Sunday 3 June 2012

PUTERI GUNUNG LEDANG DAN RATU KIDUL

RASANYA elok jika dua tokoh di alam fantasi ini kita gandingkan. Ratu Kidul ada kaitan dengan kerajaan Mataram, ada kaitan dengan Pangeran Senopati. Anak raja ini berakit di Sungai Opak hingga sampai ke Laut Selatan, dia tersadai di pantai.
Sebaik sedar, dia lihat ada seorang puteri cantik berpakaian serba hijau muda hadir di sisinya. Terjadilah perbualan singkat di antara keduanya. Pangeran jatuh hati melihat kecantikan Ratu Kidul. Kata Ratu Kidul, Senopati tidak perlu bimbang, ambisinya untuk naik takhta di Mataram adalah cerah.
Ratu Kidul sedia membantu Senopati melaksanakan cita-citanya sekiranya Mataram bakal diserang oleh negara jirannya.
Maka Ratu Kidul menawarkan diri untuk membantu Senopati bila-bila masa sahaja kerana Ratu Kidul akan siap sedia dengan bala tenteranya yang terdiri daripada para jin, peri, lelembut setanah Jawa, mambang dan apa sahaja makhluk halus baik jin besar atau jin kecil.
Bagaimana hendak mendapatkan bantuan itu?
Ratu Kidul memberitahu, senang sahaja, Senopati perlu berdiri, hadapkan wajah ke langit, seru nama Ratu Kidul, katakan bahawa Senopati dalam kecemasan, negeri akan disserang musuh, maka dengan segera, Ratu Kidul akan mengerahkan tenteranya membantu Senopati menguatkan negeri.
Senopati kena depakan tangan, angkat sebelah kaki, dan menyeru nama Ratu Kidul.
Mendengar ujaran itu Senopati semakin berani meneruskan niatnya.
Dia tertarik dengan Ratu Kidul, keberahiannya memuncak. Ratu Kidul tidak ragu-ragu terus mengajak Senopati masuk ke dalam laut.
Dan proses transformasi, memasuki dimensi kehidupan yang berbeza, masuk ke dalam laut menuju istana Ratu Kidul di Laut Selatan.
Merasa kagum dengan paparan istana dalam laut yang indah bak berada di daratan, Senopati melampiaskan rasa berahinya, dan konon keduanya mengadakan ikatan perkahwinan, perkahwinan manusia biasa dengan makhluk halus bernama Ratu Kidul.
Setelah selesai memadu janji dan memenuhi hasrat berahi, mereka pun berpisah. Perkahwinan serba misteri itu tidak berakhir begitu sahaja. Malah, dengan segala keajaiban di alam fantasi, Ratu Kidul akan datang menemui suaminya Pangeran Senopati sebulan sekali ketika bulan purnama.
Sebuah kamar kecil di ruang istana menjadi wadah pertemuan manusia dengan makhluk halus ini. Inilah perkahwinan yang terjadi menurut legenda dalam sejarah Mataram pada sisi yang mistikal.
Sampai sekarang, Ratu Kidul masih hadir di istana sultan. Bukan dongengan. Di sebuah hotel bernama Samudera, disediakan sebuah kamar khas untuk Ratu Kidul.
Bahkan di Kuala Lumpur, penulis difahamkan, seorang lelaki keturunan Cina telah melangsungkan persekutuan mistik dengan Ratu Kidul.
Lelaki ini yang penulis kerap lihat berjalan sendirian di Bukit Bintang Kuala Lumpur, telah mengadakan perkahwinan ghaib dengan Ratu Kidul.
Bahkan menurut seorang paranormal yang pernah berguru di Cirebon, ada dua orang lagi warga keturunan Cina di area Segi Tiga Emas, mengadakan "perkahwinan" mistik dengan Ratu Kidul.
Semuanya telah menyerahkan persembahan berupa kepala kerbau balar, kuih-muih, kain warna-warni kecuali hijau muda, semuanya dipersembehkan ke Laut China Selatan pada waktu maghrib, dan konon lidah syaitan itu menyambar, lalu dibawa laju menuju Laut Selatan, ke istana Ratu Kidul.
Ini kisah fantasi yang menjadi kenyataan apabila penulis sendiri pernah berbual dengan warga keturunan Cina ini, kebetulan dia mengakui hairan kerana melihat ada seekor ular besar di ats katil dengan kepala ular itu menyerupai wajah seorang puteri dengan tiara di kepalanya.
Kekaguman itulah yang menyebabkan lelaki yang gemar berseluar pendek dan berbaju pagoda ini ingin mengadakan persekutuan dengan jin Ratu Kidul.
Baiklah, itu adalah episod fantasi zaman silam tetapi masih bertalian hingga ke Kuala Lumpur.
Bagaimana episod Puteri Gunung Ledang?
Sultan Melaka, Sultan Mahmud, diceritakan ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang, dan baginda meminta Tuah, Mamat dan orang-orangnya pergi ke Gunung Ledang untuk meminang puteri itu.
Puteri Gunung Ledang sungguhpun dari jenis jin seperti mana Ratu Kidul, dia tidak ada kelebihan luar biasa seperti Ratu Kidul.
Ratu Kidul mempunyai bala tentera dari kalangan seluruh jin, lelembut, genderuwo, priyangan dan macam-macam lagi sebagai bala tenteranya, sedangkan Puteri Gunung Ledang setakat duduk istirahat di gunung dan menunggu pinangan bodoh dari istana Melaka.
Maka untuk membodohkan kumpulan yang meminang jin perempuan, Puteri Gunung Ledang sengaja mencipta syarat bodoh untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka.
Apa yang puteri jin itu inginkan?
Sebenarnya syarat yang dinyatakan adalah sama seperti syarat Roro Jonggrang kepada lelaki yang ingin mengahwininya. Syarat yang tak masuk akal mendirikan sebuah bangunan dalam satu malam sebelum ayam berkokok adalah mustahil meskipun tugasan itu banyak dibantu oleh jin perkasa.
Puteri Gunung Ledang hanya menyediakan syarat tak masuk akal sahaja untuk Sultan Mahmud yang sudah kehabisan modal. Perempuan biasa sudah dikahwini, isteri orang pun dipinta, maka dia ingin merasai beristerikan perempuan jin pula.
Ia sama perangai dengan Sultan Mahmud mangkat dijulang. Sultan Mahmud Kota Tinggi juga seleranya kepada perempuan jin [baca Hikayat Siak, DBP].
Apa syarat gila yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang untuk mengakalkan Sultan Melaka?
1. Jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang [macam jalur untuk monorail atau LRT sekarang].
2. Jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
3. Tujuh dulang hati nyamuk.
4. Tujuh dulang hati kuman.
5. Tujuh tempayan air mata anak dara.
6. Tujuh tempayan air pinang muda.
7. Semangkuk kecil darah Sultan Ahmad, anak kepada Sultan Mahmud [maksudnya kena korbankan anak lelaki demi mendapatkan puteri jin].
Walaupun syarat gila itu tidak masuk akal, namun dengan egoistiknya, pihak istana mengatakan semua itu akan dilaksanakan, projek mega jambatan emas yang memakan belanja bilion ringgit itu boleh dilaksanakan, jika ada Ali Rustam senyum sebab sejarah Melaka menjadi panjang lagi.
Sebenarnya, bukan faktor darah anak raja, jambatan emas dan perak itu memang tidak mampu dibuat pun, apa lagi nak dapatkan hati nyamuk, hati kuman, air mata anak dara atau air pinang muda.
Jika dibandingkan di antara Sultan Mahmud Melaka yang kempunan hendak berkahwin dengan puteri jin, maka Pangeran Senopati adalah tokoh yang berjaya mengahwini Ratu Kidul di alam fantasinya.
Di antara Sultan Melaka dengan Sultan Mataram, nampaknya pihak Mataram lebih praktikal. Keduanya berjaya melangsungkan perkahwinan mistik, dan berlanjutan hingga kepada kesultanan yang ada hari ini, sedangkan di Melaka, impian itu tinggal angan-angan yang ditertawakan orang.
Mungkin Puteri Gunung Ledang sengaja didongengkan oleh penulisnya baik untuk Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah, maka usaha untuk meniru Pangeran Senopati adalah kemungkinan yang pasti.
Kisah legenda Ratu Kidul sampai ke istana Melaka, diceritakan orang, mungkin juga ketika mengadakan anjangsana muhibah ke Majapahit, cerita mistik itu sampai ke telinga pegawai rombongan dari Melaka.
Apa pun ini hanya andaian yang antara masuk akal atau tidak sahaja. Wallahu a'lam.[]

5 comments:

  1. siapa sebenarnya Puteri Gunung Ledang~ ?

    ReplyDelete
  2. Nampaknya penulis belum cukup tahu siapa sebenarnya Puteri Gunung Ledang. Carilah siapa isteri Dharma Wulan.

    ReplyDelete
  3. Nampaknya penulis belum cukup tahu siapa sebenarnya Puteri Gunung Ledang. Carilah siapa isteri Dharma Wulan.

    ReplyDelete
  4. Puteri gunung ledang berdasarkn pembacaan sy bukan jin. Dia mengasingkan diri ke gunung ledang setelah kemangkatan suami dan dua anak2 lelaki nya. Suami nya sultan demak kedua. Kerajaan islam demak. Suaminya org alim. Sudah pasti dia pun alim kerana dia pun dr keturunan baik2 juga. Berkenaan penolakkan peminangan sultan, syarat yg diberikan tak masuk akal mungkin sebab faktor diatas. Faktor kedalaman pengetahuan agama sultan. Ini analisa saya.

    ReplyDelete
  5. Betul puteri gunung ledang bukan jin yg dicerita kan,puteri gunung ledang ank sultan demak bintoro 1,raden fatah,puteri gunung ledang pergi belajar ilmu agama di pulau besar,zaman itu pulau besar tempat ulama dan para wali berkumpul,selepas suaminya iaitu sultanpati unus sultan demak bintoro 2 syahid berperang dng portugis puteri terlalu brsedih kerana kmatian suami dan ank nya ia megasingkan diri digunung ledang,sebab tu la sejarah kita samar2 terlalu bnyak fantasi,shigga sejarah kita menjadi kisah mitos,padahal kisah lagenda ni mmg benar2 ada,peristiwa yg benar harus dicerita yg benar bkan ditokok tambah hingga mnjadi mitos.

    ReplyDelete