Monday 27 February 2012

PEMBERIAN MEMANCING UNDI, SIAPA GILA KUASA?

PEMIMPIN BARISAN NASIONAL macam rasa tidak selesa jika mereka pergi ke mana-mana dan memberikan bermacam janji, serta menyerahkan sedikit bantuan kepada rakyat di luar bandar. Mereka macam rasa tak kena jika pemberian yang tidak sebanyak mana itu akan dikritik oleh pihak kerajaan negeri Selangor yang memerintah sebagai gula-gula untuk memancing undi.
Pemimpin BN malu nak berterus terang bahawa segala apa yang mereka lakukan di mana-mana sekarang adalah gerak gempur untuk mengambil hati rakyat. Sayangnya, kaedah ambil hati rakyat hanya tertumpu kepada bantuan kewangan.
Contohnya, apabila nelayan menghadapi masalah turun ke laut, mereka berikan bantuan sekian ratus ringgit setiap seorang. Apabila pokok pisang layu, para pekebun pisang pun diberi bantuan juga. Akhirnya, jika kita amati baik-baik, setiap penduduk kampung mempunyai berbagai masalah yang dihadapi, mereka tidak sekadar menghadapi soal tangkapan ikan dan pokok pisang layu.
Bagaimana jika mereka jenguk perkampungan lain nanti jumpa kes yang lebih teruk lagi? Pekebun kelapa tua menghadapi masalah ekonomi, petani dengan masalah hasil padinya, atau tanah lembut tidak boleh dituai dengan mesin moden. Apa lagi masalah yang dihadapi? Semua masalah nampaknya hendak dikambus dengan duit.
Bahayanya kaedah yang begini akan merosakkan reputasi seorang Perdana Menteri. Nampak sangat, hanya setelah Pakatan Rakyat mendapat perhatian rakyat baharu pihak BN bersungguh-sungguh hendak menyelami hati rakyat dan cuba memulihkan sokongan mereka terhadap BN yang kurang memuaskan.
Di mana sahaja PM turun padang, atau turun ke perladangan, ada sahaja kenyataan yang menunjukkan pihak pusat  merayu dan mengharapkan simpati penduduk agar memberikan sokongan semula kepada BN.
Nampak gaya, rakyat sudah faham. Kesan mereka memberikan sokongan kepada PR menyebabkan pemimpin BN mula mengambil perhatian terhadap mereka, jika tidak mereka hanya tumpukan kepada permasalahan kroni dan tycoon besar sahaja.
Sekiranya rakyat terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat, ini akan membawa kebaikan kepada mereka juga. Pihak pusat akan menghamburkan lebih banyak wang kepada petani dan peladang. Akan tetapi sekiranya BN masih tetap berkuasa di negeri-negeri tertentu, perhatian pusat kepada mereka tidak serancak yang berlaku sekarang.
Orang merasakan, lebih baik memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat, kerana ini lebih memberi tekanan kepada pusat, bahawa sesuatu perlu dilakukan. Rakyat mahu perubahan. Perubahan hanya boleh berlaku sekiranya rakyat memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Kini, sudah nampak bahawa stail kepimpinan BN masih ditakuk lama. Mereka masih menggunakan "dana" untuk meraih sokongan rakyat. Ia meskipun telah dinafikan oleh para pemimpin BN, bantuan apa pun, bukan kerana masalah kenaikan harga barangan, bukan kerana rakyat gelisah dengan soal kehidupan, sebaliknya pemimpin UBN yang kegelisahan.
Di sebalik kata-kata indah mengatakan kepercayaan rakyat telah pulih terhadap BN, tiba-tiba rakyat masih berkumpul hingga puluhan ribu orang di sesuatu tempat dengan satu tema, pelihara alam sekitar. Pemimpin BN tidak terfikir bahawa akan ada lagi perhimpunan selain BERSIH yang menyebabkan pemimpin pusat kehilangan idea.
Jangan fikir perhimpunan Hijau yang diadakan baru-baru ini sebagai himpunan biasa. Ia adalah kesinambungan kepada BERSIH. Perhimpunan BERSIH diterima dengan rasa pahit kerana ia mahu atau tidak mahu kena tunduk kepada kehendak rakyat. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kena mendengar permintaan rakyat atau pemimpin pusat yang ada hari ini diundurkan.
Apabila pemimpin pusat takut diundurkan, mereka menuduh pemimpin PR sebagai orang mabuk kuasa. Sebenarnya pihak pusat lebih-lebih lagi mabuk kepada kuasa. Dengan kuasalah anda boleh melakukan apa sahaja agenda demi kepentingan duniawi anda. Anda menuduh Pakatan Rakyat mabuk kuasa, gila kuasa, sedarkah anda, anda yang berada di pusat adalah termasuk dalam kelompok gila kuasa juga. Selagi anda hendak mempertahankan kuasa anda, anda juga layak digelar gila kuasa.
Kini, apabila berpidato anda perlu berhati-hati. Pidato politik hari ini tidak seperti di zaman Perikatan dulu. Jika anda menuduh orang lain penyokong kuasa pengganas seperti Israel, maka anda kena periksa diri dahulu, sejauh mana kebenaran itu.
Apalah yang ada pada seorang pemimpin kecil, yang tidak ada kuasa untuk mempengaruhi sebuah negara adi kuasa seperti Amerika dan Israel itu? Kini, soal hubungan dagang kita dengan Israel tidak boleh ditutup lagi. Ia sudah terdedah dan jelas bahawa memang kita sudah lama mengadakan hubungan dagang dengan negara yang dibenci itu. Akan tetapi janganlah pihak yang berkuasa menuding jari kepada pihak Pakatan Rakyat semata-mata hendak menutup kelemahan diri.
Rakyat pun tertanya-tanya, siapa yang berada di pihak yang benar? Siapa yang gila kuasa? Siapa yang mabuk kuasa? Bukankah dengan menabur bantuan di sana-sini di luar bandar telah membuktikan bahawa perbuatan itu bukan kerana simpati kepada kesusahan rakyat. Sebaliknya mengharapkan sangat sokongan rakyat agar kegilaan kuasa itu berkekalan.[]

No comments:

Post a Comment