Monday 31 December 2012

IBU TUNGGAL SELANGOR

SEBENARNYA kalau nak dikatakan persatuan ibu tunggal, maka di Selangor ini sudah ada dua kelompok Ibu Tunggal [mungkin lebih pun] satu menyokong Umno dan satu PR. Di antara dua ini, persatuan di bawah kepak PR tidak menghadapi masalah kerana memang mereka berhak menganggotai persatuan itu dan mendapat bantuan bulanan sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan PR.
Kecoh ibu tunggal yang terbaru sehingga hendak menyaman semua, bukan lahir dari gerak hati para ibu tunggal itu, melainkan ada tangan-tangan ghaib yang meminta mereka bertindak begitu bagi melepaskan geram ke atas kerajaan Negeri Selangor yang sudah berada di bawah PR.
Bantuan untuk ibu tunggal ini untuk Selangor, ia memang khusus untuk PR, berbeza dengan BRIM yang UBN lakukan, ia menyeluruh, sebagai sebuah kerajaan yang mengaku hebat tidak mungkin akan bagi kepada rakyat Umno sahaja? Itu menampakkan ketempangan.
Mungkin ada juga persatuan ibu tunggal yang tidak terikat langsung dengan kepolitikan atau di bawah NGO. Selalunya, apa program pun yang dibuat di bawah kerajaan BN tetap fokus untuk menambahkan bilangan pengundi - jangan temberanglah nak mengatakan ia untuk membantu rakyat semuanya.
Berapa ramai rakyat yang langsung tak peduli dengan program yang pihak tertentu buat? Kalau setakat berlonggok, mendengar amanat, berbaris tuju meja, isi borang, siap keluarkan MyKad dan bahan sokongan lain, semua ini sudah klise.
Walaupun saya bukan penyokong Umno, tetapi saya pernah hadir di majlis apa pun yang Umno dan BN buat. Memanglah kalangan pemerhati akan mengatakan sambutan hangat! Mereka tidak tahu siapa yang datang ke situ. Ucapan para pemimpin mereka senada dengan ucapan Menteri Selangor yang dikatakan pemohon bantuan untuk Ibu Tunggal itu kena buktikan mereka adalah penyokong PR.
Ucapan MB Selangor ini bukan luar biasa, kerana majlis bertemu atau bersama rakyat yang pihak UBN anjurkan kerap menyeru perkara yang sama. Bahkan apa program pun semuanya menyeru agar rakyat pilih mana kerajaan yang terbaik dan jangan menyesal. Maksudnya, kalau pilih PR rakyat akan menyesal, manakala pilih UBN rakyat akan bahagia. Ini belum dibuktikan lagi.
Kalau kita semak iklan-iklan yang dipaparkan, mereka ambil pendapat beberapa orang tokoh, bercakap tentang keamanan yang dikecapi di negara kita ini hendaklah dikekalkan untuk pembangunan negara.
Maksudnya, kalau pilih PR keamanan negara kita tidak akan dikecapi lagi.
Atas alasan apa kalau pilih UBN keamanan yang ada hari ini terus dikecapi rakyat? Dan kalau memilih PR negara tidak stabil? Ia seolah-olah ada perancangan misteri yang sengaja dicipta untuk menakut-nakutkan rakyat agar jangan mencari perubahan.
Berbalik kepada soal ibu tunggal tadi, isunya bukan bantuan RM100 yang tak sebanyak mana, duit itu kata orang ciput sahaja, tetapi sengaja perkara dibangkitkan bagi "mencabar" kerajaan Selangor. Kerana ini salah satu misi UBN hendak tumbangkan Kerajaan Selangor. Bukankah baru sekarang mereka menyatakan amat sayang kepada Selangor, sedangkan sebelum itu mereka pandang lekeh kepada Selangor kerana semua yang ada hendak dimiliki.
Mitos lama sudah rosak. Dulu, mereka selesa sebagai sebuah kerajaan yang didakwa sebagai stabil. Dengan sebab kestabilan itulah, kekayaan negeri digerogoti habis. Rakyat diperbodohkan supaya jadi petani dan peladang, gunakan teknologi moden untuk memajukan pertanian. Dan bukan tidak ada di kalangan mereka yang tidak gemar kalau rakyat Selangor belajar tinggi-tinggi, sebabnya nanti semua akan melawan taukey!
Jadi, disuruhkan duduk di kampung. Suruh tanam sayur dan bela ayam itik. Suruh jadi nelayan. Jangan hijrah.
Mentaliti biar aku senang dan pedulikan orang lain sudah terbaja sekian lama.
Dalam isu ibu tunggal tadi, ia adalah mainan politik. Mainan politik yang sama seperti dalam isu air. Pendeknya, menjelang nak pilihan raya ini, apa sahaja modal yang boleh dibangkitkan, mereka akan isukan. Kalau sesiapa yang suka baca Utusan, Berita, NST dan akhbar yang senada [saya tak baca langsung], tidak ada hari yang bebas daripada mereka menyiarkan hal-hal negatif tentang kerajaan PR.
Rakyat sudah sedia maklum, isu ibu tunggal tidaklah penting kerana ia sengaja dijadikan bahan untuk mengisukan sesuatu. Bukankah dalam persoalan ini telah muncul tokoh-tokoh yang lantang bersuara? []

No comments:

Post a Comment