Monday 13 August 2012

CATATAN PERIBADI MINGGU AKHIR RAMADAN

DI MASJID

Bilangan saf solat berjamaah makin kurang. Di tempat ana, daripada tujuh saf merosot tinggal satu saf setengah sahaja selepas 8 rakaat terawih. Yang tinggal hanya muka-muka yang sama sahaja. Tak tahulah di tempat antum semua. Ini perkara biasa, setiap tahun macam ini.
Kemudian ada masjid yang adakan qiamulail dari jam 3.00 pagi atau 4.00 pagi hingga jam 5.00 pagi. Siapkan ada hidangan sahur lagi. Itupun bukan faktor penarik, makanan bukan puncanya, tetapi mungkin keletihan, ketiduran, tak biasa, atau buat qiamulail di rumah dengan ahli keluarga.

DI BAZAAR DAN GEDEGUM

Orang berjejalan mencari sesuatu yang hendak dicari. Ikut selera masing-masing. Bagi yang rasa duitnya masih tebal dalam dompet, mereka beli seada-adanya, bagaikan esok tiada lagi.
Tinjauan di Chow Kit umpamanya, bilangan pendatang asing lebih ramai mengalahkan orang tempatan. Sehingga ke mana sahaja akan bertemu dengan mereka, semuanya yang dari Jawa Timur akan berbicara dengan langgam Jawanya.
Disebabkan itulah kawasan pasar pun sesak, dalam supermarket pun sesak. Habis di mana yang tak sesak masa ini? Justeru jangan bertanguh kalau nak beli sesuatu. Hanya daging tak perlulah beli sekarang, simpan jadi stok penimbal pula. Atau ketupat nasi, atau daun palasnya, sebab yang mustahak adalah mercun dan bunga api.
Dan tak hairan orang berumur pun sibuk main mercun dan bunga api mengajar anak-anak dan cucu teknik bermain yang berani!
Elok tu, anak-anak patut diajar pegang mercun dan bunga api. Kalau meletup di tangan, bukankah akan jadi berita malar segar?
Lagipun nak salahkan siapa, lagu raya kita tak habis-habis, cerita fasal kemeriahan ini, dam-dam dum, bunyi mercun...patut ditambah lagi gedegum-gedegum bunyi meriam dalam tanah, kanak-kanak berlari bawa karbait barulah meriah kalau ada bunyi gedegum yang kuat mengalahkan bom nuklear.

LAMPU MINYAK TANAH

Semua nostalgia. Bukan apa, dulu di kampung tak ada api dalam kaca. La ni api ada dalam kaca. Jadi, tak payahlah pasang pelita semua. Sebab, apabila sudah terang ada cahaya pelita, senanglah bebudak main sorok-sorok, main tembak-tembak dengan mercun, dan macam-macam permainan lagi.
Ada setengah tempat, lampu minyak tanah sudah dijadikan bahan untuk berlawan-lawan, mana yang meriah hiasannya. Kalau nak tengok kenalah rumah tepi highway baru cantik, atau rumah tepi jalan raya.
Di Perak selalunya lampu punjut dipasang dengan aneka rupa hiasan yang kreatif. Lip-lap, lip-lap macam ini sudah jadi tradisi dalam budaya kita. Jika tak ada pelita, ada yang buat gunakan batang buluh, tapi nak kena pandai buatlah, kalau tidak dengan buluh itu sendiri terbakar. Haru dibuatnya.

KUIH RAYA

Mood nak buat kuih raya macam zaman dulu sudah terkambus. Orang lama pencen buat kuih raya, orang muda tak mahu buat pun. Tak tahu resipi, tak pandai nak sukat, alat tak ada dan macam-macam alasan. Akhirnya, mana nak cari kuih raya kak oi?
Apalagi, ada sejenis kuih yang sangat popular di kalangan orang kita, tidak kira di dalam bandar atau di luar bandar, semuanya mengaplikasikan sistem yang dinamakan sebagai KUIH TUNJUK.
Maka di sana-sini kuih tunjuk yang dipamerkan. Dek terlampau banyak kuih tunjuk dan kuih telunjuk semua, maka orang hanya makan ala kadar, atau makan kacang-kacang atau minum sahaja.



No comments:

Post a Comment