Wednesday 30 December 2015

MENGELUH DI SANA-SINI

Hujung tahun ini kita dengar orang mengeluh di sana-sini. Menjadi masalah apabila semua nak beli. Semua nak kena bayar. Rakyat pula sudah membina persepsi bahawa tahun baru ini, harga barangan akan naik mendadak. Bayangkan, bagaimana perasaan orang yang berpendapatan ciput? Yang ada pendapatan bulanan tak apa lagi. Bagaimana yang kerjanya kais pagi makan petang. Tak boleh kais pagi makan pagi lagi. Kena kais dan terus kais sampai ke petang. Dah petang baru nak makan.
Beberapa hari yang lalu ada keluhan yang dipaparkan oleh media, bahawa kaki tangan kerajaan juga mengeluh. Mereka mendakwa sekarang mereka macam kais pagi makan pagi. Melalui facebook, kita kritik balik. Mana boleh orang makan gaji, setiap bulan dapat cucuk duit di ATM mendakwa kais pagi makan pagi. Mereka bukan ayam.
Janganlah terlau memandang sampah sangat kepada duit yang diperoleh setiap bulan. Jangan sebut kais pagi makan pagi bagi kakitangan awam. Tak sesuai langsung. Yang kais mengais ini adalah bandingan kepada golongan yang tidak ada kerja tetap. Buat kerja ada duit. Banyak mana dia dapat kadang-kadang tak dapat menampung keperluannya dalam sehari. Buat kerja kerana ada target. Contoh: dia ambil kerja potong rumput di rumah sekian, dapat imbalan RM30. Duit itu akan digunakan untuk beli beras dan ikan. Cukupkah? Memang sakitlah bagi dia. Kita ambil contoh paling rendah, kerana inilah mainan rakyat marhaen.
Itu belum contoh kais pagi, kutip tin aluminium, kutip besi buruk, kutip apa sahaja yang boleh dijual. Mujur ada kedai besi buruk yang membeli barangan terbuang dan barang kutipan. Kalau kedai besi buruk pun tak ada, bagaimana dia nak jual? Itu sebab di luar-luar bandar, kerja kutip mengutip ini tidak popular sangat sebab kedai besi buruk selalunya berada di pinggir bandar besar.
Apabila orang mengeluh tentang pendapatan kecil dan sukar hendak memenuhi keperluan harian, mingguan dan bulanan, ada yang syorkan agar kena kerja lebih. Memanglah kerja lebih. Kais pagi makan petang. Ada yang syorkan buat kerja sambilan, buat kerja tambahan selain kerja pejabat atau kerja yang telah dilakukan setiap hari.
Perlu disedari, bukan mudah nak kerja lain. Ada kawan di Serdang, siang dia kerja di universiti, malam dia kerja security guard. Bayangkan. Bagaimana dia melayani masa untuk rehat dan tidur? Nampaknya, kawan ini bertahan bertahun-tahun. Dia boleh bekerja dalam keadaan kurang tidur. Adakah kawan-kawan pejabat perasan atau tidak, atau prestasi kerjanya merosot, kawan-kawan tak pasti. Dia terpaksa kerja begitu kerana nak bayar hutang. Bukan sedikit pulak tu. Memang dia cari penyakit. Pinjam duit tetapi tidak digunakan dengan berhemat.
Pak menteri cadangkan rakyat buat beberapa kerja. Apa kerja yang mudah dapat duit? Nampaknya berniaga. Boleh mula berniaga kecil-kecilan. Biasanya nasi lemak. Pagi-pagi dah buka meja untuk jual nasi lemak. Bukan mudah. Banyak halangannnya. Silap haribulan nasi lemak dan meja naik lori penguatkuasa. Dah gaduh pula! Macam-macam sumpah seranah keluar dari mulut.
Ada yang berniaga telefon pintar. Tak kiralah ori atau tidak. Anak-anak muda dan bebudak sekarang suka action depan orang. Yang jual benda tak ori ini jangan pula dianggap penipu. Macam orang jual jam tangan RM15 atau RM50. Orang dah tahu jam bagaimana. Buat apa nak gaduh pakai tak sampai sebulan jam pun tak bergerak!
Nak berniaga apa? Bukan mudah kalau tak ada kemahiran satu pun. Ingat boleh buat goreng pisang begitu sahaja? Sekarang macam-macam orang jual goreng pisang, siap bubuh cheese lagi.Nasib baik tak bubuh cencaluk, budu dan sebagainya. Mana tahu ada improvisasi dalam penjualan pisang goreng?
Orang mengeluh tentang harga barang. Duit dah tak ada nilai sangat. Orang miskin cukup susah nak adjust duit yang sedikit. Orang kaya, tengok, pegang dan terus bawa ke kaunter. Orang miskin akan tengok barang, bandingkan harga. Fikir banyak kali. Mana mustahak beli yang ini atau beli benda lain. Atau tangguh minggu depan. Ya, mereka fikir banyak kali. Kekadang kesian tengok. Belek-belek tak jadi juga. Bukan keliru nak pilih barang, duit dalam poket ada RM15. Nak beli apa?
Rakyat mengeluh dan marah-narah kalau media dedahkan bagaimana ada pak menteri boleh dapat derma mengarut sampai RM2.6 bilion. Masuk akaun sendiri pula tu. Setelah media asing paparkan, barulah kecoh. Sampai sekarang, orang tak tahu siapa yang mendermanya. Agaknya penderma itu sudah mati atau dari jenis makhluk halus. Wang persugihan yan diperoleh secara amalan mistik. Itulah kesimpulan bagi orang yang sudah kecewa.
Betapa tidak mengeluh di sana-sini, rakyat kesusahan, golongan penguasa berdendang sayang, tak terfikir pun apa yang rakyat marhaen sedang hadapi sekarang. Tidak mahu mendengar keluhan rakyat. Mereka hanya fikirkan kuasa dan berkuasa.
Dalam pada mengeluh dan rasa jengkellah, rakyat ada yang sudah bertekad nak undi pembangkang. Kalaupun terpaksa undi DAP, mereka akan undi DAP. Kenapa tak undi PAS? Tak mahu, sebab parti itu tak bijak memerintah. Itulah jawapan orang. Sebab apa kata gitu? PAS hanya boleh perintah Kelantan. Lain negeri memang tak boleh. Ada buktikah? Ada. Betul juga.
Jadi, keluhan rakyat ini dari bab duit, kerja, cari kerja lain, tambah kerja, atau tak ada kerja langsung. Nak kerja apa lagi umur dah masuk 63? Ada sesiapa nak panggil pakcik ni kerja? Jadi jaga adalah! Aduh! Ketika keluhan ini diketik, di luar sana orang masih mundar-mandir. Ada yang sibuk membeli keperluan dapur, membeli keperluan budak sekolah, membeli keperluan kucing dan macam-macam. Jadi, kita tak usahlah jadi pak sibuk apabila melihat orang lain berikhtiar mencari duit, hatta kepada mereka yang pagi-pagi dah melongok di pasar karat! []

No comments:

Post a Comment