Tuesday 1 January 2013

SYARAT ILMU: JANGAN BELANJA KAWAN YA!

SETIAP kali dia ke tengah kota - Jalan Masjid India, KL - dia pakai sandal, seluar paras lutut dan baju cap Pagoda. Jadilah, daripada tak pakai langsung.
Dia masuk KL dengan memandu Perdana warna hitam. Dia parking jauh dan kemudian naik LRT untuk jalan-jalan cari makan di tengah bandar.
Disebabkan ramai kenalan, maka ke mana dia duduk, di situ orang berkerumun. Semua nak dengar celotehnya. Dia pun bercerita tentang pengalamannya sejak lama menghilang dari pendengaran dan penglihatan umum.
Ke mana kamu menghilang lama?
Dia kata, dia ikut seorang bomoh Jawa di suatu tempat di Selangor. Jadi khadam bomoh. Setiap hari dia jadi orang suruhan.
"Din, ambik limau purut atas almari!" itulah permintaan bomoh yang biasa dia dengar.
"Din, pi basuh keris ini, kasi lap lepas tu," begitulah perintah bomoh pada hari yang lain.
Setiap hari dia akan mendengar permintaan dan arahan yang senada.
Kadang-kadang Din naik jemu.
Orang yang datang jumpa bomoh macam-macam.
Ada yang datang nak minyak pengasih. Minyak cenuai. Minyak mati dibunuh. Minyak Si Rangka Hirang dan macam-macam lagi.
Tidak kurang juga yang datang nak nombor ekor.
Jadi, Din sudah masak benar dengan perangai orang yang jumpa bomoh. Macam-macam hal yang dimintanya. Padahal bomoh Jumingan [bukan nama betul pun] bukanlah pintar sangat. Dia belajar dari siapa, Din tak pernah tanya.
Kerja Pak Jumingan sejak dulu sampai la ni tidak ada yang lain, melainkan duduk bersila, mendengar celoteh orang yang berhajat.
Yang datang jumpa dia macam-macam. Anak dara, janda, isteri orang, bekas kekasih orang, VIP, artis, pelakon, penyanyi, pelukis, penyair, penyajak, penajak, peniruk, penjala, pengail, pemanjat petai, pemanjat madu lebah, pencari cicak tokek dan macam-macam profesion lagi.
Jadi, Pak Jumingan dapat duit hasil daripada orang yang datang berkonsultasi dengan dia. Walaupun Pak Jumingan bukan hebat, tetapi khabarnya nama dia sudah tersohor dikenali di kalangan orang yang gila bomoh anekaragam.
Pak Jumingan tak ada tumpu satu benda. Pendeknya apa sahaja yang orang adukan pada dia, dia akan sapu.
"Pak, saya ada harta karun dalam kebun, boleh Pak tolong keluarkan harta itu?" suatu hari Din dengar seorang pemuda mengadu hal kepada Pak Jumingan.
Khabarnya, Pak Jumingan sudah pergi ke tempat orang itu dan mengeluarkan harta yang disebutkan itu. Hanya Din tidak pernah tanya apa yang dia dapat.
Pak Jumingan sudah pesan, jangan banyak tanya. Jangan tanya kenapa dan mengapa. Jangan campur urusan Pak Jumingan. Dengar arahan sudah memadai. Ada gajinya setiap hari. Tak perlu keluar rumah untuk lepak kedai mamak atau tengok layar lebar. Tak payah. Duduk rumah Pak Jumingan sudah cukup.
Duit Pak Jumingan memang banyak, semuanya disumbat dalam tempayan lubang kecil. Tetapi kalau Din nak sauk duit itu memang boleh. Kekadang Din keluarkan duit itu atas arahan Pak Jumingan.
"Din pergi kedai beli tembakau dan rokok, ambil duitnya dalam tempayan," itulah arahan yang kerap Din terima.
"Din, kalau kamu nak pakai duit untuk beli apa yang kamu nak, ambillah!" kata Pak Jumingan.
Maka setiap hari Din pun ambil wang dalam tempayan bermulut kecil itu sebagai gaji hariannya. Dia tak ambil banyak. Dia kena jujur. Dia ambil RM50 sehari. Itu gaji dia.
Pak Jumingan tidak kering duit. Sesiapa yang datang jumpa dia akan serahkan duit begitu sahaja. Ada kalanya orang datang bawa duit sebanyak 10 peratus daripada yang mereka peroleh. Itu macam hadiah untuk Pak Jumingan.
Pernah ada orang datang bawa duit sampai puluh ribu dimasukkan ke dalam tempatan mulut kecil. Din sendiri pernah periksa. Hampir penuh tempayan itu.
"Mewahnya!" kata Din dalam hati.
Tetapi Din tidak cemburu pada Pak Jumingan. Gaji dia sudah ada. Sebulan dia dapat RM1500. Itu sudah lebih dari cukup.
Suatu hari, ketika tidak ada orang, Din sengaja tanya Pak Jumingan. "Boleh tak saya belajar ilmu yang Pak ada?"
"Ilmu apa yang kamu nak?" tanya Pak Jumingan.
"Ilmu macam ni, supaya ramai orang datang berhajatkan sesuatu!"
Pak Jumingan tertawa buat-buat.
"Bukan tak boleh Din, takut nanti kamu rosak!"
"Kenapa rosak Pak?"
"Habis kamu sudah banyak duit, orang pun ramai datang!
"Ramai datang, dapat duit banyak Pak," kata Din sambil tersenyum.
"Bukan itu, maksud aku, nanti kamu enjoy dengan duit itu, tak boleh Din!"
"Jadi, untuk apa kumpul duit banyak-banyak gitu?"
"Duit ini aku infakkan ke mana-mana, tapi rahsia! Aku tak mahu orang tahu apa yang aku buat Din!"
"Oh, macam tu!"
"Tahu tak, aku boleh bagi ilmu begini kepada kamu tapi dengan syarat..."
"Apa syaratnya Pak?"
"Kamu tak boleh berlagak macam orang senang, macam kaya, kamu kena pakai biasa, selekeh, macam orang tak ada apa!"
"Itu saya boleh buat Pak."
"Kemudian, kamu tak boleh belanja kawan-kawan makan dan minum dengan duit yang kamu ada, melainkan duit yang kamu dapat dari sumber lain."
"Kenapa Pak?"
"Itu tak perlu kamu tanya, tapi kamu kena patuh, jangan belanja orang dengan duit yang kamu dapat dengan cara ini, cara ilmu yang kamu pelajari ada fahammm?"
"Faham Pak!"
"Mulai sekarang, aku akan beri kamu pelajaran secara bertahap. Sekiranya kamu ada ilmu ini, jangan kamu ceritakan apakah kunci atau passwordnya kepada orang lain, kalau kamu langgar syarat, dengan sendirinya kamu merosakkan ilmu, sudahnya apa buat pun tak jadi."

Begitulah setiap hari dia mendapat petua dan fatwa dari Pak Jumingan.  Orang tua itu memiliki sebuah kitab tua yang sudah lusuh. Bukan kitab agama pun. Entah apa tajuknya, kulit buku itu sudah tanggal. Atau sengaja dibuang?
Setelah dia belajar berbulan-bulan, dia mula praktikkan ilmunya. Dan cara dia mempraktikkan adalah dengan menjadi pembantu kepada Pak Jumingan.
Setiap kali ada orang datang bersila, Pak Jumingan akan tanya apa hajat mereka. Kalau hajat yang mudah, dia akan panggil Din. "Din, kau tolong buatkan Din, aku nak rehat kejap!"
Itulah peluang Din mempraktikkan ilmunya. Mantera yang diajar oleh Pak Jumingan semuanya mantera Jawa.

Setelah mendapat ilmu yang memadai, Pak Jumingan menamatkan keilmuannya setakat itu.
"Aku tak mahu bagi lebih-lebih, bimbang nanti kamu salah gunakan ilmu," kata Pak Jumingan memberi nasihat.
Bukan Din tidak tahu, Pak Jumingan takut nanti Din lupa diri. Apabila sudah ada ilmu, dia akan jadi orang sombong, jadi riyak, bangga diri, tak mahu tolong orang susah, pentingkan diri sendiri.

Dan ketika mundar-mandir di Jalan Masjid India, Din cari tukang urut kaki. Dia urut kaki sambil bersembang kosong. Din tak boleh simpan rahsia sangat. Dia tak boleh cerita bagaimana ilmu itu diamalkan, dia hanya cerita pengalaman mistiknya sahaja.
Suatu perkara yang membuatkan Din rasa terkongkong, dia kena membaca mantera yang diajar oleh Pak Jumingan. Sejak menghafal mantera yang bukan-bukan, hafalannya pada ayat-ayat al-Qur'an yang pendek-pendek pun sudah luntur.
Bab solatnya pun sudah mengendur, kerana salah satu syarat yang membuatkan ilmunya menjadi adalah kealpaannya dalam bab solat. Ini sudah memasuki dunia mengarut.
Dia sudah diajar oleh Pak Jumingan agar bersikap rendah diri. Kalau boleh berlagaklah macam orang bodoh. Sorokkan Perdana hitam metallic itu jauh-jauh. Buat biasa sahaja.
Dan yang penting, jangan sesekali duduk di warung atau kedai makan kemudian belanja orang lain makan. Termasuk saudara-mara, kenalan rapat atau sesiapa pun.
"Ini ilmu menyusahkan Pak?" kata Din menyoal gurunya.
"Ingat! Kamu tak boleh persoalkan apa pun, lagipun ini bukan arahan aku sorang, tapi arahan daripada guru-guruku yang dulu, semuanya sudah mati, justeru kalau kamu mahu amalkan ilmuku, kamu perlu patuh dengan arahanku!" mendengar kata-kata itu membuatkan Din semakin mati kutu.
Dengan sebab itu, Din akan mencari lokasi baru. Lokasi yang tak jumpa kawan-kawan rapat dan ipar duai.
Isteri sendiri pun sudah dilupakan. Tak boleh belanja makan kepada isteri dengan wang yang dimasukkan ke dalam tempayan bermulut kecil.
Kecuali, wang yang Din dapat daripada sumber lain.
Syarat ketat inilah yang membuatkan Din kebingungan. Nak cerita tak boleh. Nak bongkar rahsia ilmu lagi tak boleh. Maka Din jadi pendiam. Kekadang dia seperti bercakap seorang diri. Di tengah KL ini orang tidak hairan kalau nampak orang bercakap seorang diri. Dia sedang bercakap guna handphone, apa nak hairannya?

"Aku ada duit, tapi aku tak boleh belanja kamu makan minum," kata Din kepada tukang urut kaki yang dia langgani setiap kali masuk ke pusat bandar.
"Kenapa?"
"Oh, ini syarat ilmu, jangan belanja kawan!" kata Din sebelum beredar. []

No comments:

Post a Comment