Wednesday 5 December 2012

KENAPA GANGGU ORANG LAIN CERAMAH?

SESUATU YANG PASTI di mana pihak Pakatan Rakyat akan mengadakan majlis ceramah baik berskala kecil atau besar akan ada sahaja puak-puak "gerun" mengadakan majlis yang serupa bagi tujuan mengganggu ceramah. Tujuan hanya untuk menyakitkan hati lawan, ini adalah provokasi secara lembut, orang buat pameran dia buat pameran, orang buat pentas dia pun buat pentas, orang buat pentas bergerak dia belum buat lagi.
Pertembungan antara UBN[Umno BN] memang disengajakan oleh pihak tertentu kerana ini adalah perancangan yang sudah diatur menurut taklimat gerak gempur yang mereka telah putuskan. Di mana ada PR di situ UBN akan buat kacau-ganggu. Bolehlah dianggapkan bahawa UBN adalah puak pengacau ganggu dalam apa sahaja program PR.
Perkara ini telah terbukti berlaku di mana-mana. Kumpulan yang bolehlah dianggap kecewa dengan perkembangan yang ada sekarang bertindak secara serampangan sesuai dengan arahan yang telah diputuskan oleh pihak atasannya.
Yang menjadi kelebihan kepada puak UBN mereka seolah-olah boleh melakukan apa sahaja kerana tindakan mereka dibentengi oleh tangan-tangan ghaib yang memberi konotasi, ia tidak akan berakhir dengan siasatan walaupun berguni laporan telah dibuat oleh pihak yang dianiaya. Imuniti yang mereka peroleh ini menyebabkan kesamsengan menjadi bercambah.
Kebetulan ada pihak yang berkedudukan melontarkan semacam amaran bahawa akan berlaku lagi kekecohan antara kaum [rujuk 13Mei] seandainya UBN mengalami kemerosotan sokongan dalam pilihan raya mendatang.
Sebenarnya tindak-tanduk dan segala keresahan yang dialami oleh para pemimpin dan bawahannya menggambarkan keadaan sebenar dalam UBN. Mereka terlalu bimbang kuasa yang menyebabkan mereka berkuasa, yang membolehkan mereka menguasai semua projek besar negara, mengagih-agihkan kekayaan negara secara sembarangan, semua perlakuan ini akan berakhir apabila negara diambil-alih oleh PR.
Yang mereka bimbang akan berlakulah siri-siri pendedahan yang mengaibkan dan pengurusan negara. Berbagai projek besar yang menguntungkan kroni dan puak tertentu sudahnya diketahui oleh rakyat, semuanya hanya berlegar di kalangan pembesar, kalangan elitis, bangsawan dan macam-macam lagi.
Tetapi itulah yang diinginkan oleh rakyat. Mereka juga patut tahu kenapa sesuatu projek besar itu dianugerahkan kepada seorang perempuan tertentu [misalnya], apakah kerana kedudukan, kerana kebijaksanaan, kerana politik atau kerana ada unsur "suapan" yang menyebabkan berlaku tindakan lain yang memberi manfaat kepada yang memberi projek.
Sebenarnya, jika didedahkan satu persatu segala projek besar dan sederhana, semuanya dikuasai oleh golongan tertentu sahaja. Manakala kalangan rakyat tidak dapat apa-apa, yang mereka mahukan dari rakyat adalah sokongan padu yang tak ada makna. Biarlah rakyat dalam keadaan biasa, yang kerja sendiri, yang kerja kilang, yang kutip sampah atau tangkap ikan di Sungai Klang. Pendeknya slogan rakyat didahulukan itu hanya retorik sahaja. Orang seronok tepuk tangan ketika ia dilancarkan buat pertama kali. Dek kerana terlampau seronok, kalimat rakyat didahulukan digunakan sewenang-wenang.
Jika didedahkan dan diketahui rakyat apa yang terjadi? Rakyat akan kecewa betapa penggerogotan harta negara ini dilakukan secara melampaui had kewarasan. Harta dunia tidak dapat dibawa ke mana, apabila seseorang menemui ajalnya, harta itu ditinggalkan begitu sahaja. Bahkan rakyat pun mengetahui bahawa cinta dunia telah dipupuk begitu lama.
Kenapa pihak samseng sibuk ganggu ceramah orang lain? Jika kedudukan mereka kukuh dan kebal, mereka tidak akan membuat ceramah dan kacauganggu yang sama. Jika mereka stabil, mereka tidak akan risau dengan seribu ceramah satu malam pun. Apa hendak dirisaukan, mereka mempunyai radio dan televisyen. Setiap rumah ada televisyen [bagi orang yang berilmu mereka mengurangkan atau menutup terus televisyen kerana ia adalah punca kemaksiatan umat]. Mereka juga ada akhbar yang sentiasa memburuk-burukkan orang lain, menabur fitnah dan memperlekeh usaha pihak lain walaupun telah diberi mandat.
Senang cakap, mereka seolah-olah ingin mengatakan bahawa lebih baik parti-parti dalam PR tidak usah bertanding, bagi kemenangan percuma kepada UBN. Biarkan UBN memerintah sekali lagi, dan hubaya-hubaya dalam UBN pun seronok meneruskan projek yang terbengkalai.
Andainya nak beri ceramah pun tak boleh, agar sama adil, televisyen yang ada tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menghasut rakyat membenci pemimpin PR. Utusan, Berita, Strait Times, Star, dan apa sahaja akbar termasuk Sinar Harian janganlah menghasut rakyat untuk membenci PR.
Pilihanraya dibenarkan mengikut perlembagaan. Kalau takut kalah, lebih baik tak payah adakan pilihan raya, buatkan sistem kuku besi macam setengah negara. Di negara yang maju tidak terdengar kempen pilihan raya diganggu macam cara kita. Nampak benarlah kita tidak bertamadun. Perkara ini memalukan. Sepatutnya kita membuang imej samseng dan ganas. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment