Tuesday 26 March 2013

KEDAI RAKYAT MURAHKAH?

Sejak dikempenkan bermacam program yang diwujudkan oleh kerajaan 1Malaysia, saya tidak ambil kisah langsung mengenai nama-nama yang disebutkan.
AZAM akhiri zaman miskin. Sejauh mana ia mampu menamatkan kemiskinan? Siapa yang dapat menyertai program itu? Menyeluruh atau tidak? Setakat yang kita ketahui, program ini tidak menepati sasaran. Benda AZAM ini tenggelam di dalam slogan 1Malaysia yang tak habis-habis mengangkat jari telunjuk. Para pemimpin kita pun seperti orang lain, sentiasa menunjuk ke langit.
Klinik 1Malaysia pun begitu juga. Kita bimbang, suatu masa nanti klinik ini pun bakal ditutup. Tidak ada sambutan. Begitu juga kedai yang dikatakan menyediakan barang keperluan untuk rakyat dengan harga murah. Apa yang murah? Setelah menjenguk kedai yang dimaksudkan, dan beberapa kali buat tinjauan di dalamnya, harga barangannya sama sahaja seperti kedai runcit yang lain. Jadi di mana tarikannya kepada kedai rakyat ini?
Harga barangan di kedai rakyat sama sahaja seperti harga di kedai lain, bahkan di kedai lain jauh lebih murah pun ada. Hanya barangan tertentu yang tidak diperlukan sangat diberi label 1Malaysia. Label inilah yang dijadikan produk untuk menarik pelanggan.
Dalam perniagaan, label kepartian adalah tidak sesuai, bahkan akan menjauhkan pelanggan. Ada orang malu masuk ke kedai rakyat. Orang berpendapatan sederhana tak masuk pun, apa lagi yang kaya raya. Lagipun matlamat kedai ini untuk orang miskin yang pendapatannya di bawah RM1,000 atau kurang lagi. Orang ada pendapatan lebih tidak mahu masuk ke situ. Orang miskin pun tidak suka masuk ke kedai itu kerana sukar dikunjungi, kedudukan tidak strategik, jauh dari kemudahan pengangkutan dan menyusahkan orang miskin.
Alan tetapi hari ini, semua orang bercakap tentang keistimewaan kedai rakyat. Ia memberi gambaran seolah-olah kedai itu telah merakyat, hakikatnya orang rasa keliru setelah masuk ke dalamnya dan mencari barang keperluan yang murah. Sayang benda yang tak perlu sahaja yang murah. []

No comments:

Post a Comment