Monday 22 April 2013

MENGHASUT RAKYAT BENCIKAN DAP?

ORANG Melayu menyertai DAP tidak ada apa masalah.
DAP adalah parti politik yang sah. Ditubuh dan didaftarkan di Malaysia. Bukan di Taiwan atau di Hong Kong. Semuanya warga negara Malaysia.
Parti ini membuka ruang kepada semua orang untuk menyertainya. Bandingan parti yang sama dengannya dalam soal keahlian adalah parti Gerakan.
Akan tetapi parti bernama DAP ini telah dijadikan hantu genderuwo, gergasi ganas atau apa sahaja momok yang menakutkan rakyat.
Dari dulu, sejak zaman Perikatan orang Melayu sudah diberitahu bahawa DAP adalah musuh kepada parti Melayu sempit bernama Umno. Orang Umno kena berhati-hati dengan DAP kerana ia adalah parti musuh, jangan disantuni, jangan didekati, ia parti chauvinistik. Pendeknya label yang buruk-buruk berkonotasi mereng sahaja yang diberikan kepada DAP.
Manakala parti yang baik, yang ahlinya semua baik-baik belaka, maklum parti yang didukungi oleh pemimpin Melayu elit di kalangan kaum bangsawan Melayu, yang mendakwa sebagai cendekiawan Melayu, hanya Umno yang dapat menyelamatkan orang Melayu.
Kata-kata sakti bahawa Umno penyelamat kaum Melayu seolah-olah orang Melayu pernah mengalami zaman kejatuhan yang amat teruk pada masa silam. Umno tidak lahir di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Lagipun kelahiran Umno adalah hasil dari pencerahan minda Melayu yang dilakukan oleh orang putih.
Ia lahir dari kelompok elitis Melayu yang menjadi sahabat kepada British. Salah satu peninggalan British yang menjadi kebanggaan rakyat adalah Umno.

RAKYAT KECIL
Sebagai parti yang diwujudkan secara elitis, dukungan rakyat kecil sangat diperlukan. Untuk menarik minat mereka, maka istilah Melayu digunakan secara leluasa. Lagipun orang putih juga telah mengajar bagaimana menggunakan nama Melayu untuk Tanah Simpanan Melayu, Kereta Api Tanah Melayu, begitu jugalah dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [sepatutnya Pekembar dipopularkan dan bukan Umno yang berbau Inggeris].
Itu zaman dulu. Orang Melayu setiap hari didoktrinisasikan agar gerun kepada DAP.
Hari ini, orang Melayu menjadi sahabat baik kepada DAP.
Orang-orang muda yang mentadbir DAP memahami bagaimana parti mereka boleh mendapat sambutan Melayu sekiranya tidak ada kempen atau paparan media yang sentiasa memburukkan DAP.
Serangan terhadap DAP amat keterlaluan.

FITNAH
Lihatlah ada sahaja pihak tertentu yang menerbitkan bahan-bahan tohmah, memanggil orang yang konon menjadi bekasan DAP untuk berwacana di depan kelompok Melayu. Maka orang ini diminta bercakap bahawa DAP ini adalah musuh Islam. Musuh Melayu.
Sepanjang kempen menghadapi pilihan raya kali ini ada kata-kata nista yang memang telah dirancang. Bukankah di kalangan mereka ada semacam grup pemikir yang setiap hari merancang bagaimana hendak menjatuhkan Pakatan Rakyat.
Dan di dalam Pakatan Rakyat itu ada parti DAP.
Pemimpin Umno resah gelisah kalau DAP masih diyakini rakyat. Serangan Umno semakin aktif menjelang pilihan raya.
Hanya Umno konon yang menyelamatkan umat ini dari bermacam angkara murka.
Lihatlah perancangan jahat mereka. Antara lain mereka kata bahawa DAP kalau berkuasa nanti agama Islam bukan lagi agama rasmi.
Maksudnya agama lain akan menjadi agama rasmi. Sistem beraja akan dihapuskan. Kalimah Allah boleh digunakan oleh semua agama. Hak keistimewaan Melayu dihapuskan. Agensi seperti Mara, Felda, Felcra -- akan dimansuhkan. Askar Melayu dan Polis Diraja dibubarkan.
Semua yang disebut tadi langsung tidak berdasarkan fakta. Ia seolah-olah grup pemikir tadi sedang merapu.
Semua yang disebutkan ini sudah dipaparkan oleh media pendukung Umno-Barisan Nasional. Pengikut mereka yang tidak tahu susur galur sejarah dan politik negara pun ikut menjadi pencacai.

MENGHASUT
Jelas, apa yang mereka nyatakan itu adalah berbentuk menghasut.
Mereka hasut supaya orang Melayu bencikan DAP. Apabila benci kepada DAP sudah tentu terkena kepada Pakatan Rakyat sekali.
Mereka tidak terfikir pun bahawa di Malaysia ini cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga!
Yang ini Melayu nasionalis tidak peduli.
Bagi mereka membujur lalu melintang patah. Kerana ghairah dengan slogan Melayu, Raja Melayu dan ketunanan Melayu mereka sudah lupa. Semangat terlalu lebih.
Mereka tidak faham dengan Tahaluf Siyasi yang dibuat oleh para pemimpin dalam Pakatan Rakyat. Sepatutnya UBN mengucapkan terima kasih kepada Pakatan Rakyat. Tidak perlu UBN bersusah payah ada Jabatan Perpaduan Negara yang fungsinya menjadi tanda tanya.
Berpuluh tahun masih bercakap tentang perpaduan negara. Kenapa tidak ada perpaduan? Kenapa masih ada syak wasangka antara kaum? Siapa yang membenihkan kebencian antara kaum di negara kita?
Demi menjaga politik perkauman masing-masing UBN lupa bahawa mereka telah membenihkan kebencian kaum di kalangan rakyat.
Hasil dari kebencian UBN terhadap parti DAP telah dibalas balik oleh rakyat. Mereka meluat melihat perangai pemimpin UBN yang bercakap ikut keadaan. Di depan Melayu mereka cerita lain dan di depan pelbagai kaum mereka kata lain. Itu sebab perpaduan antara kaum masih janggal. Percayalah.
Kebencian mereka terhadap orang DAP melampau-lampau. Difitnah dengan bermacam berita dan laporan di dalam media mereka [dalam kes ini Utusan Malaysia, TV3, RTM, Bernama dan sebagainya adalah agensi yang menyemarakkan kebencian antara kaum; satu tindakan yang bertentangan dengan usaha Jabatan Perpaduan Negara].
Sekiranya kita masih gagal untuk menyatupadukan kaum, bermakna kita gagal. Ada jabatan pun tidak berfungsi. Media yang diharap tidak berkesan. Pembaziran bertahun-tahun telah berlaku.
Sebaliknya, dengan wujudnya Pakatan Rakyat, perpaduan antara kaum makin erat. Wujudnya parti yang pelbagai kaum memberi acuan baru dalam politik negara. Akan tetapi bentuk begini tidak digemari oleh UBN. Mereka lebih suka jika perpaduan itu dirungkaikan, biarlah ia bercakaran antara satu sama lain. Maka ketika itu mereka akan turun menjadi jurupenyelamatnya.
Kalau di Indonesia ia dipanggil Ratu Adilnya.
Sekarang penyelamat kepada perpaduan antara kaum adalah Pakatan Rakyat.
Tidak dapat digambarkan betapa sakitnya hati kaum bapa dan ibu-ibu dalam Umno apabila melihat anak-anak muda Cina dan India bergabung tenaga dalam Bersih. Mereka berhimpun di mana-mana sehingga padat dan sendat. Itu bukti tahap perpaduan kaum di negara kita. Mereka bersatu dengan satu matlamat.
Kemudian anak-anak muda pelbagai kaum ini boleh hadir mengikuti ceramah pemimpin Pakatan Rakyat. Tidak perlu bas dan pengangkutan percuma, mereka datang dengan kerelaan. Tidak payah bagi topi, kipas, buku cenderamata [gambar pemimpin sahaja], selendang, beg pink, air mineral, nasi bungkus dan sebagainya. Kita sudah melatih rakyat datang berhimpun di suatu tempat, dan mereka akan mendapat macam-macam buah tangan yang nilainya tidaklah seberapa.

PEGANG BENDERA PAS
Di majlis itu kita lihat berapa banyak pembaziran. Kita tidak tahu sumber wang dari mana untuk mencetak buku-buku empat warna, penuh dengan gambar PM,TPM dan isteri masing-masing. Gambar skim bantuan atas nama 1Malaysia yang menjadikan buku itu tidak bermakna lagi [saya hadir dalam program itu bersama keluarga].
Kini, mampukah UBN dan rakan simpati mereka menghasut rakyat agar bencikan DAP?
Keadaan sudah terbalik sekarang. Dulu pemimpin UBN cabar kenapa tidak ada Melayu dalam jawatankuasa tertinggi parti itu. Kini Melayu sudah ada. Bukan tempelan. DAP adalah parti pelbagai kaum. Bukan parti orang Cina sahaja walau pun ia yang dominan. Hasil dari cabaran orang Umno sendiri, maka sekarang semakin ramai Melayu muda menyertai DAP.
Semakin galak anak-anak muda DAP pakai baju hijau berlambang bulan, mereka tidak gerun memegang bendera PAS.
Kita tidak akan lihat anak muda Cina atau India pegang bendera Umno. Bendera PAS sifatnya universal. Ia tidak menunjukkan jatidiri keMelayuan sempit sebagaimana lambang dalam bendera Umno.
Inilah punca mengapa Umno suatu masa nanti akan menjadi kecil. Ia akan menjadi asing kepada rakyat di negeri ini. Sekiranya ia tidak berubah sikap, hanya mementingkan Melayu melulu, tetapi masih banyak orang Melayu hidup terabai, maka jeritan hidup Melayu, hidup Melayu tidak menimbulkan kesan apa pun.

SOKONGAN
Hari ini bilangan anak muda menyokong DAP semakin ramai. Calon DAP boleh bertanding di kawasan ramai Melayu. Tidak perlu bimbang. Pakatan Rakyat telah melaksanakan dasar perpaduan kaum yang lebih praktikal daripada usaha yang dibuat oleh UBN. Jabatan Perpaduan Negara pun gagal melakukannya.
Masa telah berlalu. Zaman pihak tertentu hendak menghasut bagi memecah-belahkan perpaduan kaum sudah berlalu. Jika buat juga agenda hasutan itu, bermakna mereka menuju ke belakang. Kita seolah-olah masih mengidam kaedah lama -- menakut-nakutkan kepada anasir Komunis [kebetulan Makcik Umno datang ke rumah beritahu, kalau undi calon Cina, dia Komunis katanya -- kes Gombak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; kalau calon Melayu BN bagaimana?]. Tidak hairan, orang Melayu selalu diingatkan peri buruknya 13Mei 1969.
Sedangkan peristiwa itu bersifat sempit dan kecil hanya tertumpu kepada Chow Kit dan Kuala Lumpur. Hanya pusat bandar sahaja.
Saya teringat ketika 13Mei, 1969, kita risau kalau apek yang beli ayam, ubi kayu dan kelapa kering tidak masuk kampung. Apek bernama Song Kia dari Sekincan naik motosikal Bantam itu memang akrab dengan keluarga kami di Kg. Warisan Pasir Panjang, Sekincan, Selangor.
Keakraban masyarakat Cina dengan Melayu terbukti apabila ada Adun dari DAP yang digelar "Cina Jawa". Dia boleh bertutur dalam bahasa Jawa untuk memikat pengundi Melayu keturunan Jawa. Dia popular di kawasan Sekincan dan sekitarnya.
Kenapa masih ada orang buruk-burukkan DAP dengan bermacam tohmah? Sehingga DAP menguasai Pulau Pinang pun orang UBN masih tidak sedar. Bukan tidak ada tokoh dari NGO menyertai DAP diberi kedudukan penting, tiba-tiba berpaling tadah dan memburuk-burukkan DAP. Ini memberi gambaran bahawa keburukan itu melibatkan dirinya juga, diri sang tokoh yang telah menjadi orang penting dalam DAP, dilantik jadi Senator lagi. Atas dasar perkauman sempit, dia sanggup menimbulkan rasa kebencian.
Di Malaysia, banyak NGO atau tokoh tertentu yang rasa selesa bersahabat dengan UBN. Apabila menumpang kenderaan UBN publisiti berlebihan, akan ada wawacara khas untuk sang tokoh bercerita tentang keburukan DAP. Tindakan ini tidak patriotik.
Jangan fikir komentar atas isu Lahad Datu sahaja yang tidak patriotik, menyemai semangat kebencian antara kaum juga lambang tidak patriotik.
Kini, siapa yang tidak patriotik?
Sedih apabila ada tokoh dalam Pakatan Rakyat dikatakan tidak patriotik. Adakah patriotik kena dipamerkan? Pegang bendera setiap hari. Pakai baju bendera Malaysia macam Sudirman buat di tahun 80-an dulu?
Itu berlebihan namanya.
Jauh dari patriotik sebaliknya mahu mencari populariti!
Semoga kita umat Melayu berlapang dada. DAP adalah parti poltik sebagaimana parti lain yang ada. Sekiranya ia membuka keahlian kepada orang Melayu, tidak menjadi kesalahan pun menyertai parti itu.Tidak salah juga menjadi calon DAP. Zaman takut kepada DAP sudah berlalu, itu zaman Kapal Layar dan Dacing. Sekarang bagaimana? [Penulis adalah bekas wartawan tabloid Mingguan BUMI di tahun 80-an].

No comments:

Post a Comment