Tuesday 26 March 2013

MERAPU DAN MENGARUT: POLITIK GILA

Lagi dekat nak pilihan raya semakin merapu dan mengarut. Politik menyebabkan orang jadi gila. Apa tak gilanya, ketika merapu dan mengarut inilah kita lihat gambaran seseorang itu berilmu atau tidak berilmu.
Saya teringat, seorang tokoh berilmu pada zaman 90-an, ketika itu saya mengikuti qiamullail di Masjid Jamek Kg. Bharu, Kuala Lumpur. Tokoh itu memimpin solat  di masjid. Tetapi hari ini, ketika kegilaaan sudah melampaui had kerana berpolitik, tokoh ini sudah merapu dan mengarut seperti orang muda tidak ada ilmu.
Bayangkanlah, kenapa hanya kerana politik seseorang sanggup merendahkan martabatnya begitu teruk. Ketika berceramah dan berwacana tentang agama sudah tentu ia pernah membicarakan soal fitnah dan semua topik yang berkaitan dengan sikap sebenar seorang muslim yang bertaqwa.
Hari ini, tokoh ini ikut sama menari seperti orang tidak berilmu, menjajakan skandal seks orang lain yang langsung tidak menggambarkan keilmuan tokoh tadi yang sebenar. Dia juga ikut sebar fitnah.
Kenapa begitu hina sekali menjatuhkan harga diri, ikut sama menjadi pencacai murahan, sedangkan di depan namanya ada gelar Dr?
Dengan kelakuan beginilah akhirnya, gelaran di depan nama bukanlah satu ukuran lagi. Di zaman bilangan pemilik gelaran ini masih kurang memanglah ia disanjung orang.
Kini bilangan yang memiliki gelar kesarjanaan ini sudah melimpah-ruah, institusi pengajian tinggi terlalu banyak, pelajar Melayu pun senang-senang boleh masuk belajar, markah kasihan pun boleh lanjutkan pelajaran.
Jangan hairan kalau seseorang itu memiliki gelar kesarjanaan. Tetapi biarkan gelaran itu seiring dengan sikap dan kelakuannya. Sekalipun masuk dalam bidang kepolitikan, tahap sarjana perlu dipertahankan, dan jangan menjatuhkan diri ke lembah kehinaan.
Inilah yang terjadi sekarang. Gara-gara kecewa dengan matlamat politik yang sudah berkecai, tokoh ini sanggup berkata apa sahaja, hatta dalam bab ghibah yang dosanya lebih besar, dia ikut bercakap tentang hubungan seks yang sepatutnya dia langsung tidak melibatkan diri.
Dan yang menghairankan, di tengah umat, tokoh ini masih merapu dan mengarut bercakap tentang murtad, tentang pluralisme, tentang liberalisme dan sebagainya.
Ketika tokoh ini memegang jawatan yang berkaitan dengan perkataan berkenaan, tokoh ini gagal sama sekali hendak mengaplikasikan pemikiran bernasnya.
Setelah terpaksa tinggalkan jawatan, tokoh ini hendak berkokok siang malam. Kini seperti orang yang kehilangan arah, tokoh ini terpaksa berjuang atas landas NGO yang tak jelas apa tujuan NGO itu diwujudkan.
Ia seperti melepaskan geram kerana kehilangan kedudukan dalam kepartaian.
Yang paling mengecewakan tatkala menghadapi pilihan raya kali ini, tokoh ini tidak mempunyai parti lagi. Bermakna dia akan kekal sebagai tokoh dalam NGO sahaja. Dan akan gunakan NGO ini sebagai landasan untuk mempopularkan diri. Setidak-tidaknya dia masih menjadi buruan wartawan yang condong kepada kerajaan berpaksikan Umno. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment