Tuesday 19 March 2013

MEMANG BETUL LINTANG PUKANG LA NI!

Kalau rajin menjenguk mana-mana blog dan apa sahaja paparan yang ada, pasti fikiran kita jadi lintang-pukang. Betapa tidak, dunia ini seolah-olah semakin panas. Keadaan lintang-pukang. Tetapi hanya pemikiran kita sahaja kerana sibuk memikirkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan kerjaya. Umpamanya, tak kan seorang peniaga warung nak fikirkan masalah isu Lahad Datu, atau isu di Syria sana.
Begitu juga tak kan seorang penganggur nak sibuk memikirkan isu janji ditepati, sekalipun sepuluh kali janji itu ditepati, budak itu tetap menganggur. Begitu juga kalau budak penganggur itu diberi baju warna biru dan disuruh pacak bendera, dibagi duit, lepas pilihan raya dia tetap menganggur. Kalau orang begini meramaikan majlis politik, memang nampak penuh, tetapi keadaan tak akan berubah juga.
Sebab itulah, dalam kempen politik kita tidak perlu guna kaedah usungan, kaedah bas kosong, kaedah duit minum, duit minyak dan sebagainya. Memang ramai, tetapi ia setakat meramaikan sahaja.
Dulu apabila pihak PR mengadakan himpunan, media pendukung Umno memerli konon tidak dapat sambutan. Itulah peranan media untuk menafikan hakikat sebenarnya. Itu media tahun bila? La ni, media penguasa tak boleh menipu, rakyat dah tak tengok RTM lagi, mereka ada media lain, media alternatif yang sesuai dengan selera mereka.
Dalam bab inilah pemimpin Umno naik bingung. Fikiran mereka pun ikut lintang pukang. Betapa tidak, isu di Sabah sana itu, kalau boleh hendak didiamkan sahaja. Tolong ya jangan cerita tentang projek IC. Malu dibuatnya. Inilah projek yang merosakkan imej negara. Merosakkan imej parti pemerintah. Mereka menghalalkan segala cara asalkan mereka berkuasa. Matlamat projek IC pun sudah dijelaskan kalau anda rajin baca paparan dari Sabah sana. Semua ini bukannya fitnah. Ia paparan yang sebenar, akan tetapi pihak tv dan radio, media utama kita tak berani siar, kalau disiarkan juga, alamat laporan itu mematuk diri sendiri. Habis nak salahkan siapa?
Memang betullah kita la ni semakin lintang pukang. Masalah demi masalah. Lagi dekat nak pilihan raya, banyak pula kenyataan baru dan pelik yang menyebabkan fikiran semakin bercelaru. Mana satu yang betul? Apa pun ada banyak fakta yang dipaparkan itu menarik untuk direnungkan, dipercayai, walaupun bukan tidak ada penafian selepas ini. Biasalah. Sedangkan perogol pun tidak mengaku bersalah ketika mula-mula tuduhan dibacakan.
Isu IC tidak boleh ditutup begitu sahaja. Ia telah membuka pekung di dada. Apa nak buat, kalau dahulu mereka mengaut untung dari projek itu, maka kini mereka saling tuduh menuduh, saling menafikan. Orang pun tertawa melihat perangai mereka. Memang betul lintang pukang la ni!
Kemudian, di Johor, orang-orang Melayu sana yang selama ini amat setia dengan "keamnoan" kini telah menyedari, bahawa politik yang mereka anuti telah membuai lena sehinggakan mereka dalam keadaan begitu, menjadi hamba politik, hamba kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, tetapi menyenangkan pemimpin atasan. Pihak atasan mengaut untung dan projek untuk keluarga dan suku-sakat, mereka yang setia dengan kepartian itu ditinggalkan jauh dalam tempurung kemiskinan. Minta mereka diperangkap oleh keyakinan bahawa parti Melayu akan tolong Melayu. Hakikatnya sekarang, di Sabah sana, parti Melayu boleh tolong Pakistani, boleh tolong sesiapa sahaja tanpa mengira Melayu atau tidak. Jadi, di mana yang dikatakan ada perjuangan hak Melayu?
Itupun masih ada NGO yang mengatasnamakan Melayu untuk berjuang. Mereka kini terkapai-kapai kerana tidak ada contoh pemimpin parti Melayu yang memperjuangkan hak mereka. Mereka keliru. Apa sudah jadi dengan slogan kepartaian? Apakah mereka tidak merujuk asal mula parti itu ditubuhkan? Inilah yang menyebabkan fikiran jadi bercempera. Walllahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment