Monday 31 December 2012

KONSERTO TERAKHIR AMBANG 2013

ADA beberapa perkara menarik untuk dicatat tentang sambutan "Ambang 2013" - sebab kalau boleh saya tak mahu sebut tahun baru. Lagipun kita sudah meraikan Awal Muharam yang merupakan tahun bagi kita semua.
Malam tadi, riuh di sana-sini. Pendeknya semua tempat ada sahaja acara sambutan untuk menghitung detik jam 12.00 tengah malam. Acara ada yang berlanjutan sampai pagi.
Saya tak ada poin nak ulas banyak kerana tidak jenguk pun jendela kota dan di mana-mana ada acara termasuk menonton tv [ulamak nasihatkan agar jauhkan dari tv].
Tetapi ketika menyemak blog tergerak pula nak membuka sebuah laman yang menyiarkan program secara langsung dari Dataran Putrajaya, Presint 3 tajaan sebuah bank terkenal.
Program itu bagi saya adalah ulangan yang pernah ada 20 tahun dulu. Macam itu jugalah cara yang dipersembahkan, ada pengacara yang mengomel bicarakan tentang ambang tahun baru, ada siaran secara langsung dari lokasi tertentu, ada ucapan tokoh dan berbagai lagi.
Yang sudah mesti, di setiap tempat ada barisan artis yang diundang. Disebabkan terlalu banyak tempat yang hendak dimeriahkan, bilangan artis terpaksa dipecah-pecahkan, dibahagi-bahagikan, akhirnya timbullah nama artis yang tidak menyerlah atau yang suam-suam kuku.
Ketika mereka membuat persembahan, seperti zaman 20 tahun dulu juga lagi showmanshipnya. Tidak ada beza. Kalau pakai cermin mata gelap, maka sampai sekarang masih pakai lagi walaupun sedar hari sudah malam. Bukan apa, silau lampu di pentas, spotlight melampau-lampau. Sekali tak apa, siang malam pun begitu juga.
Dan kebanyakan artis yang diundang hanya menyanyikan lagu yang diistilah "cari makan" di kalangan para penganjur acara hiburan pentas. Mereka nyanyi asal menyanyi sudahlah, jangan bersungguh sangat. Mungkin mereka keletihan membuat latihan persembahan sebelah petangnya atau bagaimana.
Persembahan Mizz Nina yang terkinja-kinja, berlari ke kanan dan kiri pentas, memanglah orang kata dia begitu bertenaga malam itu. Tetapi lagunya banyak lagu orang putih. Berapa ramai orang putih yang nak dengar lagu Inggeris nyanyian lidah Melayu?
Tidak ada seorang penyanyi kita yang berjaya di peringkat antarabangsa dengan membawa lidah Melayu. Mungkin bagi Mizz Nina, dengan cara itu orang akan ingat sampai bila-bila. Persembahannya datar, memilih lagu rancak yang senada seperti lagu "Take Over" itu [guna minus one].
Persemban M.Nasir, Hattan, Jamal Abdillah, Ramli Sarip begitu mendatar, santai, hanya duduk bagai orang nak baca puisi di pentas.
Tidak mengapa, asalkan tidak terkinja-kinja tak tentu hala. Dunia artis kita bukan besar mana dan tak sehebat mana pun. Jadi artis perlu bertasyabuh kepada artis terkenal yang popular di luar sana. Itulah acuan yang sebenar.
Adakah seseorang itu rasa rugi sebab tak jenguk Putrajaya? Mereka yang tak keluar langsung dari rumah adalah golongan yang beruntung. Bilangan penonton yang membanjiri Putrajaya sudah tentu kelompok Melayu yang dominan. Di mana-mana pun begitu, tanyalah siapa yang pergi Padang Kota Lama, Penang, tanyalah siapa yang pergi Mydin Ipoh, atau di KL sendiri [saya tak ada maklumat program apa -maaf].
Secara keseluruhan, acara sambutan ambang 2013 masih mengekalkan cara lama, cara yang tahun 80-an dulu. Memang penganjur hiburan kena fikirkan sesuatu yang baru. Memang sukar.
Acara pentas sudah jadi hambar jika penyanyi yang melompat-lompat itu asyik depa tangan, lurus ke atas, suruh orang tepuk tangan, suruh orang angkat tangan, atau suruh orang menari macam dia. Ini Malaysia!
Dan apakah molek penonton yang bertudung menutup aurat [tidak tahu pakai seluar ketat atau apa] disuruh menarik-nari, tentulah tak kena.
Dalam bab bunga api, tidak ada apa yang istimewa. Mungkin bagi kalangan remaja, kanak-kanak, bunga api dianggap acara yang paling penting dan kemuncak. Jadi, dengan acara yang pelbagai itu, ambang 2013 disambut dengan lesu, ramai yang mengantuk kerana balik lewat, lepak di kedai mamak, lepak di taman-taman, lepak di dataran, lepak di mana-mana sehingga larut pagi.
"Inilah cara kami sambut tahun baru bang!" kata mereka dengan megah. Ya, teruskan!
Ini belum bab kelesuan kerana terdampar di hotel budget, hotel murah, hotel mahal pun lagi bagus. Mereka tersadai di situ kerana tak ada pengangkutan lagi. Ini cerita biasa seperti 20 atau 30 tahun dulu!
Secara keseluruhan sambutan ambang 2013 disambut biasa-biasa sahaja dengan kelesuan! []

No comments:

Post a Comment