Monday 13 August 2012

BULAN PUASA, JANGAN CELA MAKANAN

DALAM BULAN PUASA ni makanan terlalu mewah. Bayangkan orang di Somalia sampai tak ada makanan. Semalam kami solat di sebuah masjid di Bt 4 Gombak, imam dari Somalia. Dia menceritakan bagaimana keadaan di Somalia yang serba kekurangan itu.
Dia kata, Somalia adalah negara Islam, sayangnya penadbiran negara masih tidak terurus, ada sahaja perebutan kuasa. Akibat huru-hara yang berpanjangan, ikhtiar ekonomi jadi macet dan lesu.
Mungkin kita pernah dengar ada lanun Somalia menjarah kapal dagang. Itulah satu cara untuk mendapatkan benda berharga dari kapal dagang. Mereka ada senjata dan ada keberanian. Itulah tindakan manusia apabila terdesak.
Teringat juga saya kepada kisah seorang syeikh yang ditanya dalam soal jawab agama. Wakil dari Somalia bertanya, bagaimana hukumnya orang yang berpuasa tetapi tidak mampu hendak bersahur dan tidak mampu nak berbuka, kerana di dalam dua waktu itu memang tidak ada sumber makanan pun!
Maka menangislah syeikh apabila menerima soalan dari Somalia itu.
Apakah kita di Malaysia ada keadaan seperti ini? Rasanya ada. Hendak berbuka hanya ikan gelama masin dengan sayur ubi kayu masak air. Bawang pun tidak ada, jangan tanya bawang besar atau bawang putih. Habis stok, duit tak ada.
Dan orang ini atau keluarga ini maan seadanya tanpa diketahui jiran terdekatnya. Hak jiran hendaklah ambil tahu apa yang ada pada jirannya. Masalah mereka pun nak ambil tahu juga.
Tengok satu kes kecurian ibu kayu di ladang ubi. Pemilik ladang repot polis. Polis siasat, orang yang melakukan adalah seorang perempuan berumur, dia curi ubi kayu untuk memberi makan kepada anaknya yang sedang sakit.
Punyalah tidak berhati perut pemilik ladang itu. Kalau dia suruh perempuan itu bekerja membersihkan ladang ubi pun apa salahnya? Ini tidak, dia ngotot mahu perempuan tua itu disumbat ke dalam penjara. Saya tak tahu kalau kes ini berlaku di Malaysia apakah tuan hakim sampai hati hendak menjatuhkan hukuman kepada perempuan tua yang kemiskinan begitu?
Apa guna projek ratusan juta, LRT dipertingkatkan, bangunan mencakar langit, projek sana dan projek sini sedangkan di sebuah mahkamah sedang membicarakan seorang perempuan tua yang dituduh mencuri ubi, bukan barang berharga, kalau nak curi pun setakat dua tiga ketul ubi sahaja, bukan sampai dua tiga pokok ubi!
Maka, dengar cerita, hakim yang bijaksana di Jawa itu memang menjatuhkan denda dan hukuman penjara kepada perempuan tua itu mengikut panduan undang-undang. Tetapi dia dalam masa yang sama turut mendenda jiran-jiran yang tak ambil kisah dengan jiran yang satu ini.
Maknanya, awak makan sedap-sedap, sedangkan jiran sebelah rumah beras pun tak ada. Puncanya, jiran itu bukan saudara kita. Tak ada kaitan persaudaraan pun. Inilah kesombongan umat di mana-mana. Kehidupan yang seperti dulu sudah berubah.
Setiap keluarga berada bangga kalau dapat menghimpun harta dan mempamerkan kekayaan. Sedangkan jirannya miskin.
Begitu juga dalam bab terlalu mewah makan, dalam bulan puasa ini, dek terlalu mewah dan melambaknya makanan, sampai nak makan pun tak lalu. Bukan apa, terlalu banyak yang sedap. Jadi, yang paling sedap yang menjadi pilihan. Ketika ini pula ada orang mencela makanan. Itulah, inilah. Terutama yang beli juadah berbuka terlalu awal. Pukul 2.00 petang sudah beli. Sedangkan nak buka berapa jam lagi?
Inilah kisahnya, ada negara yang kebuluran, dan ada negara yang melambakkan makanan di atas meja dan kemudian dijamah sedikit. Selebihnya dibuang ke tong sampah. Puncanya? Dah kenyang! []

No comments:

Post a Comment