Sunday 21 April 2013

KEMISKINAN RAKYAT DIPERLEKEH SAHAJA?

CERITA orang miskin jarang orang paparkan dalam media.
Lagipun media kita hanya tertarik paparkan cerita orang kaya, orang yang ada jawatan besar, ada pengaruh, ada karisma, ada aura dan ada bau harum yang bukan kepalang.
Lagi harum bau seseorang itu, lagi melangitlah pujian yang ditulis oleh para wartawan kita yang sebahagian besar bukanlah orang kaya raya, mereka pun macam orang lain. Jawatan sementara, tidak akan naik ke mana selagi orang atas tidak dikeluarkan.
Tunggulah sampai bila-bila pun di situ.
Orang miskin bercerita tentang nak bayar bil api dan air pun susah.
Mana nak diutamakan. Bayar bil atau nak beli beras dua tiga kilo?
Ingat, ini cerita orang miskin. Mereka tak fikir nak beli beras 10 - 20 kg siap tolak troli berlagak keluar dari gedung membeli-belah. Ini cerita orang tak berduit.

PASAR KARAT
Nak beli susu untuk anak pun tak mampu, kena berniaga ala kadar dulu.
Tengoklah bagaimana orang berniaga di Pasar Karat Petaling Street.
Ketika tidak ada duit, semua benda dalam rumah dikeluarkan.
Jangan nak hina. Ada yang keluarkan dapur gas, keluarkan radio, tv, alat komputer, VCD lama, baju lama, seluar dalam lama [jangan ketawa], periuk belanga, dan kalau tingkap rumah boleh dijual akan dibawa juga.
Ingat, ini cerita orang miskin yang PM dan TPM terlepas pandang.
Mereka berniaga di situ untuk beli bawang, beras dan gula.
Mereka berniaga di situ untuk dapatkan sedikit duit. Itupun kalau dapat. Para peniaga begini tak ada orang politik selami. Mereka masih berlagak megah dengan kekayaan dan kemewahan yang mereka dapat hasil dari berpolitik menipu rakyat.

TAMAK BUKIT
Bandingkan dengan kekayaan yang melimpah ruah, umpamanya kalau sudah dapat satu bukit harta, dia nak bukit yang satu lagi. Padahal bukit yang satu lagi elok kalau diberikan kepada orang miskin. Dasar kita tidak, selagi boleh dicapai akan dicapai, selagi boleh dikaut akan dikaut.
Ini cerita orang miskin. Sanggup naik bas turun bas. Sanggup jumpa kawan lama.
Tanya hutang lama bila nak bayar. Kawan pun tak ada duit. Sedih dibuatnya.
Kalau hutang tak boleh bayar, bagilah sepuluh dua pun tak apa, hutang pun berkurang juga.
Dasar manusia kalau berhutang, mereka mahu biarkan biat hutang itu dibawa mati.
Mereka tak takut mati atau tak tahu pun ada hadis yang menerangkan mengenai perkara hutang ini kalau sampai dibawa ke mati? Ini bukan hutang budi. Ia lain.
Yang ini hutang duit tak kan nak dibawa sampai ke mati? Hutang emas boleh dibayar? Belum tentu. Zaman sekarang, hutang emas ramai yang tak larat nak bayar.

KUTIP BOTOL
Mungkin kita tak pernah berkawan dengan orang yang kutip botol plastik, kertas kotak dan apa sahaja termasuk besi buruk. Botol kaca tak laku. Nak jual susah. Jauh kata mereka. Di Jalan Chan Sow Lin adalah tempat membelinya, tapi tak kan nak naik teksi bawak botol?
Itu keluhan orang kecil. Mereka yang ada pendapatan tak apa. Kebanyakan cari dan jual pagi, untuk belanja pagi. Belanja petang kena meranjau lagi.
Berapa ramai orang kita yang bertali leher lebar, bergincu berbedak wangi yang memandang sebelah mata kepada golongan ini?
Cuba anda bandingkan kekayaan pemulung [tukang kutip tadi] dengan kekayaan para pemimpin kita yang bijak melakukan segala penipuan? Di depan rakyat cakap lain, di belakang sana mereka cakap lain.
Contoh:

TUNANGKAN ANAK
Ketika ada orang di celah bandar tidur di kaki lima, makan nasi percuma untuk golongan asnaf dekat Bangunan PWTC, Kuala Lumpur, ada majlis pertunangan anak perempuan menteri kita [PM] sampai RM409 ribu lebih. Itu baru bertunang. Belum lagi bab nikah kahwin. Mungkin dia akan nikah di kayangan sana dengan belanja yang lebih dahsyat dari yang ini.

ANAK MENTERI DAPAT KONTRAK
Bayangkan, orang miskin tadi jual botol plastik yang mereka kutip sampai satu guni penuh baru dapat RM2-3 ,sedangkan anak menteri asuhan UBN dapat kontrak menyelenggara sistem udara bernilai RM280 juta. Ini anak menteri dari Rompin, Pahang. Usia baru 25 tahun dah main duit ratusan juta. Pakcik kutip kertas dan botol sudah berusia 52 tahun tak pernah pegang duit RM100!

ANAK KETUA MENTERI KAHWIN
Belanja majlis perkahwinan mengalahkn perkahwinan Sultan Melaka dengan Puteri Gunung Ledang [kalau jadilah, tapi tak jadi]. Perkahwinan anak menteri ini habiskan belanja sampai RM600 ribu. Siapa untung? Pihak yang menyediakan pakej perkahwinan. Mereka senyum lebar. Puji tak sudah-sudah. Kalau dapat projek macam ini setiap bulan kan bagus? Cubalah ada anak orang kita yang kutip sampah jumpa tuan punya katering, mungkin mereka geleng kepala. "Tak boleh cik! Ini harga dah murah la ni! Lagipun semua dah mahal sekarang!"

ANAK RAJA DAPAT PROJEK
Agaknya sejak zaman dulu asalkan anak raja kena dimuliakan. Maka seorang anak raja di KL mendapat projek sampai RM30.8 juta dari Kementerian Belia dan Sukan. Kalau dia bukan anak raja, dan bukan anak orang politik yang memihak kepada dia, bolehkah budak perempuan anak raja ini dapat projek ini? Nescaya, anak Raga Gondang pula yang dapat.

ANAK MENTERI PEREMPUAN
Dulu heboh dia punya hal. Anak perempuan orang lain, nak beli itu dan ini kena fikir 10 kali. Tetapi anak menteri ini sebut sahaja harga terus bayar. Gajinya sampai RM35 ribu sebulan. Dapat duit dari mana untuk bayafr gaji semewah itu? Nasib baik emak dia menteri. Kalau emak dia mencari botol kosong, pikul karung guni, kais sana, kais sini, nak dapat RM3.50 pun sakit.

HARAPAN ORANG MISKIN
Orang miskin tidak mengharapkan apa pun dari pilihan raya ini.
Janganlah nak ajak dia orang mengundi calon itu dan ini. Dia lebih fikirkan mana nak cari duit pada masa sekarang?
Mana ada longgokan botol kosong dibuang? Oh, ada ceramah politik. Tin aluminium pun banyak. Kertas kotak pun ada. Mereka fikir itu. Mereka tak fikir calon itu dan calon ini.
10 kali pilihan raya, dia macam itu juga nasibnya.
Kepada orang miskin yang tidak mencari kotak dan botol kosong, mereka ada masa nak dengar ceramah politik. Janganlah para pemimpin Pusat datang ke kampung berlagak macam tauke besar. Hambur duit dan cakap besar. Nak cakap kena tengok tempat. Jangan anggap yang dengar itu semuanya sama sahaja. Seni berucap pun nak kena pandai.

BANYAK LAGI PROJEK
Banyak lagi projek besar yang menjadi mainan orang kaya. Orang ada kedudukan. Semuanya ada gelar hebat-hebat di depannya. Gelaran yang diperoleh hasil dari politiking belaka. Kalau nak dipaparkan satu persatu, nanti sakit hati dibuatnya.
Dan bukan orang tidak tahu, walaupun banyak yang tergolong billionaire, namun sumbangan mereka kepada kaum miskin masih sedikit. Mereka masih sayang kepada harta yang ada. Harta itu penting untuk ketenaran di dunia, semoga orang akan kenang, ingat, bukan kerana kedermawanannya, tetapi kerana kekayaannya. Melayu tumpang bangga kerana ada Melayu kaya raya. Itu pada worldview Melayu, tetapi kalau dilihat dari sudut pandangan Islam, maka mereka tergolong orang yang sengkek, tidak tahu apa. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment