Monday 31 December 2012

CARI DANA GHAIB DI TAHUN BARU

MESKI sudah menjejaki tahun baru 2013, masih ada sekelompok umat yang memikirkan bagaimana hendak mendapatkan dana ghaib sebagai salah satu resolusi tahun baru. Kira macam azamlah. Apa azam abang? "Oh, abang fikir nak giatkan lagi usaha untuk mendapatkan dana ghaib!"
Dana ghaib itu apa?
Dana ghaib ini macam cerita dongeng. Ada orang kata memang ada dana ghaib kalau orang itu ada ilmu untuk mendapatkannya.
Jadi, cerita dana ghaib ini adalah salah satu hiburan orang-orang sekarang yang diwujudkan sekadar menimbulkan semangat untuk berusaha.
Mereka berusaha dan terus berusaha. Ini salah satu ikhtiar. Mereka yang berkecimpung dalam pencarian dana ghaib mempunyai senarai dana yang boleh dihajatkan.
Namanya pun dana ghaib, jadi ia ada dana yang berada di alam ghaib. Semua ini permainan para pawang dan dukun dana ghaib. Jangan tanya kepada pawang keris atau dukun angka bertuah, mereka tidak tahu. Setiap orang ada kepakaran masing-masing. Pakar dana ghaib ini memang ada, mereka menekuni bidang ini sejak puluhan tahun sehingga dia sangat matang dengan dana ghaib.
Dana ghaib ini bolehlah dianggap sebagai salah satu persugihan. Ada orang kaya kerana jalankan perniagaan hebat dengan modal pusingan sampai ratusan juta, terutama yang dapat dukungan politik.
Kumpulan orang kaya yang dipayungi ini memang ramai, itu sebabnya mereka jadi gundah gulana kalau payung yang ada hari ini reput, koyak atau terbang dipukul ribut.
Nah, bagi yang sibuk mencari dana ghaib, mereka selalu sebut beberapa dana yang tersohor. Antaranya:
[1]. Dana ghaib dari nenek kebayan - ini paling sukar dicari. Lokasinya pun tidak diketahui. Hanya orang tertentu yang pernah berkomunikasi dengan nenek kebayan tahu di mana nak jumpa nenek. Nenek sedia menolong sesiapa yang ikhlas, ditunjukkan di mana ada harta tersimpan, baik dalam tanah atau dalam busut. Syaratnya, jangan sombong kepada nenek. Jangan anggap nenek itu orang gila. Jangan anggap nenek merayau-rayau tepi hutan tak tentu hala. Pendeknya jangan buruk sangka kepada nenek. Dalam bab ini, bimbang juga ada jin atau syaitan yang menyamar sebagai nenek kebayan, dia menipu orang yang ghairah dengan dana ghaib ini.
[2]. Dana ghaib dari alam bunian - sudah ramai terkecoh dengan dana ini. Ada yang kata, mereka ada bank ghaib, dia akan bagi cek untuk ditunaikan di dalam bank mereka. Ada yang kena berkahwin dengan anak dara bunian untuk mendapatkan dana ghaib itu, atau menjadi sahabat bunian. Di mana lokasinya? Ini pun masih samar-samar, ada yang menyebut di hutan anu, di kampung anu, pendeknya, lain orang, lain pula khabar yang dituturkan. Ini yang menyebabkan hobi mencari dana semakin menarik. Bahkan sampai lupa kepada hobi memancing.
[3]. Dana ghaib dari jin-jin dan syaitan - dalam bab ini ramai yang terpedaya kerana menemui orang bijak bistari yang mendakwa boleh berhubung dengan Tuk itu dan Tuk ini, Moyang itu dan ini, dan menyebut nama pelik-pelik. Padahal semua ini adalah temberang jin dan syaitan yang memperdaya. Jika kita harapkan bantuan pawang atau dukun temberang, maka kesudahannya kita jadi penat, terperangkap dengan jebak syaitan. Ini yang patut dielakkan.
[4]. Dana ghaib dari mimpi - ini pun kes yang jarang terjadi. Bukan senang nak dapatkan mimpi orang berjubah putih beritahu cucu boleh pergi sekian tempat kerana Tuk nak beri sesuatu. Seorang Raden pernah mengalami mimpi seperti ini menyebabkan dia sanggup duduk "bertapa" di atas gunung, akhirnya dia dapat sebuntil duit dari puteri makhluk halus. Dia juga mendakwa bertapa dalam gua, dan mendapat selendang serta senjata mistik dari dana ghaib.
[5].Dana ghaib dari cerita kawan - bukan tidak ada orang bercerita tentang dana ghaib di sesuatu tempat. Hasil dari cerita orang yang disembangkan. Siapa yang kemaruk dana ghaib dia akan berusaha untuk mencarinya walaupun ia hanya cerita orang. Sebab mereka fikir, "Mana tahu?" Ini awal tahun, kalau nasib menyebelahi diri.
[6]. Dana-dana ghaib lain yang tidak diketahui.

Soal wujud atau tidak dana ghaib bukan persoalan kepada orang yang minat cari dana ghaib.
Mereka menganggap memang ada penguasa dana ghaib dari kalangan siluman - iblis dan syaitan. Jadi, kena masuk perangkap iblis dan syaitan untuk dapatkan dana ghaib ini.
Untuk dapatkan dana ghaib akan ada ritual seperti pembacaan mantera di tempat yang menyeramkan, di tempat yang tidak masuk akal, di tempat yang orang tak pernah fikirkan, tetapi peminat dana ghaib semacam tahu di sesuatu tempat itu ada auranya.
Nak dapatkan dana ghaib kena ada perantaranya atau pembimbingnya. Minat bagaimana pun kepada dana ghaib, kalau tidak ada orang yang jadi pemandu di depan, dana ghaib tidak akan diperoleh secara mudah.
Maknanya, tak boleh buat sendiri-sendiri. Masuk gua duduk bertapa tak tentu hala, kalau berlaku apa-apa bagaimana? Di Jawa mereka sebut jurukunci atau kuncen [Jawa].
Khabarnya Sang Kuncen -yang memegang kuncinya- tahu nama penguasa yang memiliki dana ghaib itu. Dia tahu apa syarat yang diperlukan untuk dapatkan dana ghaib. Dia juga akan mengajarkan peminat dana ghaib membaca atau merafal mantera pelik yang dianggap boleh membuka tabir ghaib.
Yang jadi soalan, dana ghaib itu milik siapa? Penguasa yang namanya pelik-pelik itu hanya memegang amanah sahaja. Dia akan berikan kepada siapa sahaja yang memenuhi syarat yang ditetapkan.
Jadi, soal dana ini pun masih misteri. Orang tak tahu bank itu milik siapa. Yang orang sebut ia milik bangsa bunian, ia milik jin, ia milik syaitan atau iblis.
Ada dana ghaib yang aman. Maksudnya, boleh diambil harta yang diberikan itu dengan tanpa mengadakan apa-apa ritual pun. Jadi, tak perlu bimbang selepas memperoleh dana akan timbul musibah atau terjadi semacam korban dan penumbalan.
Yang orang takut adalah dana dari siluman syaitan dan iblis. Ia kelas berat. Ia boleh berikan dana ghaib untuk menolong orang yang sudah kepepet duit, tapi, ada syaratnya. Syaitan dan iblis kerjanya menyesatkan orang, maka siapa yang kemaruk kepada dana ghaib, dijadikan orang itu "murtad" atau "kafir" dahulu baharulah segala ritual menjadi. Permintaan akan dipenuhi.
Sejauh mana dana ghaib ini popular?
Ia hanya popular pada nama sahaja. Ceritanya hebat dan menggebu-gebu, tetapi memandangkan yang minat hanya dalam bentuk cerita hiburan, maka dana ghaib hanya berupa cerita hiburan. Fiksyen.
Ada tujuan tertentu mereka bercakap tentang dana ghaib. Bagi orang yang tidak tahu apa cerita, mudah pula ikut masuk kelab pencari dana ghaib. Keluarkan modal pusingan untuk dapatkan dana ghaib.
Disebabkan pengaruh cerita dana ghaib, ada yang sanggup keluarkan duit simpanan bagi membayar itu dan ini, termasuk mendapatkan bahan-bahan dikehendaki yang pelik-pelik untuk keluarkan dana ghaib.
Andainya syarat itu hanya rekaan pak dukun, siapa pun tidak tahu.
Sebenarnya, tidak ada kitab apa pun tentang dana ghaib ini. Ia hanya kegemaran seseorang untuk menerokai dunia supranatural. Seperti orang suka mendaki gunung, mengembara ke hutan rimba, maka mencari dana ghaib juga sebahagian daripada adventure yang digemari orang. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment