Monday 13 August 2012

AL-KISAH TULANG MAYAT

DULU SEWAKTU penulis di kampung, setiap hari kami ramai-ramai turun ke laut, meredah lumpur masin untuk mencari apa sahaja siput [tahun 60-an].
Ada yang kita panggil kijing, lala, kerang atau mengutip ikan di belat Cina. Itu sudah jadi subbudaya kampung yang tinggal di tepi laut.
Ketika mencari kijing, yang tinggalnya di dalam tanah liat berlumpur, kami biasa tersauk atau terangkat tengkorak manusia. Kekadang tulang selangka, tulang rusuk, lengan, tulang belakang, tengkoraknya, atau tulang paha dan sebagainya.
Pendeknya, setiap hari kami waktu itu asyik terpegang tulang mayat.
Menurut sembang orang kampung [Pasir Panjang Sekincan, Selangor] dulu di kawasan pantai itu ada tanah perkuburan, hanya tak pasti perkuburan siapa, ada yang mengatakan ia tanah perkuburan bukan Islam. Tetapi tidak logik kerana perkampungan di sekitarnya adalah penempatan orang-orang Melayu belaka.
Soal ini tidak pentinglah. Tetapi kami setiap kali terpegang tengkorak, maka kami akan lemparkan tengkorak itu jauh-jauh ke tengah agar tidak ke kawasan pantai lagi. Sebab di pantai itu kami mudah mendapatkan siput kijing.

BALUNG MAYAT

Itu kisah berkaitan tulang mayat. Mungkin kalau ada sesiapa yang ingin mencari benda-benda mistik, maka tengkorak atau tulang mayat atau balung mayat akan dikutip, dibersihkan dan disimpan di rumah.
Kalau peniaga ubat kaki lima, ia jadi barang kemegahan, bawa tengkorak ke sana-sini, masukkan dalam beg niaga dan pamerkan sebagai hiasan. Orang pasti tabik kerana dia berani bawa tengkorak sebenar dan bukan dari bahan logam atau plastik.
Mungkin tengkorak itu atau tulang yang dia dapat akan dibalut dengan kain kuning. Kain warna merah pun boleh atau kain hitam. 
Berbalik kepada kisah balung mayat tadi, ada paranormal yang hari ini berterus terang menjual produknya yang dipanggil Ilmu Balung Mayat, atau ilmu tulang mayat.
Orang yang menawarkan ilmuan pelik ini masih tergolong anak muda, tetapi dia mendakwa ilmu itu sebagai warisan di bumi nusantara. Memanglah, tanah nusantara ini ada bermacam mistik termasuk mistik rekaan terbaru.
Warisan itu tidak semestinya warisan leluhur, ada warisan tahun lepas pun. Ada warisan yang baru direka semalam dan hari ini dihebahkan kepada umum.
Ilmu tulang mayat ini khabarnya sangatlah keras, jangan dicuba-cuba nak test atau uji kepada seseorang.
Orang yang mencipta ilmu ini berkata ia adalah gabungan beberapa ilmu kanuragan.
Pemilik ilmu mendakwa, kalau ilmu ini digunakan, ia akan menghadirkan ribuan pasukan perang [?] dari segenap arah mata angin.
Pasukan perang itu tentulah dari kalangan jin dan syaitan yang menjadi sahabatnya. Begitulah dahsyatnya ilmu itu. Ilmu yang ada kaitan dengan balung mayat.
Tetapi bukanlah tulang mayat yang dikutip di tepi laut seperti pengalaman penulis dan kawan-kawan itu. Ia mungkin balung mayat yang diperoleh dengan cara membongkar kubur baru atau lama.
Tentu ada kubur tertentu yang diburu oleh paranormal atau dukun yang menjadi mencipta ilmu ini.
Ilmu ini tergolong ilmu santet atau santau. Atau ia hanya tulang monyet yang didakwa sebagai tulang manusia.
Sahabat penulis  (Pak Raden), dulu pernah menanam bangkai makhluk dipercayai UFO di rumahnya di Kuala Krai, Kelantan. Ketika penulis minta dia selidik tulang bangkai itu, bagi memastikan adakah makhluk UFO itu dari species macam manusia -- homo sapiens -- maka katanya, tulang itu rapuh tidak seperti tulang bayi. Tulang makhluk ini pun boleh dijadikan bahan jajaan mistik kalau pandai kelentong.

AMARAN

Bayangkanlah, di zaman moden ini orang boleh hebahkan bahawa dia memiliki ilmu santau yang terbaik untuk diberikan kepada sesiapa yang berhajat.
Maknanya, dia sudah terang-terangan isytihar sebagai dukun santau terkini. Dukun santau yang handalan.
Dia siap bagi amaran kepada sesiapa yang tak percaya atau tak meyakini kekuatan santaunya itu.
Katanya, sesiapa yang terkena santau itu [yakni santau balung mayat] orang itu akan langsung jatuh sakit, menderita, lumpuh terus, rezeki tertutup, resah, susah, gelisah, terseksa lahir batin dan matlamat ilmu ini adalah kematian orang yang dikenakan.
Orang yang memiliki ilmu ini siap bagi amaran seterusnya:

Orang yang terkena santau balung mayat ini tidak dapat disembuhkan, kecuali liang kubur!

Maklumat menarik ini saya kutip dari sebuah iklan seorang "dukun" yang konon menawarkan sebuah ilmu mistik yang diracik dengan menggunakan tulang mayat [dalam majalah kemisterian].
Tidak diketahui tulang mayat dia kutip di mana, atau mungkin dia mengutip di tepi laut seperti pengalaman penulis tadi, atau di kawasan pemakaman animisme di kalangan kaum pagan.
Ada kaum pagan yang menggantung atau meletakkan mayat di kawasan hutan dan ditutup dengan dedaunan sebagai atap, membiarkan mayat reput sendiri. Dan kemungkinan tulang itu yang dikutipnya untuk dijadikan media ilmu yang membahayakan ini. Ilmu semacam ini adalah ilmu membunuh namanya.
Hanya sanya di negara kita, tidak ada orang berani mengiklankan ilmu yang tidak masuk akal. Ilmu ini benar-benar menafikan kekuasaan Allah s.w.t. Wallahu a'lam bishowab. []

No comments:

Post a Comment