Saturday 20 April 2013

MEMANG LINTANG PUKANG PAKATAN RAKYAT TANDING SAMA SENDIRI

Apa nak jadi? Itu yang kebanyakan orang bertanya. Banyak ulasan mempertikaikan kenapa dan mengapa boleh terjadi pertandingan sampai berbagai penjuru. Dulu, paling tidak ada tiga penjuru sahaja. Itu pun dah gerun sangat. Masa itu orang tak fikir bahawa calon BEBAS itu hanya nak jadi calon secara individu. Akan tetapi dalam dunia politik, selalunya calon BEBAS hanya berbuat demikian kerana nak tunjuk hebat bahawa dirinya orang kenal atau setakat suka-suka sahaja, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Sekarang dalam pilihanraya 2013, calon BEBAS bukanlah calon yang kosong. Kita dapati ada beberapa sebab mengapa mereka menjadi calon BEBAS.
Antaranya:
[1]. Kerana marah dan geram kepada parti yang didukungnya tidak mengambil dirinya sebagai calon bagi kerusi apa pun.
[2]. Kerana hendak menunjukkan protes kepada seseorang.
[3]. Kerana ditaja oleh individu atau kumpulan tertentu.
[4]. Bagi tujuan memecahkan undi.
Setakat adanya calon BEBAS kerana merajuk tidak dipilih itu adalah perkara biasa. Tetapi kali ini ada pula calon BEBAS yang lawan boss. Siapa lagi kalau bukan seorang wanita dari Umno yang sepatutnya dia diberi tempat sebagai calon kerusi Parlimen. Boss kata bukan tidak ditawarkan kerusi kepadanya, tetapi orang itu menolak kerana kerusi yang ditawarkan hanya di peringkat negeri sahaja dan bukan Parlimen.
Biarlah mereka kecoh pun. Semua sudah tamat. Tokoh wanita itu sudah keluar parti, dan dia lobih puas jika kalah dalam pertandingan dengan membawa bendera BEBAS ketimbang bendera BN.
Yang menjadi kekecohan lain adalah pertindihan di beberapa tempat. Parti dalam Pakatan Rakyat ikut bertanding, PAS lawan PKR yang nampak mengelirukan. Sesuatu perlu dibetulkan agar tidak merosakkan kesatuan dalam Pakatan Rakyat. Sememangnya orang mengharapkan tidak berlaku perkara buruk. Jadikan ia sebagai teladan. Lagipun mereka dalam proses belajar tentang pilihan raya. Dalam soal perkongsian kuasa ini, kita kena saling bertolak ansur. Lihatlah, bukan hanya dalam Pakatan Rakyat, dalam Barisan Nasional juga telah menimbulkan kekecohan apabila ada orang kuat dalam MCA tidak dicalonkan dalam pilihan raya kali ini. Contohnya kes di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Begitu kes di Pulau Pinang.
Apa yang kita harapkan, biarlah keadaan yang bercelaru ini diselesaikan dengan cara baik. []

No comments:

Post a Comment