kita atau apa sahaja yang boleh dijadikan sutrah.[]

Sunday 11 March 2012

ALKISAH BUNIAN

Tidak dapat dibayangkan bagaimana indahnya Istana Bunian. Lagu P.Ramlee hanya sebuah gambaran biasa sebagai bandingan sesuatu yang sukar dijelaskan. Daripada cerita yang biasa dituturkan, perkampungan bunian adalah perkampungan biasa sepertimana perkampungan tradisional Melayu. Di dalam kampung itu mempunyai segala-galanya sebagaimana layaknya sebuah kampung.
Dunia bunian merupakan sebuah dimensi "alam lain" sekalipun paparan kisah menunjukkan lokasi penempatan bunian itu adalah kawasan hutan, semak belukar yang tidak ada apa-apa pun yang menarik perhatian.
Perkampungan bunian ada di mana-mana sahaja di setiap negeri. Di Pulau Besar, Melaka, ada sebuah perkampungan bunian yang terletak dekat Marina Resort. Kawasan itu sebenarnya bakal dimajukan tetapi tergendala kerana krisis ekonomi tahun 1997-1999 [menurut sumber risalah "Pulau Besar Fantasi" Tourism Promotion Division, Melaka Tourist Information Centre]. Di situ ada perkampungan bunian. Dan menurut catatan ada 146 buah kampung bunian di Pulau Besar. Jika demikian, bermakna negeri dan perkampungan bunian memang ada di Pulau Besar.
Ada sebuah kawasan tasik di depan Marina Resort yang dikaitkan dengan penempatan bunian. Ia tidak jauh dari pantai, di dalamnya terdapat banyak ikan. Akan tetapi kerana mistik kampung bunian ini, tidak ada sesiapa berani menangkap ikan yang membiak di tasik itu. Mereka beranggapan tasik itu adalah kepunyaan orang bunian dan ikan itu adalah peliharaan mereka.
Kisah bunian ini memang menarik. Ketika mengendalikan majalah Intisari, penulis difahamkan ada maklumat bahawa sebuah perkampungan bunian yang terletak di Alai, Melaka, diwar-warkan konon akan memberikan dana berupa wang simpanan mistik alam bunian bernilai jutaan ringgit.
Sesiapa yang ingin mendapatkan sebahagian dana dunia bunian itu, seseorang itu perlu mengadakan ikat janji dengan ketua masyarakat bunian, yang antara lain perlu berkahwin dengan gadis bunian, menjadi penghuni perkampungan bunian dan diberi hak sebagai penduduk perkampungan bunian selama-lamanya. Bagaimanapun, sekiranya anda ada komitmen di luar perkampungan, ia tidak ada masalah. Anda dibenarkan keluar dari perkampungan untuk menziarahi dunia nyata anda.
Berbagai kisah bunian yang menarik diceritakan orang. Di Ipoh, Perak, ada sebuah perkampungan bunian di sekitar Gunung Datuk. Kisah orang biasa berkahwin dengan gadis bunian pernah dipaparkan di dalam kajian orang putih [dalam "Notes and Inquiry" JMBRAS] Toh Panglima Kinta pada masa dulu pergi ke gunung tersebut dan menetap di perkampungan bunian.
Seorang penjelajah misteri memberitahu, pernah memasuki perkampungan bunian. Yang menganehkan, keadaan kampung itu seperti perkampungan tradisional Melayu, suasana harmoni, tenang dan damai, tetapi tidak ada kemudahan moden seperti di luar sana. Ketika diberi makan pisang, kulit pisang yang dicampakkan dengan tiba-tiba tumbuh pokok pisang.  Pokok buah-buahan yang ada, jika dipetik buahnya, ia boleh hilang dengan tanpa disedari jika kita teringin hendak memetik lagi.
Perkampungan bunian ada di mana-mana sahaja, di sekitar Bukit Belachan, Ampang, Selangor, ada orang bercerita, terdapat sebuah perkampungan bunian. Penduduk bunian mengerjakan solat Jumaat macam biasa, dan mereka juga pergi ke kedai runcit. Mereka membeli barang keperluan tetapi tukaran wang tidak diperlukan. Berapa baki wang yang ada ditinggalkan begitu sahaja. Bermakna mereka bukan orang susah.
Di kawasan rumah mini Malaysia, Ayer Keroh, Melaka, juga ada "terowongan" menuju ke perkampungan bunian. Sesiapa sahaja yang melawat perkampungan itu akan dibawa berjalan-jalan oleh ketua kampung, melihat keadaan perkampungan yang indah. Mereka juga membawa "penziarah" untuk melihat simpanan emas yang disimpan di kawasan gua, misalnya di Kota Gelangi, Pahang.
Alasan itulah pencerita mengatakan di Melaka ada "terowongan" menuju ke alam fantasi bunian. Ia tembus ke Pahang.
Kisah bunian tidak habis begitu sahaja, ramai juga lelaki biasa yang berkahwin dengan gadis bunian dan menetap di alam bunian. Mungkin hijrah mereka ke dunia bunian lebih baik jika dibandingkan dengan dunia nyata biasa yang banyak masalah.
Setiap daerah di negara kita ada sahaja cerita yang mengatakan perkampungan bunian dikesan di kawasan pinggir hutan atau belukar kampung. Orang bunian juga sesekali muncul di penempatan manusia biasa. Ada yang beritahu, jika ingin tahu penghuni bunian bagaimana, perhatikan bibir atasnya di bawah hidung yang rata, tidak ada lekuk seperti kita. Keterangan ini bukan satu yang pasti.
Kemudian tidak kurang juga yang mengatakan perkampungan bunian ada di Gunung Ledang. Kesan cerita masa silam tentang Puteri Gunung Ledang masih mewarnai pengalaman setiap orang yang pernah menjejaki puncak Gunung Ledang.
Seorang teman yang pernah berguru di Cirebon, Jawa, memberitahu, dia memiliki selendang pemberian dari penghuni kampung bunian di Gunung Ledang. Seorang pegawai jabatan pertanian di Chembong, Negeri Sembilan memberitahu penulis, dia ada menyimpan selendang bunian dan sebilah keris kecil dari alam bunian.[]

Friday 2 March 2012

SOROT PANDANGAN: LELAKI ITU

lelaki itu, entah siapa namanya. tetapi sejak tahun 80-an sudah biasa melihat kelibatnya. dia selalu berada di kota ini. dia adalah kumpulan pelakon kota. kekadang dia berlakon sebagai bomoh sakti, dengan ikat kepala hitam, siap membakar bara, asap kemenyan menusuk hidung.
yah, sebentar lagi kita akan tunjuk permainan ya. asal jadi duit. lelaki itu benar-benar berlakon sebagai bomoh nombor ramalan. kadang-kadang dia buka gelanggang di kiri jalan chow kit, ada kalanya di lorong hj taib, ada kalanya di jalan nak pergi pudu raya [sekarang central], ada kalanya di bus stand klang, ada kalanya di petaling street, ada kalanya di pasar road.
zaman dulu kumpulan bomoh ekor paling ramai. ada lebih dari enam kumpulan. masing-masing bersekutu dengan penipuan. berapa ramai yang ditipu? beribu-ribu orang. bayangkan, ketika orang mabuk dengan duit judi, mereka lagi galak mencanangkan agar semua orang beli angka ramalan.
ketika itu mereka siap mempamerkan cek yang diterima, belas ribu ringgit, puluh ribu ringgit, bukan sedikit. salinan tiket pun siap dipamerkan sebagai gula-gula business bomoh auta.
suatu ketika di sebuah masjid di kota ini, lelaki itu tiba-tiba muncul dan berdiri di saf pertama. dia datang terlalu awal dan belum pun masuk waktu zohor.
lelaki itulah yang pernah jadi bomoh, bersila dan mengugut orang agar membeli angka ramalan dan dihadiahkan sebentuk cincin gurkha yang berharga murah. lelaki itulah pada suatu ketika dulu dia amat bengis dan sentiasa melotot matanya memandang semua orang.
jangan ada sesiapa yang memujuk orang lain agar tidak terpengaruh dengan jualan temberangnya. anda akan dipanggil, diugut atau diusir dari kawasan gelanggang.
kini, sebuah transformasi telah berlaku. lelaki itu ketika proses pemutihan 6P juga kelihatan sibuk melayani orang ramai untuk memutihkan diri. dia juga ada pejabat kecil, mungkin berkongsi dengan rakannya untuk jual tiket penerbangan pulang ke jakarta. dan lelaki itu jugalah yang tiba-tiba muncul di saf pertama sebuah masjid, Allahu Akbar!
biarlah lelaki itu berubah. dan diharap, dia tidak akan berlakon lagi di kaki lima jalan. tidak lagi berpura-pura jadi orang pintar untuk meramal sesuatu, dan yang lebih penting dia tidak lagi galakkan orang berjudi.
mungkin faktor usia menyebabkan dia berubah, atau situasi di kota ini tidak mengizinkan untuk lelaki itu melakukan tindakan yang sama macam tahun 80-an dan 90-an dulu. wallahu a'lam. []

DI CECELAH KOTA INI

DI CELAH KOTA INI kita menyaksikan orang melakukan apa sahaja untuk hidup. para gelandangan bergantung kepada sumbangan nasi bungkus di hujung minggu, atau sumbangan harian di muka masjid tertentu di tengah kota.
ada orang yang setiap hari duduk enak-enak sambil hisap rokok. mereka bermain catur di tepi jalan tuanku abdul rahman. pelancong lalu tertarik dengan pemandangan itu. wah, pemain catur di tepi jalan. kalau begini malaysia sepatutnya menjadi negara catur, juara catur pun ada di KL ini. sayang, permainan catur itu tidak mengikut standard internasional.
ada orang yang setiap hari bergantung kepada jual dan beli kasut terpakai. pagi-pagi atau waktu tertentu ada sahaja orang naik motosikal bawa bungkusan. apa bang? kasut. dia tolak kasut itu dengan harga dua tiga puluh ringgit untuk tiga pasang. "kalau ada curi lagi ya, saya sanggup beli!" begitulah agaknya apa yang dia tuturkan, saya tak sampai hati nak dekat. lihat dari jauh sahaja.
di lorong masih ada penghuni yang mencari wang dengan menjual tubuh. boleh dihitung dengan jari memang, tetapi, mereka tidak sorok-sorok, bahkan terang-terangan. dia boleh tegur dan lambai siapa sahaja jantan yang merayau tak tentu hala. khabarnya, kaum pelambai ini pun pandai buat "projek" sapu duit dalam dompet dan sapu telefon bimbit ketika seseorang sedang leka di dalam kamar misteri. apa yang mereka lakukan? ia lebih dari khalwat, hanya tak ada siapa minat nak rakamkan dalam bentuk video, kenapa? dia bukan orang politik.
di tengah kota juga, orang tak peduli kalau kamu selongkar tong sampah atau kutip tin minuman yang terbuang di bawah bangku, disepak pejalan kaki atau dipijak orang. terima kasihlah kerana usaha kamu membersihkan bandaraya ini.
di tengah kota juga, ada orang sibuk kalau orang lepa. pantang lepa, beg, dompet, telefon bimbit, laptop kecil akan disapu. rantai emas, dan apa sahaja ada harga tak usah kiralah. dulu ada geng copet yang suka naik bas di tengah kota. mereka ramai. lapan orang sekaligus, naik bas dan pura-pura salah bas, dan mahu turun semula walaupun tambang dah bayar. setelah mereka turun, baharulah ada dua atau seorang mengadu kehilangan telefon bimbit, hilang duit dan macam-macam hilang. inilah cara orang nak hidup di tengah kota.
di celah kota ini, moral yang perhitungkan. seorang teman yang hobinya ambil gambar beritahu, jirannya adalah pasangan bersekedudukan hingga beranak pinak. bagus. dia tahu apa kerja orang itu dan ke mana dia pergi setiap hari. kebetulan teman ini pun bergantung kepada pasangan itu kerana mereka menyewa kamar yang disediakan. padanlah.
jadi, di tengah kota ini, jangan sibuk nak mencari kes ringan macam khalwat dan menghampiri zina, tak terkata banyaknya. kata orang lumayan. bak kata blogger kita IKUT SUKA AKU, lelaki dah tua pun nak mencari pasangan ketika dinihari menjelang. ini mainan lelaki kota agaknya ketika di malam minggu.
zaman dulu kita boleh dengar wanita kabaret, wanita bar, wanita kelan malam, dan macam-macam lagi. sekarang masih wujud dalam versi lain pula. hal ini tak diketahui bagaimana businessnya. mungkin lumayan pak.
di tengah kota ini, pasangan bersekedudukan paling ramai. rak percaya buat operasi dari satu pintu ke pintu. berpasang-pasang boleh dicekup dalam satu malam. tapi, ini kerja penat. kalau tak ada orang repot, jangan buat, nanti buat orang marah, menyakiti jati jiran tak baik. profesyen masing-masing pun tak koman, macam-macam kerja yang terlibat. biarlah.
di celah kota ini, orang tak ada tempat tinggal pun ramai. jadi kutu rayau. tidur tepi kaki lima kedai. bawah jambatan, bawah pokok rendang, bawah jejambat, bawah mana sahaja asalkan terlindung, mereka mimpi indah di bawah tu, tidur pun lena. esok pagi-pagi bangun, pergi tandas awam, mandi berbayar. atau pergi masjid, mandi, tak solat pun tak apa, pakaian kotor, hapak. harap maaf.
di celah ketiak kota ini, penipu pun ramai. setiap hari merayau mencari mangsa. ada yang jadi broker, ada yang jadi penipu berterusan, mengaku baik dengan orang itu dan ini, mengaku ada kabel besar dengan si fulan, tabur cerita besar-besar, nak bayar teh tarik hai...payahnya...
di celah ketiak kota ini, ketika pembesar sana bicara tentang projek pembangunan, atau sumbangan wang berjuta-juta, mereka tak tahu apa, kerana mereka tidak punya tv, tidak punya radio, tidak punya rumah, tidak punya akhbar, tidak punya wang, dan tidak punya maklumat. mereka ketinggalan arus sungai perdana. mereka terbiar. hanyut dek waktu. begitupun orang masih menyanyi bahgia, malaysia oh tanah airku! []

Thursday 1 March 2012

MENJELANG PILIHANRAYA AKAN DATANG

MENGAPA pilihanraya yang akan datang ini digembar-gemburkan dari sekarang? Ya, tidak lain, hanya nak tahu sejauh mana persiapan untuk menghadapi pilihanraya itu sudah disiapsediakan. Dengan sebab itulah, cerita tentang pilihanraya akan datang selalu dibicarakan orang di sana-sini.
Para pemimpin Umno-Barisan Nasional (UBN) sentiasa sibuk membuat program yang mereka anggap sebagai program turun padang, program bertemu rakyat. Sayangnya program yang dikatakan bertemu rakyat itu bukanlah bertemu rakyat yang sebenar, sebaliknya hanya bertemu kalangan orang kuat bahagian dan cawangan di mana seseorang pemimpin itu turun. Kalangan bawahan termasuk kanak-kanak sebagaimana digambarkan media arus perdana, mereka hanya dapat bersalaman, atau kalau ada program agihkan baucer RM500 ia diselitkan sedikit ala kadar.
Maknanya, program turun padang itu tidak berjalan dengan santai. Ia diatur begitu ketat sehingga hubaya-hubaya dalam politik peringkat atasan sahaja yang tampil di kanan dan kiri pemimpin pusat. Mereka berkerumun bagaikan ada sesuatu yang dihajati.
Ketika sibuk turun padang dan berpidato, dalam masa yang sama pembangkang (Pakatan Rakyat atau PR) juga mengadakan majlis turun padang juga, tetapi dalam bentuk ceramah, istilahnya ceramah politik. Pihak UBN memang tidak suka kepada ceramah politik PR kerana, ketika ceramah itulah segala pekung dan tembelang UBN didedahkan.
Hanya melalui ceramah begitulah PR boleh menyampaikan maklumat yang tidak disampaikan oleh Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan media TV mereka. Nampaknya, bagi orang yang tidak suka membaca, maklumat dari ceramah pemimpin PR lebih berkesan daripada pidato sesekali dari pemimpin UBN sekalipun Najib turun padang. 
Kenapa? Penonton TV kita sudah muak dan jemu melihat wajah Najib yang selalu terpampang di muka akhbar dan TV mereka di rumah. Pidatonya masih senada, mendatar dan sesekali bersemangat, tetapi lakonan angkat jari telunjuk sudah menjadi mainan pula sekarang. Lambang 1Malaysia pun tidak memberi impak lagi kepada rakyat.
Para pemimpin UBN marah kepada rakyat yang percaya kepada ceramah PR. Bilangan audien dalam ceramah makin meningkat. Untuk menghalang kebangkitan itu, mereka kerahkan gerombolan samseng bermotosikal buat hingar di sana-sini. Kesudahannya, rakyat benci. Gangguan bising dan hingar-bingar itu menyebabkan orang membuat kesimpulan bahawa anak-anak muda dalam Umno hanya layak jadi samseng jalanan. Jika begitu persepsi rakyat, maka masa depan Umno makin suram di kalangan rakyat. Umno tidak menunjukkan satu teladan yang baik untuk diikuti dan dihormati, sebaliknya, budaya samseng yang mereka tanamkan kepada generasi muda.
Sebenarnya semakin dekat pilihanraya, semakin banyak perkata pelik ditimbulkan. Walaupun ada percubaan dari pihak UBN untuk membuat gangguan terhadap kerajaan Selangor, kerajaan Kedah, kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan Kelantan, UBN belum dapat rentak yang diharapkan.
Ketika meraikan kemenangan merampas Perak, UBN lupa, strategi Perak tidak boleh digunakan untuk menumbangkan negeri PR yang lain. Ketika sibuk hendak merosakkan negeri orang lain, UBN dibebani dengan berbagai masalah. Tuntutan BERSIH, perhimpunan terbaru Hijau 2.0, kes Felda, kes NFC, dan kalau rajin membuat kes banyak lagi kes yang boleh diungkit. Kes-kes begini akan memeningkan pemimpin UBN.
Bagaimana mereka hendak menepis segala tohmah yang dilemparkan kepada mereka? Isu Israel yang mereka lemparkan ke arah Anwar Ibrahim kini balik kepada mereka semua. Jika tidak, manakan boleh timbul isu surat Dr Mahathir kepada pemimpin Israel. Maknanya, pihak UBN semakin tidak keruan apabila diusik oleh pihak PR. Bukan pihak pemimpin tertinggi PR sahaja, malah begitu teruja membaca komen dari blogger dan saluran media maya yang lain.
Perkiraan pemimpin UBN keadaan akan tenang apabila rakyat tanpa mengira sesiapa yang berpendapatan kurang RM3,000 menerima baucer RM500 itu. Walaupun ia bukan rasuah politik, orang tetap memandang simbolik penyampaian baucer di bangunan milik UBN, petugas yang sibuk juga menggunakan nama Umno. Ia memberi gambaran seolah-olah begitu pemurahnya petugas Umno mengagihkan wang. Dan bukan tidak ada orang yang termakan cerita bahawa itu adalah duit Umno.
Kenapa wang RM500 itu dijadikan sandaran utama? Setidak-tidaknya menurut para penganalisis di kota, ia dapat menutup mulut para pengkritik, walaupun pihak UBN sangat mengutamakan projek besar yang mana projek itu hanya diperuntukkan kepada orang yang berjasa kepada UBN, mereka juga tidak lupa kepada kelompok murbawan.
Wang sebanyak itu digembar-gemburkan dapat mengatasi masalah keluhan rakyat kerana kenaikan harga barang. Itu bukan alasan. Tidaklah pihak pemberi menghitung berapa sangat barangan yang boleh dibeli dengan wang sebanyak itu sekarang? Ada penerima bantuan hanya mampu untuk bayar hutang tertunggak. Bukan untuk belanja dapur jika alasan pemberian wang sebanyak itu untuk meringankan beban kenaikan harga barang. Sebenarnya bukan soal harga barang, sebaliknya mereka mahu rakyat murbawan memuji jasa baik para pemimpin UBN yang memberikan habuan walaupun sedikit.
Pemberian ini setidak-tidaknya adalah tempiasan daripada tindakan pihak PR Selangor yang menyediakan berbagai habuan kepada rakyat Selangor. Ia memberi gambaran seolah-olah, pihak UBN mampu memberikan lebih dari itu. Jika PR Selangor hanya memberikan kepada rakyat Selangor, pihak UBN memberikan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik mereka.
Memang bunyinya enak dan indah. Secara praktiknya, masih banyak yang tercicir. Bukan tidak dicongak, berapa billion yang dihabiskan untuk memberikan duit sebanyak itu kepada rakyat terpilih? Ia memberi gambaran, bahawa ekonomi negara tetap kukuh walaupun berapa billion diberikan kepada rakyat. Dengan harapan jangan ada sesiapa mengungkit soal ketirisan wang khazanah negara. UBN tahu mengurus wang, dan jangan percaya dengan tohmah pada masa akan datang kita yang muflis. Kewangan negara tetap kukuh walaupun sejak zaman Dr M telah berlaku banyak penyelewengan yang sehingga sekarang tidak dapat ditebus semula.
Mantan PM itu malah mengaitkan dengan mantan PM yang lain, yang konon menghabiskan wang lebih banyak daripada apa yang telah dia lakukan untuk mengatasi masalah MAS. Kita tuduh dia, dia tuduh PM yang seangkatan dengannya. Dr M masih mahu mengatakan bahawa Pak Lah adalah PM yang tidak tahu mengurus negara.
Kini tanda-tanda pilihanraya hampir dekat semakin senyap. Pihak UBN sengaja buat kecoh supaya orang bawahan bersiap sedia. Maksudnya agar puak-puak dalam UBN bersedia sepanjang masa. Akan tetapi khabarnya, sehingga sekarang mereka masih kecoh dengan kerusi mana yang hendak dipertandingkan dan mereka mencongak siapa dan siapa bakal jadi MB baru. Mana tahu akan negeri PR yang tumbag.
Kini berbagai isu ranting kecil yang dibangkitkan oleh media. Peranan media adalah menimbulkan isu dan kemudian merujuk kepada orang politik. Wartawan hanya menabur cerita, ia hendak melihat sejauh mana sambutan daripada audiens.
Walaupun ditabur begitu banyak, kalau media perdana pun tidak dibeli dan dibaca oleh orang ramai, ia tidak menjadi juga. Ia akan bermain di kalangan puak-puak UBN sahaja. Tidak tahu bagaimana jualan akhbar pro-kerajaan yang ada hari ini, apakah statik, merosot atau bagaimana. Apa pun bagi mereka yang hadir di perhimpunan apa sahaja anjuran PR, mereka bukanlah audiens sebenar bagi media pro-kerajaan. []

MINUM DARAH BEKAM

Amir ibn Abdullah ibn Zubair r.a. menceritakan bahawa ayahnya pernah datang kepada Nabi s.a.w. ketika baginda sedang berbekam. Selesai berbekam, baginda s.a.w. bersabda, "Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di tempat yang seorang pun tak dapat melihat kamu." Setelah meninggalkan Nabi s.a.w., dia mengambil darah itu lalu meminumnya. Apabila kembali semula, Nabi s.a.w. bertanya, "Apa yang kamu telah lakukan dengan darah itu?" Dia menjawab, "Aku telah sorokkan di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi daripada orang ramai." Baginda s.a.w. bersabda, "Boleh jadi engkau telah memimumnya?" Dia menjawab, "Ya." Nabi s.a.w. bersabda, "Kenapa kamu minum darah itu? Celakalah manusia daripada kamu dan keselamatan kamu daripada manusia."
Begitu disebutkan dalam kitab AL ISOBAH[2:310]. Imam Hakim  dan at-Tabrani juga meriwayatkan seperti ini [3:554].
Al-Haitami berkata, hadis tersebut diriwayatkan juga oleh Imam Tabrani dan al-Bazaar secara ringkas. Rijal al-Bazaar adalah rijal yang shahih selain Hunaid ibn al-Qassim, ia adalah tsiqah. Ibnu Asakir juga meriwayatkan hadis ini sebagaimana di dalam AL-KANZ [7:57].
Di dalam satu riwayat, telah berkata Abu Salamah, "Mereka melihat bahawa kekuatan yang dimiliki oleh ibn Zubair r.a. datangnya dari kekuatan darah Nabi s.a.w.[]