Monday 31 December 2012

KITAB MAJMU' SYARIFF

BUKU KECIL yang diberjudul Majmu' Syariff ini ada dalam simpanan saya, kerana ia buku yang ditinggalkan oleh seorang kawan yang berasal dari Bulungan, Kalimantan Timur, ketika dia tinggal di Taman Sri Watan, Ampang, Selangor [2009].
Buku ini memang sudah lama dijual di mana-mana pasar malam, pasar pagi, pesta-pesta, atau di depan masjid pada hari Jumaat, bahkan di malam markas Tabligh di Taman Sri Petaling pun ada yang menjualnya.
Ia bukanlah sebuah kitab apa, hanya di kalangan yang prihatin, mereka kata kitab ini tidak jelas kedudukannya.
Siapa pengarang atau penyusun kitab tersebut? Asalnya bertulisan jawi, disebabkan ramai tak tahu baca, ia dirumikan seperti yang ada hari ini. Ia diterbitkan di Jakarta [al-Maktabah as-Sa'diyah].
Seorang mualij di Sumatera, mengatakan dia memiliki beberapa versi buku tersebut iaitu hadiah daripada orang yang datang berubat kepadanya. Orang itu mengaku telah mengamalkan beberapa doa dan zikir yang ada dalam buku itu. Bukan tak ada doa dan zikir yang ma'tsur di dalam buku itu, bagi kalangan awam mereka tidak pernah memerika keabsahannya.
Mengikut catatan mualij tersebut ada versi lain terbitan Bintang Terang, Jakarta, terjemahan Abdullah Afif Thaifuri; ada juga yang diterbitkan oleh Mutiara Ilmu, Surabaya terjemahan Achmad Sunarto.
Apa masalahnya dengan buku ini?
Sebenarnya tidak ada masalah sangat kalau orang itu tidak menekuni isinya. Kata mualij tadi, buku ini diragui walaupun telah diterjemahkan oleh nama yang jelas wujud. Identiti penyusun dirahsiakan.
Di dalam bukunya Buku Pintar Jin, Sihir & Ruqyah Syar'iyyah,[ 2010],Musdar Bustamam Tambusai mengomentari tentang Doa Akasyah dan fadilatnya. Dalam buku kecil itu ada dinyatakan tentang keutamaan Doa Akasyah, contohnya:

"Barangsiapa yang membaca doa ini sehari sekali, setahun sekali atau seumur hidup sekali - jika tidak dapat membaca, maka tulisannya saja diletakkan di dalam rumah - Allah akan memberi ampunan atas segala dosanya." [hal.750]

Musdar berkata, ini jelas mengada-ada [bid'ah] dan sangat bertentangan dengan akidah Islam yang murni. Bahkan dapat menjurus kepada syirik kerana meyakini jimat -kertas bertuliskan doa ini yang diletakkan/ditempel di rumah- dapat menghapuskan dosanya.
Dari mana mereka dapat keterangan fadilat ini sehingga begitu yakin akan kebenarannya?
Kemudian, ada fadilat yang lebih hebat lagi. Iaitu jika ada orang meninggal dunia, tulislah doa ini pada kain kafan. Jika didatangi malaikat Munkar dan Nakir untuk bertanyakan sesuatu, insya-Allah mayat akan dapat menjawabnya. Disebutkan dalam kitab itu, dengan "dalil" al-Qur'an:
"Sesungguhnya Aku malu menyeksa engkau kerana doa ini." [?] itulah yang menyebabkan ia lepas dari seksa kubur kerana berkah doa ini.
Saya tak mahu ulas apa-apa, tetapi Musdar berkata:
"Beraninya penulis buku ini membuat-buat suatu pernyataan yang jelas-jelas bertentangan dengan akidah dan syariat." [hal.751]

Sahabat saya di Alai, Melaka juga amalkan doa Akashah ini. Dia ada beri "tazkirah" kepada saya agar amalkan doa ini, tetapi kerana fadilatnya begitu HEBAT sekali, saya jadi gerun nak mengamalkan, ia selaras dengan komentar dari Musdar tadi.
Dan saya teringat, seorang mamak [India Muslim] yang suka lepak di masjid Jamek LRT KL pernah beritahu tentang kelebihan doa ini. Dan itulah yang dia amalkan menurut pegangannya. Itupun saya tidak ambil kisah setelah meneliti fadilatnya begitu luar biasa. Dengan berpandukan buku susunan Musdar itu, saya telah dapat jawapan apa sebenarnya Doa Akashah. Wallahu a'lam. [] 

No comments:

Post a Comment