Tuesday 19 March 2013

BELAJAR NAK JADI WARTAWAN HIBURAN

Dulu ketika mengendalikan tabloid Mingguan Bumi bersama Pak Hussein Yaacob, Dr Alias Muhammad, Abdullah Tahir, Rahim Tahir dan nama lain yang tercicir [lupa nama] pejabat yang terletak di Plaza Pekeliling, KL selalu dikunjungi anak-anak muda yang ingin belajar jadi wartawan.
Bilangan yang nak jadi wartawan hiburan cukup ramai. Agaknya mereka lebih glamor kalau dapat tulis tentang bab hiburan begitu, sedangkan laman hiburan bukanlah minat saya.
Beberapa di antaranya, datang ke pejabat membawa salinan keras dan gambar-gambar yang diambil bagi mengiringi artikel yang ditulis. Ada yang mudah disunting dan tak kurang juga yang perlu suntingan ganda.
Bahan mudah yang mereka selalu bawa adalah laporan tentang persembahan di sana-sini, teater, nyanyian, muzik, pelancaran album [kaset], sembang santai bersama artis, dan ada juga yang suka tulis benda mudah dengan menemuramah penyanyi pub atau bar tertentu.
Dan bukan sesuatu yang luar biasa, di meja editorial akan berlonggok sampul surat dan gambar yang sesuai dan yang tak sesuai. Gambar penyanyi pub yang sedang menyanyi dalam pub, tetapi anehnya ada pula gambar iringan, gambar bogel penuh di atas katil. Ini apa ni? Tetapi saya tetap berbaik sangka kepada pengambil gambar tersebut. Kalau dah ambil gambar begitu, bermakna dahsyat juga "wartawan" ini memujuk sehingga boleh jadi begitu.
Adakah ini pujukan agar dapat menempuh populariti? Jadi, inilah kesan buruknya memiliki kamera, termasuk kamera dalam handphone pun. Di pasar karat Petaling Street KL, ada kawan-kawan bagi tahu, mereka beli handphone terpakai, apabila balik rumah dia buka, punyalah banyak paparan lucah di dalamnya, sedangkan yang menjual handphone terpakai itu orang berumur. Tak perasankah? File video itu boleh dibuang sebelum nak jual?
Berbalik kepada bab wartawan tadi, ada juga kalangan mereka ini anggap dunia hiburan adalah dunia yang tanpa sempadan. Ada wartawan muda yang nak tulis bab hiburan menyangkakan apa sahaja yang ada gambar boleh dijadikan bahan untuk paparan.
Daripada beberapa wartawan muda yang berjinak-jinak menyumbang untuk paparan tabloid tadi, tidak ada seorang pun yang bertahan sampai sekarang. Mereka tutup buku setelah tabloid berkenaan "tamat siaran" -- sedangkan proses kreatif dalam penulisan tidak menemui noktahnya. Sebab, biasanya yang menulis untuk ruang hiburan pun adalah kalangan penulis yang biasa menulis apa bahan pun, baik cerpen, puisi, rencana dan sebagainya.
Kini, ruang untuk menulis semakin lebar. Tak payah tunggu tabloid atau majalah. Paparan dalam FB dan Blog pun bolehlah dianggap sebagai media serupa tabloid itu. Malah, tidak perlu tunggu berminggu-minggu, sekarang buat, sekarang juga boleh dipaparkan. Inilah bezanya media dulu dan sekarang. Tetapi tidak wajarlah nak muatkan gambar penyanyi pub atas katil lagi macam zaman dulu. Itu zaman jahiliyah. Kalau mereka tutup buku dalam bidang hiburan pun lagi baik. Maknanya mereka telah membaiki diri daripada terus bergelumang dengan perkara syubhat yang tidak memberi manfaat. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment