Saturday 16 March 2013

HARTA KARUN DALAM TANAH NAK AMBIL LAGU MANA?

CERITA harta karun dalam tanah pun menarik juga. Pernah ketika berada di Masjid Jamek LRT, Kuala Lumpur, seorang yang biasa dipanggil "ustaz" tanya saya di mana nak dapatkan orang pintar? Pintar apa? Pintar keluarkan harta karun, katanya.
Maka saya pun langsung tak ada idea nak jawab. Lagipun saya tak kenal siapa orang pintar itu? Ada tidaknya hanya Pak Raden Puji Masono sahaja yang selalu saya soal macam-macam perkara. Akhirnya saya  bagi nombor telefon Pak Raden untuk dia hubungi.
Rupanya, "ustaz" tadi sudah melalut-lalut, daripada isu orang pintar, dia sergah lagi soalan pada saya mana nak dapat rantai babi? Asli atau tipu? Kemudian batu delima merah. Ada pulak yang nak dapatkan keris boleh berdiri. Jadi, macam-macam yang orang fikirkan untuk menambah sedikit komisyen sebagai sumber kewangan.
Ada yang sibuk bercerita tentang tarik duit atau istilah mendulang duit di alam ghaibah. Ada yang sibuk nak keluarkan harta karun dalam tanah. "Sudah pastikah ada harta karun dalam tanah tu?" saya tanya macam dukun korek harta karun pula. "Kalau tak pasti jangan buang masa," kata saya lagi.
Ini cerita mainan tidur. Para broker di Kuala Lumpur pun ada yang masih asyik dan sibuk mencari harta karun. Beberapa orang sudah meninggal. Timbul broker baru pula.
Muhammad Arif al-Mishri [bukunya Sukkan Tahtal Ardhi, terj.Misteri Penduduk Bawah Bumi, Solo: Kiswah Media, 2010] juga ada menyentuh soal kegilaan umat terhadap harta yang terpendam dalam tanah. Para pemburu harta karun ini termasuklah para "broker"nya memang gemar bercerita mengenai laba yang akan diperoleh kalau harta karun itu dapat ditimbulkan.
Beliau menceritakan bagaimana ada seorang lelaki "gila" sanggup berhabis duit semata-mata nak korek harta karun dalam tanah. Mereka habiskan jutaan Pound [bukan ringgit ya] semata-mata harta karun dalam tanah.
Al-Mishri berkata, sungguh memang ada harta terpendam dalam tanah yang telah dikuasai dan dijaga oleh saudara-saudara kita dari bangsa jin.
Ada banyak harta terpendam dalam tanah, antaranya harta peninggalan zaman silam. Contoh harta milik Fir'aun, harta milik Asyria dan Babylon. Benda peninggalan mereka banyak, ada wang kuno, emas, permata, dan benda-benda yang diperbuat daripada leburan emas seperti milik Raja Tutankhamun di Mesir dan peninggalan di Baghdad itu.
Kenapa harta itu terpendam? Katanya, ia terjadi setelah kehancuran bangsa yang memiliki peradaban maju, baik kerana hukuman Allah kerana kedurhakaan mereka, dan ini merupakan sunatullah bagi para pelaku kejahatan. Atau ia terkubur setelah gempa bumi atau kerana peperangan. Harta disorokkan di dalam tanah.
Kisah harta Fir'aun juga menarik apabila ada nota peringatan di pintu masuk piramid.
"Carila, nescaya kamu akan mendapatkan. Siapa yang mencari , akan mendapatkannya."
Selain harta peninggalan kerajaan masa silam [harta pendaman Kerajaan Barisan Nasional tidak pula diketahui ditanam di mana] ada harta terpendam yang dijaga oleh jin. Pencari harta karun selalu menyebutnya khadam Jin. Sungguh hebat penyimpan harta karun zaman dulu. Mereka boleh mengikat harta karun itu dengan kunci mantera dan sihir yang tidak mampu dibuka oleh manusia. Harta yang ada itu sebenarnya telah diawasi oleh syaitan dari bangsa jin.
Kalau mengikut syariat, kita tidak boleh berinteraksi dengan syaitan ini kecuali kalau dengan menggunakan rambu-rambu al-Qur'an. Jika kita gunakan rambu-rambut syaitan, itulah yang biasa orang lakukan dengan menyembelih kambing hitam, ayam cemani, bakar wangian atau kemenyan, ada apple jin dan sebagainya.
Harta yang terpendam itu pun masih disangsikan lagi kewujudannya atau temberang syaitan [jin] sahaja.
Al-Mishri dalam nota kakinya ada menyentuh tentang bahan yang kita tidak tahu pun kegunaannya. Katanya, di kalangan umat Arab dan lingkungannya, ada sejenis raksa warna merah atau air raksa merah yang konon boleh dimanfaatkan untuk membuka "peti simpanan" dalam tanah. Selain air raksa merah itu ada lagi wangian seperti dupa yang disebut dupa Moroko konon boleh diguakan sebagai sarana membuka simpanan harta karun yang dijaga khadam tadi.
Nampaknya, cerita harta karun bagi di belahan Afrika Utara dan Nusantara sama hebatnya. Sana sibuk cari harta karun, kita pun sibuk juga.
Selain dua jenis harta tadi, ada harta terpendam yang berupa harta warisan. Ini disejajarkan dengan maksud ayat al-Qur'an: "Adapun dinding rumah adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang salih. Maka Rabbmu menghendaki agar mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Rabbmu." [al-Kahfi: 82].
Al-Mishri berkata, harta karun jenis ini jenis yang halal, mudah dibuka dan tidak perlu mantera. Ia hanya diberi kunci kepada pemiliknya kelak. Akan tetapi dewasa ini tidak ada orang menyimpan harta seperti yang dipaparkan dalam ayat tadi. Mungkin ada yang membuka akaun simpanan di luar negeri, dilaburkan dalam bentuk harta tak alih, saham, dan sebagainya.
Kita tidak pernah dengar cerita harta karun terpendam di Melaka, padahal bukan tidak ada orang sembang di tepi Bukit St Paul itu ada simpanan harta tersembunyi. Atau yang tersimpan di Bukit Senjuang dan di Tanjung Tuan. Sementara dari negara jiran, ada wanita Palembang yang katanya mahu mengambil harta karun dari kapal dagang yang tenggelam di Selat Melaka. Kumpulannya juga termasuk pembaca mantera handalan. Ada-ada sahaja! []

No comments:

Post a Comment