Tuesday 23 April 2013

CERITA BAB MAKAN DI RESTORAN DAN WARUNG

Dalam bab makan ni mungkin orang tak terpengaruh lagi dengan makanan kegemaran zaman kanak-kanak ketika di kampung dulu [tukar tajuk pilihan raya sekejap].
Memang betul pun. Sesiapa yang sudah berada di tengah bandar selesa makannya pun berubah mengikut keadaan.
Tidak semestinya apa yang digemari di kampung dulu akan dicari juga di tengah bandar ini. Jika sikap itu berlanjutan, sukarlah hendak menyesuaikan diri dengan keadaan.
Kalau kita perhatikan orang berniaga di Kuala Lumpur [sebagai rujukan cerita], bukan senang hendak menjalankan perniagaan makanan.
Minda di kalangan orang bandar biasanya merujuk soal makan kepada sebuah restoran atau gerai mamak untuk dapatkan teh tarik, roti canai atau nasi campur gaya mereka.
Sekiranya ada orang nak makan mengikut cara kampung, mereka kena meranjau mencari mana restoran atau gerai yang menyediakannya.
Bukan senang kalau nak cari tempat makan yang memuaskan selera ketika waktu rehat pejabat. Masa terus berjalan, waktu rehat perlu diisi untuk ibadat dan makan sekali. Memang terburu-buru.
Saya tertarik dengan seorang lelaki Indonesia yang kerap saya temui di Masjid Pakistani, Kuala Lumpur. Dia ni kerja buruh, angkut barang kalau ada orang nak pindah rumah, pindah pejabat atau apa sahaja yang ada kaitan dengan pengangkutan.
Lelaki ini sudah lama berada di Kuala Lumpur, saya tak tanya pun mengundi atau tidak, atau pernah jadi hantu tak untuk mengundi bagi pihak UBN misalnya. Saya tak tanya lagi.
Dia suka makan nasi dagang. Makanan dari Kelantan.
Di Kg.Bahru Kuala Lumpur memang ada orang jual nasi dagang. Teringat masa rumah terbuka Pas di Kelab Sultan Sulaiman dulu, nasi dagang jadi rebutan.
Berbalik kepada bab makan tadi, rakan dari seberang yang lain pula pernah ajak saya makan di sebuah gerai yang menyediakan sup dan satey kambing!
Untuk melayan kawan kena ikut jugalah. Dia makan kita minum sahaja. Bau satey kambing yang menyucuk itu bukan menaikkan selera, malah telah membunuh selera saya.
Rupanya, bukan asal orang keturunan Jawa boleh makan pecel lele, nasi rawon, bakso, pentol, satey kambing, dan macam-macam lagi.
Saya dapati restoran hidangan Jawa Timur paling banyak di Chow Kit dan sekitarnya. Mungkin pelanggan mereka ramai. Hanya pelanggan yang sama memasuki tempat makan itu.
Orang Malaysia lebih gemar masuk restoran mamak, Pakistani, restoran makanan Arab dan sebagainya untuk merasai kelainan rasa.
Kini restoran Pakistani pun makin banyak. Orang kata kalau nak makan briyani, rasalah makanan itu di restoran Pakistani. Restoran lain bukan tak boleh sediakan briyani, tetapi cara masakan mereka berbeza. Itu belum lagi bab briyani Melayu yang bermacam nama dan rasa.
Gerai-gerai yang dikendalikan oang keturunan atau memang warga dari seberang hanya dikunjungi oleh puak-puak mereka sahaja. Tidak ada orang tempatan yang singgah untuk makan dan minum. Bukan selera yang sebenar.
Saya pernah menerima makanan "pelik" sebaik pulang dari masjid lepas tarawih ketika tinggal di Pudu dulu. Teringin pula nak rasa makanan dia orang. Tetapi sebaik melihat cara hidangan yang lain macam, saya tak mampu hendak menghidunya. Ini dalam bab makanan.
Kira saya jenis konservatif, tidak mahu melayani makanan pelik. Bukan pelik makanannya, tetapi tidak pernah menghidu aromanya apa lagi mencicipinya. Meskipun tukang masaknya dari Jawa Timur atau mana pun.
Sudah menjadi kebiasaan kita menjamu selera di kedai Pakistani, Mamak atau restoran masakan Melayu. Kalau masakan Indonesia kita lebih suka nasi Padang atau nasi Minang.
Teringat betapa enaknya makan nasi Minang bungkus, ada daun pisang. Simpan dulu, bawa ke tempat kerja atau bawa balik ke rumah. Bukan main sedap. Sekarang carilah di merata Kuala Lumpur, masakan yang enak seperti di tahun 70-an itu sudah tidak ada.
Selera pun kena berubah. Tom yam sudah jadi kebiasaan. Sebutlah apa sahaja menu. Kata orang, kalau nak tahu sesebuah gerai itu pandai masak Tom Yam, suruh mereka buatkan nasi padprik dulu. Kalau padprik yang dibuatnya menjadi, maka bolehlah order yang lain.
Pengalaman pelik ketika balik dari Lumut, Perak. Sepanjang jalan dari Sitiawan ke Sabak Bernam kita mengidam masakan ala Thai.
Untuk mengetahui boleh makan atau tidak, jenguklah sampai ke dapur. Tanya siapa yang masak. Dari Patani atau dari Utara atau sebelah Timur. Kalau dia bilang dengan lidah pekat keJawaan, maka janganlah order makanan ala Thai. Ntah apa-apa yang dimasaknya. Dia buat macam buat bakso juga. Ini pengalaman yang membuatkan kita berhati-hati nak pesan makanan. Hiasan lampu bukan main cantik. Tapi, bab menu kurang cantik.
Dari Sabak Bernam nak balik ke KL kena singgah di Sg Besar sebab nak makan masakan ala Thai. Masuk ke dapur, tanya siapa masak. Dah tahu, pergi ke lain tempat. Sudahnya sampai Tg Karang, tak jumpa juga.
Ini cerita tahun 90-an dulu.
Akhirnya makan masakan ala Thai di kawasan Gombak juga. Tempat biasa. Tetapi kalau dah lapar betul, mana tempat pun ada orang boleh balun semacam. Bukan cerewet. Pengalaman makan di tempat-tempat begitu yang menyebabkan kita jadi cerdik sikit.
Kemudian kalau dah cerewet sangat, apa kata masak sendiri di rumah? Inilah yang paling sedap. Hasil dari tangan sendiri atau tangan ibu, semuanya sedap! []

No comments:

Post a Comment