Tuesday 1 January 2013

MITOS LISAN UNTUK MULIAKAN RAJA

MITOS - suatu keperihalan yang dikaitkan dengan seseorang tokoh, biasanya pengaitan kisah itu tidak semestinya benar atau hanya rekaan semata-mata bagi tujuan tertentu.
Sudah pasti mitos akan memanjangkan cerita, sekalipun cerita itu tidak berpijak di bumi nyata, orang tetap menerima kerana ia hanya mitos.
Mitos tidak semestinya benar. Umpamanya mitos moden yang ada di negara kita, janganlah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara kelak berlaku ketidakstabilan dan rakyat akan rugi menyesal selama-lamanya.
Itulah mitos moden. Jadi, mitos ini tidak semestinya cerita hantu, cerita sang kelembai menegur lembu jadi batu dan sebagainya. Dalam politik kita sekarang pun banyak mitosnya. Mitos bukan suatu perkara pelik, apa sahaja perkara yang jika dilakukan akan terjadi perkara lain, ia adalah mitos rekaan.
Mitos pada zaman silam hanya untuk menakut-nakutkan pembaca, untuk membesarkan seseorang tokoh, walaupun hanya tokoh biasa, tetapi disebabkan mitos yang keterlaluan maka ia akan dinobatkan juga sebagai tokoh hebat.
Sebutlah apa sahaja cerita yang menggunakan judul Hikayat pada masa lampau, semuanya penuh dengan mitos. Puncanya, itulah gaya penulisan cerita pada zaman dahulu. Pencerita tidak fikir pun bahawa suatu masa nanti apa yang mereka tulis akan jadi bahan ejekan.
Saya tertarik dengan mitos yang dikaitkan dengan Si Raja Kechil Siak.
Walaupun nama Raja Kechil tidak popular, tetapi siapa yang pernah membaca HIKAYAT SIAK, mereka akan tahu siapa orangnya.
Di dalam hikayat yang fokus kepada Raja Kechil itu ada beberapa kisah mitos lisan yang diceritakan orang.

KAHWIN JIN
Sultan Mahmud Syah II tidak berkahwin dengan anak raja biasa, sebaliknya dia berkahwin dengan pari-pari atau peri [sejenis makhluk halus yang konon bergantung kepada cahaya rembulan untuk mempamerkan kecantikannya, dan ketika bulan mengecil, maka kecantikan pun sirna].

SKANDAL SEKS
Sultan Mahmud Syah II ada skandal seks dengan Encik Apung, anak perempuan Laksamana Johor. Tetapi untuk menutup skandal, mitos mengatakan anak perempuan Laksamana Johor telah mengutip air mani baginda yang tumpah di atas tikar ketika baginda sedang keberahian. Baginda dikatakan berahikan kepada perempuan hantu tadi, tetapi anak Laksamana menggatal, lalu "dijilatnya" air mani baginda. Ini laporan tidak masuk akal dan mengarut. Tetapi paparan cerita ini bolehlah dianggap sebagai satu skandal seks melibatkan baginda dengan anak Laksamana.

LUKA BERUMPUT
Cerita yang paling popular, Sultan Mahmud II pernah lemparkan keris ke arah Megat Seri Rama, terkena kaki Megat. Agaknya oleh sebab tidak dirawat dengan sempurna, ia bernanah dan berkudis sehingga tumbuh rumput di kakinya. Tumbuh rumput di kaki itu dianggap sebagai terkena daulat kerana Megat Seri Rama berani menikam baginda. Balingan keris ke kaki Megat itu menyebabkan dia merana selama empat tahun! Seri Rama terkena daulat Sultan Mahmud II [Mangkat Dijulang].

MUNTAH DARAH
Cerita mitos yang menarik, sewaktu Raja Kechil kanak-kanak, dia gemar bermain di kawasan Makam Sultan Mahmud di Kota Tinggi. Budak itu boleh cabut rumput dekat makam dan mengunyahnya. Dia boleh kunyah berapa helai pun, tetapi kalau ada budak lain yang ikut kutip rumput dan mengunyah macam dia, budak itu akan termuntah-muntah. Sampai muntah darah. Kenapa? Raja Kechil anak Sultan Mahmud, dia tak kena sumpahan. Sedangkan orang biasa yang hina dina, dek kerana makan rumput dia boleh muntah darah. Kalau diceritakan kepada kanak-kanak biasa, mereka tak berani hendak cabut rumput di tepi makam.

TAK KENA DAULAT
Ketika masih remaja bakal raja ini kerjanya membawa tepak diraja. Kalau bakal raja ini memegang tepak sirih baginda Sultan Lema Abang, baginda kena penyakit gatal buntut. Nak duduk pun tak boleh. Kalau nak jalan ke mana-mana pun, Raja Kecil yang remaja kena jalan di depan, kalau baginda berada di depan, baginda macam tersangkut-sangkut, tak larat nak jalan. Ketika anak remaja ini berkhidmat dengan baginda, Sultan Lema Abang selalu sahaja sakit. Macam-macam penyakit ada. Semua ini kata orang kerana ada remaja yang bernama Raja Kechil.

ANAK RAJA ORI
Ketika Raja Kechil berada di Pagaruyung, Sumatera, dia bermain-main di istana raja. Sebagai anak raja apa nak takutnya. Tetapi ada orang istana yang menegur dia, jangan bermain atas peterakna diraja nanti daulat. Habis, Raja Jilan pun tegur orang istana, "Hang tak tau ka? Raja Kechil ni waris sah kerajaan Johor, dia boleh pakai mahkota dan duduk main-main di situ!" Ada lagi kisah, ketika di Pagaruyung juga, Raja Kechil disuruh duduk atas batang pokok jelatang yang gatal. Disuruhnya anak raja itu pakai mahkota sekali. Wah, berseri-seri wajahnya. Itu tanda dia memang anak raja yang asli, bukan raja celup atau raja tiruan. Bukan itu sahaja Raja Kechil boleh tawarkan air masin jadi tawar. Kira macam karomah dialah. Dek kerana kebolehan yang mencarik adat itu, orang pun berteriak: "Daulat tuanku! Daulat Tuanku!" Satu lagi kehebatan Raja Kechil, ketika dia mengetuai angkatan perang dari Minangkabau [Sumatera] untuk menentang Bendahara Abdul Jalil Johor, kesaktian Raja Kechil menyebabkan meriam orang Johor langsung tak berfungsi. Ketika dicucuh, bukan peluru yang keluar, sebaliknya air sahaja, bunyi pun tidak. Cerita ini macam menghina angkatan Johor. Antara Johor dengan Raja Kechil dari Siak, siapa yang hebat? Sudah tentu Raja Kechil!

AMUK
Ada lagi cerita menarik bila mana Yamtuan Muda Johor [adik Bendahara/Sultan Abdul Jalil, Raja Muda Mahmud bin Habib Abdul Majid], dia dikatakan telah mengamuk dan membunuh isteri dan anaknya. Kenapa? Menurut kisah, dia ada berkata: Daripada isterinya diambil orang Minangkabau dijadikan gundik, lebih baik dihabiskan dulu. Tetapi dalam Tuhfat al-Nafis [teks yang pro-Bugis], ada usaha untuk menutup kes, konon kematian isteri dan anak ketika serbuan pasukan Minangkabau menentang pasukan Johor.
Diceritakan juga setelah Mahmud membunuh isteri dan anak-anaknya, dia telah melarikan diri masuk ke belukar.

Itulah yang terdapat di dalam cerita Hikayat, baik Hikayat Siak, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Raja-Raja Riau dan hikayat apa sahaja, pasti ada mitos --- paparan yang dilebih-lebihkan guna mengangkat seseorang tokoh.
[disari dari Muhammad Yusoff Hashim,1992, HIKAYAT SIAK, DBP:Kuala Lumpur]. []

No comments:

Post a Comment