Sunday 5 May 2013

PENGUNDI MASIH SEMBANG DAKWAT, YALAH BARU KALI PERTAMA GUNA DAKWAT

TADI pagi singgah sekejap di Jalan Gombak, tengok bebudak UBN buat kerja. Tak ada apa. Mereka sibuk makan makanan bungkus dan air disediakan. Ada kontena tapi tidak berfungsi sejak sebelum parlimen bubar hinggalah ke time mengundi. Macam itu jugak. Ia memberi gambaran seolah-olah tak ada sambutan dari orang lain.
Di Hulu Klang pula, ramai pengundi. Majoriti Melayu. Bilangan Cina dan India kurang. Petugas bagi dua kelompok parti bertugas dengan penuh ceria.
Hiruk-pikuk di jalan raya adalah pemandangan biasa kalau tempat mengundi itu berada di tepi jalan utama. Setelah menemani seseorang mengundi di situ, saya meneruskan perjalanan ke Bukit Bintang, kerana saya nak mengundi di Cangkat Tambi Dollah, Pudu [belakang Times Square Jalan Imbi] -- bilangan pengundi Melayu boleh dikira dengan jari, jadi saya lebih selesa berada di situ, berada di tengah-tengah pengundi kaum Cina.
Di situ kalau ada pengundi hantu jenis Pakistani, Bangladeshi atau lain warna, ia mudah dikesan. Yang berbaris ramai nak mengundi adalah orang Cina belaka. Dalam barisan panjang itu, hanya saya seorang Melayu. Memang itu yang saya cari, nak nak merasakan bagaimana mengundi di tengah mereka. Mengundi di tengah masyarakat majoriti Melayu sudah biasa.
Keluar dari tempat mengundi jurukamera stesen tv dari Singapura nak tengok jari telunjuk kiri pula. Mereka nak tahu bagaimana kekesanan penggunaan dakwat itu.
Saya beritahu mereka, sebaik lepas masukkan kertas undi dalam peti saya terus ambik tisu dan lap. Dakwat yang melekat pada kuku boleh dihapuskan begitu sahaja. Hanya tinggal 40% sahaja warnanya. Mungkin jurugambar itu akan mengambil gambar dari orang lain pula.
Kenapa dakwat semacam nak dijadikan isu?
Ya, dakwat untuk mengundi hanya kali ini diperkenalkan. Kita belum pandai, belum tahu nak pilih dakwat yang benar-benar bermutu. Kalau tak ada pengalaman, kita kena belajar dari negara mundur dan negara sedang membangun yang pernah gunakan dakwat. Bagaimana mereka laksanakan.
Itu sahaja kaedahnya.
Setakat ini dakwat hanya menjadi bahan bualan para pengundi di sana-sini, dalam blog dan FB. Bagaimana tak hilang pun, kita nak wuduk kena basuh juga, lama kelamaan ia bersih. Soal ia tahan atau tidak, sudah tidak jadi persoalan lagi.
Lagipun ini hari mengundi, esok tak ada lagi dah. Kalau ada kesan dakwat pun nak buat apa. Yang orang risau, ada puak yang mengundi dua kali. Atau pegang kad pengenalan orang lain dan dia mengundi bagi pihak mereka.
Lagipun, tempat mengundi bukan tempat orang nak cek KP itu tulen atau tidak.
Asalkan nama ada dalam senarai, ada nombor senarai, itu sudah memadai. Pasti kertas undi akan diberikan. Dan nak pastikan jari telunjuk kiri itu tidak ada kesan dakwat, maka digunakan kanta pembesar untuk melihatnya. Ia sekali imbas sahaja, bukan teliti sangat.
Sampai time mengundi tamat, orang masih sembang soal dakwat. Dan malam ini kita tunggu apa kesudahannya. Sejauh mana kesannya para pengundi menggunakan dakwat ini. Semoga ada perbezaan yang ketara! []

No comments:

Post a Comment