Saturday 5 January 2013

PETUA NAK UMUR PANJANG DAN GAGAH

DALAM "Babad Demak" iaitu sebuah buku hikayat setara Sejarah Melayu kita, ada kisah yang menarik untuk difikirkan.
Cerita ini bukanlah satu kejadian sebenar, tetapi kalau disemak pada rangka pemikiran umat kemudiannya, ia dianggap sebagai kejadian yang pernah terjadi pada masa silam dan sehingga sekarang ia masih ada kaitan.
Apa ceritanya?

TELUR
Ada dua benda mistik iaitu telur ajaib Lungsung Jagat dan Minyak Jayekatong. Dua nama pelik ini jangan fikir tidak ada nilai komersial. Malah di kalangan paranormal kondang hari ini bukan tidak ada yang "menjual" benda yang sama tetapi fungsinya berlainan. Hanya ambil namanya sahaja.
Dua benda mistik ini menurut cerita dalam babad tadi adalah milik kepada Pangeran Senopati, kalau kita disebut Tengku/Raja Senopati Raja Demak.
Dua benda ini menyebabkan pemakai jadi kuat dan berumur panjang. Benarkah?
Setelah mendapat dua benda mistik itu, Senopati pun menemui gurunya Sunan Kadilangu. Benda mistik itu adalah pemberian Ratu Kidul.
Benda mistik itu pun ditunjukkan kepada Kadilangu untuk diuji kesaktiannya.
Kebetulan di istana ada seorang tukang kebun yang ketagih candu [dadah zaman dulu] dia lentok habis apabila tak ada kerja sampai sesak nafas. Tukang kebun sering berdoa agar diberi kesihatan dan umur panjang. Dalam pada ketagih candu dia masih berhajat hidup sihat dan umur panjang!
Untuk menguji kemistikan benda itu, Senopati bagi telur itu untuk diuji.
"Inilah telur ajaib Lungsung Jagat namanya," kata Senopati sewaktu memujuk tukang kebun.
Tukang kebun gembira bukan main kerana dapat pemberian dari seorang raja. Dia pun terus ngap telur ajaib itu.
Senopati melihatnya dari jauh, sebab dia tidak tahu apa kemungkinan yang terjadi.
Setelah dimakannya telur ajaib itu, maka tukang kebun itu berpusing-pusing macam orang mabuk. Dia berpusing-pusing dan kemudian kedengaran bunyi guruh yang kuat macam nak hujan. Ada pokok tumbang dekat taman.
Hairan sungguh. Dalam keadaan tidak tentu hala itu, tiba-tiba tukang kebun yang tadi berpusing-pusing sudah hilang. Yang muncul adalah lelaki berbadan besar, berbulu lebat, bertaring, inilah khasiat yang paling utama. Siapa makan telur itu dia akan jadi gergasi. Kuat, hebat, orang takut, pendeknya sebagai makhluk gergasi dia tidak boleh hidup di alam manusia lagi. Itu sahaja ubat orang ketagih candu. Telan telur ajaib, dia jadi gergasi. Nak duduk rumah tak boleh, dia kena pindah ke hutanlah!
Kini sudah terbukti telur itu ada khasiatnya, tetapi meranalah siapa yang makan telur ajaib itu. Kalau Senopati ikut telan, dia pun ikut jadi gergasi juga. Meranalah dibuatnya sepanjang hayat.

MINYAK
 Kemudian benda mistik kedua adalah Minyak Jayekatong. Bagaimana bentuknya tidak diketahui. Dan minyak itu disimpan dalam apa pun tidak diketahui, masa dulu mana ada botol macam minyak attat hari ini?
Nah, atas perintah mahaguru juga, Senopati panggil dua abdi istana Nini Pangung dan Ki Kosa.
"Ini minyak ajaib untuk diuji," kata Senopati sambil mengoleskan minyak mistik itu pada kening dua abdi itu.
Seketika itu juga dua abdi jadi kebingungan. Berasap, berdengung dan kemudian hilang dari pandangan.
Ke mana dua orang ini menghilang?
Iulah tandanya minyak mistik itu telah menjadi. Memang power kata orang sekarang.
Kedua abdi itu sudah jadi makhluk siluman [hantu, jin] tak dapat dilihat oleh manusia lagi.
"Kamu berdua bukan manusia biasa lagi, mulai sekarang kamu kena tinggal di rumah kamu, atas pokok beringin tua dekat istana. Kamu adalah pengasuhku," kata Senopati.
Sedikitpun abdi itu tidak menyesal jadi makhluk halus. Manakala ahli keluarga mereka tercari-cari ke mana gerangan dua abdi itu menghilang, setelah tahu dia dikerjakan oleh Senpati, semuanya tunduk tak berani kata apa.
Berkat dengan menggunakan dua benda mistik tadi, telur dan minyak siluman putih [rekaan penulis], tiga orang telah bertukar rupa. Seorang yang makan telur jadi gergasi. Dia diarahkan masuk ke hutan dan disuruh tinggal di Gunung Merapi.
Dua orang lagi yang sudah jadi siluman berkhidmat sebagai pengasuh misteri.
Walaupun ia hanya sebuah cerita dari Babad Demak, sampai hari ini ada orang tertentu yang percaya bahawa gergasi itu masih wujud di sekitar Gunung Merapi.
Kemudian dua pengasuh raja itu yang tinggal atas pokok beringin tua juga ada orang pernah jumpa. Nini Panggung dengan Ki Kosa kekadang kelihatan duduk bersila di bawah pokok beringin. Keduanya sedang bertapa.
Cerita ini sebenarnya ada kaitan dengan reinkarnasi atau unsur reinkarnasi. Penghijrahan manusia menjadi makhluk lain adalah bentuk cerita zaman dulu. Ia diterima pada zaman dulu, tetapi sekarang, orang akan ketawa. Cerita tak masuk akal! []

No comments:

Post a Comment