Saturday 16 March 2013

TAK RAMAI SERTAI MENCARI BINTANG, KENAPA?

Ini bab hiburan. Program realiti memang tidak ada penghujungnya. Lepas satu, satu pula yang muncul. Semuanya bermula daripada idea awal program reality di Amerika sana. Apa yang tidak kita tiru? Kalau boleh semua hendak ditiru dan kemudian kita canangkan inilah program realiti terbaik kita.
Sambutan yang hebat dari penonton [mereka ada tengok tv] menyebabkan berbagai program reality dianjurkan, termasuklah mencari Imam Muda sekalipun. Acuannya masih sama. Meniru program realiti.
Kemudian seorang bintang wanita yang bolehlah dianggap sebagai mentor atau "pengajarnya" beritahu media bahawa sambutan di kalangan peserta wanita cukup kurang. Alasannya mereka agaknya malu hendak tunjuk bakat menyanyi dan melawak di pentas.
Mungkin ada yang tidak menyedari, apabila kesedaran akan ilmu telah melebar dan semua orang mengetahuinya, maka bilangan peserta yang nak uji bakat tentulah semakin kurang. Bukan soal kaum wanita malu nak berlakon atau melawak.
Bintang wanita yang juga pengacara itu memang mengharapkan kaum wanita berebut-rebut untuk menyertai program mencari Bintang itu.
Mencari Bintang ini sama sahaja dengan usaha hendak mencari kemasyhuran nama. Apabila nama sudah masyhur, maka jadilah orang itu sebagai selebriti, boleh diraikan, boleh berada di atas pentas, boleh mengacara dan melawak, membuat orang tertawa -- akan tetapi kaum wanita kalau jadi pelawak memang tidak kena langsung. Atau lebih baik tak payah.
Wanita yang berilmu tidak mahu menyertai program mencari bintang atau bulan. Program untuk jadi calon selebriti itu akan melebarkan saluran fitnah dalam kehidupan, melebarkan syubhat yang tidak diketahui kerana ketidakfahaman tentang sesuatu isu.
Lihatlah apa sudah jadi dengan nasib pelawak lelaki. Memanglah namanya gah, tetapi untuk dianggap sebagai selebriti, ia amat keterlaluan. Di Malaysia ia selebriti dalam kelompok mitos pencarian. Kaum wartawan yang menggelarnya selebriti. Terminologi selebriti itu sendiri tidak dijelaskan dengan tuntas.
Golongan pelawak ini kekadang hanya dijadikan semacam "badut" sarkas. Skrip disediakan dan mereka diminta melakonkan, walaupun dengan cara lawak, tetapi akting yang dibuat itu adalah sindiran politik seperti kes cerita Longkang Salleh Yaacob dan Nabil. Ia kemudian menjadi kemarahan rakyat. Pelawak beginikah yang kita mahukan?
Hal membuatkan orang tertawa pun ada hadnya. Jadi, kalau wanita Melayu tidak suka jadi pelawak, tidak mahu sertai program mencari Bintang, maka itu tandanya mereka berilmu. Amat janggal kalau kita mengatakan kaum wanita malu hendak jadi pelawak. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment