Monday 13 August 2012

ULAR TERBANG ATAU ULAR LOMPAT?

DULU MASA KECIK ada orang kata, kalau ada ular jangan ditetak dengan parang panjang, nanti ia boleh terbang. Wah, ular terbang? Bagaimana ia terbang?
Inilah yang menggerunkan. Sudahnya apabila ada ular, senjata utama ialah buluh panjang. Itulah senjata ampuh untuk menewaskan ular.
Ada kisah misteri tentang ular di Kalimantan. Ada orang kata, memang ada ular yang boleh terbang. Terbang macam burungkah? Rupa-rupanya ia tidaklah terbang, tetapi melompat dari satu dahan ke dahan yang lain dengan gerakannya yang seimbang untuk mendarat dan berpaut. Jadi kalau ada orang lalu, kebetulan ular itu melompat, maka ia akan hingga mengenai leher atau belakang orang itu. Inilah agaknya yang dikatakan ular terbang.
Dulu ketika orang putih [Belanda] berada di Sumatera [1833]mereka pernah merekodkan adanya ular terbang. Penduduk tempatan menceritakan kepada tukang catat itu bahawa mereka lihat ada ular terbang di udara. Disebabkan gerun dengan bahaya ular terbang itu, orang kampung telah membunuhnya sebaik ular itu mendarat ke tanah.
Adakah ular itu bersayap, soal orang putih yang juga selaku penyelidik hal ehwal negeri Melayu. Tidak adas sayap, tetapi ular itu panjangnya sekitar 1.2 meter.
Dalam tahun 1841, dalam laporan Missionary Herald, edisi Mac, melaporkan  NM Ward telah melihat bagaimana ada seekor ular terbang ketika dia mendongak melihat pokok yang tinggi.
Khabarnya, di Asia Tenggara ini ada lima jenis ular yang boleh "terbang" begitu. Seperti yang dikatakan tadi, lompatan di tempat tinggi dari pokok ke pokok itulah yang menyebabkan ia dianggap terbang. Ular itu melompat dari pokok yang tinggi ke dahan yang lebih rendah, ular memilih ruang mendarat yang lebar dan ada tempat berpaut. Itulah yang dianggap sebagai terbang.

No comments:

Post a Comment