Monday 22 April 2013

JANGAN FIKIR RM2.5 JUTA TU BANYAK! HIKAYAT SI MISKIN

KETIKA dia berkawan dengan orang miskin, nak dapatkan borang tender pun tak berduit. Kena jumpa kawan-kawan pinjam duit dulu di depan Wisma Yakin.
Ketika dia miskin dia terpaksa jumpa kawan-kawan yang berani usung list derma untuk kutip derma tipu. Sudahnya tanpa disedari atau disedari, ia terpaksa makan hasil dari penipuan.
Bertahun-tahun yang kaki tipu akan mencari duit dengan cara begini. Kutip derma. Mana boleh dapat list derma? Tidak susah.
Dalam peti surat ada banyak list derma.
Setengah masjid dan surau cuai. Pemberitahuan atau surat minta derma pun ditampal di papan kenyataan. Konon untuk para jemaah baca. Sesiapa nak derma boleh derma sebagaimana alamat dan list derma yang disertakan.
Tetapi berapa banyak list derma masjid, surau, anak yatim, buat bangunan sekolah tambahan, nak buat tandas, nak buat tempat solat di sekolah dan sebagainya yang tak sampai ke matlamat sebenar?
Apabila kertas minta derma itu jatuh ke tangan orang sesak, ia akan diusung ke sana-sini bagi mendapatkan duit.
Nah, seorang lelaki yang pernah terlibat dengan kerja membawa list derma untuk kutip derma bagi tujuan peribadi menceritakan semua yang telah dia lakukan kepada penulis.
Kira macam "pengakuan" sahaja. Dia kata boleh tulis untuk majalah. Ini cerita benar.
Daripada kutip derma kemudian sampai kepada bab menyamar bawa bomoh pelaris. Sebuah gerai di Muar katanya, pernah dijampi dan didoakan agar gerai itu laris.
Walaupun main-main, dek kerana terdesak tak ada duit tambang, dia sanggup berlakon. Dengan duit yang makcik gerai itu bagi kepada bomoh pelaris menyamar, maka dia boleh sampai ke Pudu Sentral [dulu Pudu Raya].
Nasib orang yang pernah lakukan macam-macam hal kelakar ini sungguh beruntung. Dia mendakwa pernah mendapat wang pampasan daripada projek membesarkan jalan di Kuala Lumpur. Dapat sejuta lebih duitnya. Kemudian jual tanah tepi jalan juga untuk buat stesyen minyak.
Dua kali masuk.
Penulis tak tahu apa. Dia tunjukkan dokumen yang ada. Betul. Dia telah mendapat RM2 juta lebih. Kira dia boleh bergayalah.
Ketika dia bergaya, kawan-kawan langsung tak tahu menahu. Kalau kawan di masjid tahu pun, tak ada seorang pun yang nak hubungi dia minta belanja ais kosong atau minum air paip. Tidak ada. Bahkan kawan-kawan di Masjid Jamek LRT, tidak tahu pun.
Terakhir saya terserempak dengannya di Chow Kit. Dia baru balik dari Hospital KL.
Dia juga cerita nak dapatkan duit BRIM RM500.
Permohonannya ditolak. "Kamu jutawan tak kan nak mintak BRIM? Tak layak!" kata kawan mengusik.
"Itu dulu, sekarang aku dah tak ada apa," katanya dengan suara yang lemah.
Walaupun episod yang menimpa seorang jutawan kecil ini sudah pernah penulis ulas, namun, ada sesuatu yang mungkin orang tidak fikirkan.
Apabila seseorang itu hidup dalam keadaan serba kekurangan, nak rasa pakai itu dan ini tak mampu, nak rasa makan sedap-sedap pun tak mampu, maka apabila mereka memiliki wang yang banyak sampai berjuta, maka dia sudah jadi lain. Itu baru duit sebanyak itu, belum lagi sampai angka mencecah billion!
Dengan wang yang diperoleh secara mi segera itulah dia sekeluarga makan angin. Enjoy sakan. Dunia ini kita punya! Balik Malaysia, beli rumah secara tunai. Beli mercedez juga tunai.
Agak-agak duit sebanyak itu berapa lama boleh bertahan?
Duit itu tidak membiak. Ia semakin mengecil. Setelah mengecil. Dia sendiri tidak mampu mengelolakan diri. Terasa kerdil dan hina benar kalau tidak berduit. Kini dia termenung. Kalau rumah yang dihuni itu boleh dijual dia akan jual.
Duduk di rumah kecik. Lagipun ahli keluarganya semakin mengecil. Anak-anak yang sudah berkahwin tidak tinggal bersama lagi. Akhirnya tinggal dua orang sahaja -- dia dan isterinya.
Kini dengan pandangan sayu dia bercerita tentang kehidupan yang tidak menentu. Dia perlukan wang tunai.
Bagi orang yang tak pernah dapat duit sampai berjuta, mungkin mereka akan menggunakan wang sebanyak itu dengan jimat. Itu cakap sahaja. Dua juta pun tidak cukup. Sebab itulah, yang benar-benar cukup pada zaman sekarang kalau seseorang itu mempunyai paling kurang RM1 billion! Kalau sahabat tadi billionaire dia akan tertawa sekuat-kuatnya! Dan rakan-rakan diraikan dengan ais kosong dan roti canai sahaja!
"Selamat menjamu selera wahai sahabatku para jemaah masjid!"
Kata-kata itu belum tentu dilaksanakan. Apabila menyedari akaun di bank masih ada sejuta lebih, maka semuanya hendak dicapai.[]

No comments:

Post a Comment