Monday 22 April 2013

MASALAH PERTEMBUNGAN DALAM PAKATAN RAKYAT SUDAH SELESAI

Nasib baik Pakatan Rakyat cepat bertindak. Kemelut yang berlaku cepat-cepat diselesaikan. Kalau tidak selesai, alamat jadi bahan ajekan. Itulah yang dimainkan media setiap hari.
Jika sesiapa tengok tv milik kerajaan Pusat, tidak ada satu kebaikan pun yang ada pada Pakatan Rakyat. Berbagai tohmah dilaporkan.
Bukan sahaja tv, akhbar-akhbar mereka tidak pernah melaporkan sesuatu yang baik terhadap Pakatan Rakyat.
Jangan nanti dipersenda orang, tv tidak melaporkan tokoh pembangkang yang telah memenangi pilihan raya, atau sekiranya PR memenangi pilihan raya kali ini, pihak media sengaja memperlahan atau menutup berita yang penting itu.
Kini soal berlawan sesama sendiri dalam Pakatan Rakyat sudah tidak jadi isu lagi.
Sama ada orang yang terlibat setuju atau tidak, pada prinsipnya, menjaga nama baik parti dan kelompoknya adalah lebih utama daripada kepentingan peribadi.
Sekiranya kita boleh lupakan soal kepentingan peribadi, maka UBN akan "terharu" dibuatnya kerana mereka tidak ada poin untuk burukkan Pakatan Rakyat.
Selama ini mereka mengejek dengan mengatakan bagaimana nak tadbir negara kalau masalah pencalonan pun sudah kelam-kabut?
Barisan Nasional kena faham, Pakatan Rakyat belum pernah menguasai Pusat pun. Jangan anggap Pakatan Rakyat sebagai kelompok yang sempurna. Berbeza dengan BN yang sentiasa bercakap di depan rakyat, mendakwa mereka mampu membawa kejayaan, keamanan dan kemakmuran kepada negara.
Selama ini pun setiap hari BN masih menyebut-nyebut pengalaman mereka mentadbir negara. BN tidak sebut pun soal pengalaman mereka meraih kekayaan secara tidak benar.
Mereka tidak berani sebut pun bahawa kroni mereka menjadi kaya raya disebabkan oleh naungan yang terlalu besar.
Setiap hari mereka bercakap tentang PAS sebuah parti yang berambisikan kepada Islam. Orang Umno menyindir, menghina dan macam-macam kritikan lagi terhadap PAS kerana berkawan dengan DAP. Mereka tidak pernah pun rasa bersalah kerana isu itu melibat sensitiviti perkauman.
Jangan mengira bahawa DAP itu orang Cina dan PAS itu Islam. Umno tidak menyedari berapa ramai orang keturunan Cina yang telah memeluk Islam. Sila rujuk kepada Perkim untuk mengetahuinya.
Bahkan sesiapa yang pernah menyertai aktiviti Perkim mereka akan tahu bahawa kelompok Cina Muslim semakin berkembang sekarang [berdasarkan pengalaman penulis mengikuti aktiviti Perkim Putera].
Pemimpin Umno tidak boleh memburukkan DAP sebagai parti yang menakutkan Melayu. Jika Melayu mahu takut, mereka kena takut juga kepada Gerakan dan MCA. Kenapa hanya DAP? Apa beza Cina DAP dengan Cina MCA atau Gerakan?
Kemudian kenapa sekarang ramai orang Melayu menyertai DAP?
Mereka lakukan itu untuk menunjukkan kepada pihak Umno bahawa tidak ada apa yang perlu digeruni kalau orang Melayu menyokong DAP. Apakah orang Umno tidak menyedari betapa ramai orang Melayu sekarang mengundi calon DAP yang bertanding?
Jangan mengira semangat keMelayuan atau keCinaan sahaja. Zaman sudah berubah. Persepsi masyarakat telah bertukar berkat gabungan dalam Pakatan Rakyat.
Bukan tidak ada kempen wanita Umno yang datang ke rumah mengatakan lebih baik kita undi Melayu daripada undi calon orang Cina.
Bagi rakyat yang sedar, sekalipun calon itu Melayu, kalau ia masih berada dalam kelompok BN, maka mereka tidak mahu undi. Mereka akan memilih calon dari Pakatan Rakyat.
Setelah Pakatan Rakyat menyelesaikan kemelut yang terjadi, maka kemelut yang berlaku sekarang adalah dalam UBN sendiri. Mereka menyaksikan begitu ramai yang melawan boss. Mereka tidak mahu dengar lagi kata-kata seorang Perdana Menteri. Suara PM seperti tidak digeruni lagi. Bahkan dipermainkan.
Sudahnya, dalam Umno sendiri telah menimbulkan puak-puak. Antara yang digugurkan, yang dipilih dan yang menjadi calon Bebas.
Mungkin kesannya adalah undi akan berpihak kepada Pakatan Rakyat. Kejemuan sudah lama melanda fikiran para pengundi. Mereka ingin menukar kerajaan kerana mereka tahu, bukan Umno sahaja yang tahu memerintah! []

No comments:

Post a Comment