Wednesday 5 December 2012

LINTANG PUKANG: DARI SAMSENG,BOMOH, KOPI PUTERI GEDIK DAN SUSU MONYET BERGAYUT

KALAU ORANG TANYA kenapa lintang pukang?

1. Sebab ketika berjalan di tepi perkuburan tadi [meskipun naik motosikal] nampak ada lembaga putih di tepi tembok. Ia seakan-akan makhluk yang digeruni. Dek kerana tak ada persiapan mental, maka dia pun lari lintang-pukang.
2. Ketika buat perhimpunan dengar ceramah para pemimpin Pakatan Rakyat [PR] ada hujan batu, hujan serpihan pasu bunga, hujan lemparan dari tangan-tangan misteri. Maka kerana ada yang luka di dahi terkena lemparan itu, keadaan jadi tak tentu arah, ada yang lari lintang-pukang. Bukan yang dibaling, tetapi yang melemparkan serpihan pasu bunga itulah yang lari lintang-pukang, kenapa? Bimbang identitinya diketahui budak dari kampung mana, berapa dapat bayaran untuk kerja pecah pasu  dan baling semua ini? Umum sudah mengetahui, kerna jahat begini hanya jadi amalan pihak yang berkuasa. Pihak yang belum berkuasa tidak mampu buat kerja begini.
3. Ketika duduk berdua-duaan di kawasan sunyi, tak kiralah di mana pun, tiba-tiba ada operasi. Maka pasangan yang ada pun lintang-pukang. Yang sedang berbaring-baring untuk melampiaskan syahwat juga terkial-kial membetulkan itu dan ini untuk lari ke mana sahaja. Lintang-pukanglah jadinya.
4. Ketika berada di sebuah hotel budget untuk berseronok, tiba-tiba pintu diketuk berulangkali. Siapa pulak? Jangan-jangan Pegawai Perikanan atau Penguatkuasa Pengangkutan Lebuhraya buat operasi maksiat? [Salah bang! Ya, saya tahu].
5. Ketika seorang VIP duduk bersila depan bomoh tiba-tiba datang orang dikenali yang juga VIP juga. Maka dia lari lintang-pukang ikut pintu belakang. Sebab kalau perkara ini bocor, habis satu dunia orang cerita. Masuk blog, FB dan macam-macam. Cerita bersila depan bomoh ini kalau zaman dulu dianggap biasa aje, tetapi apabila orang sudah berilmu, mereka tahu apa hukum duduk bersila depan bomoh, usahkan nak tanya itu dan ini dan kemudian mempercayainya, mematuhi aturan ritualnya, nak jengah pun tak boleh. Akan tetapi ia sudah jadi budaya masyarakat kita, tak dapat bomoh Jawa, cari bomoh Banjar, bomoh Pasiaman, bomoh Lampung, bomoh Kerinci, bomoh Boyan, bomoh Orang Asli, jumpa Tuk Baba, Tuk Sami dan macam-macam lagi. Bukan lintang-pukang sebab nak mengelak orang tahu, fikiran mereka yang jumpa bomoh juga lintang-pukang!
6. Membaca laporan dari pihak yang bebas dan terkini menyebabkan suasana semakin lintang-pukang. Apa nak jadi ni? Orang itu kata pemimpin utama negara buat gitu dan gini. Maka tercemarlah sudah imejnya. Banyak sangat perkara yang dipersoalkan orang, semuanya fakta belaka dan tak boleh nak elak. Bukan sahaja fikiran rakyat yang memikirkan jadi lintang-pukang, para pemimpin atasan pun apa kurangnya, hanya kita tak tahu adakah mereka terpaksa telan pil tidur atau bagaimana. Memikirkan soal ini pun kita jadi lintang-pukang juga jadinya.
7. Suasana politik negara kita sebenarnya tenang, tak ada apa yang lintang-pukangnya. Akan tetapi media jahat yang dimainkan oleh minda dan jejari wartawan jahat, maka tersebarlah kejahatan di sana-sini. Tersebarlah fitnah yang menyebabkan suasana menjadi lintang-pukang. Tidak tersusun. Sebelah pihak bina satu pihak merombaknya. Fitnah adalah amalan umat bagi menjayakan cita-cita mereka.
8.Kalau kita tengok pengaruh media moden hari ini, akhbar pun makin lintang-pukang. Ada yang bertahan dan ada yang lingkup. Ada akhbar yang terpaksa diberi percuma di tengah bandar. Semak punya semak editorialnya sudah berubah, bukan orang dulu. Ke mana? Nak buat perubahan atau merosot kerana lebih Umnoisme isinya? Jadi, dalam dunia kewartawanan pun berlaku kelintangpukangannya. Hanya sekarang mudah tak macam dulu. Tajuk muka depan boleh ubah 10 kali pun dengan mudah. Lintang-pukang juga sebab ada tangan lain mempengaruhi apa yang nak dilaporkan.
9. Keadaan masyarakat kita pun lintang-pukang dek kerana duit. Berapa ramai orang yang sudah kena tipu hanya kerana nak kaya? Macam-macam program dan projek dilancarkan sana-sini. Risalah tentang cara buat duit begitu ringan keterangannya, celopar amat mengatakan orang itu sudah jadi jutawan dan boleh duduk mencangkung atas bonet BMW. Fikiran umat masih lintang-pukang kerana tidak faham apa yang dimaksudkan dengan gelar jutawan itu. Berapa banyak orang bergelar jutawan tapi naik bas turun bas? Berapa banyak jutawan yang relaks sahaja di warung-warung. Hanya jutawan segera yang kelam kabut cari BMW atau Merce model terkini, atau beg tangan mahal, jam tangan mewah, makan di tempat mewah, sosial di tempat mewah bersama golongan ningrat dan atasan. Itulah model jutawan di negara kita. Iklan tentang keinginan mencari wang lebih digambarkan boleh berbaring atas bumbung kereta. Inilah fikiran lintang-pukang masa kini. Kalau baring atas BMW dikatakan jutawan, maka itu fikiran kolot. Orang sekarang jadi jutawan bukan begitu.
10. Lintang-pukang fikiran orang yang membaca iklan makanan dan minuman kesihatan. Sekarang iklan makin melampau. Fokus utama hanya seks. Dulu iklan ada sopan juga. Akan tetapi sekarang dek kerana lintang-pukang nak berniaga, tatasusila sudah diabaikan, sesuai dengan zaman samseng yang memang ditaja di sana-sini. Iklan tanpa segan silu bicara tentang kepuasan seksual kerana minum itu dan ini sudah melampau-lampau, tidak ada jaringannya lagi. Tambah menyedihkan, iklan produk perempuan bertudung, tetapi tayang bodi, "Tiru macam saya!" kata iklan itu. Ini semua adalah lintang-pukang kefahaman kita terhadap ilmu amat kurang. Iklan-iklan begitulah yang ditegah sebenarnya. Gambar-gambar berahi, gambar seksi tidak wajar mempamerkan wanita berjilbab.
11. Dan seperkara lagi kini sudah muncul produk entah makanan kesihatan, minyak attar atau benda biasa, tetapi sudah dibacakan ayat-ayat tertentu, doa-doa tertentu dan dikeluarkan secara besar-besaran. Ia sebenarnya memancing orang yang kurang ilmu. Boleh iklankan begitu, tetapi biarlah berpada-pada, jangan satu produk boleh mengatasi berbagai masalah. Ini akan menjadikan produk itu suatu benda mistik, mempercayai dan meyakini. Nak pakai minyak attar pakai sahajalah, jangan fikir boleh elak santau, hindarkan gangguan makhluk halus atau macam-macam, tak pakai attar itu boleh boleh hindar jika seseorang itu punya ilmu pembentengan. Ini bab niaga dan produk.
12. Kemudian kita tengok bergantungan produk kopi campuran yang didakwa 3 dalam 1 dan macam-macam. Cap tak kiralah buatlah cap apa pun. Ia sekadar minuman biasa, bukan minuman kesihatan. Untuk menghilangkan dahaga, biarpun ia susu kuda jinak atau susu kuda liar. Mana nak cari kuda liar tu? Sebenarnya, apa pun produk anda boleh pesan banyak mana. Nak 50,000 paket? Harga istimewa. Buat kotak cantik, labelkan cantik-cantik KOPI PUTERI GEDIK, edarkan, maka orang yang suka gedik akan membelinya. Itu sebab nama produk itu main peranan ada nama Janda, Jantan, Ganas, Miang, dan macam-macam nama lagi. Ini yang membuatkan pengguna jadi lintang-pukang fikiran mereka.
13. Produk lain pun begitu juga. Kalau ada yang berminat nak jual susu pekat manis atau krimer manis, boleh taruk label sendiri. SUSU PEKAT MANIS CAP MONYET BERGAYUT. Lagi iklan setiap hari dalam Tv dan radio mengarut, maka larislah Monyet Bergayut tu. Seperti juga produk kicap, sos cili, sos tomato, semuanya boleh dilabelkan apa sahaja kalau anda berfikiran business. Syarikat A dapat pesanan 50,000 botol sos tapi tak cukup. Hubungi syarikat X untuk supply sos dalam botol belum label. Labelkan kemudian untuk memenuhi permintaan tadi biar genap 50,000 botol. Ini cerita mudah asalkan ada duit. []

No comments:

Post a Comment