Monday 13 August 2012

CENDERAWASIH BURUNG YANG KASIH

JUDUL PAPARAN INI diambil dari lirik lagu Cenderawasih yang dulu sering berkumandang di radio dalam tahun 60-an. Lagu itu yang sudah tentunya dari seberang dinyanyikan semula oleh A Halim dengan judul yang sama. Gambaran ketika itu bahawa burung cenderawasih itu adalah burung kayangan, tak akan ada sesiapa mendapat burung itu kerana ia berada di tempat yang tinggi, atau ia ada kaitan dengan dunia kayangan, raja-raja dan puteri jelitanya [mana ada cerita tentang raja yang anak daranya tak cantik?]
Burung cenderawasih ini adalah burung yang dikawal agar ia tidak pupus. Ia memang banyak di Irian Jaya sana kerana hutan tebalnya masih tidak diusik manusia. Barangkali kalau pembangunan dan penerokaan hutan dijalankan dengan pesat, burung cenderawasih hanya tinggal sebutan sahaja atau tinggal gambarnya sahaja.

JUAL UBAT

Burung yang satu ini dulunya menjadi kemegahan para pedagang ubat tepi jalan. Sesiapa yang ada membawa burung cenderawasih [bangkai] maka dia terasa begitu dikagumi, burung itu siap dibungkus dengan kain kuning untuk menjadikan ia benda bermanfaat pada pandangan awam. Kemudian disebabkan kesakralan yang dibuat-buat itu, bulu burung ini juga diperdagangkan, konon itu sesuatu yang memberi manfaat seperti tangkal dan azimat fungsinya. Entah idea mana, tetapi penulis percaya ia hanya rekaan semata-mata.
Burung yang satu ini menjadi begitu berharga kerana ia hanya ada di Irian Jaya atau Papua New Guinea sahaja. Sesiapa yang mendapat bangkai burung ini mereka boleh jual hingga nilainya ratusan ringgit. Itu bergantung kepada temberang penjualnya, dan kekeringan ilmu pembelinya.
Kalau setakat nak beli bagi tujuan perhiasan pun ia bukanlah sesuai apa lagi untuk disimpan dalam rumah. Ia hanya sesuai di Muzium Burung kalau ada. Mengenai kesakralan burung ini, selain dijaja oleh para dukun dan paranormal, pedagang ubat kaki lima semua, burung ini juga kekadang disebut sebagai syarat-marat untuk perdukunan. Biarlah mereka dengan dunianya.

DONGENG MENARIK

Burung cenderawasih ini menariknya ada cerita dongeng yang sengaja direka oleh orang dulu-dulu terutama di kalangan kaum Onin di Papua Barat, terutama di Fak Fak. Burung ini banyak beterbangan di pergunungan Bumberi.
Konon dulu ada seorang perempuan yang tinggal bersama seekor anjing betna. Dia masuk ke hutan untuk mencari makanan --- baik haiwan buruan atau buah-buahan yang ada.
Bertemankan anjing betina, dia menyusuri kawasan hutan mencari apa yang ada. Tiba-tiba dia terpandang rumpun pandan (?) yang berbuah lebat.
Dia pun memetik buahnya dan diberikan kepada anjing betina sebagai makanan sebelum mendapat makanan yang lain.
Agak pelik juga, anjing boleh makan buah-buahan. Setelah dimakan sekonyong-konyong anjing betina itu merasai suatu kelainan di dalam rahimnya. Ia mulai berisi. Anjing itu bunting dalam masa beberapa minit. Ini menimbulkan kehairanan.
Perutnya makin besar dan akhirnya, di tengah hutan itu anjing betina melahirkan seekor anak anjing yang comel.
Melihat si anjing sudah melahirkan anak yang comel, timbul dalam fikiran perempuan tua itu, itu anjing yang makan buah pandan. Bagaimana kalau dia sendiri yang makan buah itu?
Maka dia pun memetik buah pandan lagi. Dia kupas dan makan isinya.

HAMIL

Wah, dalam masa beberapa minit kemudian dia mulai merasakan suatu kelainan. Rahimnya mulai berisi seperti orang sedang mengandung. Dia meraba perutnya. Ia membusung. Bukan busung, tetapi mungkin hamil seperti mana anjing betina yang bunting dan melahirkan seekor anak anjing.
Dia segera balik ke rumah. Tidak mungkin mahu melahirkan bayi di tengah hutan. Bersama anjing betina dan anaknya dia pun balik ke rumah.
Sampai di rumah, dia melahirkan seorang bayi lelaki. Ia dinamakan Kweiya. Kini, dia tidak keseorangan lagi. Sudah ada anak lelaki yang bakal menemani dirinya tinggal di tengah hutan sepi.
Seperti proses terbentuknya anak anjing dan janin dalam perutnya, apabila bayi itu sudah dilahirkan, ia pun menjalani proses pembesaran yang serba segera.
Inilah hebatnya cerita dongeng ini.
Anak itu cepat membesar dan kemudian diajak oleh ibunya untuk membersihkan kawasan hutan bagi tujuan bercucuk tanam dan menanam padi huma.

KAPAK

Dengan menggunakan batu tajam, si anak diajar oleh ibunya bagaimana menebang pokok hutan. Sudah tentu hanya pokok yang ukurannya kecil dapat ditebang, dengan batu kapak itu dia tak mampu menebang pokok yang besar, lagipun dia masih kanak-kanak.
Mana-mana pokok yang sudah tumbang akan dicantas daunnya oleh di ibu. Daun dilonggokkan dan kemudian dibakar. Asapnya menjulang ke udara. Hanya dua beranak itu sahaja yang mengerjakan hutan simpan itu.
Asap yang naik ke udara kelihatan dari jauh. Seorang pemancing ikan melihat dengan penuh kehairanan. Dia sudah syak, di kawasan rimba itu pasti ada orang tinggal.
Maka pemancing itu pun menyusuri sungai dan kawasan hutan untuk mengetahui sumber asap itu.
Apabila sampai ke kawasan hutan itu, pemancing itu melihat ada seorang kanak-kanak sedang menebang pokok dengan menggunakan kapak batu.
Pemancing itu mendekati penebang kayu itu.
"Kenapa kamu tebang pokok itu?" tanya lelaki pemancing itu.
"Saya tolong ibu saya tebang pokok ini untuk buat ladang," jawab Kweiya.
"Kamu seorang yang rajin, kamu menolong ibumu bersusah payah menebang dengan batu, pakcik ada kapak besi, gunakanlah kapak ini untuk menebang," kata pemancing itu sambil menunjukkan cara memegang kapak dan cara menghayunkannya.
Kweiya suka hati dapat kapak dari besi. Ia lebih tajam daripada batu yang dia gunakan selama ini.
Ibunya pasti gembira kalau lebih banyak pokok dapat ditebang dengan kapak pemberian dari pemancing itu.
Dalam diam-diam hubungan pemancing dengan Kweiya semakin akrab. Akan tetapi ia masih rahsia kepada ibunya.

TEMAN HIDUP

Disebabkan lelaki pemancing itu seorang diri, dan ibunya juga seorang diri di tengah hutan, maka Kweiya merancang hendak menyatukan keduanya. Biarlah pemancing itu menjadi teman hidup kepada ibunya di tengah hutan.
Bagaimana caranya? Kapak besi pemberian pemancing itu sudah diceritakan kepada ibunya. Hanya lelaki pemancing itu sahaja yang belum pernah dilihat oleh ibunya.
Kebetulan di tengah hutan itu dia juga ada menanam tebu, maka dia tebang beberapa batang tebu untuk dibawa balik ke rumah.
Dia sudah dapat satu idea. Dia ajak pemancing itu ke rumahnya. Pemancing dipujuk agar setuju dengan cadangannya, nanti kalau sudah sampai di rumah, dia kena berbaring di tengah longgokan batang tebu dan daunnya.
"Kenapa buat begitu?" tanya pemancing.
"Nanti saya beritahu!" kata budak lelaki itu.
Tebu yang ada ditebang dan kemudian diikat. Kweiya dengan pemancing berjalan beriringan sambil memikul seikat tebu di bahu masing-masing.
"Pakcik nanti baring di tengah dua longgokan tebu, saya nak suruh emak saya ambil tebu sebatang, ketika emak saya ambil nanti tentu dia hairan di tengah longgokan tebu ada orang!" terang Kweiya sambil tertawa.
"Amboi, awak suruh pakcik berlakon ya?"
"Yalah!"
Kedua-duanya tertawa suka.
Sampai di rumah, pemancing itu disuruh berbaring dan longgokan tebu diletakkan di kanan dan kirinya.
"Diam-diam, jangan bising!" kata Kweiya sambil menepuk-nepuk kaki pemancing.
Ketika itu si ibu sedang sibuk di dapur, Kweiya pun masuk ke dapur. Dia duduk dan meminta air minuman.
"Nak air apa nak?" soal ibunya.
"Apa ya?" kata Kweiya sambil memikirkan air minuman kesukaannya. "Ha...air tebu!" katanya.
"Air tebu? Mana ada tebu?" kata ibunya.
"Ada mak depan pintu tu...ambillah sebatang!"
Ibunya pun pergi ke pintu depan untuk mengambil sebatang tebu yang dikatakan oleh anaknya. Sebaik ditarik sebatang, ibunya terkejut kerana ada seorang lelaki di situ.
"Bangun! Bangun! Apa awak buat di sini?" katanya.
Kweiya cepat-cepat meluru ke pintu depan.
"Ini pakcik yang tolong kita mak, dia berikan kapak besi untuk kita pakai," terang si anak.
Si ibu angguk-angguk malu.

PUJUK

Kemudian si anak berbisik kepada ibunya. "Mak, apa kata kalau kita ajak pakcik ni tinggal dengan kita sekali."
"Hisss, merepek kamu ni!" kata ibunya malu-malu.
"Bukan tinggal sahaja mak, tapi pakcik ni bolehlah temankan emak dan saya pun tentu ada ayah," kata Kweiya.
Dipendekkan cerita, maka akhirnya pakcik itu pun setuju berkahwin dengan ibu Kweiya. Dia tolong membersihkan hutan untuk berladang.
Tidak lama kemudian lahirlah seorang bayi, bayi lelaki. Itu adalah adik kepada Kweiya. Rumah di tengah hutan itu makin meriah. Selang setahun kemudian lahir lagi seorang bayi lelaki. Pondok di tengah hutan makin riuh dengan suara kanak-kanak.
Kweiya adalah anak tertua, ia anak misteri dari buah pandan yang dimakan oleh ibunya.
Tidak lama kemudian lahir lagi seorang bayi perempuan pula. Jadi di rumah itu sudah ada tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan yang bungsu.
Walaupun sudah ada anak yang lain, si ibu masih sayangkan yang paling tua. Kweiya lebih disayangi kerana kelahiranya mistik sedikit tidak seperti adiknya yang lain.

CEMBURU

Disebabkan ibunya terlalu sayangkan yang sulung, adik-adik yang lain rasa cemburu. Suatu ketika dua beradik itu berpakat untuk memukul abangnya. Biar dia cedera, biar dia rasa kerana dia sangat disayangi oleh ibunya.
Perbuatan adik beradik itu membuatkan Kweiya macam merajuk. Dia tidak mahu balik ke rumah. Dia menyorok di sudut rumah, memang tersorok hingga ibunya tak tahu dia di mana. Sambil menyorok dia membuat benang warna-warni daripada kulit haiwan.
Benang itu dipilin dan kemudian dia bercadang hendak jadikan ia seperti bulu burung. Benang yang panjang itu berjuraian apabila dibawa berjalan. Dia pun meletakkan benang itu di bawah ketiaknya kanan dan kiri. Dia berangan macam burung dan boleh terbang.

BURUNG

Sekonyong-konyong Kweiya telah bertukar menjadi burung. Dia pun melompat dan menuju ke arah pokok. Dari pokok dia melompat ke atas bumbung rumah.
Aneh, daripada tubuhnya yang sebesar kanak-kanak belasan tahun, dia sudah bertukar menjadi burung yang berukuran kecil.
Si ibu memanggil anaknya. Dia tidak menyahut. Yang kedengaran adalah suara burung.
KUK-KUK! KUK-KUK!
KUK-KUK-KUK-KUK-KUK!
Burung yang cantik, berekor panjang berjuraian. Warna-warni. Itulah konon asalnya burung cenderawasih.
Kalau di zaman moden ini orang percaya dengan dongeng maka itu adalah mustahil. Ia hanyalah cerita untuk pengantar tidur. Jika orang bercakap tentang burung cenderawasih, maka cerita ini secara spontan akan diceitakan orang. Hanya pedagang ubat kaki lima tak tahu cerita ini.
Setelah menyedari anak sulungnya jadi burung, si ibu merayu kepada si anak agar diberikan pintalan benang yang ada kerana ibu juga ingin menjadi burung mengikut jejak langkah si anak.
"Ibu punya ada di dalam gulungan tikar!" kata si anak yang telah bertukar jadi burung.
Si ibu pun mengambil pintalan benang berambu-rambu itu dan meletakkan di bawah ketiaknya. Sebaik dia buat begitu, dia pun secara tiba-tiba boleh melompat dan badannya jadi ringan. Badannya jadi kecil seperti burung. Dia pun sudah dapat terbang dan melompat ke atas dahan pokok.
Dua ekor burung yang asalnya manusia telah terbang berkejar-kejaran di atas bumbung rumah.
WONG! WONG! WONG!
Burung itu terbang.
KO KOK...KOK...!
Burung itu berbunyi.
WO...WIKKKK!
WO...WIKKKK!
Di Papua Barat burung cenderawasih jantan dipanggil Siangga kerana ekornya panjang dan cantik. Burung betina mereka panggil Tombor dalam bahasa Lha.
Bagaimana dengan tiga beradik yang ditinggalkan ibu dan abangnya itu? Mereka telah bergaduh dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Ayahnya cuba menasihatkan mereka, tetapi mereka tetap berdegil. Mereka menyesal kerana telah kehilangan ibu dan abang sekaligus.
Akhirnya kedua beradik lelaki itu saling lontar melontar. Batu tungku daput dan abunya dilontarkan ke arah lawannya. Habis muka mereka comot. Badannya kena debu arang dan kehitaman. Ketika itu si bapa tidak mampu hendak menahan lagi kerana kedua beradik itu konon bertukar menjadi sejenis burung yang tidak menarik, berbulu hitam kelabu dan tidak ada warna-warni pada bulunya.
Disebabkan itulah konon di hutan itu sampai sekarang banyak burung yang tidak menarik berkeliaran. Adik yang sulung pun ikut sama menjadi burung.
Dengan berubahnya tiga beradik itu menjadi burung, maka sempurna sudah, anak beranak menjadi burung. Kini, tinggalkan pemancing ikan itu menjaga pondok di tengah hutan.

KOMEN

Barangkali kerana asal-usul cenderawasih dari manusia, maka bangkai burung itu dianggap bermanfaat untuk tujuan "perubatan" atau "benda mistik simpanan" - di mana-mana orang mengusung cerita tentang kehebatan burung cenderawasih. Bangkai burung ini bernilai ratusan ringgit, dan bagi yang terdesak sanggup membayar lebih untuk mendapatkannya.
Disebabkan ia suka terbang di kawasan hutan yang tinggi, ia dianggap makhluk kayangan. Tidak dapat dipastikan apakah keistimewaan burung ini dipandang dari sudut pranormal. Apa pun jika benar ia ada manfaat atau khasiat, ia hanya rekaan semata-mata.  []

1 comment: