Saturday 5 January 2013

TENTANG MAZHAB DALAM ISLAM

INI isu lama, sengaja dicatatkan semula untuk paparan.
Said Ramadan ada membicarakan tentang mazhab.
Dia kata, mazhab-mazhab undang-undang adalah terjemahan biasa daripada al-Madhahib, secara literalnya bermaksud 'jalan pergi' [way of going]. Dalam banyak perkara mengenai Islam, istilah ini adalah menyamai undang-undang Islam. Oleh kerana itu ia menyatakan bahawa 'jalan pergi' yang khusus itu tidak menganggap ia sendiri sebagai istimewa, atau badan agama, tetapi hanya merupakan tidak lebih sebagai salah satu daripada pentafsir-pentafsir undang-undang Islam yang diakui sahaja.
Dalam tulisannya lagi, dia kata, sepanjang ajaran Islam berhubung  dengan ini, tiada terdapat ayat al-Qur'an atau Hadis Nabi Muhammad sallahu alaihi wa sallam yang mendesak  orang-orang Islam  menubuhkan sebarang mazhab, atau menyuruh mengikut mana-mana doktrin mazhab yang terkenal.
Dengan lebih tegas, bahawa pada peringkat yang paling awal Islam tidak menyuruh sesuatu tentang mazhab dan seterusnya. Bukan itu sahaja, malahan menurut sejarah tiada  seorang dari Fuqaha Islam  yang besar yang mazhab-mazhab itu dinamakan mengikut namanya menubuhkan mazhabnya dengan tujuan demikian.
Ada lagi faktor-faktor lanjut yang menunjukkan bahawa Fuqaha-fuqaha yang dinamakan  menurut nama mereka, dan tiada seorang pun daripada mereka secara rasmi sebenarnya mewakili fiqah Sunni.
Ini adalah setengah daripada gambaran-gambaran yang paling mustahak mengenai perundangan Islam.
Berhubung dengan sejarah perundangan Islam ini, Said Ramadan menunjukkan beberapa perkara dari dari al-Shawkani.
Al-Shawkani menceritakan  dengan beberapa kenyataan yang terang dan dibuat oleh Fuqaha-fuqaha besar iaitu atas nama merekalah empat mazhab Sunni itu beransur-ansur ditubuhkan.
Antara lain dinyatakan:
Abu Hanifah berkata, "Tiadalah patut sesiapa pun mengambil apa sahaja yang kami dapati kecuali ia tahu dari mana kami ambil. Adalah fitnah mereka mengatakan yang kami mendahulukan pendapat qiyas daripada Syari'ah sendiri. Adakah perlu kita mencari pendapat lain sedangkan kita telah mendapatinya dalam kitab suci?"
Malik pula berkata, "Saya hanya seorang manusia. Saya mungkin bersalah dan mungkin pula betul. Oleh itu terlebih dahulu diperhatikan apa yang saya kata. Jika ia bersesuaian dengan kitab Allah dan sunnah Rasul, maka bolehlah kamu menerimanya. Tetapi jika ia bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah, hendaklah kamu tinggalkannya."
Al-Syafi'i berkata, " Jika saya mengeluarkan pendapat yang menyimpang dari sebuah hadis,  hendaklah kamu mengikuti hadis, dan janganlah mengikuti pendapatku. Dan jika sesuatu kenyataan itu kemudiannya didapati benar sebagaimana yang dinyatakan di dalam sesebuah hadis, dan apa yang saya dapati itu berlawanan pula dengannya, maka ini tiada terpakai lagi, dan hendaklah kamu menurut hadis itu."
Ibn Hanbal berkata, "Jangan ambil pendapatku, pendapat Malik atau al-Syafi'i atau al-Thawri, dan hendaklah ambil secara langsung dari mana yang mereka semua ambil."

Said Ramadan menyimpulkan, sungguhpun para Fuqaha yang terdahulu tidak bermaksud hendak menubuhkan mazhab-mazhab, mereka hanya hendak mempergunakan semua kepandaian mereka -- sama ada dari sudut kebenaran sejarahnya, implikasi-implikasi bahasanya, atau dalam pengertiannya dengan peristiwa-peristiwa baru. Mereka mempunyai tujuan umum bagi menguatkan hubungan baik antara orang-orang Islam dengan syari'ah mereka.
Perlu dicatat, di antara tahap-tahap perkembangan mazhab perundangan Islam [ada tujuh tahap] tetapi pada tahap ke-5 [dari tahun 351 - 656 H/962 - 1258 M], inilah tahap paling penting dalam penubuhan mazhab-mazhab yang kita kenal hari ini.
[dipetik dari Othman Ishak, Hubungan Antara Undang-Undang Islam dengan Undang-Undang Adat, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, h. 20 - 23]. []

No comments:

Post a Comment