Sunday 5 May 2013

ASYIK KELUAR MASUK PARTI, UNTUK APA?

APABILA menyemak FB yang ada, saya tertarik dengan seseorang yang macam merungut-rungut dan melemparkan komentar perli, mengejek atau menghina rakan-rakan seperjuangan dalam parti.
Seseorang yang saya katakan itu memang saya kenal pun walaupun sudah lama tidak bertatap muka, tetapi melalui FB dan blog saya dapat melihat dia aktif ke sana-sini, bagi ceramah, ikut kempen, tetapi akhirnya menjelang hari mengundi dia boleh isytiharkan diri keluar dari parti dan tak mahu ikut mana-mana parti, dan tak mahu isytihar dengan membuat kenyataan akhbar pun.
Dia ni memang saya kenal sejak zaman di Temerloh, Pahang. Dia aktif dalam kegiataan sastera. Ketika saya berada di Kuala Lumpur, mengendalikan tabloid Mingguan Bumi, dia menyertai Pas bersama rakan baiknya yang juga orang Pahang.
Dan tak lama kemudian dia senyap dalam kegiatan parti. Alih-alih terserempak di Jalan Haji Hussein, Chow Kit, KL. Dia sedang lepak bersama kawan-kawan di sebuah gerai di situ.
Khabarnya waktu itu dia mulai berkawan dengan krew filem. Dia aktif dalam bidang perfileman pula, katanya buat skrip filem. Baguslah.
Ketika bersama Karim Ibunda menerbitkan buku Tok Awang Ngah -- nama sebenarnya Abdul Muluk Daud atau Dharmala NS [buku misteri] dia pun ada datang menyerahkan sebuah manuskrip buku misteri seram, saya lupa apa judulnya. Lagipun selain dia ada lagi orang Pahang yang menulis buku misteri seperti Allahyarham Tubing, dan Hasmadi [Tok Peran]. Kawan tadi juga tulis buku misteri, hanya saya lupa siapa nama samarannya ketika itu. Yang saya ingat Pak Joko [Wak Jamari] orang Jawa dari Johor.
Kawan dari Temerloh ini kalau saya ikuti komen FBnya memang aktif. Dia ikut beri ceramah sampai ke negeri lain pun. Kira dia boleh bercakap depan orang ramailah.
Tetapi hari ini [Ahad 5/5/2013] dia merajuk habis. Dia tak kisah PR menang ke kalah lagi. Tetapi dia tidak akan masuk mana-mana parti pun, dia akan tetap menyokong mana-mana yang menentang penindasan dan kezaliman, sebagaimana yang diperjuangkan dalam PR.
Saya fikir kawan ini, dia perlu bertenang. Jangan ikut hati. Wuduk dan kerjakan solat sunat. Tenangkan fikiran, ikuti tazkirah yang baik-baik, membaca al-Quran, mentelaah kitab yang ada -- lupakan soal politik.
Memang penat buat kerja politik ini, lagipun kita berada dalam kelompok yang dinafikan oleh BN.
Kita tidak tahu kenapa kawan ini kecewa sangat dengan kerja parti ketika nak pilihan raya. Daripada rungutan yang ada, dia macam tak berapa gemar melihat kawan-kawan yang berjuang dalam parti tetapi ada misi dan visi sendiri.
Dari dulu lagi selepas Parlimen dibubarkan, saya sudah terbaca FB kawan ini. Dia macam tak gemar kerana pihak atasan tidak memilih tokoh yang digemarinya. Ini kira macam kes Najib salah pilih oranglah dalam BN.
Sebenarnya, kita kena bertenang. Jangan kita anggap seseorang tokoh yang kita kenal, yang rapat dengan kita, yang study dalam pusat pengajian yang sama dan sebagainnya sebagai orang yang kita sukai, dia adalah orang terbaik yang sepatutnya dipilih sebagai calon. Mungkin bukan rezekinya kali ini. Kena sabar. Sikap begini tak boleh dalam kerja parti.
Saya faham, agaknya kawan dari Temerloh ini sudah letih. Tidur tak tentu masa. Ada sahaja kempen di sana-sini.
Tetapi, alangkah ruginya, apabila pilihanraya sudah diadakan, hari mengundi sudah selesai, dan kita hanya tunggu keputusan, ada orang yang merajuk.
Itu belum lagi kalau satu kawasan orang PR bertempur. Dari FB lagi saya sudah mengesan ada sesuatu yang tak kena.
Dan hari Ahad ketika orang mengundi, saya dapat baca dia isytiharkan diri tak mahu aktif dalam parti lagi. Dia tak mahu masuk mana-mana pati.
Apa nak masuknya? Dia pernah berada dalam Pas, pernah berada dalam Umno dan kemudian berada dalam PR [PKR] --- kini dia semacam membawa haluan sendiri. Merajuk. Ada parti lain yang belum dimasuki -- DAP.
Dalam kerja parti, seseorang yang ingin kekal lama kena jaga perasaan, kena kontrol, jangan cepat marah, jangan anggap pendapat diri sendiri lebih baik daripada orang lain. Kita kena dengar juga apa yang orang kata. Dan jangan anggap seseorang yang dikenali dalam bidang seni umpamanya akan mendapat kedudukan istimewa dalam parti. Tidak sama sekali.
Perlu dibuktikan, adakah boleh buat kerja?
Kerja parti bukan mudah. Kalau ditakdirkan memegang kuasa negara nanti bagaimana kalau sikap merajuk dan bawa diri ini diamalkan?
Jadi, sebagai kawan lama, walaupun jarang jumpa, kecuali menatap FB yang ada, saya nasihatkan kawan ini bertenang. Jangan terburu-buru. Dapatkan tidur yang cukup.
Sepanjang kempen memanglah kita letih, tetapi janganlah hanya dengan sebab sedikit, sebab yang kecil, hendak dibesarkan di depan kamera TV3 atau wartawan Utusan Malaysia umpamanya.
Simpan kemarahan itu. Rasanya kawan lama yang paling rapat, Suhaimi Said, seorang peguam, boleh memujuknya agar menjadi ahli biasa kalau diri merasakan sudah letih menjadi orang kuat. Kita perlu istiqamah dalam perjuangan meskipun peranan kita kecil.
Hendak berjuang dalam politik tidak semestinya ada jawatan. Jadi penyokong, peminat dan sebagainya, ia pun memberi sumbangan juga namanya. Kalau matlamat kita nak dapatkan jawatan, kita kena ukur di baju sendiri. "Layakkah aku pegang jawatan penting ini?" Wassalam. []

No comments:

Post a Comment