Sunday 27 January 2013

BACA METRO, CERITA WAK NAHAR JURUFOTO

Hari ini menghadiri majlis perkahwinan di BoraOmbak, Jalan Ampang. Datang ke situ, mengingatkan saya kepada Pulau Bali. Kerana perhiasan, kolam, patung ukiran dan hiasan sepanjang laluan dengan tiang tinggi dan lentur dengan janurnya. Keinginan meniru cara Bali tidak perlulah meniru bentuk budaya yang ada kaitan dengan ajaran versi Bali di sana, ia kata ustaz adalah lambang paganisme, justeru kenapa perlu ditiru begitu?
Okaylah, dari situ kemudian saya melencong ke kedai "buy and sale" yang menjual barang-barang terpakai. Warga asing pun minat dengan barangan yang dijual. Itu di belakang Ampang Point sana. Selanjutnya sambil minum, kita belek akhbar Metro Ahad.
Ada beberapa nota yang perlu dicatatkan:
[1]. Ada cerita kitar semula. Iaitu kisah Mona Fandey.
Kisah Mona Fandey ini memang menarik kerana itulah kali pertama seorang tokoh politik boleh menjadi makanan si bomoh. Ia secara tak langsung memberi gambaran bahawa pada masa itu [tahun 90-an] bomoh juga menjadi medium untuk mendapatkan sesuatu, baik pengekalan jawatan, mendapatkan tangkal atau azimat, mendapatkan motivasi dan sebagainya. Ketergantungan kepada bomoh ini tidak diketahui apakah ia masih kekal sampai ke tahun 2013 ketika kita hendak mengadakan pilihan raya, maka dari paparan blog dan Fb yang kita tatap, memang ada orang tertentu yang "ketagih" dengan bomoh dan dukun bagi tujuan mendapatkan duniawi. Kisah Mona Fandey adalah pencetus kepada idea bunuh dan cincang. Ia bertukar versi menjadi bunuh dan letupkan atau bunuh dan bakar. Mungkin ada yang kata ia kebetulan sahaja, tetapi kalau Mona Fandey tidak memulakan cerita karut itu, maka kekarutan senada tentu tidak menjadi peniruan pihak lain. Atau kebetulan juga?
[2]. Ada kumpulan tertentu mengadakan solat hajat dan berdoa ramai-ramai.
Mereka dikatakan telah melakukan solat dan berdoa mengharapkan agar negara ini aman dari musibah gara-gara umatnya telah berpecah. Dikatakan umat islam di negara kita sekarang telah berpecah-belah, tidak ada perpaduan lagi. Maksud perpaduan yang dipaparkan dalam pemberitaan akhbar tersebut memberi gambaran bahawa kebanyakan umat tidak mendukung Umno Barisan Nasional[UBN], sekalipun pihak yang menganjurkan itu adalah sebuah NGO diterajui Datuk Seri, ia tetap berbau dukungan terhadap UBN. Kenapa tiba-tiba mahu bercakap tentang perpaduan dan perpecahan. Apakah perpaduan itu dianggap telah dicapai kalau semua umat islam berada di bawah bendera merah berkeris? Kalau itulah tafsirannya, maka perpecahan itu bukanlah perpecahan, ia hanya tindak-tanduk umat dalam berpolitik.
[3]. Jurugambar.
Pak Wan yang pernah jadi jurugambar berjaya membentuk sebuah keluarga yang semuanya berminat dalam bidang fotografi. Kedainya di bahagian belakang Pertama Kompleks memang pernah saya kunjungi sekadar melihat-lihat dan berborak-borak biasa. Kebetulan kekadang saya terserempak dengan Wak Nahar, seorang jurufoto yang tak lekang kelek kamera. Rupa-rupanya dalam laporan Metro Ahad, Wak Nahar inilah yang mengajar Pak Wan jadi jurufoto. Walaupun saya rapat dengan Wak Nahar dan pegang kamera SLR waktu itu, tak pernah pula saya tanya soal fotografi kepada Wak Nahar. Tak sangka Wak Nahar ini bagi motivasi kepada Pak Wan. Dengan cerita Wak Nahar ini, saya teringatkan kawan lama pelukis kartun Uncle Sam [Mazlan Manaf] yang tinggal di Setapak Jaya, Jalan Rejang. Saya pun rajin ke rumahnya, dan pernah bersama Wak Nahar pun. Uncle Sam ini ada hubungan dengan Pak Mishar [dulu terbitkan majalah Gila-Gila] isterinya Surya (saya teringat rokok Surya Gudang Garam yang jadi kegemaran Uncle Sam).
Saya kenal Uncle pun di Taman Sri Gombak, ketika itu dia ada projek buat majalah bersama Saidina Ali dan kawan-kawannya. Sementara saya bersama Pustaka Ilmu Raya [milik bos Anjung Rahmat Jalan Gombak tu] buat kerja penyuntingan dan semakan buku terbitan syarikat, termasuk buku-buku tentang Syiah, kemudian terbitkan Mingguan Bumi bersama Pak Hussein Yaacob - Ibnu Muslim dalam Harakah. Uncle Sam juga minat buat buku kanak-kanak, itu kerja paling mudah. Uncle juga dapat membimbing anak lelakinya sebagai artis grafik untuk penerbitan. Beliau juga pernah bekerja di bawah Yamin Daud juga seorang pelukis [Yamin ada melukis beberapa siri buku kanak-kanak terbitan Pustaka Alhas, grafik buku itu saya siapkan]. Saya teringat, ketika kemangkatan Yang Dipertuan Agong [Sultan Selangor] saya ada di Dataran Merdeka ambil gambar untuk majalah, Wak Nahar pun kebetulan ada bersama di situ. Wak pun hairan bagaimana saya pun boleh kelek kamera siap telephoto lagi. Entahlah Wak! Dulu saya pernah terserempak Wak Nahar di Pudu Plaza, sebab dia banyak cuci gambar di situ. Macam biasalah, projek Wak terlalu banyak, hanya dia tak mahu cerita sahaja. Sekarang, dah lama tak jumpa Wak. Ketika bersama Karim Penerbitan Ibunda, Jalan Taman Ibu Kota Gombak dulu, kami selalu mengakalkan Mat Tungau pekerja Pak Karim di kilang cili sosnya. Kami katakan kepada Mat Tungau bahawa Wak Nahar itu adalah ayah kepada Yati Kelantan. Usik mengusik je! Wak datang ke tempat Pak Karim naik motor scrambler, "Dahsyat jugak bapak Si Yati ya?" kata Mat Tungau kepada saya. Kelakar. Cerita ini sudah disampaikan kepada Wak Nahar. Wak tak komen apa, suka hatilah! Ada seorang lagi yang suka kelek kamera, Ibrahim Taib, kerap terserempak di Pertama Kompleks, dan lepak di warung sup Kelantan di hujung bangunan dekat Ships. Daripada kamera biasa, Ibrahim dah kelek kamera video pula. Saya masih ingat, Ibrahim Taib kalau datang ke pejabat akan serahkan lampiran bertaip cerita budak penyanyi pub, siap gambar yang dia ambil. Cerita penyanyi pub tak seberapa, kena siar juga untuk filler sebab nak kejar date line! Kini Ibrahim Taib sudah jauh berubah. Tak tahu apa perkembangannya. Seorang lagi yang suka hantar gambar dan teks tentang gambar itu. Semua sumber dari Onn Ismail. Itu zaman Umno hebat. Nama kawan ini Kawie Awang, orang Kelantan, kerja di pelabuhan. Dia juga rajin hantar bahan, sebab dia salah seorang stringer untuk Mingguan Bumi. Semua ini ada kaitan dengan Wak juga. Gaya Wak memang jurufoto! Hanya masalahnya kata Wak, apabila usia meningkat, mata kita tak tajam lagi. []

No comments:

Post a Comment