Tuesday 19 March 2013

MAKHLUK BAWAH TANAH, APA DIA?

Khabarnya ada bandar, ada perkampungan, ada makhluk, ada haiwan dan peradaban lain di dalam tanah. Ini bukan alam barzah. Ia adalah misteri peradaban lain yang berada di bawah tanah.
Hiss, apa ni, orang sekarang tak mahu fikir yang bukan-bukanlah.
Renungkan sekejap.
Ada seorang juruterbang telah membawa pesawat yang dikendalikannya masuk ke satu ruang yang memelikkan, di sebuah celah di Kutub Utara.
Di situ pesawat yang dikendalikannnya itu telah memasuki satu ruang di bawah bumi dengan ketinggian yang menyamai ketika pemanduan di atas bumi [ruang angkasa]. Maka juruterbang itu hairan bin takjub, ketika mengitari kawasan di bawah bumi itu dia melihat situasi yang sama seperti berada di muka bumi, sedangkan dia sekarang berada di dalam terowongan bawah tanah.
Setelah berkelana di ruang angkasa dalam bumi itu, pesawat itu meluncur keluar. Dia pun hairan. Lubang apa yang telah dimasukinya itu?
Pengalaman juruterbang ini kalau diceritakan kepada orang lain, ia akan dianggap cerita orang mabuk naik pesawat.
Akan tetapi katanya, bukan tidak ada juruterbang Amerika yang telah menemui lokasi yang seperti itu hanya mereka tidak ceritakan kepada orang lain. Ia dijadikan perkara rahsia.
Alam kita, alam manusia yang kita terokai ini adalah dunia yang terbatas. Apabila kita menghala ke timur dan meneruskan perjalanan kita, kita akan mengelilingi bumi dan bertemu tempat yang awal tadi. Itu yang dimaksudkan terbatas. Kita juga lupa, bahawa ada dunia lain yang ada berhampiran kita.
Contohnya dunia makhluk jin, kita tidak tahu bagaimana rupa dan bentuknya. Sedangkan jin juga macam kita, ada peradaban, ada peraturan ada syariat, mereka pun solat dan puasa seperti kita.
Bukan tidak ada kisah fiksyen, terutama dalam filem-filem Barat, pengembaraan di dasar laut dengan kenderaan yang canggih, tiba-tiba memasuki terowong dalam laut. Menemui sebuah kehidupan lain di dasar laut.
Tidak terfikir oleh kita bahawa Atlantis adalah sebuah peradaban kuno yang telah luput dari sejarah. Orang tidak menyebut pun keberadaan mereka. Orang hanya menyebut tentang tamadun di bumi Iraq itu.
Muhammad Arif al-Mishri [Misteri Penduduk di Bawah Bumi terj.dari Sukkan Tahtal Ardhi, Kiswah Media, Solo: 2010] menanggapi bahawa alam Yakjuj dan Makjuj itu merupakan alam yang memiliki kehidupan seperti kita, serba-serbinya seperti manusia, meskipun mereka mungkin persis bangsa jin di alamnya. "Dan Dia menciptakan apa yang tidak kalian ketahui." [an-Nahl: 8].
Mengapa disebut ada makhluk di bawah bumi seperti yang diceritakan oleh juruterbang dan ulasan al-Mishri tadi? Ia sebenarnya ada kaitan dengan makhluk yang dipanggil Yakjuj dan Makjuj. Siapa dia sebenarnya?
Dua nama ini bukan rekaan mistik, bukan pula mitos dalam peradaban.
Dua nama ini disebut dalam al-Qur'an. Jadi kita tidak boleh anggap Yakjuj dan Makjuj itu sebuah dongeng atau mitos [semak maksud al-Kahfi: 93 - 98].
Yakjuj dan Makjuj ini adalah dua makhluk yang akan muncul di akhir zaman. Keduanya adalah makhluk aneh yang tidak dapat kita gambarkan bagaimana rupa dan bentuknya. Dua nama ini menurut kajian adalah pecahan dari kata AJIJ yang maksudnya kobaran api.
Dua kabilah Yakjuj dan Makjuj ini sangat merbahaya kepada manusia. Tidak ada kebaikan sama sekali pada mereka. Sebab itu kita kena jauhkan diri daripada bertembung dengan dua mahluk misteri ini.
Yakjuj dan Makjuj ini adalah makhluk yang diberi kekuasaan untuk menghancurkan siapa sahaja yang dikehendaki. Termasuk dunia Melayu sekalipun.
Masalahnya, di mana mereka berada sekarang?
Adakah mereka makhluk di bawah tanah sana atau di atas muka bumi bersama kita? Atau mereka berada di antara dua lembah yang dibentengi pagar tinggi yang menyebabkan mereka tak mampu keluar?
Di dalam al-Quran diterangkan bahawa Dzulkarnain adalah seorang lelaki salih yang telah menutup makhluk ini daripada keluar. Dia telah membina benteng besi dan tembaga agar makhluk pelik itu tidak keluar.
Di mana benteng itu dan di mana pula Yakjuj dan Makjuj itu bersarang?
Sekarang, masalah sarang dua makhluk ini tidak diketahui.
Adapun kajian yang telah dilakukan oleh cerdik pandai mengatakan bahawa ia terletak di pergunungan Azerbaijan dan Armenia.
Ada yang mengatakan ia terletak di bumi bahagian utara, iaitu di Kutub Utara. Ada yang mengatakan mereka berada di dalam perut bumi. Mereka akan keluar pada akhir zaman nanti dengan izin Allah.
Ada yang mengatakan tempat mereka keluar nanti adalah dari bahagian Timur, iaitu di kawasan Jepun dan sekitarnya. Ada yang mengatakan mereka hidup di kawasan Formosa. Lagipun di sebelah Timur itu ada banyak pulau, di situlah tempat tinggal makhluk jin.
Dalam sebuah hadis [kitab Ash-Shahihain] Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Dalam sehari, Yakjuj dan Makjuj mempu melubangi dinding selebar ini." Dan beliau menghimpun sembilan jarinya.
Bukan tidak ada percubaan untuk keluar dan menembusi benteng itu. Inilah yang menyebabkan ada ulama mengatakan makhluk itu berada di bawah bumi.
Allah telah berjanji [al-Kahfi: 98] bahawa apabila tiba akhir zaman kelak, Allah akan membelah benteng tersebut bagi membolehkan Yakjuj dan Makjuj keluar. "Maka apabila sudah datang janji Rabbku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Rabbku itu adalah benar."
Yakjuj dan Makjuj itu dulunya adalah makhluk perosak.
Allah menghukum makhluk ini  melalui tangan Dzulkarnain. Ia telah memenjarakan Yakjuj dan Makjuj dari dulu sampai sekarang. Akan tiba masanya makhluk itu keluar dari persembunyiannya.
Mereka akan menjadi alat untuk menghukum manusia yang pura-pura lupa dan berpaling dari perintah Rabbnya.
Ketika itu Dajjal pun akan muncul. Kemunculannya bertepatan dengan kehadiran Yakjuj dan Makjuj. Ini makhluk perosak dan penghancur. Akan terjadi peperangan hebat di antara Dajjal [Yahudi] dan para perosak tadi [Yakjuj dan Makjuj].
Bukit Thur adalah tempat yang selamat dari gangguan Yakjuj dan Makjuj, ia tempat perlindungan kepada orang-orang yang beriman di akhir zaman. Sesuatu yang tidak dapat kita gambarkan situasinya.
Berdasarkan kajian dan rujukan yang dilakukan ke atas ayat-ayat al-Quran [termasuk al-Anbiya: 96 - 97] dan hadis mutawatir, ada yang menyimpulkan bahawa makhluk Yakjuj dan Makjuj itu berada di wilayah berikut:

  • Mereka berada di sebelah timur, iaitu di China, Rusia atau Asia Tenggara [meliputi wilayah Nusantara, atau pergolakan di Selatan Filipina itu?]
  • Mereka adalah kaum yang membuat kerosakan di bumi [seperti perangai Banul Jaan].
"Hingga apabila dibukakan tembok Yakjuj dan Makjuj dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat tinggi." [al-Anbiya: 96].
Kekhuatiran kita sekarang adalah pergolakan yang berlaku di Syria itu. Dan semoga pergolakan yang berlaku di Asia Tenggara juga dapat diamankan. Semua ini mungkin ada kaitan dengan perwujudan makhluk perosak yang bakal menghuru-harakan bumi. Buat masa ini dua makhluk itu sedang dalam pemenjaraan. Hanya tidak dapat dipastikan di mana lokasinya yang tepat. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment