Monday 31 December 2012

AMBANG TAHUN BARU 2013 DISAMBUT SAKAN

SAYA TERTARIK dengan satu tazkirah di sebuah masjid di pinggir Kuala Lumpur. Ustaz ini ada menyebut tentang kemeriahan orang nak menyambut tahun baru 2013.
Dataran Merdeka, kata ustaz ini sudah tentu menjadi lapangan sasar untuk sambutan tahun baru. Dan dia menyebut seperti mana tahun lepas, dataran itu sudah jadi tempat orang lepak, muda-mudi bersosial lebih, maklum malam itu ada permit [malam inilah maksudnya] -- dan yang melucukan kata ustaz tadi, cuba hitung, mulai 1hb,Januari 2013 hingga bukan Oktober 2013 nanti, apa dia?
Akan ada kes-kes jahiliyah yang lebih teruk daripada zaman silam.
Nanti akan ada wanita Islam membuang bayinya di depan rumah orang, diletakkan di depan surau atau masjid, ada yang meletakkan di tempat pembuangan sampah, di letakkan di tepi tandas, atau dipam ke dalam mangkuk tandas, itu belum bab campak bayi dari bangunan tinggi.
Walaupun kata-kata ustaz ini penuh dengan nada gurauan, kenyataannya itulah yang perlu kita telan. Kita kena terima, bahawa masyarakat kita sudah edan. Bukan zaman atau tahun yang edan. Tahun dan zaman bukan milik kita, justeru kita tidak boleh salahkan tahun dan zaman.
Menjelang tahun baru 2013 ini ada beberapa kelompok yang sedih sangat kerana menyambut tahun baru. Bukan sedih kerana umur makin meningkat, tetapi apa yang mereka ramalkan tidak tepat dan tidak menjadi.
Orang suku Maya, sudah tentu suku Maya ini sudah pupus, yang tinggal adalah legasinya. Kalendar suku Maya ini atau artifak tinggalan budaya mereka masih dikenang orang. Salah satunya adalah pengiraan dalam kalendar suku Maya. Mereka meramalkan kiamat berlaku pada bulan Disember yang sudah berlalu. Di mana nak letak muka?
Bukan itu sahaja, ada juga kajian bahawa bumi ini akan bergelap selama beberapa hari. Itupun tidak menjadi juga. Ada dua kajian yang dijadikan patukan utama. Ujian dari peninggalan suku Maya yang tidak boleh dipakai lagi. Ia ada pengiraan zaman silam. Mereka mengira berdasarkan kepercayaan agama pagan. Kemudian kajian kedua dari pihak NASA yang juga dikira hebat dan terkini. Kajian mereka juga tidak menjadi.
Jadi, sebagai umat Islam, kita tidak boleh berpandukan kepada mitos kaum pagan seperti orang Maya ini. Budaya kita dengan mereka jauh sangat, tak ada pertalian pun. Lagipun sebagai umat Islam kiamat adalah perkhabaran ghaib yang disebut di dalam al-Qur'an dan al-Hadis. Dua perkara ini yang menjadi rujukan kita. Kita tidak mampu hendak menghurai lebih lanjut, maka kita merujuk kepada para ulama masa silam yang telah mengeluarkan pendapat dan bahasan mengenai perkara kiamat ini dari berbagai sudut. Pandangan merekalah yang menjadi patukan kita hari ini. Kita tidak boleh menafsirkan perkara ghaib ini kerana kita tidak ada kemampuan di segi itu meskipun kita berada di zaman yang serba-serbi mempunyai - kepakaran, kecanggihan referensi dan sebagainya.
Kita tetap merujuk kepada kitab-kitab karangan ulama masa silam yang kupasannya mampu bertahan hingga ke zaman ini. Boleh dibawa ke depan. Inilah kehebatan mereka.
Menyentuh tentang ambang tahun 2013, kita tidak perlulah meraikan kedatangan tahun baru seperti cara orang Barat melakukan. Buat apa kita nak bertasyabuh sampai begitu sekali. Cukuplah kita mengambil manfaat yang baik dan bukan manfaat yang menyesakkan.
Tetapi jangan bimbang, malam ini anak muda berhuha-huha hingga ke pagi. Muzik keras dan lembut dipentaskan malam ini. Bunga api memercikkan cahaya di ruang angkasa, dan anak-anak muda termasuk yang tua bertepuk gembira -- terasa bahawa hanya mereka sahaja yang meraikan kehadiran tahun baru yang baru. Dan mungkin ketika sibuk meraikan itu, akan berlaku kemalangan di sana-sini, tengoklah esok. Kemudian yang sudah MESTI pihak jurugambar akan sibuk mencari cerita kelahiran bayi tahun baru. Silap haribulan ada yang menamakan anak Mat Januari! Elina Janua!
Tidak kurang hebatnya, operasi tahun baru. Maklum ada cuti lagi. Maka akan ada kes-kes samun, rompak, rogol, curi, ugut, beduk dahi, terjang, tendang dan macam-macam lagi, maklumlah malam tahun baru, kita kena "khayal sikit bang!" Yang kaki tonggang akan menonggang sampai satu barel, tak cukup minum dia masuk dalam tong sekali berendam di dalamnya. Sambutan malam tahun baru 2013 sudah tentu diraikan sama hebatnya oleh pihak televisyen kita. Alhamdulillah saya tak tengok tv, sebab tak ada tv pun. Kenapa? Cuba semak (surah ash-Shaff [61]: 2-3).
Sudah tentu baru yang benci kepada budaya hedonisme ini, mereka tak akan tengok tv kita malam ini, malam menjelang tahun baru, menunggu detik jam 12.00 tengah malam. Mereka yang biasa ke masjid dan surau akan meneruskan kebiasaan, kalau ada majlis ilmu, lebih baik tumpu ke situ. Ia lebih bermanfaat daripada menyaksikan bunga api yang mekar di angkasa itu. []

No comments:

Post a Comment